Kemesraan dan gurau senda di antara suami isteri memang digalakkan bagi memperkukuhkan lagi keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga. Tanpa gurau senda, hidup suami isteri akan menjadi hambar.

Namun, tidak semua perlakuan atau aksi-aksi kemesraan suami isteri boleh dipertontonkan di khalayak ramai bagi mengelak berlakunya fitnah. Islam amat menekankan kepada adab dan tingkah laku. Oleh itu, ada baiknya suami isteri kena tahu batas-batasnya.

Malah mengenai isu yang viral ketika sambutan Aidilfitri lalu mengenai picit challenge oleh pasangan suami isteri ia sepatutnya tidak berlaku. Cabaran tersebut menampilkan suami memicit punggung isterinya dan gambar berkenaan dimuat naik di laman sosial serta meletakkan tanda pagar #picitchallenge.

Hadkan Kongsi Gambar Aksi Manja Suami Isteri Di Media Sosial. Boleh Undang Fitnah!
Aksi #picitchallenge yang viral di media sosial baru-baru ini

Sebagai pasangan suami isteri secara umumnya, kita seharusnya saling hormat menghormati dan mempertahankan maruah masing-masing. Dalam Surah At-Taubah: ayat 71, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Allah SWT turut berfirman dalam Surah Al-Baqarah: ayat 187 yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” Dalam erti kata lain suami isteri saling memerlukan, saling melengkapi, saling menutup rahsia masing-masing dan menjadi cermin akhlak sesama mereka. Justeru itu, sebagai suami didiklah isteri ke arah jalan kebaikan menuju ke syurga bersama-sama. Bukan menjadi alpa sehingga terlupa mempertontonkan maruah isteri kepada khalayak ramai.

Tidak dinafikan di akhir-akhir ini terdapat pelbagai perilaku menjadi ikutan hanya bertujuan untuk bergurau senda sahaja tanpa memikirkan akibatnya yang adakalanya menyentuh sensitiviti keagamaan ataupun menimbulkan bahaya kepada keselamatan nyawa.

IKLAN
Hadkan Kongsi Gambar Aksi Manja Suami Isteri Di Media Sosial. Boleh Undang Fitnah!
Gambar Hiasan

Kebanyakan alasan hanya untuk berseronok sahaja. Sudah pasti ianya mendorong kepada kecaman netizen atau orang ramai. Seandainya pelaku perbuatan tersebut telah sedar dan meminta maaf atau membuang perkara berikut dari laman sosial, maka kita perlu menerima kemaafan mereka dan hentikan segala kecaman. Kerana kecaman berterusan akan memburukkan lagi keadaan dan proses dakwah akan menjadi sukar.

Selagi ianya tidak melibatkan kesalahan jenayah, maka bantulah mereka untuk bangun memperbetulkan kesalahan mereka, bukan makin menghentam, menghenyak sehingga mereka menjadi lebih agresif.

Namun, iktibar perlu diambil di setiap kesalahan yang dilakukan samada ianya sengaja dilakukan atau tidak. Dalam menentukan keharmonian hidup di dunia ini kita perlulah mencari kawan yang baik, agar kita turut melakukan kebaikan. Elakkan berkawan dengan mereka yang melakukan kejahatan, agar tidak terkena tempias kejahatan tersebut. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.” (Riwayat Al-Bukhari: 2101).

IKLAN
Hadkan Kongsi Gambar Aksi Manja Suami Isteri Di Media Sosial. Boleh Undang Fitnah!
Gambar Hiasan

Kita juga perlu berfikir dengan teliti setiap perkara yang hendak dilakukan kerana ramai mata yang memandang dan zaman sekarang adalah zaman viral. Maklumat sukar dikawal. Oleh itu kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan, percakapan, perwatakan dan status-status yang kita masukkan di laman media sosial kita.

Andai kita tersalah langkah, cepat-cepat perbetulkan dan bertaubat. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raaf: ayat 200 bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Maka kawallah diri kita dalam setiap perilaku kita. Kerana tiap yang kita lakukan pasti akan dinilai oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’: ayat 7 bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”

Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu sentiasa berhati-hati. Sekiranya kita tersalah langkah, perbetulkan segera, minta maaf daripada mereka yang terlibat dan mohon keampunan daripada Allah SWT. Bertaubatlah selagi belum terlambat. Masyarakat pula hentikan segala kecaman bagi memberi ruang kepada mereka yang sedar kesilapan mereka untuk terus melangkah dengan gagah dalam keadaan bertaubat dan melakukan kebaikan.

IKLAN

Perkongsian artikel ini telah dikongsikan oleh Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam

 

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI