Tidak dapat digambarkan perasaan ibu dan ayah menghadapi kenyataan ini. Doktor memberitahu jangka hayat ada sebulan lagi & terus berusaha untuk merealisasikan pemindahan sum sum tulang buat si kecil.
SEBULAN SELEPAS ULANG TAHUN PERTAMA
Hanya sebulan selepas ulang tahun pertama kelahiran bayi mereka, kegembiraan Haffiszattul Nur Akmar Samsudin, 30, serta Sheikh Muhammad Bukhary Sheikh Basir, 33, berganti air mata apabila permata hati mereka Sheikha Zulaikha disahkan menderita Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) atau masalah sistem imun badan tidak stabil, Februari lalu.
Akibat penyakit itu, perkembangan Zulaikha terbantut dan menjadi pasif. Badannya menjadi semakin membesar dan perut membuncit.
Sekali imbas Sheikha Zulaikha seperti bayi yang sihat dengan pipi dan tubuh montel, namun tiada siapa sangka dia menderita kerana perubahan itu hanya kesan ubat untuk melawan penyakitnya.
Bayi berusia 15 bulan itu antara 10 individu di Malaysia yang pernah direkodkan menghidap penyakit jarang jumpa ini berpunca daripada sistem imun tidak stabil dan terlebih aktif lalu menyerang badan sebelum merosakkan tisu serta organ.
COMEL TAPI SEBENARNYA SAKIT
Ads
Rawatan bagi penyakit ini sama seperti pesakit barah iaitu melalui beberapa sesi kimoterapi.
Haffiszattul berkata, berat anaknya naik mendadak daripada 8.7 kilogram (kg) kepada 12.4 kg kesan rawatan kemoterapi setiap dua kali seminggu.
“Semua orang kata Zulaikha comel (apabila melihatnya), saya sebak. Comel tapi sebenarnya sakit.
“Dia jadi begitu (gempal) disebabkan kesan steroid ketika kemoterapi.
HATI & LIMPA BENGKAK 10SM
Ibu ini turut menceritakan detik awal Zulaikha dikesan mengalami penyakit jarang dijumpai ini. Antara simptom awal ialah demam dan dijangkiti virus. Seterusnya hati & limpa si kecil ini membengkak.
“Pada mulanya Zulaikha demam panas sebelum doktor mengesahkan dia menghidap HLH berpunca daripada jangkitan Virus Epstein-Barr (EBV) dan menyebabkan hati dan limpanya membengkak 10 sentimeter,” katanya.
ADA MASA SEBULAN, PEMINDAHAN SUM SUM TULANG PERLU DISEGERAKAN
Ads
Katanya, pemindahan sum sum tulang dicadangkan pada 2 Mei ini berikutan Zulaikha hanya boleh bertahan dalam tempoh sebulan.
“Saya tergamam doktor memberitahu pemindahan sum sum tulang perlu dilakukan segera kerana jangka hayatnya dianggarkan sebulan saja.
“Jika tidak nyawa anak saya dalam bahaya dan mungkin tiada harapan hidup lagi,” katanya. Pensyarah kolej swasta di Kuantan sedang hamil ini berkata, suaminya melalui ujian pengesahan bagi memastikan kesesuaian sebagai penderma anaknya.
“Oleh kerana sukar mendapatkan penderma sum sum tulang dalam masa singkat, doktor mencadangkan suami sebagai penderma memandangkan kandungan saya baru memasuki tujuh bulan. Minggu depan, keputusan ujian keluar, saya harap sum sum tulang suami sepadan untuk bayi kami,” katanya.
44 KIMOTERAPI & PERLUKAN RAWATAN SEPANJANG HAYAT
Ads
Kata Haffiszattul, Zulaikha perlu menjalani 44 kitaran kemoterapi, tetapi baru masuk pusingan ketujuh, dia tidak dapat bertahan dan demam.
Menurutnya, buat masa ini, Zulaikha perlu menjalani kemoterapi untuk memastikan badannya stabil hingga tarikh pemindahan sum sum tulang dilakukan.
“Doktor beritahu peluang Zulaikha cuma 50 peratus saja dan jika berjaya dia tetap memerlukan rawatan sepanjang hayat.
CUMA BOLEH PANGGIL UMI
Ibu ini berkata, besar harapan mereka sekeluarga melihat Zulaikha sembuh dan menjalani kehidupan sempurna seperti kanak-kanak lain.
“Pada usia begini Zulaikha sepatutnya aktif tetapi dia perlu dikuarantin.
“Dia cuma boleh memanggil ‘umi’, satu perkembangan yang sepatutnya buat saya gembira, namun saya sedih sebab dia masih bertarung dengan penyakitnya.
“Saya harap dugaan ini sementara, malah saya selalu berdoa, Zulaikha bertahan dan boleh hidup macam kanak-kanak lain,” katanya.
KOS RM150K, MASIH PERLUKAN SUMBANGAN
“Tetapi apa saja terbaik kami cuba ikhtiar dan selebihnya tawakal,” katanya. Kos rawatan termasuk pemindahan sum sum tulang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dianggarkan RM150,000.
“Kos berkenaan termasuk ubat dan rawatan sebelum dan selepas pemindahan. Buat masa ini, kami baru kumpul RM20,000 hasil sumbangan rakan, keluarga dan wang simpanan serta masih perlu RM130,000.
Kepada yang ingin memberikan sumbangan meringankan beban dan menampung kos pemindahan sum sum tulang si kecil ini bolehlah menyalurkannya kepada Maybank Haffiszattul Nur Akmar Binti Samsudin (Semasa) 506016887265.
Baju arwah kini pengubat rindu buat anak setelah pemergian bapa dalam kemalangan yang cukup tragis akibat kecuaian orang lain baru-baru hari ini.
Itu yang dilalui oleh anak sulung Laskar Kanan Mohd. Rizal Buseri, 31, yang meninggal dunia selepas keretanya dilanggar di Taman Pelangi di sini beberapa hari lalu yang sangat merindui belaian bapanya.
Anak-anak mula cari bapa
Menerusi laporan Kosmo, kehilangan Mohd. Rizal dalam nahas itu memberi kesan mendalam kepada anak sulungnya, Nur Amani Raudah, 5, apabila kanak-kanak tersebut kerap memeluk baju bapanya sebelum tidur.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu saudara Mohd. Rizal, Nor Farhana Amir, 36, yang memberitahu, tiga anak mangsa mula mencari dan bertanya bapa mereka.
“Paling terkesan dengan kehilangan ini ialah anak sulungnya (Nur Amani).
“Dia kerap menangis dan cakap dia merindui bapanya, semasa tidur pun dia memeluk baju bapanya,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Mohd. Rizal yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia maut selepas keretanya dilanggar Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi.
Arwah Mohd. Rizal meninggalkan isteri, Nurul Asyiken Amir dan tiga anak berusia lima tahun hingga sembilan bulan.
Buat masa sekarang isteri arwah mohon diberikan masa dan belum bersedia untuk ditemubual kerana masih bersedih dengan pemergian suami tercinta.
Nasib isteri dan tiga anak yatim perlu dibela
Dalam pada itu, Nor Farhana memberitahu, mereka sekeluarga menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terperinci agar pesalah kes itu dikenakan hukuman setimpal atas kecuaian sehingga menyebabkan nyawa adik iparnya melayang.
“Nasib tiga anak dan isteri perlu dibela,” kata Nor Farhana.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bolehkah ibu yang menyusukan anaknya mengambil minuman kopi pracampuran untuk menambah kecergasan tubuh? Apakah pengambilannya secara harian boleh meninggalkan kesan buruk kepada bayi?
Pasti persoalan ini antara soalan yang sering berlegar di fikiran ibu menyusu yang sangat menggemari kopi sebagai minuman harian. Jika sehari tidak dapat menghirup kopi, pasti tidak lengkap kehidupan pada hari itu.
Menurut pakar laktasi, umumnya, ibu yang menyusukan bayi boleh makan atau minum apa sahaja yang diingini asalkan ia diambil dalam kadar yang sederhana. Untuk pengetahuan anda, kebanyakan ibu menyusu boleh minum minuman berkafein asalkan ia dalam amaun yang sederhana. Ketahuilah bahawa segelintir bayi terutamanya yang berumur bawah enam bulan mungkin lebih sensitif terhadap pengambilan kafein oleh si ibu.
Dalam pada itu, semasa hamil, adakah anda turut minum kopi setiap hari? Soalan ini ditanyakan kerana menurut pemerhatian kebanyakan bayi yang mana ibunya mengelak sepenuhnya pengambilan kafein sewaktu hamil memberi lebih reaksi terhadap kafein yang diambil ibunya pada masa kini.
Walau bagaimanapun, bayi anda mungkin tidak lagi sensitif sekiranya umurnya melebihi enam bulan. Sehubungan itu, bayi baru lahir perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memetabolismekan kafein berbanding bayi yang lebih berusia. Bayi pramatang atau bayi yang sakit juga mempunyai masalah dengan pengambilan kafein oleh si ibu.
Sementara itu, kafein telah diluluskan oleh American Academy of Pediatrics untuk diambil oleh ibu yang menyusukan bayinya. Seperti yang dinyatakan dalam Medications and Mother’s Milk (Hale), kafein tergolong dalam Kategori L2 Risiko Laktasi iaitu lebih selamat; paras susu agak rendah (0.06-1.5% dos ibu) dan biasanya meningkat satu jam selepas makan. Oleh itu, jika anda ingin minum kopi, minum selepas sesi penyusuan. Dengan yang demikian, paras kafein akan menurun pada sesi penyusuan seterusnya.
Satu kajian menunjukkan amalan meminum kopi yang kronik mungkin menurunkan kandungan zat besi dalam susu ibu (Nehlig & Debry, 1994). Berdasarkan Breastfeeding Answer Book (Nancy Mohrbacher), pengambilan kafein berlebihan oleh ibu iaitu melebihi 750ml sehari boleh memberi kesan kepada bayi di mana dia menunjukkan tanda-tanda rangsangan terhadap kafein.
Bayi yang terlebih rangsangan kafein menjadi aktif, bermata luas dan tidak tidur untuk tempoh yang lama. Dia juga mungkin menjadi cerewet. Jika ini terjadi, kurangkan atau hentikan pengambilan untuk dua hingga tiga minggu untuk melihat sebarang perbezaan.
Jika anda teragak-agak berkenaan amaun kafein, perhatikan kelakuan bayi. Itu sahaja cara untuk anda kenal pasti dan mendapat jawapannya. Amaun kafein yang mungkin menjejaskan bayi adalah berbeza antara seorang bayi dengan bayi yang lain. Ia bergantung pada umur dan tahap kesihatan bayi. Dianggarkan amaunnya perlu kurang daripada cawan bersaiz 5oz atau 500mg/sehari. Malah, pelbagai sumber menyarankan had bagi pengambilan kafein adalah antara 300mg hingga 750mg/sehari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rupanya berus botol susu anak pun kena cuci bersih untuk elak pembiakan bakteria. Tapi berapa ramai ibu-ibu yang buat langkah mencucinya?
Selama ini mungkin kita lebih prihatin terhadap penjagaan botol susu anak dan ada yang terlupa berus botol susu pun tak kurang pentingnya untuk dicuci dan dibasmi daripada kuman.
Bila baca perkongsian oleh seorang ibu, Yatie Eimran barulah tepuk dahi sebab selama ni dah abaikan bab mencuci berus botol susu anak. Jom sama-sama kita semak cara cuci berus botol susu si manja.
Berus Botol Perlu Dibasuh?
Baru-baru ni saya berkesempatan join forum geng mak-mak. Dah name pun mak-mak, macam-macam petua & tip untuk anak keluar. Salah seorang ahli timbulkan isu berus botol susu.
Sebenarnya saya agak terkejut juga dalam ramai-ramai ahli tu, lebih dari separuh tak pernah & tak tahu pun perlu bersihkan berus botol susu anak.. Ada yang anak dah 2-3 pun tak pernah basuh berus botol & boleh sambung je guna berus untuk anak seterusnya sebab beli berus botol jenama mahal & masih elok lagi.
Selain botol susu & komponen-komponennya (puting, ring, dll), berus botol jugak perlu dijaga kebersihannya terutama berus botol jenis berspan. Segala saki baki & kerak susu akan melekat/termendap pada pangkal berus & span kalau tak dicuci dengan bersih. Kekotoran tu lama-lama akan jadi punca pembiakan bakteria pulak. Berus botol tu dah la digunakan hari-hari untuk cuci botol susu anak.. Macam mana nak basuh botol anak dengan bersih kalau berus yang digunakan pun tak bersih.
Selalunya, mak-mak tukar berus botol bila dah rosak aje kan? Jenis berspan, biasanya mak-mak akan tukar bila span dah mula rosak/tercabut. Bagi berus yang berjenama & berkualiti, dah tentu-tentulah boleh bertahan/diguna lebih lama.. Bukan isu harga, tapi ini tentang kebersihan. Berus botol mahal atau murah, kedua-duanya perlu dibersihkan supaya ianya selamat digunakan untuk mencuci botol susu anak.
Bukan setakat berus berus botol sahaja, berus kecil untuk puting, berus untuk straw, berus khas (untuk valve pada puting, dsbnya) & berus gigi anak juga perlu dibersihkan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Saya gunakan 2 berus botol, satu untuk kegunaan harian di rumah & 1 lagi khas untuk travel sahaja. Berus botol untuk dibawa travel & berus untuk straw (jarang guna) saya bersihkan bila perlu sahaja (lepas selesai guna & sebelum simpan). Walaupun dibersihkan, berus botol tetap kena tukar bila sampai masanya. Saya gunakan berus botol jenis tak berspan & tukar berus baru bila berus semakin mengembang.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Air panas menggelegak
Sedikit sabun pencuci botol
Cuka* (optional)
Bekas untuk merendam berus
Berus gigi baru (saya gunakan berus gigi murah-murah yang dibeli khas untuk bersihkan berus botol sahaja)
Cara membersihkan berus botol (termasuk juga berus gigi)
Masukkan air panas menggelegak ke dalam bekas yang bersesuaian (pastikan berus terendam sepenuhnya)
Tambahkan sedikit cuka. (saya gunakan 1 bahagian cuka & 5 bahagian air)
5. Gunakan berus gigi yang baru, gosok dibahagian pangkal & dicelah-celah berus untuk tanggalkan kekotoran & segala mendapan.
6. Basuh bersih & keringkan.
Nota penting**
*Cuka bukan sahaja bertindak memudahkan kotoran tertanggal tapi juga boleh membasmi kuman
*Jika tiada cuka, boleh juga bersihkan berus botol gunakan air panas & pencuci botol sahaja
*Disarankan guna larutan cuka ni sekurang-kurangnya sebulan sekali atau bagi mak-mak yang pertama kali bersihkan berus.
*Untuk berus gigi anak saya rendam berasingan. Bukan setakat berus gigi anak kecil, tapi berus gigi orang dewasa pun boleh guna cara ni (berus gigi perlu ditukar 3 bulan sekali)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!