
Tidak pernah terlintas di fikiran seorang guru, Shakira Wahab, 50, bahawa pada usia yang dianggap ramai wanita sudah memasuki fasa menopaus, dia sekali lagi diuji dengan berita kehamilan. Lebih mengejutkan, ia adalah kehamilan anak ke-10, satu pengalaman yang langsung tidak disangka, namun sarat dengan emosi, kebimbangan dan kebergantungan penuh kepada takdir Allah SWT.
Bagi seorang ibu yang sudah melalui pelbagai fasa kehamilan dan membesarkan anak-anak, berita hamil usia 50 tahun ini benar-benar membuatkan Shakira terkedu. Perasaan gementar, terharu dan takut bercampur baur apabila menyedari dirinya sekali lagi hamil pada usia yang sudah lanjut.
Menurut Shakira, dia hanya menyedari dirinya mengandung selepas mendapati haidnya lewat. Pada awalnya, dia langsung tidak mengesyaki kehamilan kerana menyangka perubahan tersebut adalah tanda-tanda menopaus.
“Apabila haid lambat, saya ingatkan sebab nak menopaus. Tapi saya terlintas untuk periksa guna kit ujian kehamilan. Bila nampak keputusan positif, saya terkedu dan menangis seketika,” katanya.
Tangisan itu bukan kerana tidak bersyukur, tetapi memikirkan realiti untuk kembali melalui pengalaman mengandung dan bersalin pada usia 50 tahun yang penuh risiko.
Mengimbas kembali pengalaman melahirkan anak kesembilan pada 2020 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan, Shakira berkata doktor pakar pernah memaklumkan bahawa berdasarkan rekod kesihatannya, dia masih berpotensi untuk hamil.
“Doktor beritahu saya masih boleh mengandung lagi, malah sehingga dua kali. Jika tak mahu, doktor sarankan ambil pil perancang. Tapi saya tak pernah ambil, cuma merancang sendiri,” jelasnya.
Namun, apabila disahkan hamil usia 50 tahun, pelbagai perkara mula difikirkan, termasuk soal kos bersalin yang sebelum ini mencecah belasan ribu ringgit serta kemampuan fizikal pada usia tersebut.
Malangnya, rezeki untuk menimang anak ke-10 tidak kesampaian apabila Shakira mengalami keguguran pada 23 Disember lalu, ketika usia kandungan enam minggu.
Ketika menjalani pemeriksaan imbasan, doktor memaklumkan janin kelihatan lebih kecil daripada usia kandungan sebenar dan tiada degupan jantung dapat dikesan. Lebih mengejutkan, doktor turut mengesan sista bersaiz 4.6 sentimeter, sesuatu yang tidak pernah dialami Shakira sepanjang kehamilan-kehamilan sebelum ini.
Menariknya, kehamilan kali ini juga tidak disertai alahan seperti muntah atau loya, berbeza dengan pengalaman terdahulu yang sering mengganggu keselesaan dirinya.
Walaupun berdepan pengalaman keguguran buat kali pertama, Shakira memilih untuk melihat ujian ini dari sudut positif. Dia menganggap kehamilan tersebut sebagai satu pinjaman sementara daripada Allah SWT.
“Saya reda dan yakin Allah beri yang terbaik. Saya anggap ini pinjaman untuk saya rasa pengalaman mengandung tanpa alahan,” katanya dengan nada tenang.
Kini, Shakira dikurniakan sembilan orang anak berusia antara lima hingga 23 tahun serta seorang cucu perempuan berusia lapan bulan, menjadikan kehidupannya penuh warna sebagai ibu dan nenek dalam satu masa.
Menurut Shakira, doktor memaklumkan bahawa dia masih boleh hamil sekiranya tidak merancang memandangkan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik. Namun jauh di sudut hatinya, dia merasakan sembilan anak sudah memadai buat masa ini.
“Kalau Allah nak beri rezeki lagi, saya terima dengan tangan terbuka. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya,” ujarnya.
Kisah hamil usia 50 tahun yang dikongsi Shakira ini menjadi peringatan buat semua mama bahawa setiap perjalanan kehamilan adalah berbeza. Apa pun ujian yang datang, keimanan, reda dan sokongan keluarga adalah kekuatan utama seorang ibu dalam menghadapi setiap ketentuan hidup.
BACA LAGI : Hamil Usia 51 Tahun Disangka Sakit Badan, Rupanya Rezeki Besar Tak Disangka
Sumber : Harian Metro