
Hasrat dua beradik untuk membawa ibu mereka ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 30, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berdekatan Kampung Bukit Pulai Chondong, pada malam Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 7.45 malam itu, dua beradik berusia 19 dan 23 tahun berkenaan sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Gading Galoh, Pulai Chondong untuk membawa ibu mereka yang tidak sedarkan diri ke hospital setelah wanita tersebut dikatakan terjatuh di bilik air.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, pihaknya menerima maklumat pada jam 12.14 pagi mengenai wanita berusia 61 tahun itu yang dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar USM.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Iriz yang dipandu oleh salah seorang daripada adik-beradik itu bersama abang dan ibu mereka,” jelas beliau dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Tambah beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian di Kilometer 30, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebelum melanggar konkrit dan pokok di bahu kiri jalan.
Akibat daripada perlanggaran itu, kedua-dua beradik mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ibu mereka pula yang dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika kejadian, telah dibawa ke Hospital Pakar USM namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SUMBER: SINAR HARIAN