Terbaru melalui laporan Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa wujud elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 4 tahun.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dan menyiasat ketiga-tiga elemen tersebut secara menyeluruh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita. Demikian terpulang kepada Peguam Negara untuk menetapkan hala tuju sama ada tuduhan itu dapat dibuat atau tidak,” jelas beliau.
Punca Kematian
Sekadar info, laporan awal mendapati punca kematian arwah adalah kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Ads
Tragedi ini berlaku apabila adik Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Ads
Iktibar Buat Semua
Kisah ini bukan sekadar berita semasa. Ia adalah peringatan besar untuk semua ibu bapa dan pendidik bahawa keselamatan anak-anak mesti jadi keutamaan.
Ads
Sekolah sepatutnya tempat mereka menimba ilmu dengan rasa selamat, bukannya tempat trauma atau penderitaan.
Sebagai ibu bapa, mari kita lebih peka pada perubahan emosi dan tingkah laku anak. Jangan ambil mudah bila anak murung, takut berlebihan, atau kelihatan tertekan. Itu mungkin isyarat kecil yang perlukan perhatian segera.
Semoga roh adik Zara Qairina ditempatkan di kalangan anak-anak syurga, dan semoga tragedi ini membuka mata seluruh masyarakat untuk lebih prihatin terhadap isu buli dan penderaan kanak-kanak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ujian kita berbeza-beza. Namun ujian seorang ibu ini yang sanggup memotong kaki kanannya bagi menyelamatkan kandungannya amat luar biasa.
Melalui perkongsiannya di aplikasi TikTok, seorang ibu, Alin Azreen terpaksa memotong kaki kanannya akibat kanser ketika hamil anak kedua.
Jelasnya, kanser yang dialami itu telah merebak hingga ke tulang dan membuatkan saraf di bahagian kaki rosak serta terpaksa melakukan amputasi.
“Tak sangka lebam bertahun-tahun hingga jadi luka rupanya signal awal kanser. Lebam yang tak sakit tanpa demam dan tak ada tanda-tanda lain,” tulisnya.
Lebih mengharukan bila mana ibu kepada dua anak sempat meluangkan masa bersama anak sulungnya sebelum memotong kaki.
“Sebelum kejadian potong kaki akibat kanser. Waktu ini sedang mengandung 2 bulan dan bergembira dengan anak sulung. Hari ke-5 selepas potong kaki, baru belajar berjalan menggunakan tongkat.
“Waktu ini usia kandungan baru 28 minggu. Bius separuh badan memang terasa kaki ditarik hingga putus dan bayi dalam kandungan bergerak-gerak.
“Genap 37 minggu lahirlah hero kedua secara elektif czer,” luahnya menerusi video pendek itu.
Ibu yang kelihatan cukup ceria dan bersemangat ini juga turut meluahkan rasa syukur kepada Allah kerana keputusan untuk menyelamatkan kandungan berbanding kaki adalah keputusan yang tepat malah membahagiakan dirinya.
“Alhamdulillah keputusan pilih selamatkan kandungan daripada kaki adalah keputusan yang membahagiakan.
“Tak pernah menyesal. Ujian tanda Allah sayang. Manusia pasti akan diuji oleh Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan,” katanya.
Hari pertama persekolahan Tahun 1 selalunya penuh dengan momen manis dan emosi. Anak pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah, ibu bapa pula teruja nak menemani, ambil gambar dan pastikan anak selesa di persekitaran baharu.
Namun, dalam keterujaan itu, ada segelintir ibu bapa yang terlupa tentang batasan dan hak murid lain. Isu ibu bapa berlonggok di kantin sekolah ini sebenarnya bukan perkara baharu, malah berulang hampir setiap tahun.
Menerusi satu perkongsian, seorang bapa meluahkan rasa kecewa apabila anak gadisnya yang berusia 12 tahun mengadu situasi yang sama berulang saban tahun.
Setiap kali sesi persekolahan baharu bermula, khususnya melibatkan murid Tahun 1, kawasan kantin sekolah akan dipenuhi ibu bapa. Ada yang berdiri rapat di tempat murid beratur, ada yang menunggu anak makan, malah ada yang terus duduk di meja kantin.
Akibatnya, murid-murid lain tidak mempunyai ruang untuk berehat dan makan dengan selesa.
Apa yang lebih menyedihkan, anak kepada bapa tersebut terpaksa duduk berehat di tepi longkang kantin kerana semua tempat duduk dipenuhi oleh ibu bapa yang menunggu anak masing-masing.
Situasi ini jelas menunjukkan bagaimana sikap ibu bapa berlonggok di kantin sekolah boleh memberi kesan langsung kepada murid lain yang tidak bersalah.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian pendidik terkenal, Mohd Fadli Salleh. Beliau menyatakan rasa terkejut kerana masih ada ibu bapa yang tidak mempunyai common sense dalam persekitaran sekolah.
Menurut beliau, kehadiran ibu bapa bukan sekadar seorang dua, malah ada yang membawa satu keluarga lengkap adik-beradik, atok dan nenek semata-mata untuk menunggu seorang anak makan.
Ada lagi perangai parents suka duduk kat meja kantin masa rehat murid.
Tak ada common sense langsung. Dah la sekolah tu baik benarkan parents masuk ajsr anak membeli, pantau anak hari-hari awal persekolahan ni. Dah bagi kebenaran khas ditibai ambil hak murid-murid lain pula.
Memang patut la kebanyakan sekolah dah tak benarkan mak ayah masuk ke sekolah walau hari pertama. Puncanya segolongan macam ni lah.
Budak sampai rehat dan makan tepi longkang kerana mak ayah murid tahun 1 duduk di meja kantin tunggu anak dia makan. Siap pakej bawak semua ahli keluarga, adik beradik, atok nenek tunggu anak makan.
Adoi la. Ingatkan 2026 dah tak berulang dah peristiwa ini. Rupanya masih ada.
Bawak-bawak la fikir tentang orang lain juga. Jangan dok pentingkan diri sendiri dan anak sendiri sahaja.
Sekolah sebenarnya bertolak ansur dengan membenarkan ibu bapa masuk pada hari-hari awal persekolahan bagi membantu anak menyesuaikan diri. Namun, sikap ibu bapa berlonggok di kantin sekolah ini seolah-olah mengambil kesempatan sehingga mengganggu hak murid lain.
Lebih mengecewakan, ada ibu bapa yang terus duduk di meja kantin ketika waktu rehat murid.
Tidak hairanlah jika kini banyak sekolah memilih untuk tidak membenarkan ibu bapa masuk ke kawasan sekolah walaupun pada hari pertama. Larangan ini bukan dibuat tanpa sebab, tetapi berpunca daripada segelintir ibu bapa yang terlalu mementingkan anak sendiri.
Akibat sikap ini, ada murid yang terpaksa makan dan berehat di tempat yang tidak sepatutnya.
Isu ibu bapa berlonggok di kantin sekolah sepatutnya membuka mata semua pihak. Sekolah adalah ruang bersama, dan setiap murid mempunyai hak yang sama untuk makan, berehat dan belajar dengan tenang.
Pesanan Mohd Fadli Salleh jelas lakukan yang terbaik untuk anak, tetapi jangan sampai mengganggu hak orang lain.
Hari pertama sekolah bukan hanya tentang anak kita, tetapi tentang semua anak yang sedang belajar berdikari. Bertimbang rasalah dalam bertindak, kerana sedikit keprihatinan mampu mengelakkan orang lain daripada menjadi mangsa.