Kepercayaan mengatakan budak belum tumbuh gigi jangan guna sikat rambut, nanti gigi anak jadi jarang itu karut! Anak baru 4 tahun elok tekankan penjagaan gigi dahulu sebelum risaukan susunan gigi yang jarang. Ikuti penjelasan pegawai pergigian ini.
Perkara berkaitan dengan gigi anak, ada sesetengah ibu bapa tidak ambil kisah dan ada juga yang amat menitikberatkanya. Kesedaran awal membawa anak ke klinik gigi untuk mendapatkan pemeriksaan gigi memang baik dan elok dilakukan sejak awal lagi.
Menurut Dr Iqbal Rosali, Pegawai Pergigian, Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia ada ibu bapa yang risau tentang gigi susu anak mereka yang jarang. Ini adalah perkongsian beliau mengenai perkara tersebut;
Haritu ada ibu datang buat pemeriksaan gigi. Selesai semuanya, dia ambil masa sedikit untuk mengadu tentang anaknya. Dia beritahu gigi anaknya jarang-jarang. Gigi itu tumbuh seketul-seketul. Dia kata tak cantik.
Minta pandangan saya ada tak rawatan untuk kes macam tu. Dia tanya juga sesuai tak buat braces untuk rapatkan gigi.
Saya jawablah braces boleh digunakan untuk rawatan gigi jarang. Jika jarang-jarang cuma pada gigi depan, boleh buat veneer. Sejenis rawatan ala-ala gigi palsu untuk tutup jarak antara gigi. Tak perlu ikat dan gerakkan gigi macam braces.
ANAK BARU BERUMUR 4 TAHUN
Ibu pun bertanyalah macam-macam tentang dua rawatan yang saya sebutkan tadi. Banyak dan panjang juga soalan si ibu. Yang mana lebih sesuai, yang mana sesuai untuk umur berapa.
Chup!
IKLAN
Umur berapa?
Terus lupa nak tanya tentang ini. “Puan, umur anak puan berapa?”
“4 tahun.”
“Puan, kalau baru 4 tahun, gigi susu je ni, puan bimbang apa?”
“Gigi dia tak cantik. Saya risau kalau dah tumbuh gigi kekal nanti pun akan jarang macam ni juga.”
IKLAN
DOKTOR TERANGKAN SUSUNAN GIGI SUSU
Ibu-ibu, ayah-ayah,
Saya faham kebimbangan begini. Tapi tidak perlulah bimbang sebegini awal.
Pertama,
Gigi susu jarang-jarang begitu kerana saiz gigi susu ini kecil sahaja. Tidak berubah saiznya. Sedangkan tulang rahang mulut anak itu membesar. Makin besar anak memang akan nampak jarang pada gigi susu.
Kedua,
Gigi susu ada 20 batang. Gigi kekal paling kurang akan ada 28 batang. Saiz gigi kekal juga lebih besar. Ruang antara gigi susu, dan rahang yang membesar adalah untuk persediaan untuk gigi kekal tumbuh.
IKLAN
Ketiga,
Pakar Orthodontik mencadangkan untuk mendapatkan konsultasi tentang susunan gigi bila anak umur 7 tahun. Masa ini gigi geraham dah mula tumbuh. Gigi kacip (orang awam panggil kapak) juga akan mula tumbuh menggantikan gigi susu. Jadi kalau umur 4 tahun tak ada nak bimbang pasal susunan gigi kekal ni.
Keempat,
Gigi anak kecil kita ni memang tak cantik susunannya. Ada gigi nak tumbuh, ada gigi nak tanggal. Sebab tu penting mak bapa tahu bila gigi susu tanggal, bila gigi kekal keluar.
Kelima,
Kebimbangan ibu itu bagus. Tapi pada umur 4 tahun macam tu, adalah lebih baik pentingkan dulu penjagaan kebersihan gigi. Jangan bagi rosak. Ajar anak gosok gigi dengan betul. Itu sepatutnya. Susunan gigi ni nanti-nantilah duk bimbangnya.
Apa yang penting, dapatkan pemeriksaan gigi berkala untuk si anak sejak tumbuh dua batang gigi susu. Biasakan anak dengan klinik gigi, dengan doktor gigi.
Walaupun gigi tak rosak, tak ada mengadu sakit, bawa sahaja. Kita periksa. Kalau semua okay, anak happy, mak bapa pun happy.
Ada kajian yang menunjukkan kanak-kanak pada usia 3-4 tahun bertanya sehingga 288 soalan dalam sehari. Selain buat tak tahu atau jawab ala kadar, ada banyak perkara yang anda perlu beri perhatian dalam memahami psikologi di sebalik setiap pertanyaan mereka.
Menurut Dr Rozanizam Zakaria, bila anak bertanya soalan demi soalan jangan rasa rimas kerana waktu ini adalah masa sel-sel otak anak berhubung dan mereka mahu tahu semua perkara melalui pemerhatian dan persekitaran.
Tip untuk ibu bapa bersedia hadapi persoalan anak
Setiap persoalan ‘kenapa ayah, kenapa ibu?’ bukan bertujuan menjengkelkan atau mengacau ibu bapa. Namun ia adalah petanda bahawa sel-sel otak mereka berhubung selari dengan perkembangan kognitif mereka pada usia 3 hingga 5 tahun. roses ini dipanggil ‘intuitive thoughts development’ pada fasa pre-operational (3-7 tahun).
Persoalan bertujuan ‘connecting the dots’ – kanak-kanak hanya belajar tentang kehidupan melalui apa yang mereka lihat, dengar dan rasa. Setiap persoalan bertujuan menghubungkan apa yang deria mereka alami dengan konsep cara kehidupan berjalan. Ini merupakan asas kepada fasa perkembangan kognitif seterusnya dalam hidup mereka – concrete operational stage
Jawab setiap persoalan anak anda berdasarkan usia mereka. Bukan berdasarkan keperluan soalan. Kalau mereka tanya ‘dari mana baby datang?’ – jawapan anak berusia 3 tahun tidak sama dengan anak 13 tahun. Gunakan setiap persoalan sebagai ‘chapter’ baru dalam ‘buku perkembangan’ mereka.
Jangan hanya menjawab, tetapi ransang kreativiti mereka dengan sesekali bertanya mereka kembali untuk menggalakkan mereka berfikir.
“ayah kenapa atas ambulans ada lampu lip-lap?” “adik rasa kenapa ya? Babah pun nak tahu la..”
sekiranya soalan mereka tidak wajar atau tidak kena caranya, jangan marah atau tempelak mereka. Tetapi berikan alternatif atau jadikan persoalan tersebut sebagai point untuk mereka berfikir.
“kenapa orang tu gemuk abi? “kalau orang kata macam tu kat ayah atau ibu, macam mana adik nak jawab?” “mesti adik kena kata, tak baik cakap pasal rupa orang, Allah tak suka..”
Jangan takut untuk katakan tidak tahu. Jujur lebih baik dari anak anda mengetahui hakikat sebenar dari orang lain dan menganggap anda tidak jujur.
“abi pun tak tahu, apa kata nanti kita cari jawapannya sama-sama”
Terus terang dengan perkara yang perlukan terus terang. Ada kalanya mereka akan ambil masa untuk memahami. Tetapi kejujuran anda menjadi titik tolak untuk mereka mula belajar. Terutama dalam keadaan yang berkait dengan kematian, perceraian dan ahli keluarga yang ditimpa penyakit.
Galakkan anak anda untuk bertanya pada orang yang lebih tahu. Ia akan meransang mereka menjadi berani, pandai berkomunikasi dan lebih mengujakan. Contohnya anak anda bertanya pada anda di pasar,“ayah, kenapa ayam kat sini semua dah tak ada bulu?”
“apa kata adik tanya pakcik kedai ayam ni, dia mesti tahu rahsia kenapa ayam ni tak ada bulu”.
Kalau masa dan ketika persoalan mereka tidak kena, terus terang pada mereka. Sentuh mereka, pandang pada mata mereka dan nyatakan kenapa.
“umi tahu kakak ada banyak nak tanya, tapi sekarang umi tengah cakap dengan auntie, apa kata kakak main dulu, bila umi dah habis umi cakap semula dengan kakak, boleh?” Pastikan anda tepati janji.
Kalau anak anda bukan jenis yang suka bertanya, cipta situasi yang meransang naluri ingin tahu mereka. Contohnya bila anda bercerita atau bacakan buku cerita, berhenti pada pertengahan cerita dan minta mereka teka apa sambungan/kesudahan cerita. Sekiranya mereka bermain, minta mereka cerita kembali apa mereka main dan tanyakan persoalan untuk mereka ‘expand’ imaginasi mereka.
Contohnya bila nampak mereka bermain jual-jual, tanyakan apa nama kedai mereka, pukul berapa buka, apa warna kedai ini, siapa yang selalu datang dan sebagainya. Ia juga mampu meransang sisi kreativiti mereka.
Pendedahan cahaya matahari dan aktiviti luar sememangnya diakui dapat membentuk perkembangan minda yang baik buat anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Bukan hanya kemahirannya diasah dari pelbagai segi bahkan juga imun tubuhnya juga menjadi bertambah baik.
Menurut Puan Norashikin Ahmad, guru Pendidikan awal kanak-kanak, bermain sebenarnya dapat menyumbang kepada perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan emosi serta kesejahteraan kanak-kanak.
Kanak-kanak juga digalakkan untuk bermain di luar kerana ruang yang luas. Mereka boleh berlari bebas dan ini membantu mereka tidur dengan lebih lena pada waktu malam dan mengurangkan risiko obesiti.
Pakar perkembangan kanak-kanak pernah mengatakan bahawa kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di luar mempunyai perilaku yang lebih baik, kurang nakal serta lebih mudah dikawal.
Kepentingan Bermain Di Luar
Menurut seorang ahli terapi occupationalpediatrik, Angela Hanscom: “ Kanak-kanak yang tidak merangkak akan mudah hilang kemahiran mengimbangkan badan. Proses merangkak sebenarnya membantu mengekalkan pergerakan cecair dalam telinga mereka.
“Selain daripada kemahiran merangkak, beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk membawa keluar bayi mereka dan membenarkan anak-anak untuk menyentuh rumput. Ini supaya mereka mendapat lebih banyak input sentuhan”.
Oleh demikian, dapat kita katakan aktiviti outdoor seperti ini patut dimulakan sejak awal lagi. Anak kecil di usia setahun dua sepatutnya diberikan masa di luar untuk menyentuh pelbagai objek dan merasai pelbagai jenis rasa sentuhan. Ia adalah penting untuk tumbesaran fizikal mereka.
Sudah tentu, pada usia sekecil ini, ibu atau bapa patut ada di sisi untuk menjaganya, tetapi jika anak anda sudah mencapai usia 8 tahun ke atas, dia sepatutnya diizinkan untuk bermain dengan anak jiran serta rakannya yang lain secara bebas.
Melihat dari segi perkembangan anak-anak, aktiviti luar dapat:
* Mendukung pertumbuhan tulang yang sihat di mana sinaran matahari membantu meningkatkan vitamin D pada tubuh yang baik untuk pertumbuhan tulang anak-anak. Selama 10 hingga 15 minit sudah mencukupi anak-anak menerima vitamin D untuk pertumbuhan tulang mereka.
*Menguatkan otot dan tubuh anak-anak selain dapat belajar untuk berkawan dengan rakan sebaya yang baru.
*Dapat melihat alam semulajadi malah meneroka flora dan fauna di sekeliling mereka dan memberikan pengalaman baru yang bermakna buat mereka.
* Aktiviti bermain di luar adalah bebas dan tidak berstruktur, minda mereka akan lebih berkembang kerana mereka perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan – berbanding sekadar menatap skrin televisyen atau gajet. Melalui proses ini, anak-anak belajar untuk membuat keputusan, tindakan, dan menguruskan emosi. Semua ini membantu mereka berasa lebih konfiden.
* Menggalakkan interaksi dan ekspresi emosi yang sihat. Ini disokong oleh pelbagai pemerhatian yang mendapati bahawa anak kecil akan menggunakan 5 kali ganda lebih banyak perkataan semasa bermain di luar rumah berbanding di dalam.
* Aktiviti luar bukan saja menyeronokkan, tetapi ia juga boleh membantu anak untuk menyalurkan tenaga mereka yang ‘tak pernah habis’. Bila tenaga ini dapat disalurkan dengan betul, mereka sebenarnya dapat tidur lebih awal. Sikap agresif dan tantrum merupakan salah satu tindakbalas untuk anak mengeluarkan tenaga dan mengekspresikan perasaan mereka.
* Anak bergerak lebih aktif berbanding duduk diam sahaja dan membantu langkah awal untuk mengelakkan komplikasi penyakit seperti diabetes, serangan jantung, rabun jauh, dan sebagainya.
Masalah Yang Mungkin Akan Berlaku Apabila Kanak-Kanak Kurang Diberi Pendedahan Bermain di Luar
Ramai antara ibu bapa yang tidak sedar bahawa kekangan pergerakan yang diberikan kepada anak-anak, walaupun atas apa sebab sekali pun, boleh membawa banyak keburukan kepada perkembangan minda dan fizikal anak-anak.
Ini kerana kanak-kanak yang tidak atau kurang terdedah kepada aktiviti outdoor akan menjadi lebih lemah dari segi emosi dan fizikal.
Antara kesan yang berlaku kepada anak-anak ini apabila tidak diberi peluang untuk bermain aktiviti luar adalah:
* Tidak dapat membina otot
* Kurang membakar kalori
* Kurang kemahiran mengawal emosi
* Kurang membina kreativiti
* Kurang kemahiran penggunaan minda dan sekaligus, melemahkan kemahiran akademik (kesan jangka panjang)
JANGAN ‘BUNUH’ PERKEMBANGAN ANAK
Mungkin kita tidak menyedari bahawa anak kita selama ini ‘terasing’ daripada alam semulajadi seperti tumbuhan, haiwan, batu-batuan, awan, dan langit. Mereka sepatutnya mampu melempar bola, melompat, berlari, meneroka, menyentuh, dan menikmati masa di luar. Semua ini adalah manfaat bermain di luar yang merangsang perkembangan saraf motorik.
Tak perlu jauh, bermain di halaman rumah atau taman permainan awam pun dah cukup bagi mereka. Walaupun nampak kecil, ia adalah dunia yang serba gergasi untuk mereka terokai.
Pilih Aktiviti Dengan Anak
Bercerita mengenai aktiviti luar, ibu bapa jangan hanya membiarkan anak bermain sendiri. Sebolehnya cari aktiviti luar yang membolehkan ibu dan ayah turut serta supaya selain membentuk kecerdasan, bonding di antara ibu bapa dan anak juga terjalin lebih erat. Peruntukkan hujung minggu untuk pelbagai aktiviti yang menjadi kesukaan anda.
Pilih Berenang
Jika dilihat dari segi aktiviti luar yang melibatkan kemahiran anak-anak seperti berenang, ia merupakan aktiviti fizikal yang tentunya disukai oleh kanak-kanak. Aktiviti ini memberi peluang untuk bermain dengan air dan memberikan manfaat pada anak-anak. Ia banyak kelebihan dari segi kesihatan seperti menguatkan sistem kardio-respiratori, menambah stamina dan menguatkan sendi. Selain kecergasan fizikal ia juga boleh meningkatkan keyakinan diri.
* Tip ibubapa – Bawa anak ke pantai atau kolam di hujung minggu dan bermain serta berenanglah bersama-sama. Mewujudkan permainan sukaneka air bersama juga disarankan untuk menguatkan bonding.
Berkebun Dengan Anak
Selain itu juga, aktiviti yang melibatkan berkebun, anak-anak akan belajar bertanggungjawab, berdisiplin tanpa perlu dipaksa, belajar hargai alam semulajadi, minat dengan sains dan peka terhadap alam semulajadi. Ini semua dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak, menambah pengetahuan sekaligus mencergaskan fizikal dan mental mereka. Jika aktiviti sebegini dapat mengasah kemahiran dan membantu perkembangan kanak-kanak, secara tidak langsung, ia akan menggalakkan lebih banyak aktiviti menyelesaikan masalah (problem solving skill), terutamanya dalam diri anak-anak kecil.
Dalam sebuah artikel yang diterbitkan di The New York Times, penulis buku iBrain:Surviving the Technological Alteration of the Modern Mind, Dr Gary Small mengatakan anak-anak yang menghabiskan terlalu banyak waktu dengan teknologi cenderung mengalami gangguan interaksi serta kebolehan komunikasi. Tidak hairanlah, ia juga dikaitkan dengan masalah speech delay.
* Tip ibubapa – Ajar anak sama-sama menanam pokok dengan anda di rumah, siram dan perhatikan pokok yang ditanam ini sebagai satu semangat serta rasa tanggungjawab.
Jogging
Berjongging misalnya antara aktiviti kardio yang baik untuk kesihatan jantung. Bukan hanya anak, bahkan ibu dan ayah juga boleh turut serta untuk menyihatkan badan. Mahu lebih seronok, bawalah bekalan dan berkelahlah dengan harmoni dan gembira sambil menghirup udara segar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Biasanya anak sulung sering dimarah dan dijadikan sasaran, namun jauh di sudut hati ibu ayah, anak pertama adalah yang paling istimewa di sudut hati.
Anak sulung biasanya mempunyai karektor yang tenang tetapi tegas. Di sebalik ketenangan dan ketegasannya, anak sulung biasanya mempunyai ego sendiri.
Anak sulung adalah insan pertama yang ada dalam rahim ibu menjadikan dia cukup istimewa berbanding anak-anak lain.
Betulkah kenyataan tersebut?
Menurut Dato’Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, anak pertama atau sulung mempunyai karektor yang tenang, bertolak ansur dan mudah diajak berbincang.
Malahan anak sulung juga biasanya lebih cemerlang berbanding adik-beradik yang lain.
Mereka dikatakan lebih cenderung menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain.
Anak sulung juga berkebolehan memujuk orang lain sehingga mampu mengawal orang lain dan situasi yang menyukarkan.
Tetapi adakalanya anak sulung agak sensitif dan meminta perhatian yang lebih jika diabaikan oleh orang lain terutama ibu bapa serta adik-beradik lain.
Ego adalah istilah paling tepat unutk mereka.
1. Ego
Walaupun mampu bertolak ansur, tetapi anak sulung sebenarnya lebih degil dan ego dalam segala hal. Dengan kata lain mereka tak mahu dipandang rendah dalam segala hal apatah lagi diperkecilkan kebolehannya. Malahan anak sulung tidak suka diarahkan segala tindak tanduk yang bakal mereka lakukan.
2. Bertolak ansur dan rasional
Walaupun tegas namun anak sulung masih mampu untuk bertolak ansur dalam segala hal. Mungkin ini disebabkan mereka cuba bersikap rasional dalam segala hal terutama sekali kepada adik-beradiknya.
3. Lebih tegas
Memang betul kadangkala anak sulung lebih tegas berbanding anak lain. Mungkin sebagai ketua kepada adik-adiknya, karektor ini lebih terserlah. Mungin kerana cuba mempamerkan sikap dan rasa tanggungjawab mereka kepad aibu ayah serta kesemua adik-beradik lain.
4. Mengawal orang lain
Hal ini selalu dikaitkan dengan keupayaan anak sulung yang pandai bermain dengan kata-kata. Keramahan serta pergaulannya yang lebih luas membolehkan dia mengawal situasi dan orang lain di sekeliling. Hal ini juga mungkin disebabkan rasa hormat adik-beradik lain kepada anak sulung yang lebih banyak pengalaman dan ilmunya.
5. Lebih bijak
Sebagai orang yang terawal, anak sulung dilihat lebih bijak dalam segala hal. Ini termasuklah berjaya di dalam pelajaran dan kerjaya. Kegigihan ini didorong oleh rasa ingin dicontohi oleh orang lain terutamanya adik-beradiknya.
Sumber: semuanyajdt.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!