Bila anak anda melecur tangan akibat terkena air panas atau minyak panas cepat-cepat siramkan air panas ke tempat yang cedera. Itu pesanan ringkas yang dikongsikan oleh seorang doktor yang berpengalaman mengendalikan banyak kes membabitkan anak kecil cedera melecur.
Apabila sudah bergelar ibu bapa, anda wajib tahu bantuan rawatan asas untuk sebarang kes kecemasan. Ini kerana bila ada anak kecil, risiko berlaku sebarang kemalangan kecil di rumah mungkin ada.
Sebenarnya dengan tindakan pantas anda membuat rawatan kecemasan asas mampu menyelamatkan nyawa si kecil atau pun sekurang-kurangnya mengurangkan tahap kecederaan yang akan dialami.
Seorang doktor perubatan yang juga bergelar ibu, Hana Hadzrami berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang perkara asas yang perlu ibu bapa lakukan jika anak terkena minyak atau air panas di dalam facebook beliau.
“Beberapa bulan dahulu saya menjaga seorang bayi berumur setahun yang dirawat PICU akibat melecur lebih 40% badan. Habis kepala, muka, dada, tangannya kehilangan kulit, hanya tinggal isi yang merah.
Satu badan berbalut dengan hanya menampakkan sebahagian muka (sebahagian lagi ditutup dengan lapisan kolagen) dan kedua-dua belah kaki.
Dia memerlukan bantuan pernafasan dengan mesin bantuan hayat kerana tak mampu bernafas dengan baik.
Anak itu memerlukan pembedahan buang lapisan tisu mati serta menukar balutan (dressing) pada badannya setiap selang sehari.
Tersiram air kopi
Setiap kali dressing dilakukan ianya perlu dibuat di dewan bedah dengan bius penuh. Ini kerana tisu kulit yang mati atau membusuk harus dikikis buang untuk mencegah jangkitan kuman.
Puncanya ialah bayi itu menaiki walker dan menarik alas meja makan. Di atas meja pula ada seteko air panas yang baru setengah jam siap dididih.
Ads
Air panas itu telah tersiram pada kepala dan sebahagian besar tubuhnya. Menggelupur anak itu menahan sakit.
Saya teringat anak saya dulu sewaktu berumur dalam 3-4 tahun pernah tersiram kopi panas yang baru dibancuh dengan air mendidih; belum 15 minit selepas didih pun.
Kopi itu saya letakkan di rak almari sebelah atas. Namun anak saya telah memanjat almari dan mencapainya. Lalu kopi panas tersiram daripada kepala sampai ke badannya. Anak tadi melecur teruk sampai masuk ICU. Manakala anak saya selamat tak jadi apa-apa. Syukur!!
Rawatan asas
Kenapa boleh berbeza hasilnya sedangkan mengalami kemalangan yang sama? Bezanya ialah saya mengetahui bantuan rawatan asas (first aid) dan dengan izin Tuhan, berjaya mengaplikasi pengetahuan tersebut kepada anak sendiri.
Sebaik saja tersiram kopi panas, segera saya bawa dia ke bilik air dan saya siramkan air paip secara berterusan. Dengan bajunya sekali saya siram (kerana bajunya tipis).
Ads
Siraman itu perlu berterusan sehinggalah dia tak lagi berasa sakit dan tiada lagi kesan merah pada badannya.
Manakala anak yang malang tadi; ibubapanya tiada pengetahuan first aid. Dalam keadaan panik, terus anak itu di bawa ke hospital. Kulit yang tersiram air panas terus ‘masak’ secara perlahan-lahan kerana haba terus masuk kedalam kulit secara langsung.
Sampai di hospital, semua dah terlambat; lecur tadi dah jadi third degree burn. Kesian si anak perempuan tadi. Wajah dan tubuhnya takkan kembali seperti dulu!
Petua
Kerap saya terdengar cara merawat lecur dengan cara menyapu ubat gigi atau dengan merendam anggota melecur dalam guni tepung . Ada juga yang suruh sapu minyak masak. Bermacam jenis petua ada.
Petua-petua tersebut diturunkan oleh nenek moyang dengan niat baik. Namun ianya kurang tepat dan boleh memburukkan keadaan jika lecur itu serius dan melibatkan kawasan besar.
Jika tersiram minyak atau air panas, jangan panik. Segera bawa mangsa ke bilik air dan lalukan dengan air paip secara berterusan selama sekurang-kurangnya 20 minit atau hilang rasa sakit.
Jika anggota melecur dilitupi dengan barang kemas, lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’.
Ads
Percayalah, jika first aid dilakukan dengan segera; jangankan melecur, tanda merah pun tiada. Belajarlah asas rawatan seperti mengendalikan luka kecil dan pendarahan, memberi rawatan permulaan bagi luka melecur, kerana kemalangan kerap terjadi dalam rumah.
Dengan pengetahuan rawatan asas, anda boleh mencegah kecederaan yang lebih besar.
Simpan barang berbahaya
Paling baik jika ada anak kecil di rumah ialah menjadikan rumah anda baby-friendly supaya kemalangan dapat dicegah.
Simpan segala alas meja, perhiasan kaca atau kristal. Elakkan wayar elektrik berjuntai ke bawah. Simpan benda tajam dan berbahaya di tempat yang tak boleh dicapai oleh anak kecil.
You can make a difference!
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dikongsikan buat Ibu bapa semua. Apa yang penting lebih berhati-hati dan membuat rawatan asas yang betul jika berlakunya kemalangan ini.
Sumber: Hana Hadzrami
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tanggungjawab sebagai bapa bukan mudah. Lagi-lagi membesarkan anak. Bagi pengacara My Doctors, Dr Say Shazril dia akui jika anak sakit, memang tak senang duduk.
Selepas bayinya disahkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru baru-baru ini, perasaannya hanya Allah yang tahu. Sebab itu sebagai bapa, Dr Say rasa bertanggungjawab untuk berkongsi kepentingan mengambil vaksin tambahan untuk bayi.
Menurut Dr. Say, vaksin tambahan seperti Pneumococcal dan Rotavirus perlu untuk bayi terutama anaknya yang baharu sahaja terkena jangkitan kuman di paru-paru, bagi mengelak dari jatuh sakit.
“Lepas apa yang berlaku kepada baby saya baru-baru ini (jangkitan kuman di paru-paru). Saya dan bini decide its best Ace ambil optional vaccine terutamanya Pneumococcal kerana kuman nowadays makin ketegaq. Maka here we are having our Pneumococcal + Rotavirus + compulsory vaccines.
“Mesti ada yang tertanya-tanya ‘Tak apa ke doc cucuk banyak-banyak vaccine tu dalam satu masa? Sebab pergi klinik ada yang kata kene tunggu sebulan untuk dapatkan vaccine seterusnya’. Jawapanny IT’S OKAY dan saya dah confirm kan dengan pakar kanak-kanak Datin Dr Asmiati ni, cumanya satu tu cucuk kat peha kanan, satu lagi cucuk kat peha kiri.
“Mungkin ada pula yang concern ‘tak kasihan ke doctor kena cucuk banyak-banyak satu hari?’. Jawapan saya, lagi kasihan kalau baby kita kena cucuk almost hari-hari sekiranya dia di warded sebab tangisan dan jeritan dia each time kena ambil darah hari tu buat saya cukup sayu tapi saya faham itu semua perlu,” tulisnya.
Dr. Say berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, dia memuat naik foto anaknya dan isteri, Dr. Azura Abas bersama doktor yang bertanggungjawab memberikan vaksin tersebut kepada anaknya.
Bagaimanapun, Dr. Say membuat kesimpulan sebenarnya vaksin tambahan tersebut hanya pilihan sahaja dan bergantung kepada keperluan setiap bayi.
“Kesimpulannya memang tak wajib ambil vaccine optional ni sebab namanya pun optional (pilihan). Tapi kalau anak anda sering batuk selsema atau anak anda dijaga pengasuh / daycare ape salahnya anda HARUSKAN yang optional itu untuk kebaikan dia dan kebahagiaan anda juga sebab teramat menyedihkan melihat yang tersayang kita sakit,” jelasnya lagi.
Perkongsian tersebut dipersetujui oleh ibu bapa kerana ramai menganggap sekarang persekitaran untuk anak-anak dah tak selamat.
Dr. Say dan isterinya, Dr. Azura berkahwin pada 30 Mac 2014 dan mereka menimang cahaya mata pertama pada 5 Mei lalu.
Sumber: ig Dr Say Shazril
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mana-mana wanita yang pertama kali bersalin, perlu tahu bahawa urutan adalah rutin yang sangat penting dalam amalan berpantang.
Sejak daripada dahulu hingga kini, urutan selepas bersalin masih diamalkan kerana banyak manfaatnya kepada anda apabila ia menunjukkan kesan positif.
Berikut adalah antara kebaikan dan kepentingan urutan selepas bersalin yang patut anda tahu.
Melegakan sakit badan
Proses kehamilan dan kelahiran adalah sesuatu yang memenatkan. Tanpa anda sedar, ia memberi tekanan kepada bahagian tubuh tertentu terutamanya bawah abdomen, belakang, dan pinggang.
Selepas bersalin, bahagian berkesan masih tertekan kerana ia digunakan sepanjang anda menjaga dan menyusukan bayi. Sesetengah posisi penyusuan jika tidak dilakukan dengan betul boleh menyebabkan ketidakselesaan badan.
Urutan akan membantu anda untuk lebih relaks selain melegakan kesakitan yang dialami.
Melancarkan perjalanan darah
Urutan lembut di seluruh badan mampu melancarkan perjalanan darah di samping membantu membuang toksin dalam badan.
Dengan teknik yang betul, ia berupaya mengeluarkan darah beku yang terperangkap di dalam rahim.
Mempercepatkan proses pemulihan
Urutan yang dilakukan di bahagian tertentu tubuh dapat membantunya sembuh segera. Dapatkan tukang urut bertauliah dan berpengalaman untuk mengelakkan sebarang risiko.
Melancarkan pengeluaran susu ibu
Urutan diyakini berkesan dalam mengatasi masalah berkaitan pengeluaran susu ibu.
Ada benarnya kerana apabila berurut, tubuh akan menjadi kurang stres dan secara tidak langsung membantu proses penghasilan susu ibu dengan lebih efektif.
Selain itu, sentuhan juga membantu rembesan hormon oksitoksin yang mencetuskan let down reflex, lalu menggalakkan produksi susu ibu daripada puting payudara.
Mencegah tekanan
Urutan dapat membantu anda berasa relaks. Selain sentuhan dan tekanan urutan lembut, aroma daripada minyak herba juga membantu anda berasa lebih tenang.
Apabila kurang stres, anda akan lebih yakin menguruskan bayi dan mampu menjaga kesihatan diri dengan baik. Dengan yang demikian, risiko meroyan dapat dikurangkan.
Membentuk tubuh
Urutan juga dapat membantu memecahkan lemak yang terkumpul semasa kehamilan. Malah dengan pemakaian bengkung, ia akan membantu mempercepatkan proses pemulihan dan membentuk tubuh agar kelihatan langsing.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehamilan adalah satu pengalaman hidup yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain. Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata.
Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah. Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang berupaya untuk mengganggu kesuburan dan fungsi reproduktif normal wanita sekali gus mempengaruhi peluang untuk wanita mengandung.
Justeru, kegembiraan akan jelas terserlah apabila mengetahui bahawa zuriat yang dinanti-nantikan semakin dekat dengan realiti. Namun yang demikian, timbul pula soalan-soalan berkaitan proses bersalin yang bakal tiba. Adakah anda bersedia? Adakah ianya akan menyebabkan kesakitan yang teruk? Jika ya, apakah pula doa mudah bersalin atau tip-tip lain yang boleh anda praktikan untuk mendapatkan proses bersalin yang selamat dan lancar?
Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak aspek-aspek berkaitan keadaan anda dan juga proses kelahiran anda bergantung kepada penjagaan di hospital oleh doktor dan juga jururawat. Namun, terdapat juga beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menyediakan diri anda. Artikel ini akan membincangkan doa mudah bersalin (khususnya untuk penganut agama islam) serta tip-tip lain yang boleh anda amalkan bagi menyediakan diri anda untuk proses bersalin, sekali gus menjadikan ianya lebih lancar dan kurang menyakitkan.
Komplikasi yang boleh berlaku ketika bersalin
Proses bersalin bukanlah tanpa sebarang komplikasi. Oleh yang demikian, pesakit yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akan diberikan perhatian yang lebih ketika mereka bersalin di hospital. Berikut adalah komplikasi-komplikasi yang lazimnya, atau boleh berlaku ketika bersalin.
Bahu bayi tersekat
Keterjadian bahu bayi tersekat ketika proses menyambut kelahiran bayi tersebut adalah satu mimpi ngeri bukan sahaja untuk si ibu, malahan untuk para doktor dan jururawat di sekelilingnya. Ianya adalah salah satu komplikasi popular ketika proses kelahiran (labour) berlangsung. Apa yang lebih merisaukan adalah ianya merupakan komplikasi yang tidak boleh diduga, justeru tidak boleh dibendung. Definisi keadaan ini adalah apabila pergerakan-pergerakan tambahan diperlukan (berbanding pergerakan biasa) untuk mengeluarkan bahu bayi tersebut. Ini terjadi apabila bahu bayi tersebut tersangkut pada simfisis pubis ibu atau bahagian unjuran/promontori sacrum. Lazimnya, satu tanda yang diperhatikan berlaku apabila insiden bahu tersekat ini terjadi dan tanda tersebut disebut sebagai ‘turtle sign’, merujuk kepada keadaan kepala bayi yang, apabila sudah terkeluar sedikit, ianya termasuk semula ke dalam, seolah-olah melekat pada perineum si ibu.
Keterjadian bahu bayi tersekat ini membawa komplikasi lain yang tidak terhad untuk ibu sahaja, bahkan untuk bayi tersebut. Untuk bayi yang ingin dilahirkan, komplikasi yang mungkin berlaku, dan cukup digeruni adalah kecederaan brachial plexus dan juga kecederaan hipoksisk-iskemik otak. Bagi si ibu pula, komplikasi yang berupaya untuk berlaku adalah pendarahan selepas bersalin (post-partum haemorrhage), luka melecet pada dinding faraj, kekoyakan perineum dan juga kekoyakan rahim (uterine rupture).
Bahagian muncul bayi yang tidak normal (Malpresentation)
Komplikasi ini merujuk kepada bahagian pertama yang muncul atau keluar daripada faraj si ibu. Beberapa minggu sebelum anda sudah cukup bulan untuk bersalin, kedudukan bayi dalam rahim anda adalah dalam posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. Dengan posisi ini, bahagian kepala bayi yang paling kecil mendahului penurunan ke dalam pangkal rahim, sebelum keluar melalui faraj. Posisi ini dikenali sebagai verteks (kepada bawah) occiput anterior (OA).
Memandangkan bahagian kepala bayi adalah bahagian yang paling besar dan paling fleksibel, posisi ini adalah posisi yang terbaik untuk bayi tersebut keluar. Dengan cara ini, risiko badan bayi untuk tersekat atau terhalang ketika ingin dilahirkan, dapat dikurangkan ke paras yang minimum. Posisi ini juga mengurangkan risiko untuk kekoyakan faraj/perineum pada darjah yang lebih tinggi.
Namun yang demikian, sesetengah bayi tidak berada dalam posisi ini ketika dalam proses kelahiran (labour). Sebaliknya, mereka boleh berada dalam posisi di mana punggung atau kaki mereka yang masuk menuju ke dalam pelvis. Ini disebut sebagai ‘breech presentation’. Lazimnya, kedudukan sebegini akan dilihat melalui ujian pengimejan ultrasound ketika tempoh-tempoh awal janji temu berkala dengan doktor namun majoriti mereka akan mengambil kedudukan verteks OA semula apabila menghampiri tempoh cukup bulan untuk dilahirkan. Malangnya, segelintir daripada mereka akan mengalami keadaan di mana bayi tersebut tidak berada dalam posisi verteks OA apabila semakin dekat dengan tempoh bersalin.
Breech presentation ini berupaya untuk membawa kepada komplikasi lain yang boleh mengancam nyawa si ibu dan juga si bayi. Antara komplikasi yang berkait rapat dengan keadaan ini, dan berupaya menyebabkan kematian sekitar proses bersalin (perinatal mortality) adalah prolaps tali pusat, asfixia ketika bersalin dan juga kepala bayi tersekat.
Pendarahan pasca-bersalin
Pendarahan pasca-bersalin adalah salah satu komplikasi yang cukup digeruni oleh pakar perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), keadaan ini adalah punca kematian utama ibu di dunia, dengan anggaran 35% daripada keseluruhan kematian ibu mengandung disebabkan olehnya. Menurut WHO lagi, dianggarkan seramai 14 juta wanita menghidap PPH setahun, dengan kadar kematian majoritinya berlaku dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara dan akronim yang digunakan untuk pengelasan punca-punca pendarahan pasca-bersalin adalah ‘4T.’ 4T merujuk kepada Tone, Trauma, Thrombin dan juga Tissue. Tone di sini merujuk kepada tona rahim, khususnya ketiadaan tona rahim (uterine atony). Ini adalah punca utama mengapa terjadinya pendarahan pasca-bersalin dan ketiadaan tona rahim menyebabkan ianya tidak mampu untuk mengecut, atau tidak mampu untuk mengecut dengan cepat. Pentingnya untuk ia mengecut adalah untuk menutup kebocoran salur darah selepas uri dipisahkan daripada dinding rahim. Punca di bawah tajuk Trauma pula merujuk kepada mana-mana bahagian sistem reproduktif yang terlibat dalam proses bersalin, yang tercedera sehingga pendarahan banyak berlaku. Tissue pula merujuk kepada uri atau cebisan uri yang mungkin tertinggal di dalam rahim dan tidak habis dikeluarkan. Memandangkan ianya kaya dengan salur darah, kewujudannya dalam rahim secara berterusan akan menyebabkan pendarahan terus-menerus berlaku. Akhir sekali, Thrombin di sini merujuk kepada masalah-masalah atau keadaan kesihatan yang berkait rapat dengan faktor darah pesakit, khususnya jika pesakit mempunyai keadaan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan proses penutupan luka dan pemberhentian pendarahan mereka terjejas. Contoh keadaan yang dimaksudkan adalah Haemophilia.
Kekoyakan faraj/perineum darjah tinggi
Kekoyakan perineum akibat proses bersalin adalah sesuatu yang sangat lazim berlaku. Malahan, kekoyakan ini, dalam kebanyakan kes, adalah perlu untuk memudahkan pengeluaran bayi tersebut. Untuk tujuan itu, doktor mungkin akan melakukan guntingan episiotomi bagi membuka ruangan untuk bayi tersebut keluar. Namun yang demikian, kekoyakan perineum melalui guntingan episiotomi adalah sesuatu yang terkawal dan pada darjah koyak yang lebih rendah. Darjah kekoyakan perineum ini terbahagi kepada 4 dan darjah 4 adalah yang paling teruk, membabitkan kekoyakan yang mencapai lapisan epitelium anus, sehingga terbentuknya laluan antara epitelium faraj dan juga epitelium anus.
Untuk kekoyakan darjah satu atau dua, komplikasi jangka masa panjang adalah sangat jarang berlaku. Untuk kekoyakan perineum darjah tiga dan empat pula, 60 hingga 80% daripada wanita tidak mengalami apa-apa simtpom atau komplikasi dalam masa 12 bulan pertama. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah tidak lawas membuang air besar, rasa sakit di bahagian tersebut ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan dan juga rasa sakit perineum yang kronik. Namun yang demikian, walaupun tidak lazim keterjadian komplikasi-komplikasi ini, ianya boleh kekal selama-lamanya pada pesakit, khususnya rasa sakit kronik di bahagian perineum.
Bagaimana untuk mengurangkan darjah kekoyakan faraj yang tinggi ketika bersalin?
Beberapa faktor yang meningkatkan risiko koyakan vagina yang teruk termasuklah berat bayi berlebihan, bayi dilahirkan pada kedudukan posterior (muka), episiotomi, waktu bersalin yang lama dan penggunaan alat bantuan waktu bersalin, terutamanya alat forsep. Pun begitu, risiko tersebut boleh dikurangkan melalui beberapa langkah untuk anda cuba:
Kekal sihat – Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa waktu untuk meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin. Adalah penting untuk mengekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.
Urutan perineum – Ibu hamil disyorkan untuk cuba melakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Cara paling berkesan adalah dengan menggunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda. Dengan itu, anda dapat mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.
Menggunakan alat Epi-No – Kaedah ini melibatkan kemasukan alat boleh kembung seperti belon ke dalam vagina seminggu sebelum bersalin untuk memastikannya meregang pada tahap tertentu untuk meningkatkan fleksibiliti. Walaupun mungkin kedengaran aneh, tetapi kaedah ini telah terbukti lebih berkesan dan lebih selesa untuk ibu hamil berbanding penggunaan urutan perineum tradisional.
Pastikan perineum anda hangat – Suhu hangat meningkatkan aliran darah, melembutkan dan mengendurkan tisu kulit pada bahagian yang dihangatkan. Sebelum bersalin, anda boleh meminta bidan menekan tuala hangat dan basah dengan lembut pada kawasan tersebut atau anda boleh bersalin dalam tab mandi yang mengandungi air suam atau sedikit hangat.
Persediaan untuk melalui kelahiran normal
Kebanyakan ibu yang sedang hamil akan berasa risau mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dilakukan sebelum melahirkan bayi dan ini adalah normal. Jika anda bercadang untuk bersalin secara normal, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Ketahui peringkat kelahiran
Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walau bagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:
Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.
Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Melahirkan bayi sememangnya satu proses atau prosedur yang akan mendatangkan kesakitan kepada para ibu. Namun begitu, selain berzikir, beristighfar dan membaca doa mudah bersalin, terdapat teknik lain yang yang boleh anda lakukan, misalnya hypnobirthing.
Dicipta oleh seorang pakar hipnoterapi dari Harvard University Ford Foundation iaitu Marie “Mickey” Mongan, hypnobirthing adalah sejenis teknik meditasi yang dilakukan oleh ibu hamil untuk tujuan melahirkan bayi dengan lebih mudah. Teknik ini dilakukan dengan menggunakan metode hipnosis bagi membantu ibu hamil berasa lebih relaks secara mental, fizikal dan rohani. Selain itu, teknik ini juga dilakukan untuk membantu mereka melawan perasaan takut dan mengurangkan rasa sakit serta rasa letih ketika melahirkan bayi. Berbanding menggunakan perkataan seperti sakit atau letih, teknik ini akan menggantikannya dengan perkataan tekanan. Kontraksi pula akan digantikan dengan perkataan seperti pusuan atau gelombang.
Teknik ini akan melibatkan penggunaan muzik, visual, perkataan dan pemikiran yang positif untuk tujuan merelakskan badan, mengawal pernafasan serta sensasi ketika melahirkan bayi. Ia boleh dilakukan secara sendiri atau mendapatkan bantuan daripada pakar hipnoterapi. Namun begitu, mereka ini mungkin tidak akan berada di sisi ketika proses bersalin hampir dekat, oleh itu, anda disarankan untuk mempelajarinya sendiri.
Uruskan bulu ari-ari anda
Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.
Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi
Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:
-Tanda-tanda kelahiran
-Progres kelahiran yang normal
-Teknik menghadapi kesakitan
-Bagaimana pasangan anda boleh membantu
-Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat
-Tanpa mengira keputusan anda untuk bersalin di rumah, di pusat bersalin atau hospital, perkara-perkara asas ini akan membantu anda bersedia untuk bersalin secara normal.
-Anda juga boleh menghadiri kelas agama berkaitan proses bersalin. Kelas seperti ini akan mendidik anda tentang bersuci serta tip-tip dan doa mudah bersalin bagi memudahkan proses kelahiran.
Doa mudah bersalin serta aspek spiritual lain yang boleh membantu semua wanita yang mengandung inginkan proses bersalin yang lancar serta selamat. Untuk seorang muslim, doa adalah senjata utama mereka dalam mengharungi pancaroba kehidupan. Justeru, mengamalkan doa mudah bersalin dan amalan-amalan lain adalah digalakkan bagi mendapatkan proses bersalin yang mudah.
Terdapat dua jenis doa yang dianjurkan oleh alim ulama dan ahli agama yang sesuai dijadikan amalan, ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai doa mudah bersalin, bahkan doa untuk memperoleh keselamatan dan zuriat yang baik. Koleksi doa mudah bersalin ini boleh dibaca oleh ibu yang menunggu saat melahirkan anak dan oleh mereka yang menunggu kelahiran bayi seperti suami atau ibu bapa. Senarai doa mudah bersalin di bawah ini adalah berdasarkan ayat-ayat daripda kitab suci Al-quran.
Doa mudah bersalin yang boleh ibu amalkan ketika ingin bersalin
“Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, apa yang kurang sempurna, dan apa yang bertambah dalam rahim. Dan setiap sesuatu ada kadar ukuran di sisi-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 8)
“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah kemudian daripada air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya. Dan tidak dipanjangkan umur seseorang dan tidak pula dikurangkan umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Luh Mahfuz). Sesungguhnya, yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah Al-Nahl, ayat 78)
Doa mudah bersalin yang dibaca oleh orang menunggu ibu bersalin (suami sangat digalakkan baca doa ini)
“Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
“Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.” (Surah Al-Zalzalah, ayat 1-2)
InsyaAllah, jika sering diamalkan, doa mudah bersalin di atas mampu untuk memberi kekuatan kepada anda dan juga keluarga anda. Doa mudah bersalin di atas juga dapat dijadikan sumber pahala dan taqwa kepada tuhan. Kalau anda sedang menunggu hari untuk bersalin, belajarlah menjadi lebih positif untuk melalui pengalaman melahirkan anak.
Sememangnya, ianya adalah pengalaman yang ditakuti oleh semua wanita hamil tetapi pahala daripada-Nya pasti diberikan kepada si ibu.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.