Tak disangka-sangka seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun melalui detik menakutkan apabila diserang biawak di sebuah chalet di Kampung Salang, Pulau Tioman.
Kejadian 12 tengah hari itu menyebabkan kaki kanan Faliq Iman Mohd Fadhirul Izwan luka selepas reptilia sepanjang 1.5 meter itu menggigit kakinya.
Bapanya, Mohd Fadhirul Izwan Mat Saridan, 34, berkata, chalet itu milik bapa saudaranya dan dia bertugas sebagai pengurus di situ.
Katanya, sebelum kejadian dia melihat anak tunggalnya itu berada di bawah kaunter pendaftaran chalet sambil bermain telefon bimbit sebelum dia masuk ke pejabat.
Ads
“Tidak lama kemudian saya terdengar Faliq menangis dan bergegas keluar sebelum ternampak seekor biawak sedang menggigit kaki kanan anak saya.
“Saya cuba menghalaunya namun reptilia itu tetap menggigit kaki Faliq, saya kemudiannya memijak haiwan itu dua kali barulah reptilia itu melepaskan gigitan dan melarikan diri,” katanya.
Trauma selepas digigit
Ads
Katanya, dia terus membalut kaki Faliq dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Tekek dan doktor memaklumkan kesan kecederaan agak serius dan memintanya membawa Faliq ke hospital.
Menurutnya, selepas kejadian itu anaknya kelihatan trauma dan berulang kali menyebut ‘Faliq takut biawak’ setiap kali bertanyakan mengenai kejadian itu.
Mohd Fadhirul Izwan berkata, sebelum ini sudah beberapa kali reptilia itu ‘menceroboh’ chalet namun dia dan beberapa pekerja lain hanya menghalaunya.
“Mungkin biawak itu masuk ke chalet untuk mencari makanan kerana di sekitar kawasan chalet ini banyak kucing terbiar.
Ads
“Bagaimanapun saya tidak menyangka kali ini biawak itu berani menyerang manusia dan anak saya pula menjadi mangsa,” katanya.
Difahamkan Faliq Iman kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuantan.
Kejadian itu kali kedua berlaku di pulau peranginan berkenaan selepas bayi perempuan berusia lapan bulan parah apabila dibaham reptilia itu pada 23 September 2014.
Seramai 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa antara usia empat hingga 30-an melecur apabila belon helium yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya pada Sabtu meletup.
Mereka yang terjejas dalam insiden 11.30 pagi itu adalah peserta dan pengunjung ke program kecergasan Kementerian Pendidikan.
Lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua dan yang lain telah dibenarkan pulang.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang dewasa yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.
“Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu selesai kira-kira 11 pagi iaitu sewaktu sedang berkemas.
Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar. Pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.
Rosly berkata sehingga kini, masih belum ada pihak tampil untuk membuat laporan berhubung insiden itu.
Beliau berkata wakil penganjur atau mangsa boleh membuat laporan untuk membolehkan polis memulakan siasatan.
“Setakat ini belum ada sesiapa yang ditahan untuk siasatan,”katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan berkata tiada mangsa yang kritikal.
“Mangsa mengalami luka terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang dikening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan,”katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat mangsa di Hospital Putrajaya.
Dr Wan Azizah ketika ditemui berkata ada mangsa kanak-kanak yang ditemuinya trauma dengan kejadian itu sehingga tidak mampu untuk bercakap.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu dari segi kaunseling kepada mangsa.
“Sedih tragedi sudah berlaku di tempat yang sepatutnya ada temasya,” katanya.-BERNAMA
Kredit Foto: BH Online
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tular satu video di mana seorang bapa menolak anak jatuh dari stroller kemudian melenyek anaknya dengan menggunakan stroller tersebut. Dalam rakaman video itu, jelas kedengaran suara anaknya menangis dan tantrum.
Video tular ini yang tidak dapat dikenalpasti lokasinya telah mencetuskan kemarahan netizen. Rata-rata menggunakan tanda pagar #PDRM dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan keatas bapa ini. Memang sangat jelas kekasaran yang dilakukan ke atas anak kecil tersebut. Daripada video itu, anggaran umur anak berusia 2 tahun lebih – 4 tahun.
Perilaku keganasan seperti itu sememangnya salah dan tidak patut berlaku lebih-lebih lagi di tempat awam. Ibu bapa harus faham, anak yang tantrum sebenarnya cara mereka berkomunikasi dan tantrum di kalangan kanak-kanak adalah normal kecuali anak tersebut menunjukkan sikap abnormal seperti mencederakan diri sendiri.
Bagi ibu bapa yang kurang memahami apa itu tantrum dalam kalangan anak kecil, ikut perkongsian daripada Doc Abdul Rahim Nor.
ILMU TANTRUM. Artikel 1126.
“Mengapa anak/cucu anda Tantrum? Macamana Nak Mengatasi Tantrum Anak/Cucu Anda?”
Anda mesti ada bekal SEDIKIT ILMU ni sebelum anda bertindak jika anda hadapi anak/cucu yang TANTRUM!!
A. Anda boleh tak CONTROL emosion kita bila anak/cucu TANTRUM depan anda di khalayak ramai? Rasa macam nak tampaq/balun ke? Nak pujuk ke? Nak biar je ke? atau rasa nak cekek je……. Jangan jadi kes berat pula tu.
B. Tantrum ni adalah keadaan ketika anak/cucu anda meluahkan EMOSI geram & frustration dengan cara:
1.SUARA: seperti menangis kuat-kuat, atau kata-kata kasar dan lain-lain
2.PHYSIKAL: berguling-guling di lantai, pukul-pukul atas lantai, menghentak-hentak kaki, meronta-ronta, melempar barang dan lain-lain
Hal ni pasti buat anda akan stres dan hilang pertimbangan. Tapi JANGAN TERKEJUT, sebenarnya TANTRUM ni NORMAL rupanya DAN sebagian dari proses perkembangan otak, physikal dan naluri anak/cucu kita.
C. Ilmu doc nak share-share dengan uoll:
1. Tantrum dialami oleh anak/cucu anda di usia 1-4 tahun. Ketika anak/cucu melepaskan perasaan mereka, kita sebgai ibubapa JANGAN pula terikut emosi, panas baran atau naik angin atau naik tangan pula…. nanti ANDA PULA YG TANTRUM!!! bukan anak/cucu anak. Ingat TANTRUM pada anak-anak NORMAL. Tapi ada batas-batasnya. Kalau tantrum dari orang DEWASA macam doktor atau anda ni, ABNORMAL la.
2. Sebab utama Tantrum pada anak/cucu kita kerana terbatasnya mengungkap bahasa untuk mereka luah expressi/perasaan/kehendak mereka. Mereka tak tahu nak explain apa yang sebenarnya mereka hendaki kepada kita dengan kata-kata. Tata bahasa mereka masih cetek. Mereka akan luah perasaan mereka dengan menangis, menjerit, meronta, mengulingguling atau hentak kakitangan ke lantai dan lain-lain.
3. Ada tantrum/mengamuk di lakukan kanak-kanak tersebut sebab mereka tahu dengan cara begitu mereka mendapat perhatian kita lalu dapat apa yg mereka inginkan. Atau dengan cara itu mereka beri tahu yang mereka tak setuju dengan cara atau dengan kata-kata kita. Mereka akan ulang perbuatan ni selalu. Maka JANGAN biar ia berterusan, takut-takut menjadi kebiasaan atau tabiat buruk hingga umur dewasa.
4. Kita perlu tau, ukuran & kemantangan otak kita 50% pada umur 1 tahun, 80% ketika 3 tahun, 90% pada umur 5 tahun. Fully mature umur 25 tahun. Maka kefahaman, vocabulary & kematangan kanak-kanak amat cetek berbanding kita. Jangan anda fikir, kanak-kanak berfikiran macam anda. Hadapi Tantrum anak/cucu kita dgn BIJAKSANA.
5. Jenis Tantrum yang mendera atau melukakan diri sendiri oleh kanak-kanak amat membahayakan diri mereka seperti menghantuk kepala mereka di lantai. Boleh akibatkan perdarahan dalam kepala atau otak. Atau meluka/megigitkan diri, amat menyedihkan.
6. Kerap berlaku tantrum pada kanak-kanak yang ada gangguan peribadi, masalah psikology depressi, autisme, deslexia, dan lain-lain.
D. Cara-cara menghentikan tantrum pada anak:
1. Cuba tenangkan diri, take it easy & relax je.
Ketika anak uoll tantrum, kita kenalah relaxkan emosi kita yang geram supaya tak melonjak naik dan jangan balas MENYALAK atau memaksa anak menghentikan amukannya atau tangankan mereka. Sepatutnya kita COOL DOWN diri kita dulu & bawa anak/cucu ke tempat yang lebih sepi untk tenangkan emosinya. Kita perlu TAHAP KESABARAN YANG TINGGI MENGHADAPI anak yang tantrum ni.
2. Cuba cari penyebab mengapa anak/cucu tu tantrum ketika tu?
– Mungkin kehendak mereka kita tak penuhi.
– Kemungkinan kelaparan.
– Mereka letih & mengantuk tapi susah mereka khabarkan kepada kita kerana belum pandai memberitahu kehendak mereka. Baru lah mudah kita atasi tantrum mereka.
3. Alihkan perhatian anak/cucu anda.
Ibu bapa patut mengalihkan perhatian mereka ketika mereka tantrum. Focusing mereka sangat mudah beralih kepada sesuatu yang lebih tertarik atau sesuatu yang baru. Beri mainan kesukaan seperti belon, main bubble dan lain-lain atau mknan kesukaan mereka ketika mereka tantrum.
4. Jangan biar saja anak/cucu tantrum seorang diri sehingga keletihan kerana emosi mereka akan lebih tertekan & rasa diri mereka tak dipedulikan atau tak dikasihi oleh anda.
5. Jangan memukul anak/cucu anda.
Ketika mereka tantrum, jangan tangan-tangankan, memukul atau mencubit mereka. Sebaliknya kita sepatutnya memeluk atau mencium mereka untuk menenangkan emosinya yang mereka anggap anda ambil peduli & mencintai mereka.
E. Cubaan-cubaan yang dibuat ibu bapa terkini bila anak/cucu mereka tantrum: Anda boleh cuba:
1.Ada yang cuba MENGAJUK tantrum anak/cucu bersama mereka. Mereka berhenti tantrum tu dengan tiba-tiba. Mungkin mereka rasa heran/pelik, kita pun boleh “Pura2” buat tantrum tu kerana mereka pun “pura-pura” buat tantrum untuk ambil perhatian je.
2. Kebanyakan ambil video anak/cucu tantrum. Bila ditunjuk kepada mereka, mereka berasa malu, lalu berhenti tabiat tersebut.
F. Nasihat doktor: Kalau tantrum anak/cucu anda kerap, berpanjangan/lama, nampak pelik dari normal, atau anak/cucu mendera atau menyakiti diri mereka sendiri atau orang lain, elok consult pakar paediatrik perilaku anak/cucu ni. Kemungkinan anak/cucu ni ada penyakit sampingan seperti penyakit gangguan peribadi, masalah psikology depressi, autisme, deslexia, deprexia, pathologi, gangguan otak & emosi, autism dan lain-lain. Rawatannya bergantung pada penyakitnya.
Sumber: Doc Abdul Rahim Nor
#KlinikAbdulRahim
2-D Pangsapuri Garuda,
11900 Bayan Lepas,
Penang.
Tel:04-6444181
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Akibat kedegilan sesetengah rakyat malaysia, Perdana Menteri malam ini menjelaskan sebab-sebab kenapa perintah kawalan pergerakan dikeluarkan. Ikuti perutusan yang disampaikan oleh beliau.
PERUTUSAN YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN PERDANA MENTERI 18 Mac 2020
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya hormati.
Pada malam ini, saya sekali lagi berdiri di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan status terkini wabak COVID 19 di negara kita. Hari ini terdapat 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID 19 sebanyak 790.
Ini bukanlah perkembangan yang menggembirakan kita. Langkahlangkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.
Kerana itulah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada hari ini. Saya ingin menjelaskan tujuan kerajaan melaksanakan perintah ini. Kenapa sekolah, universiti dan sebahagian pejabat, premis perniagaan
dan kilang ditutup.
Tujuannya ialah supaya saudara-saudari tidak perlu bergerak ke sana sini. Saudara-saudari tidak perlu bersesak-sesak dalam LRT, MRT atau bas untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari. Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19.
Selama tempoh dua minggu ini, saudara-saudari dan anak-anak hanya perlu berada di rumah. Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana. Dengan cara ini saudara-saudari terhindar daripada jangkitan COVID 19 dan penularan wabak ini insyaAllah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.
Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family.
Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.
Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur.
Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja.
Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan.
Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu?
Ini kerana COVID 19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu. Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19.
Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus COVID-19 dengan berada di rumah.
Saudara-saudari,
Virus ini berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan. Kalau saudari-saudari bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.
Kerana itu kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya anakanak kita tidak perlu pergi ke sekolah. Jadi mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID19. Saudara-saudari juga tidak perlu ke tempat kerja supaya saudarasaudari tidak bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini. Inilah tujuannya.
Tetapi jika saudara-saudari masih bergerak ke sana sini, kemungkinan saudara-saudari bersentuhan dengan orang lain dan mendapat jangkitan wabak ini adalah tinggi.
Jadi, tolonglah. Saya merayu sekali lagi. Duduklah diam-diam di rumah. Stay at home and protect yourself and your family. Saudara-saudari mungkin bertanya. Kalau duduk di rumah sahaja, bagaimana dengan keperluan harian? Bolehkah pergi ke pasar? Atau kedai makan?
Jawapannya boleh. Pasar masih dibuka. Tetapi amalkan penjagaan kesihatan yang rapi. Elakkan bersentuhan dengan cara menjarakkan diri anda daripada orang lain dan sentiasa bersihkan diri. Basuh tangan dengan menggunakan sabun atau hand sanitizer. Kalau boleh mandi dengan lebih kerap supaya badan sentiasa bersih.
Kedai makan juga dibuka. Tetapi untuk mengelakkan risiko jangkitan, saudara-saudari tidak dibenarkan makan di kedai. Pesan makanan, bungkus dan bawa balik ke rumah. Atau lebih baik gunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah atau home food delivery service.
Dengan cara ini, saudara-saudari tidak perlu keluar dari rumah untuk membeli makanan.
Jangan pula gunakan peluang dua minggu ini untuk lepak di kedai mamak. Jangan saudara-saudari. Ini akan meningkatkan risiko jangkitan. Elakkan melepak dengan kawan-kawan di restoran, di kopitiam, di pusat hiburan atau di mana-mana tempat yang boleh mendedahkan
Saudara saudari kepada jangkitan wabak COVID-19. Di kampung-kampung saya tahu ini musim kenduri kahwin. Maklumlah cuti sekolah. Saya ingin mengingatkan saudara-saudari, termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah perhimpunan ramai, antaranya
kenduri kahwin.
Jadi, kepada ibu-bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan.
Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar yang sedang kita hadapi ini. Jangan malu, jangan segan.
Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah COVID 19. Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu.
Ini adalah antara perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil, tetapi amat penting untuk dilakukan. Prinsipnya mudah sahaja. Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diamdiam di rumah. Stay at home.
Nampak mudah dan remeh. Tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di negara kita.
Sebagai Perdana Menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan anda semua.
Saya memerlukan sokongan para doktor, jururawat, polis, semua penjawat awam, pekerja swasta, pelajar universiti dan saudara-saudari sekalian untuk membendung wabak COVID-19 daripada menular di negara kita.
InsyaAllah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran kita semua, saya berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya mengatasi krisis ini. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!