
Hiba! Ibu & dua anak termasuk si kecil berusia 10 tahun terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Papar, Sabah. Tragedi menyayat hati ini meragut nyawa tiga beranak apabila kediaman mereka ditimbus tanah runtuh pada Isnin malam.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa dikenali sebagai Wong Moi Ling, 34; Christen Kell Benny, 6; dan Kemiey Asphereynda Benny, 10. Penemuan mereka sekaligus melengkapkan jumlah keseluruhan mangsa tanah runtuh di Sabah seramai 12 orang.
Detik Penemuan Yang Menyentuh Hati
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, mangsa pertama ditemui sekitar jam 4.20 petang, disusuli mangsa kedua lima minit kemudian. Mangsa terakhir, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, berjaya ditemui pada jam 10.45 malam.

“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan bantuan pelbagai agensi termasuk PDRM, ATM, KKM, APM serta RELA. Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Operasi berakhir sepenuhnya pada jam 2.05 pagi Selasa, selepas pencarian mangsa terakhir selesai.
Tragedi Yang Menggoncang Hati Ramai
Kejadian tanah runtuh di Sabah baru-baru ini meragut 12 nyawa, termasuk tujuh di Kampung Cenderakasih Kolombong, dua di Kampung Mook, Papar, dan tiga di Kampung Marahang Tuntul.
Berita sedih ini mengundang sebak di hati ramai, khususnya ibu ayah yang tidak dapat membayangkan peritnya kehilangan anak kecil dalam sekelip mata. Doa dan ucapan takziah terus mengalir di media sosial, sebagai tanda solidariti buat keluarga yang berduka.
Pesanan Buat Ibu Ayah
Tragedi ini menjadi peringatan buat kita semua bahawa kasih sayang terhadap anak-anak tidak boleh ditangguhkan. Setiap pelukan, setiap kata sayang dan setiap doa adalah hadiah berharga yang mungkin esok tidak lagi sempat kita berikan.
Bagi keluarga mangsa, ujian ini terlalu berat. Namun doa seluruh rakyat Malaysia agar mereka terus kuat dan tabah menghadapi kehilangan besar ini.
Semoga roh Wong Moi Ling, Christen Kell Benny, dan Kemiey Asphereynda Benny ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah yang tidak terhingga buat keluarga mangsa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


















