
Gambar Hiasan
Layanan berat sebelah dalam didik anak atau lebih dikenali sebagai favouritism dalam didik anak sering berlaku tanpa disedari oleh ibu bapa. Ada yang menganggap perbezaan layanan ini perkara kecil, namun kajian menunjukkan kesannya terhadap kesihatan mental anak-anak boleh menjadi serius dan berpanjangan sehingga ke alam dewasa.
Dalam sesebuah keluarga, anak-anak sangat peka terhadap cara mereka dilayan. Perhatian, pujian, sokongan emosi dan layanan harian yang tidak seimbang boleh membentuk persepsi bahawa ada anak yang lebih disayangi berbanding yang lain.
Pengalaman ini dikongsi oleh seorang wanita dikenali sebagai Kara. Sejak kecil, Kara merasakan ibu bapanya lebih memberi perhatian kepada adik-beradiknya yang lain. Mereka sering menerima layanan istimewa termasuk percutian keluarga, manakala Kara lebih banyak berdikari dan mengurus dirinya sendiri.
Pada awalnya, Kara cuba berfikir secara positif dengan menganggap ibu bapanya mungkin mempunyai kemampuan kewangan yang lebih baik apabila anak-anak yang lebih kecil membesar. Namun, apabila corak favouritism dalam didik anak itu berterusan sehingga ke usia dewasa, persepsinya mula berubah.
“Ketika itu saya sedar, mungkin ini bukan kebetulan. Mungkin memang ada anak yang sentiasa menjadi kegemaran,” katanya. Luka emosi yang dialami itu diakui sukar dilupakan walaupun usia semakin meningkat.
Kajian psikologi perkembangan kanak-kanak mengesahkan pengalaman seperti yang dialami Kara bukan kes terpencil. Kanak-kanak yang merasakan diri mereka kurang disayangi didapati lebih berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan, keyakinan diri rendah serta hubungan kekeluargaan yang renggang.
Pakar hubungan adik-beradik dari Universiti Northeastern, Laurie Kramer, menjelaskan bahawa kesan favouritism dalam didik anak boleh kekal sepanjang hayat. Menurut beliau, ramai individu dewasa masih mengingati dengan jelas pengalaman emosi yang berlaku ketika mereka berusia seawal lima tahun.
Dalam satu kajian jangka panjang oleh Profesor J. Jill Suitor dari Universiti Purdue yang melibatkan lebih 500 ibu dengan dua atau lebih anak dewasa, hampir dua pertiga ibu bapa didapati secara tidak langsung mempunyai anak kegemaran.
Menariknya, kajian itu mendapati anak perempuan lebih kerap menjadi anak kegemaran, walaupun tiada ciri khusus yang menjamin kedudukan tersebut. Pencapaian akademik atau kerjaya juga didapati tidak banyak mempengaruhi kecenderungan ini.
Namun, menurut Suitor, perkara paling penting bukanlah sama ada ibu bapa mengakui wujudnya favouritism dalam didik anak, tetapi bagaimana anak-anak mentafsir layanan yang mereka terima.
Dalam sesetengah keadaan, seorang anak mungkin menerima lebih perhatian kerana faktor usia, masalah pembelajaran atau keperluan khas tertentu. Apabila situasi ini dijelaskan dengan baik, anak-anak lain lebih mudah memahami dan kesan emosi negatif dapat dikurangkan.
Namun tanpa komunikasi yang jelas, anak boleh membesar dengan rasa tersisih, tidak dihargai dan merasakan diri mereka tidak cukup baik di mata ibu bapa.
Menjadi anak kegemaran bukanlah sesuatu yang sentiasa positif. Kanak-kanak yang sering menerima layanan istimewa juga boleh berasa tertekan, bersalah atau takut mengecewakan ibu bapa.
Pakar psikologi dari Universiti Utrecht, Susan Branje, menjelaskan bahawa kanak-kanak secara semula jadi mendambakan keadilan dalam hubungan kekeluargaan. Apabila keadilan itu tidak dirasai, kesannya boleh berpanjangan walaupun anak telah dewasa.
Lebih membimbangkan, kesan favouritism dalam didik anak tidak semestinya pudar dengan usia. Ada individu yang masih terkesan dengan kata-kata atau layanan ibu bapa puluhan tahun lalu, walaupun kini berada dalam usia 40-an atau 60-an.
Hakikat ini membuktikan betapa pentingnya kesedaran ibu bapa dalam mendidik anak-anak secara adil dan empati. Walaupun ibu bapa tidak sempurna, komunikasi terbuka, kepekaan emosi dan usaha memahami keperluan setiap anak mampu mengelakkan luka emosi berpanjangan.
Pa&Ma percaya, setiap anak berhak merasa disayangi, dihargai dan diterima sepenuhnya tanpa perbandingan.
BACA LAGI : Didik Anak Lelaki Dengan Lembut, Kekuatan Sebenar Dalam Keibubapaan Positif
SUMBER : The Star