Hidap Kanser Payudara ‘Rare’, Akhirnya Bergelar Ibu Selepas 11 Tahun Menanti

Share

Hidap kanser payudara ‘rare’ bukan penghalang untuk bergelar ibu. Sebelas tahun bukan tempoh yang singkat untuk menanti sebuah gelaran bernama ibu. Ia menuntut kesabaran, kekuatan emosi dan keyakinan penuh terhadap takdir Tuhan. Bagi Juliana Razid, penantian itu menjadi lebih bermakna apabila ia hadir selepas melalui ujian besar iaitu disahkan menghidap kanser payudara jarang berlaku ketika masih muda.

Hari ini, Juliana akhirnya mampu menarik nafas lega. Selepas hampir 11 tahun menunggu dalam penuh pengorbanan, beliau kini bergelar ibu kepada seorang bayi perempuan yang menjadi anugerah paling berharga dalam hidupnya.

Gambar: BERNAMA

Disahkan Kanser Payudara Jarang Berlaku

Segalanya bermula pada Disember 2016 apabila Juliana mengesan ketulan pada payudara kanannya. Ketika itu, usianya baru mencecah 34 tahun dan langsung tiada sejarah kanser dalam keluarga. Hasil pemeriksaan mengesahkan beliau menghidap mucinous carcinoma, sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan hanya melibatkan satu hingga dua peratus kes.

Sebagai seorang wanita, berita itu nyata mengejutkan. Namun Juliana memilih untuk menerima ujian tersebut dengan hati terbuka.

“Bila orang tanya kenapa saya kena, saya terima ini sebagai ujian yang Allah bagi,” katanya.

Anak kelahiran Taiping, Perak ini segera mengambil cuti sakit dan menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara (IKN) pada Januari 2017.

Pilih Rawatan Demi Masa Depan

Walaupun doktor memaklumkan rawatan kemoterapi boleh dielakkan kerana sel kanser belum merebak, Juliana memilih untuk meneruskannya sebagai langkah berjaga-jaga. Beliau menjalani enam sesi kemoterapi sehingga rawatan terakhir pada Julai 2017.

Keputusan itu bukan mudah, namun dibuat demi masa depan yang lebih terjamin. Sepanjang tempoh rawatan, sokongan suami tercinta, Fariq Azwar Salehuddin, menjadi sumber kekuatan utama walaupun mereka melalui perkahwinan jarak jauh.

Dalam diam, impian untuk memiliki zuriat tidak pernah dipadamkan walaupun diuji dengan penyakit.

Gambar: BERNAMA

Terus Berusaha Demi Cahaya Mata

Selepas tamat rawatan kanser dan disahkan sihat melalui pemeriksaan susulan termasuk imbasan CT, Juliana dan suami meneruskan rawatan kesuburan. Pasangan ini terlebih dahulu menjalani empat kitaran rawatan IUI di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi rawatan IVF di bawah seliaan pakar reproduktif dan onkofertiliti.

Percubaan IVF pertama pada tahun 2020 memberi sinar harapan apabila Juliana disahkan hamil. Namun takdir menentukan sebaliknya apabila kehamilan tersebut tidak berkembang. Beberapa kitaran rawatan seterusnya pula terpaksa ditangguhkan, malah ada ketikanya folikel yang dikutip kosong tanpa kehadiran ovum.

Juliana turut menjalani pembedahan membuang polip sebanyak dua kali kerana ia boleh mengganggu proses penempelan embrio.

“Setiap kali rawatan gagal, memang timbul persoalan dalam diri… apa lagi yang tak cukup,” luahnya jujur.

Doa Dimakbulkan Pada Waktunya

Selepas melalui tujuh kitaran IVF, pasangan ini akhirnya menerima berita yang paling dinanti. Juliana disahkan hamil pada Disember 2024 dan selamat melahirkan seorang bayi perempuan, Emma Emily Fariq Azwar, pada 24 Julai 2025 ketika kandungan berusia 37 minggu lima hari melalui pembedahan elektif.

Detik itu menjadi kemuncak kepada sebuah perjuangan panjang yang penuh air mata dan doa.

Sepanjang kehamilan, Juliana memilih untuk merahsiakan khabar gembira itu daripada ramai pihak dan hanya berkongsi dengan keluarga terdekat, selain mematuhi sepenuhnya pelan rawatan yang disusun oleh doktor.

Pesanan Buat Ibu Bapa Yang Masih Menanti

Mengakhiri perkongsiannya, Juliana menitipkan nasihat buat pasangan yang masih berjuang mendapatkan zuriat agar tidak berlengah melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Kalau rasa nak anak, selepas enam bulan berkahwin pun dah boleh buat pemeriksaan. Jangan malu jumpa doktor dan jangan ambil nasihat daripada mereka yang tidak bertauliah,” katanya.

Bagi Juliana, segala rawatan dan ikhtiar hanyalah usaha manusia. Selebihnya, keputusan tetap di tangan Tuhan. Kisah hidap kanser payudara ‘rare’ bukan penghalang untuk bergelar ibu ini menjadi bukti bahawa ujian kesihatan bukan penamat kepada harapan.

Kerana setiap ibu mempunyai perjalanan tersendiri, namun kasih dan pengorbanannya tetap sama.

Baca Lagi : Nama Anak Terlalu Panjang: Doktor Bongkar Kesan Menyedihkan Yang Ramai Ibu Bapa Tak Sedar

Sumber: BERNAMA

FT Image: BERNAMA

Published by
Nana