Setiap pasangan yang berkahwin pasti mendambakan penyeri dalam rumah tangga. Jika dikurniakan cahaya mata, pasti sesebuah perkahwinan itu terasa lengkap dan menjadi penguat kasih sayang antara suami dan isteri.
Begitu juga dengan pasangan muda, Eyra Hazali dan Haziq Nadzli. Baru-baru ini aktres tersebut telah memuat naik sebuah video di saluran Youtube mereka untuk mengumumkan dirinya hamil.
Di dalam video tersebut dapat dilihat Eyra membuat ujian kehamilan dan didapati hamil. Merancang untuk membuat kejutan untuk suaminya, Eyra memberitahu kononnya mereka diberikan hadiah sempena perkahwinan mereka.
Di dalam kotak hadiah tersebut ada sekeping kad yang meminta Eyra dan Haziq untuk membuka dua buah kotak lain di dalamnya. Apabila tiba giliran untuk membuka kotak hadiah Eyra, Haziq mendapati ada dua alat ujian kehamilan.
Ads
Terkejut dengan hadiah tersebut dan ketika melihat keputusannya positif, Haziq bertanyakan kepada Eyra milik siapakah alat ujian kehamilan tersebut. “That’s mine, Baby,” jawab Eyra.
Ads
Teruja dengan berita itu, Haziq melahirkan rasa syukurnya. Sesiapa yang menonton pasti akan mengalirkan air mata gembira melihat pasangan ini saling berpeluk kerana Eyra hamil.
Ads
Pa&Ma mengucapkan tahniah kepada pasangan ini dan berharap agar fasa kehamilan Eyra dipermudahkan.
Tapi pernah tak anda terfikir kenapa lain ibu hamil, lain stikernya? Ada warna merah, kuning, hijau dan putih. Anda tahu tak apa maksud warna stiker di buku pemeriksaan ibu hamil tersebut?
Penjelasan lengkap oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Kementerian Kesihatan Malaysia ini dapat membantu anda lebih memahami apa maksud warna stiker tersebut.
Sistem ini mempunyai penggunaan 4 tag warna. Penentuan tag warna ini adalah berdasarkan kepada penilaian faktor risiko ibu semasa lawatan ke klinik/rumah.
TAG MERAH – Rujukan segera ke Hospital dan pengendalian selanjutnya adalah bersama (shared care) Pakar O&G dan Pakar Perubatan Keluarga
TAG KUNING – Rujukan untuk pengendalian oleh Pakar O&G Hospital/Pakar Perubatan Keluarga, dan penjagaan selanjutnya boleh dilakukan bersama (shared care) Pegawai Perubatan dan Jururawat Kesihatan
TAG HIJAU – Pengendalian di Klinik Kesihatan oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan dan pengendalian selanjutnya boleh dilakukan bersama Jururawat Kesihatan/Jururawat Masyarakat di bawah pengawasan Pegawai Perubatan
TAG PUTIH – Penjagaan oleh Jururawat Kesihatan/Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan dan Klinik Desa (sekiranya tiada terdapat faktor risiko yang disenaraikan dalam kod merah, kuning dan hijau, ibu diberi kod warna putih)
Di dalam situasi yang tertentu khususnya di kawasan pedalaman, di mana tidak terdapat Pegawai Perubatan, pengendalian boleh dilakukan oleh Jururawat Kesihatan/ Jururawat Masyarakat dengan pengawasan dari Pegawai Perubatan yang terdekat atau mudah dihubungi.
Okay sekarang tengok buku pink memasing. Tengok Tag kaler apa yang tertampal pada bucu kanan atas buku tu. ada tak?
kalau ada, kaji /Tanya doktor kenapa anda di berikan kod warna sedemikian ?
Sekarang ini sedang heboh berita pil perancang menyebabkan kanser serviks. Apabila media mengambil maklumat secara selektif dan menyiarkannya tanpa mendapatkan maklumbalas daripada pakar tentang kesan berita yang mereka siarkan, maka orang ramai jadi panik dan takut.
Berita yang berat sebelah itu akan menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Berdasarkan perkongsian dari Pakar Perunding Kanan O&G, Dato Dr Mohd Rushdan Md Noor, ada beberapa info yang mungkin wanita tidak jelas mengenai pil perancang ini sehingga memberi tanggapan negatif secara keseluruhannya.
Saya dengar ramai wanita berhenti serta merta pil perancang apabila membaca berita ini. Saya akan cuba kupas isu ini daripada sudut yang lebih luas.
Apa-apa sahaja ubat dan kaedah rawatan ada baik dan buruknya. Doktor yang merawat akan membuat pertimbangan manfaat dan mudarat. Sesuatu tindakan akan disyorkan jika manfaatnya lebih daripada mudarat. Hatta dalam apa sahaja kehidupan kita, inilah prinsip yang kita gunakan utk melakukan sesuatu ataupun tidak melakukan sesuatu. Saya pernah menulis bahawa menarik nafas pun ada risiko tetapi utk hidup kita perlu lakukan juga.
Amalan merancang keluarga mempunyai banyak manfaat samada manfaat yang berkaitan dengan merancang keluarga ataupun manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga kerana ubat pil perancang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat banyak masalah kesihatan wanita.
Amalan merancang keluarga terutama pil perancang membawa manfaat menjarakkan kehamilan, menghalang kehamilan tidak dirancang (contoh: kes rogol, wanita yang menghidap penyakit serius) dan memberi manfaat kepada anak. Hasil daripada kaedah merancang keluarga, kadar kematian ibu dan anak dapat dikurangkan. Kehamilan yang tidak dirancang seringkali membawa masalah kepada ibu, anak dan keluarga. Pil perancang juga menurunkan kadar kejadian pengguguran haram dan juga masalah kehamilan remaja yang semakin membimbangkan.
Amalan pil perancang juga mempunyai banyak lagi manfaat iaitu mengurangkan masalah haid seperti senggut, haid yang tidak tetap, haid yang banyak dan juga haid yang tidak teratur. Pil perancang boleh digunakan untuk merawat masalah hormon lelaki yang berlebihan, sindrom pramenstrual, mengurangkan kejadian sista ovari, mengurangkan gejala endometriosis, mengurangkan risiko jangkitan pelvis, mengurangkan risiko fibroid, mengurangkan risiko rheumatoid arthritis, meningkatkan densiti tulang, mengurangkan gejala asma, menurunkan risiko prakanser Rahim dan beberapa lagi manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga (“non-contraceptive benefits”. Pendek kata, pil perancang juga boleh digunakan sebagai ubat untuk mencegah dan merawat pelbagai masalah kesihatan wanita.
PIL PERANCANG DAN KANSER
Mari kita lihat fakta mengenai pil perancang dengan risiko menghidap kanser. Memang terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan bahawa pengamal pil perancang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara dan kanser servik. Walau bagaimanapun kajian ini adalah kajian “observational” yang tidak boleh digunakan sebagai bukti yang kukuh.
Perkara kedua adalah pil perancang bukan penyebab kanser tetapi faktor sampingan yang menaikkan risiko. Kanser serviks disebabkan oleh jangkitan virus HPV, manakala punca kanser payudara masih belum diketahui. Seseorang yang tidak terdedah kepada jangkitan virus HPV, contohnya wanita yang belum berkahwin (belum melakukan hubungan kelamin), tidak mungkin akan menghidap kanser serviks walaupun mengambil pil perancang seumur hidupnya. Di samping itu pula risiko kanser payudara hanya dikaitkan dengan pil perancang jenis triphasic dan bukan daripada jenis yang sering digunakan oleh wanita kita. Peningkatan risiko kanser serviks hanyalah 7% ,manakala kanser payudara pula dalam lingkungan 24%.
Peningkatan yang sebanyak ini sebenarnya adalah sangat rendah. Contohnya risiko kanser payudara di Malaysia adalah 23 bagi 100,000 orang, maka meningkat 24% bermaksud tambahan lebih kurang 6 kes iaitu daripada 23 kepada 29 kes bagi setiap 100,000 orang. Dengan perkataan lain hanya tambahan 6 kes untuk setiap 100,000 orang. Kadar peningkatan kanser serviks jauh lebih rendah dan memandangkan insiden kanser serviks lebih rendah daripada kanser payudara, maka peningkatan sebanyak 7% itu dianggap terlalu kecil.
Kebanyakan kajian mengenai pil perancang ini hanya tertumpu kepada pil yang mengandungi dua hormon iaitu estrogen dan progesterone. Manakala pil yang mengandungi hanya progesterone sahaja seperti provera, noriday dan lain-lain tidak dikaitkan dengan risiko kanser.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kajian menunjukkan pengambilan pil perancang MENURUNKAN RISIKO 3 jenis kanser iaitu KANSER RAHIM (ENDOMETRIUM), KANSER OVARI DAN KANSER USUS BESAR. Pengambilan pil perancang keluarga menurunkan risiko kanser Rahim sebanyak 30%, menurunkan risiko kanser ovary sebanyak 30-50% dan menurunkan risiko kanser usus besar sebanyak 15-20%. Manfaat mengurangkan risiko kanser ovary juga akan diperolehi oleh wanita-wanita yang mempunyai mutasi gene BRCA 1 / 2 yang dikaitkan dengan kanser keturunan. Kajian menunjukkan bahawa kesan manfaat menurunkan risiko 3 jenis kanser ini berterusan walaupun pil perancang tidak lagi diamalkan.
Jangka masa manfaat itu (menurunkan risiko kanser Rahim, ovary dan usus besar) didapati lebih lama daripada yang dibawa oleh pemberhentian pil perancang untuk tujuan menurunkan risiko kanser payudara dan serviks. Ini bermaksud manfaat menurunkan risiko kanser Rahim, ovari dan usus besar lebih besar daripada mudarat akibat kanser payudara dan serviks. Tambahan pula, kanser payudara dan kanser serviks diketahui mempunyai kaedah pencegahan dan saringan yang sangat berkesan. Sedangkan tidak ada kaedah pencegahan dan saringan yang berkesan untuk kanser ovari dan kanser rahim. Kanser ovari adalah di antara kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal dan sukar diubati, begitu juga dengan kanser usus besar.
Berpandukan kepada fakta-fakta di atas, jelas bahawa pengambilan pil perancang mempunyai sangat banyak manfaat berbanding dengan mudarat jika sekiranya diamalkan oleh wanita yang telah disyorkan. Hasil kajian berkenaan dengan pil perancang dan risiko kanser serviks serta payudara tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh kaum wanita untuk menolak terus pengambilan pil perancang jika sekiranya ianya telah disyorkan oleh doktor.
Perhatikan manfaat yang bakal anda perolehi. Apa yang paling penting adalah anda telah mendapat nasihat daripada doktor mengenai keputusan untuk memilih pil perancang sebagai kaedah merancang keluarga. Doktor yang memberikan nasihat kepada anda itu tentu telah membuat pertimbangan yang tepat sebelum membenarkan anda menggunakan pil perancang. Amalan pil perancang dan menghadiri lawatan susulan memberi peluang kepada anda untuk melakukan saringan kesihatan termasuk saringan kanser dengan lebih konsisten.
Jadi buntu dibuatnya bila asyik berfikir hendak tambah anak. Tambah pula jarak anak pertama begitu jauh jaraknya. Lama-lama jadi stres bila memikirkannya kenapa masih tak hamil lagi.
Jangan terlalu stress dan memikirkan hendak hamil setiap masa. Inilah yang dikongsikan oleh Dr. Erna Nadia sebagai panduan untuk cepat hamil. Paling penting jangan stres!
Tips untuk mengandung yang saya bagi pada kawan saya tu memang selalu saya bagi pada pesakit pesakit yang datang klinik.
Kawan saya dah 6 tahun kahwin dan masih ttc. Dia pernah cuba iui, ivf tapi masih belum ada rezeki waktu tu. Dia tak ada sebarang masalah kesihatan, suaminya pun sama.
Nasihat yang saya bagi sangat simple:
1. Jangan stress Ini yang paling penyumbang faktor kenapa sukar hamil untuk sesetengah orang. Stress dari pelbagai sudut. Stress sebab mulut orang yang asyik tanya bila nak ada anak, stress sebab kerja, stress sebab hal hal lain.
Bila asyik tertekan, dan asyik pula ikut kalender ok waktu ni subur, kita mesti on. Pasangan pun akan jadi malas atau hubungan jadi kurang intim. Bukan tidak sayang tapi sebab stress buatkan hubungan tersebut jadi kurang ‘natural’.
Sebab itu benda pertama yang anda perlu lakukan adalah duduk diam diam dan fikir apa penyebab stress dan cuba elakkan/selesaikan.
Jangan asyik fikir mengandung. Bila asyik harap begini, memang akan bertambah stress bila setiap kali period, datang period.
Kawan saya ni, dia sebenarnya dah jadi kurang berfikir dan dia terfikir untuk ambil anak angkat tapi tak sangka Alhamdulillah ada rezeki dia dan suami.
2. Dapatkan berat badan ideal. Kawan saya berjaya dapat bmi ideal tahun lepas bulan 11. Dari bmi 29, jadi bmi 24.
Jika anda/pasangan masalah berat badan berlebihan, cuba dua dua berusaha dapatkan berat badan yang ideal dan sihat. InshaAllah mudah lekat.
3. Tukar habit jadi sihat. Saya cuma nasihat untuk dia ubah gaya hidup. Tak sangka dia betul betul buat. Jarang makan fast food dan dah banyak beriadah. Kalau tak sebelum ni, asyik nak lepak berjalan sahaja, lepas dia tanam azam untuk sihat dan kurus, dia betul betul ubah gaya hidup dia.
4. Pergi bercuti. Ini sangat jarang orang buat dengan betul. Bercuti dengan sebenar benar cuti tanpa gangguan. Kadang tu kita bercuti tapi kita sibuk dengan gajet kita, sibuk dengan dunia dunia luar selain kita dan pasangan.
Jika anda pergi bercuti bersama pasangan, make it the most romantic ever. Sebab bukan selalu kita dapat bercuti.
Masa cuti tu janganlah asyik fikir ok kali ni mesti buat betul betul supaya preggy. Hilangkan pemikiran ini. Tenangkan diri anda.
5. Buat solat taubat dan hajat Kita ni memang banyak dosa dosa yang kita sedar dan tak sedar. Mohon ampun dan maafkan sahaja sesiapa yang dah buat salah pada kita.
Ini pun salah satu sumber ketenangan dalam kita sedar tak sedar. Itu sahaja yang saya pesan pada dia.
Nasihat tambahan lagi satu ni saya pun taktahu berkesan atau tidak,‘Bersamalah’ suami waktu pagi pagi masa awal awal bangun tidur.
Waktu itu anda dan pasangan lebih rileks dan kurang tekanan di samping suasana sekeliling yang tenang. Jadi setiap kali sebelum tidur, pastikan tidur dengan hati yang tenang dan rileks juga. Tentang posisi atau apa, itu semua bergantunglah pada anda.
Saya dulu, masa nak dapat anak nombor dua (6 tahun juga tunggu), saya selalu bagi kucing jalanan makan. Setiap kali bagi makan, saya akan cakap dengan kucing tu untuk doakan saya dapat baby.
Saya rasa apa apa sahaja kebaikan yang kita buat, akan ada hati hati yang mendoakan kita, hatta haiwan sekalipun. Maka, jomlah jadi baik dan comel.
Yang penting setiap kali lepas solat, mohon sahaja doa pada Allah untuk berikan yang terbaik untuk kita. Percayalah rezeki kita belum sampai lagi sebab Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita. Sama ada untuk jadikan lebih baik dan lebih sabar.
Jodoh, anak, rezeki, ajal semua ini hanya Allah sahaja yang tahu. Jangan pertikaikan. Ada, bersyukur, tak ada pun perlu bersyukur.
Jika anda ada masalah yang sama, buat pemeriksaan kesihatan. Jika ada masalah, ikuti rawatan sehingga selesai. Jika tiada masalah kesihatan, cubalah tips di atas.
Yang penting, tak perlu bazir di atas sesuatu yang tidak perlu. Saya doakan semoga yang masih ttc akan rezeki mendapat cahaya mata nanti dan semoga kita semua sihat sihat dan comel comel saja🤍.
Pemilihan makanan sebelum bersalin sangat penting untuk membekalkan tenaga, mengelakkan keletihan dan membantu ibu melalui proses kelahiran dengan lebih selamat.