Diuji dengan jangkitan Covid ketika diawal kehamilan pertamanya membuatkan pempengaruh yang satu ini cukup kuat dan kental berdepan ujian.
Baginya ujian dan perjalanannya menjadi seorang ibu sememangnya hebat namun dialah insan paling bahagia dan gembira melalui perjalanan dalam membesarkan dua anaknya.
Tidak hairanlah, Saidatul Amin turut dinobatkan sebagai Top Mom Influencer Pa&Ma 2025 dan selayaknya ibu kuat dan cekal ini diberikan pengiktirafan.
Melalui perkongsian videonya, beliau berkongsi throwback pengalaman peribadinya yang menyentuh hati, termasuk cabaran semasa hamil dan dijangkiti COVID-19 .
“Memang waktu saya diuji dengan Covid-19 ketika negara baru dilanda Covid-19 macam-macam yang saya fikirkan. Tambah pula ada juga kes-kes ibu hamil yang meninggal dunia buat saya down.
Makin buat saya rasa sedih bila saya dan suami terpisah, saya di Hospital Sungai Buloh sementara suami pula terpaksa dikuarantinkan di Maeps, Serdang. Bayangkan saya baru hamil dan terpaksa berpisah dengan suami. Saya tak tahu adakah kami akan berjumpa lagi selepas itu. Memang sedih.
Ads
Macam-macam yang saya fikirkan jika saya menjadi salah seorang yang tak dapat diselamatkan. Tak terluah dengan kata-kata.
Saya akui saya lalui hari-hari itu dengan emosi yang sangat tak stabil, lagi pula saya mengandung waktu itu. Saya down sangat-sangat. Masuk hospital saya asyik menangis sahaja. Dalam fikiran Sai macam manalah bayi dalam kandungan,” kongsi Sai sebak mengenang detik sukar itu.
Terpaksa bersalin awal, bayi tidak berkembang dengan baik
Ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini juga turut diuji ketika melahirkan anak pertamanya yang terpaksa dilahirkan pada usia kandungan 37 minggu. Bayi tidak berkembang dengan baik, itu yang diberitahu doctor kepadanya dan suami.
Ads
“Saya waktu itu ada check up appointment 36 minggu dan doctor beritahu baby tak membesar dengan baik dari check up sebelum ini.
Waktu itu doctor dah risau dan doctor refer ke pakar jantung tapi jantung bayi okay dan akhirnya doctor buat keputusan untuk saya bersalin secepat yang mungkin waktu itu.
Jadi saya tiada pilihan lain melainkan terpaksa memilih elective ceaser untuk bersalin diusia 37 minggu.
Ads
Waktu itulah doctor beritahu rupanya tali pusat bayi terbelit dua kali dan ini mungkin juga menjadi penyebab bayi tidak dapat berkembang dengan baik di hujung-hujung kehamilan saya,” ujarnya bercerita.
Bagi Saidatul, pengalaman hebatnya diawal kehamilan dan ketika melahirkan anak adalah satu pengalaman yang cukup mematangkan diri malah mengajar dirinya menjadi lebih cekal dan kuat demi anak.
Malah ibu cantik jelita ini juga turut merakamkan penghargaan buat suami yang selama ini menjadi tunjang utamanya dalam membesarkan dua anaknya.
“Menjadi seorang ibu ini satu pengalaman yang tak ternilai bagi saya. Memang penat tapi journey menjadi seorang ibu memang hebat dan saya sangat gembira menjadi ibu kepada dua anak lelaki saya,” tambahnya lagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan rumah tangga mereka berkekalan sehingga ke syurga. Pasti mahu bahagia dan terus dilimpahi perasaan kasih sayang sesama suami isteri. Apakan daya, sinar bahagia yang diharapkan tidak kesampaian. Pernikahan diuji dengan cabaran sehingga perpisahan terjadi.
Dikenali sebagai suami romantis yang gemar menulis tentang alam perkahwinan, di dalam perkongsiannya Akhtar Syamir mengatakan menceraikan isteri ketika dia sedang hamil adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab. Penceraian begini, jika tidak dapat dilihat perbezaan menceraikan pada waktu lain dan ketika isteri sedang mengandung, beerti hati dan mata seorang lelaki telah buta.
Cerai Isteri Ketika Hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.
Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.
Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.
Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.
Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.
Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.
Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.
Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.
Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda. Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.
Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.
Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.
Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat? Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.
Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.
Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan. Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.
Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.
Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.
Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.
Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.
Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.
Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.
Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.
Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.
Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.
Sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab, jika sudah hilang rasa kasih pada isteri pun sekurang-kurangnya sebelum menceraikan isteri waktu hamil, kasihanilah dia. Fikirkan pengorbanan yang telah dia lakukan, membawa zuriat anda di dalam rahimnya.
Setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara baik. Semoga dengan perkongsian dari Akhtar Syamir ini dapat memberi sedikit kesedaran kepada para suami tentang kepayahan isteri anda sewaktu dia mengandungkan zuriat kalian.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terbaru melalui laporan Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa wujud elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 4 tahun.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dan menyiasat ketiga-tiga elemen tersebut secara menyeluruh.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita. Demikian terpulang kepada Peguam Negara untuk menetapkan hala tuju sama ada tuduhan itu dapat dibuat atau tidak,” jelas beliau.
Sekadar info, laporan awal mendapati punca kematian arwah adalah kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Tragedi ini berlaku apabila adik Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Kisah ini bukan sekadar berita semasa. Ia adalah peringatan besar untuk semua ibu bapa dan pendidik bahawa keselamatan anak-anak mesti jadi keutamaan.
Sekolah sepatutnya tempat mereka menimba ilmu dengan rasa selamat, bukannya tempat trauma atau penderitaan.
Sebagai ibu bapa, mari kita lebih peka pada perubahan emosi dan tingkah laku anak. Jangan ambil mudah bila anak murung, takut berlebihan, atau kelihatan tertekan. Itu mungkin isyarat kecil yang perlukan perhatian segera.
Semoga roh adik Zara Qairina ditempatkan di kalangan anak-anak syurga, dan semoga tragedi ini membuka mata seluruh masyarakat untuk lebih prihatin terhadap isu buli dan penderaan kanak-kanak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setelah hampir sebulan Malaysia menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu, dan semalam baru sahaja memasuki fasa ketiga yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020. Usaha kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 kini mula menunjukkan hasil yang positif.
Semalam, “Jeneral Perang” – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes positif harian mula menurun kepada dua angka, iaitu 85 kes semalam berbanding tiga angka pada hari sebelumnya.
Ia merupakan satu tanda menunjukkan strategi yang disusun atur untuk menggempur virus itu dengan melakukan PKP sebelum ini adalah tepat.
Malah, jumlah kes pulih harian adalah 169 kes semalam, dua kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan Selasa lepas.
Namun, masih terlalu awal untuk rakyat Malaysia menarik nafas lega dengan fakta-fakta itu kerana selagi lengkung penyebaran virus belum dapat diratakan, selagi masih ada kes kematian direkodkan dan selagi negara masih belum bebas sepenuhnya dari COVID-19, kemenangan belum dicapai dalam pertempuran menentang virus pembunuh itu.
Memetik kata-kata Dr Noor Hisham, tempoh PKP fasa tiga yang masuk hari kedua hari ini, merupakan tempoh kritikal dalam menentukan kejayaan menghapuskan wabak COVID-19.
Hasilnya bukan hanya ditentukan dengan jumlah pakar dan kemudahan kesihatan yang ada di negara ini, malah ditentukan juga dengan tahap kepatuhan masyarakat terhadap PKP.
Ketidakpatuhan terhadap arahan itu hanya menyebabkan usaha keras yang dilakukan selama ini oleh petugas barisan hadapan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memerangi wabak itu hanya menjadi sia-sia.
PDRM melaporkan sepanjang PKP fasa satu dan dua dilaksanakan sehingga Selasa lepas, sebanyak 14,922 individu ditahan kerana ingkar dengan arahan itu.
Lantaran sikap segelintir mereka yang ingkar ini juga menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengenakan tindakan tegas dengan mendakwa mereka ke mahkamah setelah tindakan kompaun sebanyak RM1,000 sebelum ini dipandang enteng golongan yang degil ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyatakan ada tempat khas menanti pesalah ini apabila kerajaan akan mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan mereka.
Walaupun tempat tahanan itu akademi, tiada makanan mewah yang akan disediakan, peraturan dan undang-undangnya adalah sama dengan penjara biasa, bersedialah untuk menghadapinya jika terus ingkar untuk patuh kepada PKP.