
Baru-baru ini, satu perkongsian menyentuh hati tular di aplikasi Threads apabila seorang wanita dikenali sebagai Ashinity berkongsi pengalaman peribadi ketika bayinya dimasukkan ke Wad 10A, Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Menurut Ashinity, pengalaman tersebut merupakan satu ujian emosi yang berat buat dirinya sebagai seorang ibu yang baru pertama kali melahirkan anak. Melihat bayinya yang masih kecil terpaksa melalui prosedur rawatan seperti cucukan dan pemantauan rapi benar-benar menguji kekuatan mental serta fizikalnya.

Emosi Ibu Terganggu Lihat Bayi Sering Menangis
Dalam perkongsiannya, Ashinity mengakui emosinya agak terganggu apabila melihat bayinya kerap dicucuk sehingga meninggalkan kesan, selain menangis tanpa henti terutama pada waktu malam. Keadaan itu membuatkan si kecil sukar untuk tidur dan sering meragam akibat ketidakselesaan.
“Malam tu dia menangis tak henti-henti, tak nak tidur. Mungkin sebab kahak atau sakit lepas cucuk. Saya rasa betul-betul tak berdaya. Penat dari segi mental dan fizikal,” luahnya.
Sebagai ibu baru, Ashinity mengakui dia berasa panik dan buntu kerana tidak pasti cara terbaik untuk menenangkan bayinya dalam keadaan tersebut.
Jururawat HTA Tampil Membantu Dengan Penuh Empati
Namun, di saat dia hampir kehabisan tenaga dan emosi, kehadiran seorang jururawat HTA telah menjadi penyelamat keadaan. Menurutnya, seorang jururawat kanan atau Head Nurse bernama Syuhada tampil membantu dengan penuh empati dan kelembutan.
Jururawat tersebut mengambil bayinya, menyapu sedikit minyak di bahagian perut sebelum mendodoikan si kecil itu dengan penuh kasih sayang. Tidak mengambil masa lama, bayi berkenaan akhirnya berhenti menangis dan tertidur lena.
“Terima kasih banyak sebab datang selamatkan keadaan. Semoga murah rezeki selalu,” tulis Ashinity sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan.
View on Threads
Netizen Puji Sikap Penyayang & Profesional
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut tersentuh dan memuji sikap jururawat HTA tersebut yang disifatkan sangat penyayang serta profesional dalam menjalankan tugas.
“Kebanyakan staf HTA memang baik-baik. Rasa selamat bila anak dalam jagaan mereka,” tulis seorang pengguna.
“Mereka ni ibarat ibu kedua. Sangat diperlukan walaupun kerja mereka mencabar,” komen seorang lagi netizen.
Cadangan Beri Penghargaan Melalui SISPAA
Susulan perkongsian tular itu, ramai netizen mencadangkan agar Ashinity meninggalkan maklum balas positif tentang jururawat HTA berkenaan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sebagai tanda penghargaan rasmi.
“SISPAA dia, tolong. Jururawat macam ni memang layak dapat pengiktirafan,” ujar seorang netizen.
Pengorbanan Petugas Kesihatan Wajar Dihargai
Kisah ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa di sebalik kesibukan dan tekanan tugas, masih ramai petugas kesihatan yang bekerja dengan penuh empati dan kasih sayang. Keprihatinan mereka bukan sahaja memberi rawatan fizikal, malah ketenangan emosi kepada pesakit serta ahli keluarga dalam saat paling sukar.
Perkongsian ini secara tidak langsung membuka mata ramai tentang betapa pentingnya menghargai peranan jururawat dan seluruh petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang sistem perubatan negara.
Sumber: Threads
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





