Doktor Jelaskan 11 Tanda Ibu Alami Meroyan Yang Orang Sekeliling Kerap Pandang Remeh

Share

Meroyan, istilah masalah psikiatri yang khusus buat ibu selepas bersalin. Gerun kalau ia benar-benar terjadi dan jika tidak dirawat dari awal kerana boleh memberikan kesan yang serius kepada ibu dan bayi. Jadi, ibu selepas bersalin jangan ambil mudah kalau pernah alami 10 tanda ini.

Ia bermula dengan keadaan post partum baby blues yang hanya dialami oleh kira-kira 50% ibu baru bersalin dan akan hilang pada 10 hari selepas kelahiran. Manakala kemurungan selepas bersalin atau post partum depression pula ialah post partum baby blues yang berlanjutan melebihi dua minggu dan lebih mendalam.

Post partum depression terjadi kepada kira-kira 15% wanita selepas bersalin. Jika dibiarkan dan tidak dirawat segera, ia boleh menjadi lebih teruk iaitu psikosis selepas bersalin atau meroyan.

Menurut pakar psikiatri, Dr Kasmini Kassim para ibu tidak boleh ambil mudah tentang perubahan emosi dalam masa awal selepas bersalin kerana ia boleh jadi salah satu petanda masalah emosi ini.

Psikosis dan kemurungan selepas bersalin adalah gangguan emosi yang serius. Implikasi terhadap ibu dan bayi adalah merbahaya jika tidak dirawat dengan cara sewajarnya. Ia juga tidak boleh hanya dirawat dengan ubat-ubatan tradisional dan kaunseling sahaja.

3 KATEGORI IBU YANG BERISIKO ALAMI MEROYAN

  • Ibu yang melahirkan anak pertama
  • Ibu yang mempunyai komplikasi semasa melahirkan seperti kelahiran pramatang, kelahiran songsang atau melahirkan secara pembedahan caesarean
  • Bayi yang lahir bermasalah seperti cacat.

 

11 TANDA MEROYAN YANG SERING DIALAMI IBU

#1. Gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang

#2. Sering merasa keletihan kerana kurang rehat atau kurang tidur. Walau pun bayi dapat tidur lena.

#3. Mengalami kesukaran dalam sesuatu hal tetapi tidak mendapatkan bantuan orang lain.

#4. Memencilkan diri atau bersendirian.

#5. Tidak suka bercakap dan banyak memendamkan perasaan.

#6. Perasaan yang tidak stabil dan berubah-ubah seperti kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. .

#7. Ciri psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras.

#8. Mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.

#9. Mempunyai anggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anaknya, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya.

#10. Mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan diri ibu, menyuruh ibu membunuh bayi dan sebagainya.

#11.Ibu tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi mereka sendiri.

PERANAN SUAMI/ AHLI KELUARGA/ PENJAGA

1. Suami khususnya jangan ambil mudah perasaan isteri di dalam tempoh selepas bersalin dan bantu dari segi pengurusan dirinya dan anak.

2. Sentiasa luangkan masa untuk berbual-bual dan menelefon isteri di rumah ketika di pejabat dengan lebih kerap.

3. Elakkan percanggahan pendapat, pergaduhan dan sebagainya yang boleh meningkatkan stres ibu.

4. Tidak ambil mudah perubahan emosi ibu. Ia tidak stabil dan berubah-ubah. Banyakkan bersabar melayani isteri.

5. Bantu si ibu menguruskan dirinya dan bayi dan berikan masa untuk ibu berehat dan tidur.

6. Sentiasa peka perubahan ibu. Sekiranya melihat tanda-tanda serius, bawa ibu terbabit  mendapatkan rawatan dengan segera dan rujuk kepada bahagian psikiatri supaya  gangguan emosi boleh ditangani awal.

IKLAN