Bagi yang pernah melalui pasti berdepan trauma apabila berdepan masalah sembelit ketika waktu hamil. Nak ambil ubat bimbang kesannya pada anak. Malah nak meneran berlebih-lebihan juga bimbang janin yang masih kecil turut terkesan. Sudahnya apa pilihan ibu hamil?

Menurut Dr Maiza Tusimin, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi daripada Prince Court Medical Centre, elakkan mengambil sebarang ubat-ubatan dari farmasi sebaliknya dapatkan pandangan dari pakar terlebih dahulu. Inilah yang sebaiknya dilakukan ibu hamil.

Elak Ambil Ubat Sebarangan Atasi Sembelit, Usaha Cegah Sembelit Sejak Awal Kehamilan!


S: Saya berusia 36 tahun dan mengandung anak pertama. Kesukaran yang saya alami semasa mengandung adalah masalah sembelit sehingga tidak dapat membuang air besar pada tempoh yang lama sehingga 19 hari. Hal ini membuatkan pergerakan saya amat sukar dan tidak selesa sepanjang waktu. Masalah kembung perut, angin dan pedih ulu hati dan sembelit membuatkan saya takut untuk makan. Bolehkah saya menggunakan enema untuk melegakan masalah saya dan apa tip untuk mudahkan pembuangan?

Masalah sembelit ketika hamil bukanlah sesuatu yang jarang berlaku, sebaliknya 38% daripada ibu-ibu hamil akan mengalami sembelit.

Sembelit didefinisikan sebagai kesukaran untuk membuang air besar atau kekerapan membuang air besar yang berkurangan berbanding biasa. Sebanyak 35% masalah sembelit berlaku pada trimester pertama, 39% pada trimester kedua, 21% pada trimester ketiga dan 17% semasa dalam pantang.

Elak Ambil Ubat Sebarangan Atasi Sembelit, Usaha Cegah Sembelit Sejak Awal Kehamilan!

Perubahan hormon
Penyebab utama yang menyumbang kepada masalah sembelit adalah paras hormon yang berubah ketika hamil. Salah satu perubahan fisiologi kehamilan adalah kenaikan paras hormon Progesteron yang menyebabkan pergerakan otot usus menjadi perlahan.
Manakala paras hormon Motilin iaitu hormon yang membantu mengawal saluran usus kecil pula menurun.

Kombinasi perubahan hormon ini menyebabkan otot di usus berubah menjadi keadaan ‘berehat’ dan sisa makanan di dalam usus bergerak perlahan.

Situasi ini membolehkan lebih banyak penyerapan nutrien berlaku tetapi juga boleh menyebabkan perut menjadi tidak selesa dan sembelit. Di samping itu, peningkatan paras aldosterone menyebabkan air banyak diserap dari usus dan ini menyebabkan najis menjadi keras dan turut menyumbang kepada sembelit.

Terdapat pelbagai faktor lain termasuk cara hidup dan perubahan kehamilan yang turut menyumbang kepada masalah sembelit. Antaranya:

Elak Ambil Ubat Sebarangan Atasi Sembelit, Usaha Cegah Sembelit Sejak Awal Kehamilan!

1. Tumbesaran bayi
Semakin bayi membesar, tekanan dalam usus akan bertambah dan ini melambatkan proses pencernaan makanan. Pergerakan otot di dalam usus akan menjadi sukar dan menyebabkan sisa makanan juga akan bergerak perlahan semasa melalui usus besar.

IKLAN

2. Perubahan diet
Tabiat pemakanan ketika hamil berubah disebabkan oleh morning sickness atau mengidam makanan yang jarang dimakan. Perubahan drastik kepada diet ibu ditambah dengan makanan yang kurang serat akan mengundang masalah sembelit ketika hamil.

3. Suplemen Tambahan
Kesatuan Kesihatan Sedunia menggariskan pengambilan suplemen prenatal seperti zat besi, folik asid dan kalsium untuk menyokong pertumbuhan bayi. Peningkatan zat-zat terutama zat besi cenderung menyebabkan sembelit semasa kehamilan.

4. Makan berlebihan pada waktu makan
Saiz hidangan yang besar atau makan banyak semasa waktu makan boleh menambahkan beban terhadap saluran penghadaman ibu. Oleh kerana itu, ibu disarankan untuk mengamalkan makan enam mini-saiz hidangan makanan sehari berbanding tiga saiz hidangan yang besar. Ini juga membantu perut ibu agar kurang kembung.

5. Aktiviti fizikal
Kajian menunjukkan bahawa kurang pergerakan fizikal boleh melambatkan kekerapan pergerakan usus ibu. Morning sickness dan keletihan ketika hamil menyebabkan ibu-ibu kurang aktif secara fizikal dan ini memudahkan sembelit berlaku.

Apa yang perlu ibu lakukan?

IKLAN

Ibu dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum bertindak untuk mengambil preskripsi sendiri seperti enema. Doktor akan menjalankan pemeriksaan rapi untuk memastikan ibu tidak mengalami masalah medikal yang lebih kompleks seperti anal fissure, colorectal strictures, neoplasia, hypothyroidism, hypercalcaemia atau masalah neurologi sebelum membuat konklusi bahawa sembelit ibu adalah disebabkan oleh faktor yang dinyatakan di atas.

Ada segelintir ibu yang mempunyai masalah medikal tersebut perlu dirujuk dan dirawat oleh pakar endokrinologi atau pakar bedah.

Elak Ambil Ubat Sebarangan Atasi Sembelit, Usaha Cegah Sembelit Sejak Awal Kehamilan!

Tips remedi di rumah:
· Tingkatkan pengambilan air kosong, jus buah-buahan terutama jus buah prune yang boleh melembutkan najis.

· Konsum makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi seperti roti wholemeal, bijirin sarapan pagi, buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh melancarkan pencernaan dan mengurangkan sembelit.

· Amalkan senaman ringan seperti berjalan kaki atau senam robik ringan. Dapatkan nasihat doktor tentang senaman yang selamat semasa mengandung.

· Lakukan senaman Kegel yang boleh membantu menguatkan otot pelvik dan rektal dan secara tidak langsung membantu masalah sembelit.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI