Bila bercakap tentang pengalaman bersalin, selain sakit dan penat, satu masalah yang selalu jadi rahsia ramai ibu ialah buasir. Buasir bukanlah sesuatu yang jarang, malah ramai ibu selepas bersalin mengalami masalah ni.
Tapi kenapa ia boleh terjadi? Dan bagaimana rawatannya bila semakin parah? Buasir adalah pembengkakan saluran darah di sekitar rektum dan dubur. Ibu yang baru bersalin, terutamanya yang bersalin normal, sering alami masalah ni. Walaupun ada yang hilang sendiri selepas beberapa minggu, ada juga yang berlarutan hingga berbulan-bulan.
Kenapa ibu bersalin dapat buasir?
Semasa hamil, rahim yang membesar memberi tekanan pada urat di pelvis yang menyebabkan pembengkakan pada saluran darah.
Selain itu sembelit juga turut menjadi punca bila mana ibu terpaksa meneran untuk membuang air besar dan ini menyebabkan buasir berlaku.
Kehadiran hormon progesteron semasa hamil juga mengendurkan otot dan dinding saluran darah serta memudahkan pembengkakan.
Bukan itu sahaja bahkan tekanan semasa meneran ketika proses bersalin turut mencetuskan atau memburukkan buasir sedia ada.
Ads
Rawat buasir lepas bersalin?
* Mandi Sitz
Rendam kawasan dubur dalam air suam selama 10–15 minit beberapa kali sehari untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan bengkak.
* Pek Ais
Gunakan pek ais yang dibalut kain bersih dan letakkan di kawasan terjejas selama 10–15 minit untuk mengecutkan salur darah yang bengkak.
* Pengambilan Serat Tinggi
Makan makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh untuk mengelakkan sembelit secara kerap dalam tempoh sembelit.
Ads
* Minum Air Secukupnya
Air kunci utama. Pastikan minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari untuk melembutkan najis dan mengurangkan tekanan pada rektum.
* Elakkan Meneran
Setiap kali membuang air besar sebaiknya elakkan meneran kerana akan memburukkan lagi keadaan. Jika sukar membuang air besar, cuba ubah posisi dengan meletakkan kaki di atas bangku kecil untuk meniru posisi mencangkung yang lebih semula jadi.
* Senaman Ringan
Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki selama 20–30 minit sehari boleh membantu meningkatkan pergerakan usus dan mencegah sembelit.
Ads
* Posisi Duduk Yang Betul
Elakkan duduk atau berdiri terlalu lama kerana ini hanya akan meningkatkan tekanan pada urat di dalam dubur.
* Ubat Sapuan
Sapukan krim atau salap khas untuk buasir yang disyorkan oleh doktor.
* Ubat Pelembut Najis
Jika sembelit menjadi masalah utama, doktor mungkin akan mengesyorkan penggunaan pelembut najis seperti docusate sodium untuk membantu melembutkan najis.
Jika gejala buasir tidak berkurang selepas beberapa minggu atau semakin teruk, segera berjumpa doktor. Rujuk doktor untuk rawatan yang sesuai dengan tahap buasir yang berlaku.
Paling penting jangan Jmalu untuk berbincang dengan doktor jika mengalami masalah buasir selepas bersalin. Ingat, penjagaan selepas bersalin bukan hanya untuk bayi, tapi juga untuk ibu!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keseronokan menyambut kelahiran bayi dalam sebuah rumah tangga akan mengubah 360° kehidupan pasangan suami isteri. Dalam seronok dan bahagia mendengar suara tangisan dan menatap wajah comel si kecil ada banyak cabaran lain yang mungkin memberi kejutan baru kepada ibu bapa baharu.
Ketika minggu-minggu awal kelahiran bayi, isteri adalah orang yang paling letih sekali. Sudahlah penat dan sakit meneran untuk melahirkan bayi, sehingga habis seluruh tenaga dalam badan digunakan. Kena pula menahan kesakitan mungkin kena bengkak payu dara, sakit lagi luka jahitan. Itu belum lagi yang melahirkan secara pembedahan caesarean kerana bukan boleh bergerak laju seperti biasa akibat perlu menjaga luka di bahagian perut yang belum sembuh.
Tangisan bayi yang kadangkala tidak diketahui punca sebenarnya boleh membuatkan ibu hilang sabar ataupun ada juga ibu yang sama-sama menangis dengan anak. Masa ini suami memang kena mainkan peranan penting.
Sokongan dan bantuan daripada suami atau ahli keluarga terdekat benar-benar membantu ibu lepas bersalin kembali pulihkan tenaga dan semangatnya. Bukan tak seronok dapat anak tapi masa ini emosi macam roller coaster. Kejap gembira, kejap sedih, kejap keliru, eh tak tahulah mana satu yang betul.
Ibu jangan cepat hilang semangat atau keyakinan diri. Apatah lagi bila pandang cermin melihat diri sendiri yang macam ‘orang tak siap’. Percayalah ia hanya seketika. Proses berpantang adalah proses memulihkan kesihatan dalaman dan fizikal. Masa ini ibu kena bersikap positif, yakinlah yang Tuhan kurniakan anak kerana dia tahu anda sudah bersedia untuk berhadapan dengan cabaran dan perubahan.
‘Simpan’ sekejap masa untuk diri sendiri
Selepas melalui tempoh berpantang, fasa keibubapaan akan bermula dengan seribu satu macam cabaran, kejutan dan sudah tentu momen membahagiakan. Percayalah masa ini ibu terutamanya akan hilang nikmat tidur lena yang selama ini dikecapi. Ia bukan dalam tempoh seminggu dua atau beberapa bulan tapi sampai anak berusia enam tahun.
Biasanya bila anak sudah masuk sekolah rendah, barulah ibu boleh dapat balik nikmat tidur lena yang berkualiti. Kenapa agaknya tempoh enam tahun pertama kehidupan anak, ibu hilang nikmat tidur lena? Ini jawapannya yang kebanyakan ibu anak kecil akan melaluinya.
1. Anak kuat menyusu
Menyusu adalah cara pertama seorang anak belajar makan. Susu ibu adalah makanan pertama mereka jadi untuk membesar bayi akan kerap menyusu. Sejak lahir lagi sampailah mereka berusia enam bulan, menyusu menjadi rutin harian bayi yang paling kerap mereka lakukan terutamanya waktu malam. Biasanya ibu akan kerap terbangun waktu malam, antara dua jam sekali untuk menyusukan anak. Bila sudah makan makanan pejal, bayi masih lagi kuat menyusu dan akan berterusan sampailah dia bercerai susu antara usia dua hingga tiga tahun.
2. Bila anak tak sihat
Mempunyai anak kecil bermakna kita ibu bapa perlu bersedia melalui tempoh masa mereka tidak sihat. Demam, batuk dan selesema akan kerap menjangkiti anak kita selama tempoh enam tahun pertama kehidupannya. Imun badan si kecil terutama ketika masih bayi belum kuat untuk melawan jangkitan penyakit. Jadi mudahlah mereka terkena demam, batuk dan selesema. Itu belum lagi jangkitan penyakit lain yang sudah tentu memerlukan ibu kerap tak tidur malam kerana bimbangkan kesihatan anak.
3. Fasa bayi pandai sesuatu
Momen ini memang sangat berharga tapi dalam masa yang sama mengundang pengorbanan ibu ayah. Tapi biasanya ia dilalui oleh si ibu. Bila bayi anda pandai sesuatu kemahiran, contohnya seperti pandai meniarap maka bersedialah untuk anda tak cukup tidur malam. Bayangkan tengah tidur lena waktu malam, bayi anda tiba-tiba meniarap dan menangis gara-gara tidak boleh memusingkan badannya sendiri. Bila bayi sudah pandai mengagah atau bercakap dalam bahasa bayi, mereka kerap mengejutkan ibu untuk bangun melayan mereka ‘berbual’. Ibu yang penyayang akan hanya tersenyum tanda bahagia dengan kepandaian baru si kecil walaupun mata bakal ‘rabak’.
4. Ibu mengalami bengkak susu
Sesuatu yang paling menakutkan kebanyakan ibu menyusu adalah masalah bengkak susu. Ketika suami dan anak lena diulit mimpi, ibu akan terbangun di tengah malam menangis sendirian sambil mengurut-urut payu dara yang bengkak dan menyakitkan. Lebih malang ada ibu yang mengalami demam dan perlu ambil ubat daripada doktor untuk mengurangkan kesakitan.
5. Fasa anak masuk usia 2 tahun
Bila anak sudah melepasi garisan penamat bergelar bayi, jangan ingat ibu sudah boleh dapat tidur awal dengan lena. Ketika ini anak mula pandai buat perangai yang kadangkala boleh mengudang kemarahan dan menguji kesabaran. Masalah anak sukar tidur dan hendak bermain walau malam sudah melewati jam 12 tengah malam bukan masalah baru di kalangan ibu bapa.
6. Belajar tidur sendiri
Bila anak sudah masuk pra sekolah, inilah masa paling sesuai kebanyakan ibu ayah akan ajar anak untuk tidur sendiri. Pelbagai cara dan ‘umpan’ yang kita buat demi memujuk anak untuk belajar tidur di biliknya sendiri.
Jangan cepat percaya dengan janji-janji anak kerana mungkin di awal malam kita berjaya menidurkan dia di dalam bilik tapi besar kemungkinan dia akan datang ke bilik kita semula. Situasi ibu ayah bangun tidur dan ada si kecil di atas katil bukan perkara baru, lebih malang apabila dia masuk bilik kita di tengah malam sambil mengejut ibu untuk tidur bersama.
Ibu mana yang sanggup melihat wajah sedih si anak lantas terus mengajak anak tidur bersama atas katil. Situasi ini bukan berlaku sehari sahaja malahan kemungkinan mengambil masa bertahun. Maka tidak hairanlah ibu selalu tak cukup tidur.
Sebenarnya ada banyak lagi punca mengapa ramai ibu yang cepat letih dan penat bila ada anak kecil. Apa pun cabaran dan kesukaran yang dilalui oleh ibu, mereka terus tabah dan kuat melalui fasa bergelar ibu dan membesarkan anak. Segala cabaran dan masalah tak cukup tidur akan menjadi momen paling indah dan berharga apabila anak sudah masuk fasa sekolah rendah.
Masa itu ibu akan rindukan momen si kecil yang selalu menjadi punca ibu tak cukup tidur. Semoga segala keletihan yang dilalui sepanjang membesarkan anak akan menjadi asbab hitungan pahala dari Allah SWT.
Paling penting ketika ini adalah sokongan suami. Bila isteri tak cukup tidur dan kerap tertidur di waktu siang janganlah anda komen atau sindir tetapi sebaiknya ambil alih tugas menguruskan rumah tangga dan berikan masa seketika untuk isteri ‘recharge’ semula tenaganya yang hilang.
Jangan pula suami jadi punca isteri mengalami masalah mental atau meroyan kerana kekurangan tidur boleh menjurus kepada masalah kemurungan di kalangan isteri. Prihatinlah sikit ya suami!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak bukan syarat utama bahagia selepas nikah dan bagi pasangan ini mereka merasakan untuk bahagia selepas bernikah tidak perlukan sebarang syarat.
Ikuti perkongsian NZ Nor Firdaus, seorang suami yang berhati mulia ini.
Berapa orang anak sekarang?
Itu antara soalan yang biasa ditanya bila kita sudah berkahwin, namun pada mereka yang belum dikurniakan cahaya mata mungkin pada mereka itu soalan sensitif. Tapi insyallah tidak pada saya.
Mungkin ada yang tidak tahu, saya berkahwin dengan isteri saat ovarinya sudah dibuang sebelah. Maksudnya ada satu saja ovari, dibuang kerana kanser (panjang ceritanya dan berlaku sebelum saya kenal isteri).
Saat saya berkahwin saya sudah tahu apa risikonya, antaranya penyakit akan berulang mahupun kesukaran mendapat cahaya mata.
Tapi sudah namanya jodoh kan, kami pun berkahwin dan saya pun menerima isteri seadanya dan sudah berfikir panjang pada dua risiko utama itu.
Kadang-kadang ada yang tanya kenapa buat keputusan sedangkan tahu risikonya, ada yang tanya macam mana kalau tak ada anak, anak kan penyeri.
Pada saya bahagia itu perlu diletak tanpa syarat. Kalau kita fikir berkahwin itu akan bahagia bila ada anak, anak itu boleh jadi juga satu cabaran. Kalau kita letak bahagia itu kerana kaya, maka kita mungkin diuji dengan ketidakcukupan.
Allah sudah sediakan saya sebelum berkahwin, saya berjumpa ramai pasangan yang tetap bahagia walaupun tidak dikurniakan anak.
Sebenarnya selepas berkahwin , isteri pernah dua kali mengandung, tapi dua-dua kali itu gugur. Hikmah gugur itu asbab kami buat check-up dan di situlah bermulanya kehidupan kami sering ulang alik ke hospital.
Mula-mula follow up sebab cyst, lama-lama jumpalah cancer. Memang fasa drama air mata itu memang keraplah kan. Siapa tak sayang isteri.
Lagi pula baru kahwin tak sampai 6 bulan lagi dan lumrah seorang wanita dia juga inginkan dirinya mampu lahirkan anak. Iyalah sebab bila doktor kata, harapan mengandung masih ada tapi risiko tetap ada. Saya terus cakap tak apa, anak kita tolak tepi kita kejar sihat dulu.
Saya selalu cakap dengan isteri, kita tak dikurniakan anak sendiri tapi hampir setiap hari Allah bagi peluang jemputan program. Selalu cakap dekat isteri, ini haa ramai anak-anak kita kena jaga. Allah itu Maha Adil, kadang-kadang Allah kurangkan sesuatu, Allah pasti lebihkan sesuatu.
Saja nak tulis post ini sebab saya faham ada sesetengah pasangan memang stres dengan soalan anak ini. Cuma pada saya dengan isteri selalu berbincang, jangan letakkan bahagia itu bersyarat kita akan stres nanti. Jadi kami cipta bahagia sendiri dan bersama. Kami bebas berjalan ke sana, ke mari. Makan berdua selalu tanpa gangguan.
Yang dikurniakan cahaya mata, jagalah sebaiknya. Matinya anak adam, tiga sahaja bekalan yang masih boleh di bawa iaitu:
1. Doa anak soleh
2. Sedekah jariah
3. Ilmu yang bermanfaat
Dan memang sedih pada kami bila berurusan atau dengar kes-kes buang bayi, gugurkan bayi. Memang sedih, iyalah orang yang hendak Allah tak izinkan, yang dapat mudah-mudah melepaskan. Sedihkan.
Kami yakin Allah sebaik-baik perancang.
Jadi kalau orang yang baru kenal dia tak sengaja tanya soalan anak ini saya akan cakap, anak sudah dekat syurga dan saya tidak ambil hati.
Saya mohon doakan isteri saya yang sedang melawan kansernya agar terus kuat dan doa juga saya pun kuat. Saya juga doakan semua sahabat-sahabat Facebook saya pun kuat dan dapat bahagia yang di cari dalam rumah tangga.
Ujian pasti datang pelbagai cara dan kebahgian juga akan datang dalam pelbagai cara. Cuma perlu yakin, usaha dan doa. Insyaallah.
Selepas isteri bersalin, ada beberapa perkara yang suami perlu ambil tahu. Proses bersalin mengambil masa yang panjang dan menyakitkan. Ia meninggalkan pelbagai kesan fizikal dan emosional kepada mereka.
Jadi, sebagai suami anda perlu beri sokongan kepada isteri untuk menghadapi perubahan tersebut. Kalau tak tahu, perlu ambil tahu dan belajar perkara-perkara yang memberi kesan mendalam kepada isteri. Bantulah untuk meringankan bebanan isteri.
Dr Taufiq Razif berkongsi ilmu dan pengalamannya untuk dijadikan panduan kepada semua suami yang menunggu hari isteri hendak bersalin. Semoga bermanfaat.
LIMA perkara suami perlu tahu tentang isteri yang lepas bersalin (post partum)
1. Buang air besar dan kecil kali pertama lepas bersalin itu akan sangat sakit pada ibu-ibu selepas bersalin lebih-lebih lagi dalam keadaan perineum yang jadi sangat sensitif.
2. Walaupun bayi sudah keluar tapi jangan ingat perut terus kempis macam sebelum mengandung ye. Rahim ambil masa dalam 6 minggu untuk kembali ke bentuk asal.
3. Rambut banyak gugur semasa menyikat dan mandi tapi jangan gelabah. Ini kesan daripada hormon estrogen yang mendadak turun. Biasanya rambut gugur akan berhenti dalam 6-12 bulan.
4. Memang boleh berpantang tapi jangan sampai melampau-lampau sangat. Sampai ada yang tak bagi si ibu minum air putih. Ibu perlu menyusukan bayi. Bila tidak cukup air, bimbang tubuh akan jadi selain risiko berlakunya pembekuan darah dalam saluran darah di paru-paru (pulmonary embolism) akibat daripada kurang minum air tu sendiri (dehydration).
Tanda-tanda Pulmonary Embolism adalah:
– Denyut nadi jadi lebih laju daripada biasa
– Batuk darah
– suhu badan naik
– sesak nafas
5. Selepas bersalin, hormon isteri boleh jadi kacau bilau. Jadi jangan pelik kalau tiba-tiba emosi isteri jadi tak stabil. Boleh jadi tiba-tiba sedih, hati pun rasa redup je dan tiba-tiba nak menangis. Itu mungkin simptom baby blues.
Perkara ini biasa terjadi dalam seminggu atau dua minggu selepas bersalin. Cuma kalau selepas itu simptom itu masih tidak hilang juga, memang perlu berjumpa doktor. Bimbang isteri mengalami Post Partum Depression.
Masa ni la si isteri paling perlukan sokongan suaminya sendiri. Bayangkan betapa banyak luka yang si isteri dah tanggung selama nak lahirkan zuriat si suami kan. Bukan cuma luka kesan koyakan Episiotomy je tapi luka emosi tu sendiri yang lebih dasyat sebab tu la si isteri sangat perlukan tidur, makan dan minum yang cukup dan sokongan emosi yang berterusan daripada suaminya sendiri.
Nota: Sebarkan pada suami isteri yang belum tahu tentang perkara ini untuk dijadikan panduan.
Ekzema anak berkait dengan asma dan resdung ibu bapa melalui fenomena Atopic March, satu perjalanan alahan yang boleh bermula sejak bayi jika tidak dikawal awal.