Hidung Tersumbat Buat Bayi Tidak Mahu Menyusu? Ini Cara Rawatan Di Rumah

Masalah hidung bayi tersumbat

Situasi hidung tersumbat  atau nasal congestion adalah perkara biasa untuk berlaku kepada bayi. Keadaan ini umumnya tidak mendatangkan risiko bahaya, cuma ia akan menyebabkan bayi berasa tidak selesa.

Keadaan hidung bayi tersumbat ini berlaku apabila saluran darah dan tisu di rongga hidung berisi terlalu banyak cecair. Ia boleh menyukarkan bayi untuk tidur dan menimbulkan masalah seperti jangkitan sinus (sinusitis).

Bayi yang berdepan masalah ini mungkin akan mengalami kesukaran untuk menyusu.

Simptom dan punca hidung bayi tersumbat

Bayi yang mengalami hidung tersumbat mungkin akan mengalami gejala seperti:

  • Lendir/hingus hidung tebal
  • Hingus berubah warna
  • Berdengkur atau pernafasan berbunyi semasa tidur
  • Sniffling – bernafas dengan cepat dan berulang kali
  • Batuk
  • Kesukaran untuk menyusu kerana hidung tersumbat menyukarkan pernafasan semasa menghisap

Faktor yang mungkin menjadi punca kepada masalah hidung bayi tersumbat termasuklah:

  • Alahan
  • Virus, termasuk selesema
  • Udara kering
  • Kualiti udara yang buruk
  • Deviated septum– ketidaksejajaran dinding nipis (septum hidung) yang memisahkan kedua-dua lubang hidung, menjadikan satu saluran hidung lebih kecil

Kaedah rawatan untuk hidung bayi tersumbat

Oleh sebab anda tidak boleh memberi bayi dan kanak-kanak sebarang ubat selesema, pastinya kaedah rawatan di rumah yang mudah boleh membantu memberikan kelegaan kepada mereka daripada keadaan hidung tersumbat dan berair ini.

Ubat titis hidung dan alat penyedut

Salah satu kaedah rawatan yang selamat dan berkesan untuk membantu mengatasi masalah hidung tersumbat yang dialami anak adalah dengan menggunakan semburan air garam atau ubat titisan hidung.

Produk ini boleh dibeli di farmasi atau kedai ubat tanpa memerlukan preskripsi.

Jika anda menggunakan ubat titisan hidung, letakkan dua titisan ubat pada setiap lubang hidung untuk melonggarkan hingus di dalamnya. Kemudian gunakan alat sedutan dengan segera untuk menyedut air garam dan hingus.

Anda juga boleh meletakkan tuala gulung di bawah bahagian bahu bayi untuk memudahkan anda memegang kepala mereka. Ini bagi memastikan titisan air dapat masuk ke hidung.

Picit alat penyedut sebelum anda meletakkannya pada hidung bayi. Dengan cara ini, apabila anda melepaskannya, ia akan menyedut keluar hingus atau lendir daripada dalam hidung.

IKLAN

Tetapi jika anda menekan alat penyedut ketika sudah berada dalam lubang hidung, ia akan mengeluarkan angin yang hanya akan mendorong hingus dan lendir untuk masuk lebih jauh ke dalam rongga hidung.

Picit keluar lendir yang berada di dalam alat penyedut ke atas tisu.

Lakukan kaedah rawatan ini dalam tempoh 15 minit sebelum menyusukan si manja dan sebelum waktu tidur. Ini akan membantu mereka untuk bernafas dengan lebih mudah ketika penyusuan badan atau menyusu botol, mahupun semasa tidur.

Ketika memilih larutan air garam, perhatikan dengan betul. Ini kerana terdapat beberapa larutan air garam yang mungkin mengandungi ubat. Anda disarankan untuk tidak memilih larutan air garam dengan ubat.

Titisan air garam biasa sudah berfungsi dengan baik untuk si manja. Cuma pastikan anda mencuci dan mengeringkan alat penyedut setiap kali selepas penggunaannya.

Alat pelembap udara

Kaedah rawatan lain dalam mengatasi hidung bayi tersumbat adalah dengan menambahkan kelembapan ke udara. Ia dapat mengelakkan lendir mengering di dalam hidung bayi anda.

IKLAN

Cara mudah menambahkan kelembapan adalah dengan menggunakan alat pelembap udara (humidifier).

Penggunaan alat pelembap yang akan melepaskan wap sejuk ke dalam bilik biasanya adalah selamat, selagi anda menjauhkannya daripada capaian si manja.

Tetapi ketika anda berada bersama bayi, seperti saat bermain atau semasa menidurkan mereka, letakkan alat tersebut dalam jarak yang cukup dekat agar wap tersebut sampai kepada si manja.

Untuk mengelakkan pertumbuhan kulat atau bakteria, tukar air di dalam alat pelembap udara ini setiap hari. Cuci dan keringkan penyejatnya mengikut arahan pengeluar.

Penggunaan ubat dan vapor rub

Kebanyakan ubat selesema adalah tidak selamat untuk digunakan kepada bayi dan kanak-kanak di bawah usia 4 tahun.

Manakala vapor rub pula selalunya akan mengandungi menthol, eucalyptus atau kapur barus yang berisiko mendatangkan bahaya kepada anak di bawah usia 2 tahun.

IKLAN

Malah, American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan untuk ibu bapa berbincang dengan pakar pediatrik sebelum memberikan sebarang ubat selesema kepada kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun.

Ini kerana masih tiada bukti penggunaan ubat tersebut akan dapat mengurangkan simptom selesema pada anak, bahkan, ia berpotensi mendatangkan bahaya.

Langkah pencegahan

Malangnya, masalah hidung bayi tersumbat atau berair adalah sebahagian daripada proses tumbesaran mereka dan tiada apa yang boleh anda lakukan untuk mencegahnya.

Namun, anda boleh meminimumkan risiko dengan kerap mencuci tangan anda dan si manja. Serta pastikan individu lain yang ingin bersentuhan dengan bayi anda turut melakukan perkara sama.

Tindakan ini sekurang-kurangnya boleh memastikan si kecil terhindar daripada jangkitan.

Pemeriksaan doktor

Hidung tersumbat adalah masalah biasa untuk berlaku kepada bayi dan kanak-kanak. Adakalanya ia disebabkan persekitaran dan faktor genetik. Kaedah rawatan di rumah adalah cukup untuk mengatasi keadaan ini.

Pun begitu, jika keadaan anak tampak semakin teruk sehingga mereka tidak mahu menyusu atau wujud sebarang perkara yang membimbangkan, segera bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

Kredit: Hello Doktor

Hidung Tersumbat Buat Bayi Tidak Mahu Menyusu? Ini Cara Rawatan Di Rumah

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI