Hati-Hati Beli Ubat Tanpa Label Untuk Anak! Ubat Sapu Tanpa Label Umpama Meracun Diri

Share

Penjualan ubat sapu tanpa melabelkan isi kandungan dan cara penggunaannya, dikhuatiri mengundang pelbagai risiko jika ia mengandungi racun berjadual.

Penghidap sakit kulit seperti ekzema boleh terdedah dengan kesan sampingan seperti kulit menipis, katarak, glaukoma mata dan lain-lain lagi jika ia mengandungi kandungan steroid yang tinggi.

UBAT SAPU TANPA LABEL UMPAMA MERACUN DIRI!

Pakar Dermatologi dari Persatuan Dermatologi Malaysia, Dr Kartini Farah Rahim, ketika mendedahkan perkara itu berkata, ramai pesakit ekzema yang datang ke kliniknya mendapat simptom kesan sampingan yang sama akibat penggunaan ubat tanpa label.

Katanya, kebanyakan klinik swasta mahu merahsiakan kandungan ubat yang diberi khususnya kepada pesakit yang mengalami masalah kronik.

“Perkara ini tidak boleh diterima kerana pesakit berhak mengetahui bahan yang digunakan dan jika ada racun berjadual, mereka boleh mengambil langkah berhati-hati.

“Trend ini makin menjadi-jadi mungkin kerana persaingan hebat, menyebabkan kebanyakan klinik swasta mencampurkan steroid bagi menghasilkan tindak balas cepat seperti mengurangkan ruam kulit tanpa mengambil kira kesan sampingan yang
lain,”

Dr Kartini berkata, kebanyakan klinik mahu pesakit mengambil ubat dari klinik mereka sahaja dan tidak membelinya di farmasi luar.

“Mereka juga bimbang pesakit tidak mahu membeli ubat berkenaan sekiranya dimaklumkan ada racun berjadual.

“Biasanya pihak berkenaan mencampurkan steroid berpotensi tinggi, antibiotik, antifungal ke dalam ubat sapu krim pelembap yang biasa,” katanya.

Doktor minta rahsia nama ubat Sementara itu, seorang ibu kepada bayi yang menghidap ekzema bimbang kesan mengantuk apabila diberi ubat yang hanya dilabel gatal tanpa mengetahui nama dan kandungan sebenar ubat berkenaan.

Norashikin Azeman, 27, berkata ubat itu diberikan oleh doktor pakar di sebuah klinik swasta di Klang.

“Doktor itu memberi ubat sapu Steroid H-cort, cecair pembersih dan ubat makan yang dilabel gatal.

“Saya dimaklumkan oleh pakar kesihatan lain, bayinya yang berusia empat bulan ketika itu tidak sesuai diberi ubat makan sedemikian.

“Bayi saya tiba-tiba mengantuk dan sejak itu saya menghentikan penggunaan ubat itu kerana bimbang kesan lebih serius,” katanya

Seorang lagi ibu kepada penghidap ekzema, Suhazlin Shahrul Anuar, 30, tampil menceritakan pengalamannya dua tahun lalu apabila doktor sebuah klinik swasta di Johor mengarahkan kakitangannya supaya tidak mendedahkan nama ubat yang diberikan kepada pesakit.

“Doktor berkenaan melarang saya membeli ubat untuk anak saya di luar dan jika ada kesan sampingan akibat penggunaan ubat tanpa label yang diberinya, saya perlu datang semula ke klinik untuk rawatan kali kedua.

“Bagaimanapun, saya perlu tahu nama ubat dan dos yang diberi, terutama jika mengandungi steroid kerana penggunaannya berbeza daripada ubat tanpa steroid,” katanya.

Katanya, keadaan amat terdesak kerana klinik lain tutup menyebabkan dia terpaksa menggunakan ubat tanpa label itu untuk anaknya yang ketika itu berusia empat bulan.

Buat aduan

Dia bagaimanapun hanya menggunakan ubat tanpa label itu dalam kuantiti sedikit selama dua hari kerana bimbang kesan sampingan sebelum mendapat bekalan ubat di klinik lain.

Suhazlin menjelaskan bahawa penghidap ekzema sangat sensitif kepada steroid kerana penggunaan yang salah akan menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

“Antara kesan sampingan penggunaan steroid adalah pesakit akan imun dengan ubat sehingga tidak memberi kesan pada masa akan datang, menyebabkan penggunaan seterusnya memerlukan dos lebih tinggi

“Ia turut menipiskan kulit, terutama dalam kalangan bayi dan mudah terkoyak ketika digaru, kerapuhan tulang dan kerosakan buah pinggang,” katanya

Kejadian itu sudah diambil tindakan oleh Kementerian Kesihatan selepas dia mengemukakan aduan.

Sumber: BH

IKLAN