
Emosi selepas bersalin menjadi antara perubahan yang masih dirasai Watie Hanifiah hampir lima bulan selepas melahirkan anak perempuannya, Akira Juwita Zahra. Di luar mungkin kelihatan tenang, namun menurut Watie, jauh di sudut hati ada pelbagai rasa yang sukar untuk diterjemahkan.
Begitulah yang dirasai isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah, yang berkongsi mengenai perasaan yang masih menyelubungi dirinya biarpun anak perempuannya bakal memasuki usia lima bulan.
Menerusi perkongsian di Threads, Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah mengakui dirinya mungkin kelihatan tenang pada pandangan orang lain, namun jauh di sudut hati ada pelbagai rasa yang sukar untuk diterjemahkan.
“Di luar nampak tenang, di dalam punya seribu satu rasa.”
Dalam perkongsian sama, Watie turut bertanya kepada ibu-ibu lain sama ada mereka pernah melalui keadaan sepertinya selepas bersalin.
Apa yang membuatkan Watie tertanya-tanya, perasaan berkenaan masih dirasainya sehingga sekarang walaupun usia Akira bakal mencecah lima bulan.
“Siapa ibu yang lepas bersalin sampai sekarang anak nak masuk lima bulan pun masih ada rasa yang sebegini?
“Adakah sebab baby masih menyusu badan? Berapa lama rasa yang sebegini akan ada?”
Sebagai ibu yang baru melalui pengalaman melahirkan anak sendiri, Watie mengakui ada kalanya dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan apa yang sedang dirasainya.
Malah, ada ketika perasaan itu menjadi begitu kuat sehingga membuatkan dirinya berasa tidak selesa secara fizikal.
“Kenapa rasa ini wujud selepas kita melahirkan?
“Rasa yang susah nak diungkap yang kadang ada ketika sampai rasa nak termuntah.”
Pengalaman seperti ini menunjukkan bahawa emosi selepas bersalin tidak semestinya mudah diterangkan. Setiap ibu boleh melalui perubahan yang berbeza, sama ada dari segi perasaan, tenaga, corak tidur mahupun bagaimana tubuh menyesuaikan diri selepas kelahiran bayi.
Walaupun masih cuba memahami perubahan yang berlaku pada dirinya, Watie memilih untuk menerima dan melalui fasa tersebut dengan sebaik mungkin.
Katanya, setiap kali memandang wajah anak kesayangannya, segala kesukaran yang dilalui terasa berbaloi.
“Tapi bila pandang anak, hati terus terdetik, kalau inilah harga yang harus Mummy bayar selepas mendapatkan seketul ‘Akira’.
“Tak apalah Mummy tempuh dengan tenang.”
Luahan itu turut mendapat perhatian ramai ibu di ruangan komen. Ada yang berkongsi bahawa mereka juga pernah mengalami emosi yang sukar dijelaskan selepas melahirkan, terutama ketika masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rutin menjaga dan menyusukan bayi.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada ibu lain untuk bercakap mengenai pengalaman mereka sendiri. Walaupun perjalanan setiap ibu tidak sama, perubahan yang berlaku selepas kelahiran boleh membuatkan seseorang memerlukan masa untuk memahami tubuh dan perasaan sendiri.
Untuk rekod, Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada Jun 2023. Pasangan ini kemudiannya dikurniakan cahaya mata perempuan, Akira Juwita Zahra, pada 6 April lalu.
Selepas melahirkan, tubuh seorang ibu melalui banyak perubahan dalam satu masa. Selain perubahan hormon, kekurangan tidur, keletihan, proses penyusuan serta tanggungjawab menjaga bayi boleh memberi kesan terhadap keadaan emosi seseorang ibu.
Keadaan emosi selepas bersalin juga boleh berubah mengikut situasi dan keadaan seseorang. Ada ibu mungkin berasa lebih sensitif, mudah penat atau mempunyai perasaan yang sukar digambarkan walaupun pada masa sama berasa bahagia dengan kehadiran bayi.
Setiap wanita bagaimanapun mempunyai pengalaman selepas bersalin yang berbeza. Ada yang kembali stabil dalam tempoh singkat, manakala ada yang memerlukan masa lebih panjang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Apa yang penting, ibu tidak perlu memendam semuanya seorang diri. Berkongsi perasaan dengan pasangan, ahli keluarga atau individu yang dipercayai boleh membantu ketika melalui emosi selepas bersalin yang sukar dijelaskan.
Rehat yang mencukupi apabila berpeluang, bantuan dalam menguruskan bayi serta ruang untuk ibu menjaga keperluan dirinya sendiri juga boleh menjadi sebahagian daripada sokongan dalam tempoh penyesuaian selepas kelahiran.
Sumber: Thread