Sedangkan lidah lagi tergigit, apa lagi suami isteri. Berselisih faham dalam rumah tangga itu adalah perkara normal. Setiap pasangan pasti akan melaluinya. Cara terbaik untuk menyelesaikan konflik dengan pasangan adalah dengan berbincang. Sesetengah wanita atau lelaki, cenderung untuk memberitahu tentang masalah perkahwinan di media sosial. Bukankah ia umpama membuka aib sendiri?

Artikel Menarik: [Kalau Rambut Isteri Kerap Gugur, Hiburkanlah Hatinya! Wanita Makhluk Paling Penat]

Meluahkan rasa tidak puas hati dengan pasangan secara terbuka di media sosial adalah HARAM kerana ia boleh menyebabkan salah faham serta fitnah tersebar. Bahkan keadaan juga semakin bermasalah dan menjadi keruh. Menurut pendakwah bebas, Noraini Mat Din atau lebih dikenali sebagai Ustazah Nony berkata tindakan meluahkan perasaan dengan niat memohon pendapat berkenaan rumah tangga di media sosial bukanlah jalan terbaik buat suami mahpun si isteri.

Memetik sebuah artikel di Sinar Harian, Ustazah Nony mengatakan kemudaratan yang lebih besar bakal berlaku daripada tindakan itu. Misalnya keaiban pasangan dan ahli keluarga mereka akan menjadi bualan ramai. Salah faham begitu akan mengakibatkan salah faham serta prasangka buruk yang menyebabkan orang ramai menghukum tanpa mengetahui kisah sebenar.

Bimbang juga jika ada pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi ini sekali gus menjadi punca kepada keretakan yang lebih besar, termasuklah boleh menyebabkan kecaman netizen dan menjadi sebab kepada mengumpat serta mencela beramai-ramai

MENGURUS KONFLIK
Menurut Ustazah Nony lagi, kesan daripada perbuatan itu, ia bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada pasangan bahkan ia juga mengundang kepada reaksi negatif pelbagai pihak dan boleh membarah dalam masyarakat.

Justeru katanya, tindakan berkongsi masalah di media sosial berkenaan hal rumah tangga amatlah ditegah.

“Oleh itu, carilah jalan penyelesaian dan perdamaian dengan cara bersemuka antara satu sama lain dan bukannya melalui atas talian,” katanya.

Artikel Menarik: [Sentuh Hati Anak-Anak Dengan NAsihat Dalam 3 Waktu Ini. Sangat Berkesan!]

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah yang digariskan Islam kepada suami isteri sebagai persediaan menempuhi gerbang perkahwinan, antaranya ialah kematangan dalam kerangka berfikir pasangan berkenaan.

Menurutnya, ia merangkumi cara berfikir, membuat keputusan, perbuatan dan tindakan, komunikasi serta pergaulan.

“Suami dan isteri mestilah matang dalam berbincang, membuat keputusan, menjalankan tanggungjawab dan hak, menguruskan konflik dan menguruskan rumah tangga.

“Kematangan suami dan isteri ternilai daripada cara mereka menguruskan konflik,” katanya. Kekalkan keharmonian rumah tangga.

Menurutnya, Islam mengajar umatnya beberapa cara untuk kekal harmoni dan mengatasi masalah dalam rumah tangga.

“Pertamanya, berkomunikasilah. Suami dan isteri mesti memahami pasangan masing-masing.

“Contohnya, apabila suami tidak gemar tindakan isteri maka ajaklah berbincang dan mohon isteri membuat semakan dan tegurlah secara berhemah,” katanya.

Menurutnya, suami dan isteri juga perlu meningkatkan amal ibadat dan sentiasa saling menasihati berkenaan agama.

Artikel Menarik: [Isteri Yang Tengah Stres, Cepat-Cepat Duduk Bawah Ketiak Suami. Terus Lega!]

“Ibadah sempurna akan memandu rumah tangga sekali gus menjadikan hubungan sentiasa terjaga,” katanya.

TIP BAGI MEREKA YANG BERHADAPAN KONFLIK RUMAH TANGGA

* Suami dan isteri yang mempunyai masalah ataupun tidak, mesti saling berkomunikasi secara berhadapan.
* Komunikasi melalui atas talian tidak mempunyai nada, mimik muka dan sukar untuk dibuat penjelasan maka elakkan meregangkan kekusutan antara pasangan melalui atas talian.

* Suami dan isteri mestilah duduk berbincang terutamanya apabila berhadapan konflik rumah tangga.Melarikan diri, atau mewakilkan orang untuk berbincang dan menyelesaikan masalah sebenarnya tidak membantu meregangkan konflik bahkan boleh menyebabkan ia lebih buruk.
* Sekiranya perlukan orang tengah untuk membantu komunikasi dan perbincangan antara suami isteri maka ajaklah saudara. Sama ada daripada sebelah suami atau sebelah isteri atau kedua-duanya untuk memurnikan dan memberi pendapat, atau suami isteri boleh membawa hal ini berjumpa bahagian kaunseling rumah tangga.

Sumber: Sinar Harian