Ketika hari minggu, apa aktiviti yang biasanya anda lakukan sekeluarga? Biarpun sibuk, seharusnya pada hari Sabtu dan Ahad, masa diluangkan bersama anak-anak.

Tidak perlu tunggu musim cuti, anda boleh mewujudkan bonding time dengan anak-anak, asalkan bijak mencuri masa. Berikut beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mencipta masa bersama dengan anak-anak.

WUJUDKAN RUTIN HARI MINGGU

Tetapkan satu hari untuk membuat kerja rumah bersama-sama. Boleh jadi Jumaat malam atau pagi Sabtu. Dengan cara ini, kerja menjadi semakin mudah. Objektif utamanya bukanlah untuk membersihkan rumah sebenarnya, tetapi lebih kepada berseronok bersama anak-anak. Sambil itu, anda dapat memupuk sikap ringan tulang serta keinginan untuk membantu ibu bapa dalam diri anak-anak.

BACA BUKU BERSAMA

Di negara Barat, ibu bapa di sana amat menitikberatkan tabiat membaca sebelum anak-anak masuk tidur. Membaca buku cerita untuk anak-anak bukan saja dapat mencipta daya imaginasi dan kreativiti anak, tetapi mereka akan menghargai usaha anda untuk meluangkan masa bersama sebelum tidur.

Bacakan kisah tauladan kepada mereka agar dapat memberi impak positif terhadap anak-anak. Lebih baik lagi, jika anda dapat membacakan tafsiran Al-Quran dan bercerita tentangnya kepada anak-anak.

Artikel Menarik: [Bilik Cantik, Anak rasa Teruja. Ajar Anak Kemas Sendiri Sejak Kecil]

AJAR ANAK-ANAK BUAT SOMETHING FUN

Janganlah serius sangat. Sesekali cuba ajar anak-anak buat sesuatu yang menyeronokkan. Contohnya seperti cara buat sandwic, bakar kek, main susunan lego, melukis dan sebaginya. Ketika anda merasakan ia sesuatu yang remeh, percayalah anda akan lebih menghargai masa bersama mereka.

BERJALAN BERSAMA

Ibu bapa yang sibuk bekerja, jarang mengambil masa untuk berjalan bersama anak-anak. Bukan bawa mereka bersiar-siar di pasar raya, ya. Tetapi lebih kepada berjalan sambil bersembang hati ke hati. Anda boleh bawa mereka ke taman atau tempat-tempat yang mendamaikan sambil berkongsi semua hal. Ketika ini, jangan menghakimi anak anda. Jadilah pendengar yang baik dan sentiasa ada untuk anak-anak. Cara begini dapat membina kepercayaan mereka terhadap anda dan dapat mengelak daripada mereka memendam perasaan.

DATING DENGAN ANAK-ANAK

Setiap anak memerlukan masa untuk one to one dengan anda supaya mereka dapat berkomunikasi. Adakan masa untuk keluar bersama anak (hanya anda dan dia). Ketika ini, anda boleh bertanyakan apa sahaja kepada mereka.

BUAT PARTI MENGEJUT

Tidak perlu parti sebenar yang memerlukan belanja besar. Anda boleh ajak anak-anak menonton filem bersama sambil makan kudapan. Seperti menonton di panggung wayang. Atau mungkin juga anda boleh bermain sebarang permainan dengan mereka. Sediakan makanan ringan dan minuman istimewa, seolah-olah ada satu keraian dengan anak-anak.

Artikel Menarik: [Nak Hadap Tantrum Anak, Ibu Ayah Hati Kena Kental. Bila Dah Biasa, Lama-Lama Jadi Mudah]

BANYAKKAN MENGAMBIL FOTO BERSAMA

Ini banyak ibu bapa yang buat. Jangan sekadar disimpan dalam memori telefon bimbit. Cetak foto tersebut dan susun dalam album. Kemudian bolehlah anda melihat kembali koleksi foto dan bercerita dengan anak-anak tentang foto itu.

Sebenarnya anak-anak tidak meminta agar mereka diberikan hadiah atau ganjaran mewah. Cukuplah sekadar masa dan perhatian ibu bapa berikan kepada mereka. Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi idea kepada anda untuk merancang aktiviti menarik untuk dibuat sekeluarga.