
Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat ekoran hujan berterusan sehingga Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran bahawa negeri berkenaan kini berada pada tahap bahaya.
Menurut laporan Berita Harian, seorang ibu hamil tujuh bulan redah banjir di Kelantan sedalam hampir setengah meter sambil menggenggam tangan anak sulung serta kakaknya.
Air mula naik sejak petang semalam, memaksa mereka keluar dari rumah di Kampung Panji, Kota Bharu demi menyelamatkan diri sebelum keadaan bertambah buruk.
Detik Cemas Ibu Hamil Redah Banjir

Menceritakan detik cemas itu, Nik Nur Nadia Nik Ibrahim, 24, berkata demi memastikan keselamatan dalam hujan lebat, dia mengambil keputusan untuk meredah air. Siapa sangka ibu hamil tujuh bulan redah banjir sejauh lebih 500 meter bersama anak sulungnya, Mohd Zarreef Aidan Mohd Zaid, 3, yang ketika itu digendong kakaknya, Nik Syazwana, 29.
Dia memberitahu keputusan untuk meredah air dibuat setelah mendapati air sudah memasuki kediamannya di ruang dapur. Bimbang keadaan semakin teruk susulan hujan lebat yang berterusan, mereka sekeluarga segera bersiap untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Suami Berkejar Pulang Selamatkan Keluarga

“Apabila menyedari paras air di sekeliling rumah semakin meningkat, saya segera menghubungi suami, Mohd Zaid Ghani, 29, yang ketika itu sedang bekerja. Dia bergegas pulang sebaik dimaklumkan keadaan kami di sini,” katanya.
“Sebaik tiba di tempat yang selamat, suami menunggang motosikal sejauh satu kilometer untuk membawa saya dan anak kami ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 3 petang semalam,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Islah.
Pengalaman Kedua Hadapi Banjir Besar
Nik Nur Nadia berkata, pada mulanya dia memang cemas kerana tidak pernah meredah banjir sebelum ini dan dalam masa sama takut jika terserempak dengan haiwan berbisa atau terjatuh. Namun, demi keselamatan keluarga, dia terpaksa beranikan diri menghadapi keadaan itu.
“Pengalaman banjir yang berlaku kali ini adalah yang kedua dilalui kami sekeluarga selepas bah kuning pada 2014,” katanya.
Beliau kini antara 297 mangsa daripada 80 keluarga yang berlindung di PPS SK Islah selepas kampung berdekatan dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.
Amaran Banjir di Kelantan

Setakat ini, amaran banjir di Kelantan masih dikeluarkan pihak berkuasa. Penduduk di kawasan rendah diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan berpindah lebih awal jika paras air terus meningkat. Kisah ibu hamil tujuh bulan redah banjir ini menjadi peringatan tentang pentingnya kesiapsiagaan menghadapi bencana alam terutama ketika musim tengkujuh.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!















