
Dalam dunia keibubapaan moden hari ini, ramai ibu bapa cuba menjadi ‘sempurna’. Mahu pastikan anak sentiasa gembira, tidak kecewa, tidak terluka. Namun tanpa sedar, niat yang lahir daripada kasih sayang boleh jadi pedang dua mata melindungi, tapi dalam masa sama melemahkan.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), fenomena ibu bapa overprotective ini makin ketara terutama dalam kalangan generasi milenial mereka yang lahir antara tahun 1980 hingga 1995.

Kebanyakan ibu bapa generasi ini membesar dalam suasana penuh disiplin, rotan di tangan, dan kata-kata tegas jadi makanan harian. Bila sudah dewasa dan mempunyai anak sendiri, ramai berjanji dalam hati:
“Aku takkan buat macam mak ayah aku dulu.”
Mereka mahu anak membesar dalam suasana kasih sayang dan kelembutan. Tapi di sinilah perangkapnya bermula.
PHM menjelaskan, kasih tanpa batas boleh bertukar jadi perlindungan berlebihan. Anak dijaga terlalu rapi jatuh sikit terus panik, ditegur sikit terus dianggap trauma. Hasilnya, anak membesar tanpa daya tahan.
“Kasih yang berlebihan kadang membunuh daya tahan. Anak tak belajar menanggung kecewa, tak kenal sabar bila gagal, dan tak tahu bangun sendiri bila jatuh.”
Bila Kasih Bertukar Jadi Perangkap

Anak yang terlalu dilindungi akhirnya tidak biasa dengan dunia sebenar. Bila masuk ke sekolah, tak boleh ditegur guru. Bila bergaul dengan kawan, tak tahan bila kena sindir. Bila gagal dalam sesuatu, terus berputus asa.
Mereka membesar dengan pemikiran bahawa semua orang mesti faham dan menyenangkan mereka. Hakikatnya, dunia luar tak seindah itu.
Anak-anak yang dibesarkan dalam ‘gelembung selamat’ ini akhirnya jadi individu yang mudah terguris, cepat marah, dan sukar menerima pandangan orang lain. Ini bukan salah anak semata-mata — ia hasil daripada cara didikan yang terlalu melindungi.
Kasih Yang Seimbang Itu Kunci
Kasih sayang ibu bapa tak salah, malah itulah sumber kekuatan utama anak-anak. Tapi kasih sayang perlu datang bersama sempadan dan bimbingan yang realistik.
Anak perlu tahu bahawa hidup bukan sentiasa mudah. Kadang kalah, kadang kecewa — tapi semua itu mengajar mereka tentang daya tahan, empati dan tanggungjawab.
Ibu bapa overprotective boleh belajar melepaskan sedikit kawalan dan memberi ruang untuk anak belajar melalui kesilapan. Ibu bapa yang bijak bukan yang sentiasa menghalang anak daripada kesilapan, tetapi yang membimbing mereka bagaimana untuk belajar daripadanya.
5 Cara Didik Anak Agar Tak Terlalu ‘Manja Emosi’

1. Ajar Anak Rasa Kecewa Sejak Kecil
Biar anak belajar menunggu, biar mereka kecewa bila mainan rosak atau kalah dalam permainan. Jangan cepat-cepat “baiki” semua kesedihan mereka. Itu latihan emosi yang penting untuk elak jadi anak yang terlalu manja.
2. Elak Terlalu Cepat Campur Tangan Bila Anak Ada Masalah Kecil
Contohnya bila anak bergaduh dengan kawan, jangan terus jadi ‘peguam bela’. Bimbing mereka cari jalan sendiri untuk selesaikan. Anak belajar tangani konflik dengan lebih matang dan yakin.
3. Tegur Bila Perlu, Tapi Dengan Empati

Anak perlu tahu beza antara teguran dan marah. Jangan takut menegur. Teguran yang konsisten dan lembut akan membentuk disiplin tanpa menakutkan.
4. Beri Ruang Anak Berdikari
Biar mereka buat keputusan kecil pilih baju sendiri, kemas beg sekolah, atau sediakan sarapan ringkas. Bila mereka tahu rasa tanggungjawab, mereka jadi lebih yakin dan matang.
5. Jadi Contoh Daya Tahan
Anak belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat. Bila ibu bapa sendiri mampu bertenang saat tertekan, anak juga belajar cara menghadapi cabaran tanpa mudah putus asa.
Kasih Yang Mendidik, Bukan Mengikat

Menjadi ibu bapa zaman sekarang memang mencabar. Kita mahu anak bahagia, tapi dalam masa sama, mahu mereka kuat menghadapi dunia.
Kasih sayang bukan bermakna menghapuskan segala kesusahan dari hidup anak, tapi membantu mereka jadi lebih kuat menghadapinya. Kerana suatu hari nanti, kita takkan sentiasa ada untuk melindungi mereka.
Yang kekal hanyalah kekuatan yang kita tanamkan sejak kecil kekuatan untuk berdiri semula, walau dunia terasa berat. Itulah makna sebenar kasih yang mendidik.
Sumber: Public Health Malaysia (PHM)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

















