
Gejala selepas bersalin bukan semuanya boleh dianggap normal. Selepas melahirkan anak, wanita memerlukan masa untuk memulihkan tenaga dan kembali sihat seperti biasa. Namun, dalam tempoh berpantang ini, ada perubahan pada tubuh yang perlu diberi perhatian.
Ada beberapa tanda atau gejala selepas bersalin yang perlu diberi perhatian kerana jika dibiarkan tanpa pemeriksaan dan rawatan, ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius, malah dalam keadaan tertentu boleh mengancam nyawa ibu.
Menurut perkongsian oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, terdapat 18 gejala selepas bersalin yang wanita tak boleh pandang ringan sama sekali. Jadi, ibu dan ahli keluarga yang menjaganya perlu peka dengan perubahan yang berlaku selepas kelahiran bayi.
Jika terdapat mana-mana tanda berikut, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk. Segera lakukan pemeriksaan jika wujud tanda-tanda ini.
Berikut antara perkongsian ilmu daripada beliau;
Gejala Selepas Bersalin Yang Tak Boleh Dipandang Ringan

Tanda paling bahaya:
1. Kehilangan banyak darah dengan tiba-tiba atau berterusan
Kehilangan banyak darah dengan tiba-tiba atau berterusan, termasuk darah beku.
2. Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan
Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan, mungkin kesan sampingan suntikan epidural, terutamanya ketika duduk atau berdiri.
3. Tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi bersama sakit kepala, penglihatan kabur atau berasa loya.
4. Sakit di bahagian atas abdomen
Sakit di bahagian atas abdomen mungkin mengalami sindrom HELLP, terutama jika berlaku kira-kira 48 jam selepas melahirkan, bersama tanda-tanda berasa amat penat, muntah dan berasa loya.
5. Nafas pendek
Nafas pendek selepas melakukan aktiviti seperti mendaki bukit. Dibimbangi mengalami masalah darah beku tersekat pada salah satu saluran darah di paru-paru (embolisme pulmonari).
6. Sakit dada
Sakit dada sama ada akibat jangkitan kuman pada paru-paru atau ketegangan otot akibat meneran semasa bersalin. Ia juga mungkin tanda embolisme pulmonari.
7. Sakit pada bahagian betis
Sakit pada bahagian betis mungkin akibat trombosis vena dalam (deep vein thrombosis – DVT). Ia adalah pembekuan darah pada vena dalam otot dan boleh membawa maut. Terutama jika ada tanda merah di pelipat dan rasa panas di bahagian tersebut.
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
8. Berkelakuan pelik atau mudah rasa gelisah
Kekacauan pemikiran, terlalu mudah rasa gelisah, kekeliruan dan delusi boleh jadi permulaan sejenis keadaan kesihatan yang jarang berlaku, dikenali sebagai psikosis postpartum.
9. Demam yang sangat panas
Demam yang sangat panas (38 darjah C), sama ada disertai dengan menggigil atau tidak. Ia adalah satu tanda jangkitan kuman terutama pada ruang antara vagina dan rektum (perineum), luka pembedahan caesar, saluran kencing atau di uterus (rahim) anda.
10. Tidak dapat membuang air kecil
Tidak dapat membuang air kecil dalam ENAM jam pertama selepas bersalin, antaranya akibat kesan suntikan epidural.
11. Lendiran faraj yang berbau busuk
Lendiran faraj yang berbau busuk mungkin akibat jangkitan pada rahim atau faraj.
12. Sakit perut yang luar biasa
Sakit perut yang luar biasa terutama pada sekeliling jahitan pembedahan caesarean.
13. Buasir yang teruk
Buasir yang teruk atau bengkak pada lubang dubur selepas bersalin.
14. Rasa letih dan tidak bersemangat
Rasa letih, tidak bersemangat, tidak menguruskan diri dan tidak berminat untuk berjumpa orang selepas beberapa hari bersalin. Ia mungkin tanda kemurungan selepas bersalin (meroyan).
15. Terlintas untuk membunuh diri
Jika terlintas untuk membunuh diri atau mencederakan diri, keadaan ini tidak boleh dipandang ringan dan bantuan perubatan perlu didapatkan dengan segera.
16. Sakit yang teruk pada perineum
Sakit yang teruk pada perineum, mungkin bersama air kencing yang memedihkan dan/atau berbau busuk, mungkin akibat jangkitan pada jahitan atau jangkitan saluran kencing.
17. Tidak dapat mengawal buang air besar
Najis keluar dengan sendiri dan tidak dapat dikawal dengan baik. Mungkin disebabkan oleh koyakan atau darah beku (haematoma) pada lubang dubur.
18. Sembelit selepas beberapa hari melahirkan anak
Sembelit selepas beberapa hari melahirkan anak juga perlu diberikan perhatian, terutama jika keadaan berpanjangan atau disertai gejala lain yang membimbangkan.
Penjagaan Selepas Bersalin Juga Perlu Diberi Perhatian
Kebiasaannya orang Melayu akan melakukan beberapa pantang dan pengambilan herba untuk mengembalikan tenaga dan mempercepatkan kesembuhan.
Antaranya Ekstrak Kacip Fatimah, Kunyit dan Madu selama tempoh ini. Minum air secukupnya dan makan makanan seimbang.
Walau bagaimanapun, penjagaan ketika berpantang tidak sepatutnya menyebabkan gejala selepas bersalin yang serius dianggap sebagai sebahagian daripada proses pemulihan biasa. Jika terdapat tanda yang membimbangkan, pemeriksaan daripada profesional kesihatan perlu diutamakan.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Gejala Selepas Bersalin: Jangan Anggap Semuanya Normal
Tempoh berpantang memang penting untuk membantu tubuh ibu mendapatkan semula tenaga selepas melalui proses kehamilan dan kelahiran. Tetapi, penjagaan selepas bersalin bukan hanya tentang makanan, pantang atau rehat semata-mata.
Ibu sendiri dan ahli keluarga perlu peka terhadap sebarang perubahan yang luar biasa. Pendarahan yang banyak, demam, sakit yang teruk, sesak nafas, sakit dada, perubahan emosi atau tingkah laku yang ketara bukan sesuatu yang wajar dipandang ringan.
Lebih-lebih lagi jika gejala selepas bersalin semakin teruk atau berlaku secara tiba-tiba. Jangan hanya tunggu dengan harapan ia akan pulih sendiri.
Jika ragu-ragu, lebih baik dapatkan pemeriksaan doktor. Kesihatan ibu selepas bersalin sama pentingnya dengan kesihatan bayi yang baru dilahirkan.
Dan paling penting, ibu tak perlu rasa bersalah untuk mendapatkan bantuan. Jaga bayi itu penting, tetapi ibu juga perlu dijaga.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Pendaftaran PERCUMA! Gayakan busana futuristik dan anak anda berpeluang memenangi wang tunai dan hamper istimewa. Daftar sekarang:
https://www.majalahpama.my/himpunan-generasi-futuristik/
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

