Keibubapaan

Mama Papa Ada Gigi Berlubang, Elak Kerap Cium Mulut Bayi!

Share

Bila ada bayi kecil di rumah, memang susah ibu ayah hendak tahan daripada mencium si manja berkali-kali. Pipi gebu, tangan kecil dan wajah comel mereka memang mengundang rasa geram! Pun begitu, jika ibu atau ayah mempunyai gigi berlubang, ada satu perkara yang perlu diberi perhatian.

Namun dalam banyak-banyak ciuman itu, ada satu perkara yang ibu ayah mungkin tidak sedar. Jika mempunyai masalah gigi berlubang, terutama yang belum dirawat, elakkan daripada terlalu kerap mencium bayi pada bahagian mulut.

Bukan kerana ciuman itu sendiri berbahaya, tetapi pertukaran air liur boleh menjadi salah satu cara bakteria tertentu dalam mulut orang dewasa berpindah kepada bayi.

Menerusi perkongsian Klinik Pergigian Nur’Ain, bakteria yang dikaitkan dengan kerosakan gigi iaitu Streptococcus mutans boleh berpindah daripada penjaga kepada bayi menerusi pertukaran air liur.

Keadaan itu boleh berlaku melalui beberapa amalan harian yang mungkin selama ini dianggap perkara biasa.

Betul ke kalau gigi berlubang, tak boleh cium bayi?

“Ya betul. Kalau gigi berlubang, ada satu bakteria yang dipanggil streptococcus mutans yang boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi melalui air liur saja.”

Jangan Kongsi Sudu Atau Kunyah Makanan Untuk Bayi

Selain mencium bayi pada bahagian mulut, terdapat beberapa tabiat lain yang boleh menyebabkan pertukaran air liur antara ibu bapa dan anak.

Antaranya termasuklah berkongsi sudu, cawan atau peralatan makan dengan bayi. Malah, amalan mengunyah makanan terlebih dahulu sebelum memberikannya kepada bayi juga boleh menyebabkan air liur orang dewasa bercampur dengan makanan sebelum dimakan oleh si kecil.

Begitu juga dengan tabiat memasukkan puting bayi ke dalam mulut orang dewasa kononnya untuk membersihkannya sebelum diberikan semula kepada anak.

Walaupun nampak seperti perkara kecil, ia sebenarnya boleh meningkatkan pendedahan bayi kepada bakteria daripada mulut orang dewasa.

Bagaimanapun, pendedahan kepada bakteria ini tidak bermaksud bayi akan terus mengalami masalah kerosakan gigi.

Sebaliknya, pendedahan awal kepada Streptococcus mutans merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi risiko berlakunya karies apabila gigi bayi mula tumbuh.

Sebab itulah penjagaan kesihatan gigi dan mulut ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membantu menjaga kesihatan oral anak sejak kecil.

“Jadi kepada ibu bapa, cuba periksa gigi anda ketika memberus gigi. Ada tak gigi yang berlubang?” 

Bukan Tak Boleh Cium Bayi Langsung

Jangan pula selepas membaca perkara ini ibu ayah terus takut hendak mencium atau bermanja dengan bayi.

Mempunyai masalah gigi berlubang tidak bermaksud ibu atau ayah perlu menjauhkan diri daripada anak mahupun mengelakkan semua bentuk ciuman.

Apa yang lebih penting ialah mengurangkan amalan yang membolehkan air liur orang dewasa masuk secara terus ke dalam mulut bayi.

Antara langkah yang boleh diamalkan ialah:

  • Elakkan mencium bayi pada bahagian mulut, terutama jika mempunyai masalah gigi atau gusi yang aktif.
  • Jangan berkongsi sudu, cawan atau makanan dengan bayi.
  • Elakkan mengunyah makanan terlebih dahulu sebelum diberikan kepada bayi.
  • Jangan masukkan puting bayi ke dalam mulut sendiri untuk ‘membersihkannya’.
  • Jaga kebersihan mulut dengan memberus gigi secara konsisten.
  • Dapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian sekiranya mempunyai karies atau kerosakan gigi.

Ibu ayah masih boleh memeluk, mendukung dan menunjukkan kasih sayang kepada bayi seperti biasa. Ciuman di dahi atau pipi juga boleh menjadi pilihan kerana ia tidak melibatkan pertukaran air liur secara terus ke dalam mulut bayi.

Jangan Tunggu Gigi Sakit Baru Jumpa Doktor

Masalah gigi berlubang kadangkala tidak menyebabkan kesakitan pada peringkat awal. Disebabkan itu, ramai yang memilih untuk membiarkannya sehingga mula berdenyut atau mengganggu rutin harian.

Namun, apabila sudah mempunyai anak kecil, kesihatan mulut ibu dan ayah juga wajar diberi perhatian.

Kesimpulannya, bukan bermakna ibu ayah tidak boleh mencium bayi langsung. Cuma elakkan perkongsian air liur secara langsung, terutama jika mempunyai masalah gigi yang belum dirawat.

Kasih sayang tetap boleh dicurahkan sebanyak-banyaknya, tetapi dalam masa sama jangan abaikan kesihatan gigi sendiri kerana penjagaan ibu dan ayah hari ini turut membantu membentuk tabiat serta kesihatan mulut anak pada masa hadapan.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: Klinik Pergigian Nur’Ain

Published by
SRM