Surah ini boleh dijadikan sebagai doa untuk ibu mengandung dibacakan kepada anak yang dikandung. Semoga ayat-ayat daripada surah ini menjadi penyejuk hati dan juga permintaan yang dimakbulkan, insya-Allah.

Ibu Hamil Amalkan Doa Ini, Agar Anak Terpelihara Dalam Kandungan & Mudah Bersalin

Surah Al-Fatihah
Surah ini boleh dijadikan sebagai doa penerang hati kepada ibu yang mengandung. Juga boleh menjadi penyejuk hati anak yang sedang dikandung

Surah Maryam
Latar belakang surah ini adalah tentang Maryam yang hamil sehingga melahirkan anaknya, Nabi Isa AS. Insya-Allah surah ini boleh dijadikan ikhtiar kepada ibu yang ingin bersalin untuk dimudahkan urusan.

Surah Al-Kahfi
Surah ini sememangnya sunat untuk dibaca pada setiap hari Jumaat. Jika sudah biasa dilazimi sejak ibu mengandung, boleh disambung sunnah ini apabila anak itu telah dilahirkan kelak. Semoga surah ini akan melindungi ibu dan anak yang dikandung dari fitnah dajjal.

Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas
Surah-surah ini boleh dibacakan kepada ibu atau ibu itu sendiri boleh membacanya sebagai perlindungan ketika tidur. Insya-Allah malam dan mimpi akan dilindungi daripada gangguan syaitan.

Ayatul Kursi
Fadhilat ayat ini dibaca setelah selesai solat fardhu sangat besar. Ayatul kursi ini adalah ayat yang sangat berkuasa dan boleh melindungi diri dari kejahatan dan syaitan, insya-Allah.

Doa Dimudahkan Untuk Bersalin

Selain daripada surah-surah yang dinyatakan sebagai doa untuk membantu sepanjang perjalanan kehamilan, para ibu atau sesiapa sahaja boleh membacakan doa dalam bahasa yang mereka selesa sebagai permintaan kepada Allah untuk kesejahteraan ibu dan bayi. Doa untuk ibu mengandung tidak terhad kepada doa yang di dalam surah sahaja.

Doa yang dibacakan sendiri seperti, “Ya Allah, permudahkanlah kelahiran anakku ini, sihatkanlah kami berdua” juga memadai.

Semoga Allah memudahkan ibu untuk bersalin secara normal atau c-sec tanpa kesakitan yang melampau dan diberikan kemudahan sepanjang proses itu.

Para ibu juga boleh mendoakan dengan potongan ayat daripada surah Ibrahim, ayat 40;

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Ingatlah Allah tidak akan menolak doa hambanya kerana Dia memahami kemahuan dan apa yang baik untuk hambanya. Berdoalah seperti anda tahu doa akan dimakbulkan.

Riwayat oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: Berdoalah kamu semua kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memustajabkan doa dari jiwa yang lalai lagi alpa.

Riwayat al-Tirmizi (3479)

IKLAN

Doa Untuk Anak Dalam Kandungan Dan Yang Dilahirkan

Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar (hlm. 289) ada menyebut pada bahagian Bab Sunatnya Mengucapkan Tahniah dan Menjawabnya:

“Disunatkan untuk mengucapkan tahniah kepada orang yang menerima kelahiran. Berkata para Ashab kami (Syafieyyah): Disunatkan bagi seseorang untuk mengucapkan tahniah, berdasarkan riwayat yang datang daripada al-Husain RA (sebahagian ulama mengatakan al-Hassan bin Ali manakala sebahagian lain mengatakan dia al-Hassan al-Basri – Wallahua`lam – Pent.) bahawa beliau mengajar seseorang untuk mengucapkan tahniah dengan katanya: “Ucapkanlah!:

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي المَــوْهُوْبِ لَكَ، وشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Sang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.”

Jika bayi itu perempuan ucapkanlah:

وبَلَغَ أَشُدَّهَا، وَرُزِقْتَ بِرَّهَا

Kemudian, disunatkan orang yang diucapkan tahniah itu untuk membalas ucapan itu dengan:

بَارَكَ الله لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَزَاكَ الله خَيْرًا، وَرَزَقَكَ اللهُ مِثْلَهُ، أَوْ أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَك

Maksudnya: “Semoga Allah memberkati keluargamu, memberkatimu kerana menjaga mereka, membalasmu dengan ganjaran kebaikan, dan memberikanmu rezeki seumpamanya.”

Jika orang yang diucapkan tahniah itu perempuan ucapkanlah:

بَارَكَ اللهُ لَكِ فِي المَــوْهُوْبِ لَكِ، وشَكَرْتِ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتِ بِرَّهُ

Atau diucapkan:

IKLAN

أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَكِ

Maksudnya: “Semoga Allah melipat gandakan pahalamu.”

Atau ucapan-ucapan seumpama itu.”

Jika dilihat pada artikel dari Mufti Wilayah Persekutuan, ada juga doa yang dibacakan oleh Rasulullah kepada kanak-kanak.

Aisyah R.Anha meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ mendoakan seorang kanak-kanak:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ بَاسا [بَارًا] رَشِيدًا وَأَنْبِتْهُ فِي الإِسْلَامِ نَبَاتًا حَسَنًا

Maksudnya: “Ya Allah! Aku bermohon engkau jadikan anak ini anak yang baik, berani dan cergas, serta besarkanlah ia dalam Islam dengan baik.”

Riwayat Abu Nu`aim (2/84) dalam Tarikh Asbahani; al-Jami` al-Kabir (no.269) oleh Jalaluddin al-Suyuti; Musnad al-Firdaus (no.2064) oleh al-Dailami

Ada juga beberapa potongan ayat dari surah Ali Imran ayat 26.

Seperti doa Hannah, ibu Saiyidatina Maryam alaihassalam sewaktu melahirkan dan juga sebagai perlindungan daripada syaitan.

Untuk bayi lelaki, boleh dibaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهُ بِكَ وَذُرِّيَّتَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam”.

IKLAN

Untuk bayi perempuan, boleh dibaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam”.

Ini pula adalah doa Nabi Muhammad untuk cucu-cucunya Saiyidina al-Hassan dan al-Hussein – alaihimassalam

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ pernah meminta perlindungan untuk al-Hasan dan al-Hussein dengan sabdanya:

إِنَّ أَبَاكُمَا كَانَ يُعَوِّذُ بِهَا إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya moyang kalian (yakni Nabi Ibrahim) pernah memohon perlindungan untuk (anaknya) Ismail dan Ishak (alaihimussalam): “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Riwayat al-Bukhari (no.3371); dan Ibn Hibban (no.1012) dalam Sahih-nya

Untuk bayi lelaki, boleh dibaca:

أُعِيْذُهُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Untuk bayi perempuan, boleh dibaca:

أُعِيْذُهَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Doa-doa dan surah-surah ini adalah antara yang disarankan untuk dibaca sebagai doa untuk ibu mengandung. Ada juga yang sememangnya sunnah untuk dijadikan amalan seperti surah al-Kahfi dan juga Ayatul Kursi. Jika dalam kehidupan seharian disarankan untuk dibaca, apatah lagi ketika mendapat berita begini.

Selain itu ayat-ayat ini juga adalah sebagai penyejuk hati dan penyedap hati gelisah ibu yang mengandung. Jika dia tidak mampu untuk membacanya, sesiapa sahaja boleh membacakan bagi pihaknya. Semoga dengan bacaan kerap, urusan ibu hamil dimudahkan.

Kredit: EZQURBAN

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI