Kehamilan

Doktor Didakwa Pulas Telinga Ibu Hamil Cetus Kemarahan, Isu Etika Perubatan Dipersoal

Share

Tindakan seorang doktor yang didakwa memulas telinga pesakit wanita mengandung ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik mengundang kemarahan orang ramai selepas perkongsian mangsa tular di media sosial.

Insiden yang mencetuskan perbincangan hangat ini sekali gus membuka ruang perbahasan mengenai etika profesional dalam dunia perubatan, khususnya melibatkan layanan terhadap ibu mengandung yang berada dalam keadaan fizikal dan emosi yang sensitif.

Gambar Hiasan

Perkongsian Tular Undang Simpati Ramai

Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @Meyyynaa, wanita berkenaan berkongsi pengalaman mengecewakan yang dilaluinya ketika sedang mengalami alahan kehamilan yang teruk sehingga muntah dan tidak bermaya.

Menurutnya, dalam keadaan fizikal dan emosi yang lemah itu, dia langsung tidak menyangka akan menerima layanan kasar daripada seorang doktor yang sepatutnya menjadi tempat pesakit berasa selamat dan dilindungi.

“Adakah kalau seorang doktor tu boleh sesuka hati naik tangan pulas telinga pesakit? Saya amat terkilan, tapi fikir saya tengah alahan teruk, muntah dan lapar, jadi aku macam reda kena pulas telinga,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Teguran Kasar Berkait Jarak Kehamilan

Lebih menyedihkan, wanita itu mendakwa tindakan memulas telinganya dilakukan kerana doktor berkenaan menegur jarak kehamilannya yang dianggap terlalu dekat.

Menurut perkongsian mangsa, anak sulungnya kini berusia setahun 10 bulan dan beliau sedang hamil anak kedua yang dijangka bersalin pada bulan Julai ini, ketika usia anak sulungnya melebihi dua tahun.

“Dia pulas telinga sebab katanya mengandung jarak dekat. Padahal doktor lain sebelum ini cakap okey sebab anak sulung lepas dua tahun,” luahnya lagi.

Situasi itu membuatkan mangsa berasa keliru dan tertekan kerana menerima pandangan berbeza daripada pakar perubatan, ditambah pula dengan cara teguran yang disampaikan secara kasar dan tidak berhemah.

Disindir Soal Kewangan & Pendidikan Anak

Bukan sekadar ditegur tentang kehamilan, wanita tersebut turut mendakwa doktor berkenaan mengeluarkan kata-kata sindiran berkaitan kemampuan kewangan dan pilihan pendidikan anak-anaknya pada masa hadapan.

“Siap sindir konon takkan nak hantar anak ke tadika Kemas atau Perpaduan, mesti nak tadika mahal. Tanya awak mampu ke bayar,” dakwanya.

Bagi seorang ibu, kata-kata sebegini bukan sahaja melukakan perasaan, malah menyentuh soal maruah dan pilihan hidup yang bersifat peribadi.

Tambahnya lagi, doktor tersebut juga dikatakan berkomunikasi dengan nada kasar terhadap jururawat lain di klinik berkenaan, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa sepanjang sesi rawatan.

Netizen Kecam, Etika Profesional Dipersoalkan

Walaupun mangsa tidak membuat laporan rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA), perkongsian itu tetap mencetuskan reaksi hebat dalam kalangan netizen.

Ramai menyifatkan tindakan doktor didakwa pulas telinga ibu hamil itu sebagai melanggar etika perubatan dan tidak wajar berlaku dalam mana-mana fasiliti kesihatan.

“Sejak bila pula doktor boleh pulas telinga pesakit?” soal seorang pengguna.

“Peringatan untuk semua doktor, layan pesakit secara profesional. Nasihat boleh diberi, tapi bukan dengan sentuhan atau sindiran,” komen netizen lain.

Ibu Mengandung Perlukan Empati, Bukan Penghakiman

Kehamilan merupakan fasa yang sangat sensitif buat seorang wanita, bukan sahaja dari segi fizikal, malah emosi dan mental.

Ibu mengandung datang mendapatkan rawatan kerana memerlukan bantuan, sokongan dan kefahaman, bukannya teguran kasar atau sentuhan yang tidak wajar.

Nasihat perubatan sememangnya penting, namun cara penyampaian yang penuh empati, berhemah dan profesional jauh lebih memberi kesan berbanding kata-kata yang menjatuhkan.

Kerana dalam dunia keibubapaan, setiap ibu ada kisah dan perjuangannya sendiri – dan mereka berhak dilayan dengan hormat.

BACA LAGI : Kehamilan Ektopik Hampir Cukup Bulan: Kisah Menyentuh Hati Ibu Temui Bayi Ketika Pembedahan

Sumber : Kosmo

Published by
Nana