Masalah gigi berlapis sering dipandang enteng oleh masyarakat umum. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana kelak, ia boleh menyebabkan masalah karies gigi dan masalah gusi bengkak.
Tahukah anda bahawa masalah gigi berlapis boleh disebabkan oleh gigi susu? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Sebelum kita menyelami bagaimana gigi berlapis boleh terjadi, mari kita kenal terlebih dahulu dengan pesona utama artikel ini, gigi susu. Walaupun gigi mula tumbuh ketika bayi berusia di antara 6 ke 12 bulan, hakikatnya, ia mula terbentuk pada 6 minggu fasa kehamilan.
Usia bagi pertumbuhan gigi susu adalah berbeza bagi setiap bayi maka jika anak anda masih tidak mempunyai gigi seawal 6 bulan, usah khuatir. Biar lambat, asal selamat.
Apa itu enamel, dentina dan pulpa?
Terdapat perbezaan yang agak ketara jika dibuat perbandingan di antara struktur gigi susu dan gigi kekal. Secara umumnya, jumlah gigi susu yang bakal tumbuh apabila anak anda berusia 1 tahun adalah sebanyak 6 batang. Ketika anak anda berusia 3 tahun, seharusnya kesemua 20 batang gigi susu telah pun tumbuh.
Jika dibuat perbandingan secara fizikal, gigi susu kelihatan lebih kecil dan putih manakala gigi kekal kelihatan lebih besar dan berwarna krim atau putih kekuningan.
Gigi kekal juga mempunyai bilangan yang lebih banyak iaitu sebanyak 32 batang berbanding dengan gigi susu yang hanya sebanyak 20 batang. Pada sudut anatomi, perbezaan di antara keduanya dapat dilihat pada ketebalan lapisan enamel (luar), dentina (tengah) dan pulpa (dalam).
Gigi susu mempunyai lapisan enamel dan dentina yang agak nipis berbanding dengan gigi kekal membuatkan karies gigi lebih mudah untuk merebak ke lapisan pulpa. Oleh sebab itulah karies gigi kelihatan lebih teruk pada gigi kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa.
Lapisan pulpa gigi mengandungi banyak urat saraf dan salur darah yang memberikan nutrisi kepada gigi. Gigi susu mempunyai lapisan pulpa yang agak besar berbanding dengan gigi kekal.
Ini meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan urat saraf dalam situasi trauma memandangkan ia juga mempunyai lapisan luar yang nipis.
Memastikan keteraturan gigi kekal
Jika dilihat pada fungsi asas gigi susu, ia penting bagi membantu proses penghadaman yang baik buat anak-anak anda. Fungsinya adalah sama dengan gigi kekal iaitu untuk mengigit, mengoyak dan melumatkan makanan. Fungsi ini penting bagi memastikan nutrisi makanan dapat diserap masuk ke dalam tubuh badan.
Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keteraturan susunan gigi kekal. Gigi susu kebiasaannya akan patah secara semula jadi dan digantikan dengan gigi kekal pada usia sekitar 6 tahun.
Sebelum daripada usia tersebut, gigi yang patah akan digantikan dengan gigi belakang bagi mengisi kekosongan di hadapan. Keadaan ini akan menyebabkan susunan asalnya menjadi tidak teratur seterusnya mengakibatkan kekangan ruang di antaranya untuk gigi kekal tumbuh.
Kesannya, gigi kekal akan tumbuh sama ada di hadapan atau di belakang gigi sedia ada menjadikan gigi anda kelihatan berlapis. Gigi yang berlapis akan memberikan kesan negatif terhadap keyakinan diri anak-anak anda memandangkan keteraturan gigi penting dalam aspek penampilan diri.
Bayangkan jika anak anda diejek dan dipulaukan oleh rakan-rakannya hanya disebabkan oleh masalah gigi berlapis. Ini akan menurunkan tahap keyakinan anak anda untuk menjalinkan hubungan sosial.
Selain itu, ia juga memudahkan proses pengumpulan plak yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat karies gigi dan penyakit gusi bengkak (gingivitis).
Kredit: Hello Doktor
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Warna Najis Petunjuk Kesihatan Anak! Mama Papa Kena Arif & Tahu Bezakan
Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam alam keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka.
Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya.
Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Najis bayi tidak normal
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Ciri-ciri umum najis bayi
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Warna najis bayi dan puncanya
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh mekonium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan?
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusi
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri.
Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Normal Kalau Bayi Baru Lahir ‘Gayat’ Atau Dipanggil ‘Refleks Moro’. Tapi Kalau Lebih 6 Bulan Kena Jumpa Doktor!
Bagi ibu bapa yang baru menimang anak kecil, pasti anda sering risau dan peka akan setiap pergerakan dan tingkah laku si manja anda. Kadangkala, anda semestinya bingung melihat bayi menggigil, tersentak ketika tidur dan sebagainya.
Usah bingung lagi, artikel ini akan merungkai perbezaan di antara pergerakan normal dan abnormal bayi anda, serta punca di sebalik setiap pergerakan mereka.
Normalkah bayi menggigil?
Ia bergantung kepada situasi yang dialami oleh bayi pada masa tersebut dan juga tempoh menggigil.
Sesetengah bayi menggigil atau menggeletar ketika tidur, dan kembali normal sesudah bangun tidur. Ada juga yang menggigil ketika menukar lampin, bermain, menyusu dan sebagainya.
Bayi tidak menggigil kerana berasa sejuk ya! Bayi hanya berupaya untuk bertindak balas ketika sejuk selepas berumur enam bulan.
Sebelum itu, bayi mempunyai sejenis tisu lemak perang di dalam badan mereka yang membantu untuk mengawal suhu badan.
Punca normal bayi menggigil
Terdapat beberapa penjelasan normal mengenai pergerakan bayi menggigil atau menggeletar.
1. Sistem saraf pramatang
Dr Evan Lewis, Pakar Neurologi Pediatrik dan Pengarah Institut Neurologi Toronto mendedahkan semasa dua tahun pertama kehidupan bayi, sistem saraf dan otak bayi masih pramatang dan sedang berkembang.
Beliau juga menyatakan dua bulan pertama bayi sangat dipengaruhi oleh perubahan ini kerana refleks normalnya belum matang sehingga menyebabkan refleks tubuh bayi terlalu aktif.
Refleks yang terlalu aktif boleh menyebabkan dagu dan bibir bayi bergetar, sekali gus seluruh badan menggigil berkali-kali dalam sehari.
Semasa sistem saraf berkembang dan lebih matang, pergerakan menggigil dan menggeletar ini akan hilang sepenuhnya.
Bayi sepatutnya tidak menggigil selepas tempoh masa ini. Jika masih menggigil lagi, anda perlu mendapatkan rundingan selanjutnya.
2. Refleks Moro
Refleks Moro ialah sejenis refleks yang normal dilihat dalam kalangan bayi sehingga tempoh 3-6 bulan. Ia bermula semasa kehamilan, di antara 28-32 minggu dan hilang sepenuhnya selepas enam bulan kelahiran.
Ia merupakan tindak balas perlindungan motor bayi terhadap ketidakseimbangan badan atau rangsangan secara mendadak.
Di Malaysia, refleks Moro selalunya diperiksa oleh doktor selepas kelahiran bayi. Bayi yang normal akan mempunyai refleks Moro yang lengkap.
Namun, bayi pramatang atau yang mempunyai kecederaan semasa kelahiran tidak akan mempunyai refleks Moro yang lengkap.
Jika refleks Moro masih dilihat pada bayi anda selepas tempoh enam bulan, sila berjumpa dengan doktor.
3. Tahap hormon norepinephrine yang tinggi
Semasa lahir, bayi mempunyai jumlah norepinephrine yang lebih tinggi. Fungsi hormon ini adalah lebih kurang sama dengan adrenalin. Ia membantu bayi dalam pengawalan haba untuk tubuh mereka.
Ia dihasilkan oleh badan sebagai tindak balas terhadap persekitaran baru semasa lahir. Norepinephrine mempunyai daya rangsangan terhadap anggota badan dan itulah yang menyebabkan bayi menggigil.
Seiring waktu, tahap hormon ini akan berkurangan dalam badan, dan pergerakan tersebut akan berhenti.
Selain itu, hormon ini juga membantu metabolisme tisu lemak perang dalam bayi jika perubahan suhu mendadak dikesan oleh tubuh.
Punca abnormal bayi menggigil
1. Hipoglisemia
Eh, takkan bayi pun boleh mendapat hipoglisemia? Sudah tentu boleh ya!
Hipoglisemia ialah keadaan di mana paras gula dalam darah bayi lebih rendah daripada normal.
Ia selalunya berlaku jika ibu mempunyai kencing manis ketika hamil, bayi ada jangkitan kuman atau enggan menyusu.
Salah satu tanda hipoglisemia ialah bayi akan menggigil atau menggeletar. Terdapat juga simptom lain seperti tangisan bernada tinggi, masalah menyusu, lemah, dan sebagainya.
Bayi yang mengalami hipoglisemia seharusnya diberikan rawatan secepatnya.
2. Sawan
Hati-hatilah jika bayi anda kerap menggigil dan sukar untuk dileraikan kerana kemungkinan dia mengalami sawan.
Lagi-lagi jika terdapat simptom lain seperti kekejangan otot yang keterlaluan, demam, mata terbeliak ke atas, mulut berbuih dan sebagainya.
Selalunya sawan akan terhenti sendiri kurang daripada tiga minit, tetapi jika lebih sila dapatkan rawatan selanjutnya.
Konklusi
Menggigil ialah reaksi normal bagi si manja anda. Namun, jika anda was-was akan pergerakannya, sila rakamkan pergerakan mereka sebelum membawa bayi anda ke hospital.
Ini akan membantu para doktor untuk membuat diagnosis dan memberikan rawatan yang lebih lanjut.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pil Perancang, Ramai Wanita Selalu Salah Anggap, Tak Kenal Dah Kena ‘Pangkah’
Biasanya kegunaan pil perancang selalu dikaitkan dengan mama-mama yang masih belum bersedia hendak menerima dan menambah anak, lebih dekat lagi dengan kaum ibu yang ada jarak anak dekat-dekat. Jadi mereka pilih ambil pil perancang untuk mengelak daripada hamil dalam masa terdekat.
Bagaimanapun pil perancang ini bukan sahaja boleh diambil oleh mama-mama sahaja. Wanita yang masih bujang juga boleh mengambilnya. Berikut penggunaan pil perancang.
Kegunaan lain pil peracang ialah:
1- Untuk mengawal simptom sebelum haid yang teruk/PMS.
2- Untuk mengawal haid yang banyak (heavy bleeding) dan juga haid yang panjang sampai lebih seminggu.
3- Untuk mengatur kitaran haid yang tidak teratur.
4- Untuk mengawal senggugut yang kronik.
5- Sebagai sebahagian rawatan jerawat yang teruk.
6- Mengurangkan risiko kanser rahim, ovari dan colorektal.
Pil Perancang, Ramai Wanita Selalu Salah Anggap
Pil perancang mempunyai hormon. Ia berfungsi dengan mengawal atur hormon wanita. Jadi kalau anda hendak ambil pil perancang untuk tujuan selain merancang keluarga, jumpa doktor anda. Perlu berbincang secara bersemuka. Ada situasi tertentu memelerukan anda untuk menjalani ujian seperti ujian darah dan ultrasound sistem peranakan.
Apa jua ubat dan kaedah rawatan mesti ada baik dan buruknya. Makan paracetamol pun boleh ada kesan sampingan yang buruk. Doktor yang merawat yg bertanggungjawab membuat pertimbangan jika sesuatu ubat itu atau kaedah rawatan itu sebenarnya memberikan faedah atau memudaratkan pesakit (benefit outweigh risk).
Doktor akan mencadangkan sesuatu rawatan jika beliau berpendapat kaedah atau rawatan memberikan kebaikan kepada pesakit atas penilaian klinikalnya BUKAN atas dasar mengaut keuntungan ataupun ada apa-apa conflict of interest.
Memang terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan bahawa pengamal pil perancang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara dan kanser serviks. Walau bagaimanapun kajian ini adalah kajian “observational” yang tidak boleh digunakan sebagai bukti perubatan yang kukuh dalam merawat pesakit.
Perlu diingatkan, pil perancang bukan penyebab kanser tetapi faktor sampingan sebenarnya yang meningkatkan risiko utk mendapat kanser serviks iaitu jangkitan HPV pada pangkal rahim yang berterusan.
Tak Kenal Dah Kena ‘Pangkah’
Dikatakan pil perancang meningkatkan risiko mendapat kanser buah dada sebanyak 24%. Mengapa hal ini timbul? Risiko kanser payudara dikaitkan dengan penggunaan pil perancang jenis triphasic dan bukan daripada jenis pil yang digunakan oleh kebanyakan wanita pada zaman sekarang.
Peningkatan risiko kanser serviks lebih kurang 7% ,manakala kanser payudara pula lebih kurang 24%. Peningkatan sebegini ini sebenarnya adalah sangat rendah secara statistik dan TIDAK SIGNIFIKAN.Bagi mereka yang ada masalah breast benign (tidak berbahaya) seperti fibroadenoma atau sejarah keluarga yang ada breast cancer, anda BOLEH menggunakan pil perancang tanpa was-was. Risiko anda untuk mendapat kanser payu dara TAK MENINGKAT dengan penggunaan pil perancang. Cuma, untuk mereka yang sedang mengalami kanser payu dara dan sejarah kanser payu dara ( diri sendiri yang kena kanser ) – TIDAK SESUAI menggunakan pil perancang.
Kajian menunjukkan pengambilan pil perancang MENGURANGKAN RISIKO dapat 3 jenis kanser – KANSER RAHIM, KANSER OVARI DAN KANSER USUS BESAR. Pengambilan pil perancang keluarga menurunkan risiko kanser Rahim sebanyak 30%, mengurangkan risiko kanser ovari sebanyak 30-50% dan mengurangkan risiko kanser usus besar sebanyak 15-20%. Faedah pengurangan risiko kanser ovari juga akan diperolehi oleh wanita-wanita yang ada mutasi gene BRCA 1 / 2 yg ada kena mengena dengan kanser yg diwarisi.
Faedah ini berterusan selama beberapa puluh tahun meskipun wanita itu berhenti mengambil pil perancang, atau tidak mengamalkanya lagi. Ini bermaksud kelebihan pil perancang dalam menurunkan risiko kanser Rahim, ovari dan usus besar lebih BERMAKNA daripada keburukan pil perancang yg menyebabkan kanser payudara dan serviks.
Jangan lupa, kita ada ujian saringan untuk kanser payu dara dan kanser serviks – iaitu pemeriksaan sendiri payu dara dan pap smear sebagai ujian saringan awal,sedangkan takde ujian saringan yang berkesan untuk mengesan kanser ovari dan kanser rahim.
Kanser ovari adalah di antara kanser wanita yang paling sukar dikesan pada peringkat awal dan jika dah dikesan, kanser itu sudah berada pada peringkat akhir, begitu jugalah dengan kanser usus besar.
Bagaimanapun, wanita yang ada dalam senarai dibawah ini TIDAK SESUAI dengan pil perancang kehamilan gabungan ( COCP ), sila guna kaedah perancangan keluarga yang lain:
✅Ibu yang menyusukan bayi pada 6 bulan pertama
✅Wanita yang merokok & berusia 35 tahun ke atas
✅Ada migraine dengan aura
✅BMI 35 dan ke atas
✅Tekanan darah tinggi > 160/100
✅Ada penyakit jantung atau risiko mendapat penyakit jantung
✅Pernah ada masalah sejarah darah beku dalam saluran darah kaki atau saluran darah peparu iaitu venous thromboembolism (VTE)
✅Ada masalah pada hati (liver cirrhosis, liver failure, liver tumour)
✅Strok
✅Melalui pembedahan yg memakan masa yg lama menyebabkan pesakit tak bergerak-gerak
✅Sedang mengalami kanser payu dara atau ada sejarah kanser payu dara (diri sendiri)
Setiap pesakit yang hendak mengambil pil perancang perlu mendapatkan nasihat doktor yang bertauliah dan benar-benar memahami mengenai perancangan keluarga. Bukan hanya sekadar beli online atau dapatkan pil perancang di farmasi semata mata.
Wanita yang PERTAMA KALI mengamalkan pil perancang, perlu follow up setiap 3 bulan – untuk check tekanan darah, BMI dan menilai masalah masalah lain yang berbangkit. Setelah 3 bulan, wanita ini perlu follow up setiap tahun sekali.
Pil perancang gabungan (COCP) BOLEH digunakan sehingga wanita itu berusia 50 tahun, dengan syarat wanita itu sihat. Selepas umur 50 tahun, kena guna cara lain. Satu lagi kalau guna pil perancang TAK PAYAH ada masa rehat 3-6 bulan untuk meneruskan untuk makan pil.
Cerita ‘hantu’ yang mengatakan pil perancang dgn risiko kanser serviks dan kanser payudara TAK SEPATUTNYA dijadikan alasan untuk mengecam pengambilan pil perancang kerana perkaitan pil perancang dengan 2 kanser ini kerana perkaitan ini melibatkan pil perancang yang terdahulu dan tidak digunakan lagi pada masa sekarang.
Kelebihan pil perancang mengurangkan risiko mendapat kanser ovari, kanser rahim dan kanser usus sepatutnya diambil kira dan dipertimbangkan dalam menentukan baik buruk sesuatu ubat atau kaedah perancangan keluarga itu.
Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Kredit foto top image: Freepik
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI