Ibu Cemas Span Mekap Termasuk Dalam Hidung Anak, Rungkai ‘Misteri’ Bau Busuk

Share

JIKA sebelum ini kita hanya mendengar kisah orang lain, kali ini beberapa ibu sendiri berdepan detik cemas apabila anak kecil mereka memasukkan objek asing ke dalam hidung. Apa yang berlaku bukan sahaja mengundang panik, malah boleh mengancam keselamatan si manja jika tidak ditangani segera.

Dalam perkongsian di laman Threads, seorang ibu, Dzety Ashikin, menceritakan pengalaman yang tidak pernah dijangka. Pada awalnya, beliau menyangka anaknya hanya mengalami demam ringan, batuk dan selsema. Namun, keadaan menjadi pelik apabila hidung anaknya mula mengeluarkan bau busuk.

“Beberapa hari sebelum itu, anak cium pipi saya dan air liurnya berbau sangat busuk. Ingatkan sebab tak gosok gigi di rumah pengasuh. Malam semalam, ketika saya cuba korek hidungnya kerana selsema, sekali ternampak ada sesuatu berwarna kuning. Bila ditiup keluar, rupa-rupanya span mekap! Bau memang busuk sekali,” katanya.

Berbulan-bulan cari jawapan

Kisah hampir sama turut dialami seorang ibu, Leezazanuddin, yang berbulan-bulan berulang ke klinik dan hospital kerana hidung anaknya sentiasa berair.

“Doktor kata biasa sahaja. Kami pergi sampai empat, lima klinik dan hospital tetap kata tiada apa. Hampir tiga bulan, akhirnya bila masuk kamera barulah nampak… rupanya ada span mekap tersumbat dalam hidung. Kali kedua pula, anak masukkan tisu. Nasib baik dia sendiri berjaya hembus keluar,” katanya.

Plastisin & kacang tanah pula jadi pilihan

Lebih mendebarkan, seorang ibu, Pearl Inn, hampir diserang sakit jantung apabila anaknya cuba memasukkan plastisin ke dalam telinga. Mujurlah beliau sempat menyedari dan menarik keluar sebelum terlambat.

Kisah lucu tetapi berbahaya turut dikongsi seorang wanita bernama Cakenis, apabila adiknya yang masih kecil pernah memasukkan kacang tanah ke dalam hidung. Pada awalnya doktor menyangka ada ketumbuhan kerana tiada apa-apa kelihatan. Namun setelah diperiksa di hospital, doktor berjaya menyedut keluar kacang tanah itu — mengejutkan semua orang apabila terlihat ia masih bergerak!

Naluri ibu penyelamat anak

Bagi ibu bernama Azizatul Aisyah, naluri seorang ibu benar-benar menyelamatkan anaknya. “Bila nampak sesuatu pelik pada hidung anak, saya terus bawa ke hospital. Mujur doktor di Hospital Kulim cepat mengeluarkan objek asing itu,” katanya.

Pesanan buat ibu bapa

Kes-kes ini menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa. Anak kecil yang penuh rasa ingin tahu mudah menjadikan barang kecil di sekeliling mereka sebagai ‘mainan’, tanpa sedar bahayanya.

👉 Simpan barang kecil seperti span mekap, manik, kacang atau plastisin di tempat yang selamat.
👉 Perhatikan jika anak tiba-tiba berbau busuk dari hidung atau telinga, atau berair berpanjangan.
👉 Jangan cuba korek sendiri kerana ia boleh menolak objek lebih jauh. Segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Sebagai ibu bapa, naluri kita sering jadi penyelamat. Peka dengan tanda-tanda kecil boleh mengelakkan tragedi besar daripada berlaku.

Published by
Nana