Karies botol sering dianggap masalah kecil, tetapi kisah seorang ibu ini membuktikan betapa besarnya kesan terhadap kesihatan gigi dan emosi anak kecil. Luahan ini membuka mata ramai tentang realiti kesakitan, ketakutan dan akhirnya kelegaan apabila semuanya berakhir dengan selamat.
Kadang kita tak sedar tabiat kecil seperti botol susu sebelum tidur boleh merosakkan gigi anak secara perlahan-lahan. Dengan tanda pagar #12batang gigi perkongsian ibu ini telah meraih perhatian ramai. Nyata kisah ini menjadi contoh jelas bagaimana penjagaan awal dapat mengelakkan masalah karies botol daripada menjadi serius.
Selalunya bila kita nampak kanak-kanak kecil hilang banyak gigi atau gigi nampak hitam, ramai tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Itu jugalah yang dialami oleh seorang ibu ini apabila ramai bertanya,
Di sebalik persoalan orang ramai, tersimpan sebuah perjalanan yang panjang bermula dengan sakit kepala, turun naik hospital, pemeriksaan demi pemeriksaan, sampailah ke satu keputusan besar: semua gigi anaknya perlu dicabut melalui pembedahan.
Cerita si ibu, beberapa bulan lepas, anaknya bangun pagi nak ke sekolah dengan keadaan yang luar biasa. Dia dikejutkan seperti biasa, tapi kali ini anaknya ikut sahaja tanpa membantah walaupun masa itu dia sedang sakit kepala yang kuat.
Pada waktu itu, tiada demam. Cuma pening, lesu, dan muntah dua kali ketika hendak dibawa ke klinik. Anak itu terus menjadi tidak aktif sesuatu yang sangat jarang berlaku.
Ibu ini kemudian membawa anaknya ke klinik. Doktor berikan ubat, tetapi keadaan tidak berubah.
Esoknya, mereka ke klinik sekali lagi. Kali ini doktor terus admit ke wad kerana simptomnya pelik dan tiada tanda punca yang jelas.
Disebabkan pening yang tidak berhenti-henti, doktor risau kemungkinan radang otak. Mereka mencadangkan prosedur mengambil air tulang belakang (lumbar puncture). Namun sebagai seorang ibu, dia tidak sanggup.
Akhirnya doktor rujuk kepada pakar dan kemudian ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk CT scan.
Anaknya masih perlu warded beberapa hari untuk dipantau oleh pakar pediatrik dan diberikan antibiotik serta ubat-ubat lain.
Semasa pemeriksaan rutin, doktor mendengar murmur pada jantung anak itu. Selepas di-scan, rupanya ada lubang kecil, sangat kecil tapi tetap memerlukan pemantauan.
Pada masa yang sama, doktor juga perasan keadaan gigi anak itu.
Terus dirujuk kepada pakar bedah mulut di HSNZ.
Selepas pemeriksaan pakar gigi kanak-kanak, keputusan sangat berat dibuat — semua gigi perlu dibuang, bukan satu, bukan dua.
Ibu ini kemudian masuk dalam senarai menunggu untuk tarikh pembedahan. Hampir 2 hingga 3 bulan menunggu sebelum doktor menghubungi untuk temujanji anestesia dan tarikh admit.
Disebabkan rumah jauh dari hospital, anak perlu masuk wad sehari sebelum operation untuk dipantau jika batuk atau demam, prosedur tak boleh dijalankan.
Pagi hari pembedahan, ibu atau ayah dibenarkan masuk sehingga anak ditidurkan.
Proses pembedahan tidak lama, dan selepas selesai, doktor pantau 30 minit di dalam dewan pembedahan sebelum menolak keluar. Anak itu sedar, tapi masih mamai.
Selepas empat jam baru dibenarkan makan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan selamat.
Pada tahap ini, barulah ibu benar-benar faham bagaimana karies botol boleh memusnahkan gigi tanpa disedari.
Ibu ini mengaku puncanya adalah karies botol, satu masalah biasa tapi ramai ibu bapa terlepas pandang.
Bagi ibu ayah lain, pengalaman ini menjadi peringatan penting tentang bahaya karies botol dan kepentingan penjagaan gigi sejak awal.
Sumber: Siti Nur Haliza
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!