
Walaupun kejadian ini tidak berlaku di negara kita, kisah tragis ini wajar dijadikan peringatan besar buat semua ibu bapa dan penjaga. Jangan sesekali menganggap anak-anak sudah pandai menjaga diri, apatah lagi apabila melibatkan air. Satu kelalaian kecil, walaupun hanya beberapa minit, boleh mengubah segalanya.
Insiden menyayat hati ini melibatkan dua kanak-kanak lemas yang dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tenggelam ketika mandi-manda di sebuah kawasan pelancongan.
Kronologi Kejadian Dua Kanak-Kanak Lemas

Menurut Ketua Polis Sektor (Kapolsek) Luhak, Iptu Isral Riandi, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan ketika lokasi pemandian tersebut sedang berlangsung satu acara perjumpaan keluarga.
“Ketika itu, kedua-dua kanak-kanak, Raffa Atthalla berusia 8 tahun dan Bilqis Zakira berusia 11 tahun, sedang mandi di kolam. Pada awalnya mereka masih berada dalam pengawasan ibu bapa masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun keadaan berubah apabila kedua-dua mangsa meminta pelampung. Ibu bapa mereka kemudian pergi mengambil pelampung yang diletakkan di dalam kenderaan berhampiran kawasan pemandian.
Hanya Lima Minit Yang Meragut Nyawa

Tempoh masa untuk mengambil pelampung tersebut dianggarkan hanya sekitar lima minit. Namun apabila ibu bapa kembali ke kolam, kedua-dua kanak-kanak itu sudah tidak kelihatan di permukaan air.
“Ahli keluarga segera melakukan pencarian di sekitar kolam. Salah seorang bapa mangsa kemudian ternampak bayangan pakaian berwarna putih di dasar kolam,” jelas beliau.
Tanpa berlengah, ibu bapa mangsa terjun ke dalam kolam sedalam kira-kira 2.5 meter dan berjaya membawa naik kedua-dua kanak-kanak ke permukaan. Bantuan kecemasan segera diberikan sebelum mereka dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.
Siasatan Pihak Berkuasa

Susulan kejadian dua kanak-kanak lemas ini, pihak polis menutup sementara kawasan pemandian berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan. Garisan polis turut dipasang di sekitar kolam yang terlibat.
Pihak berkuasa kini menyiasat sama ada wujud unsur kecuaian daripada pengurusan tempat rekreasi berkenaan. Namun siasatan awal mendapati kejadian ini berlaku akibat kelalaian.
“Kawasan pemandian ini mempunyai beberapa kolam dengan kedalaman berbeza, termasuk kolam khas kanak-kanak dan kolam dewasa. Kolam yang digunakan mangsa adalah kolam dewasa dengan kedalaman 2.5 meter,” katanya.
Pihak polis turut menyiasat bagaimana kedua-dua kanak-kanak tersebut boleh memasuki kolam dewasa serta sama ada terdapat petugas keselamatan yang bertugas ketika kejadian berlaku.
Pengajaran Buat Semua Ibu Bapa
Tragedi dua kanak-kanak lemas ini menjadi peringatan jelas bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan walau sesaat di kawasan air. Lima minit yang disangka sekejap, hakikatnya sudah cukup untuk meragut nyawa.
Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa berada dalam jarak tangan, bukan sekadar jarak mata. Jangan bergantung sepenuhnya kepada pelampung, jangan mengharapkan orang lain memerhati, dan jangan sekali-kali menganggap “tak apa, sekejap je”.
Kesedaran ini penting agar tragedi seumpama ini tidak berulang, khususnya di negara kita. Nyawa anak-anak terlalu berharga untuk diserahkan kepada sikap sambil lewa.
Sumber: Kumparan News
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





