
Ibu mengandung selalu kaki kejang, ini cara nak redakan kesakitan. Kejang kaki masa hamil memang satu pengalaman yang cukup menyakitkan, terutama bila otot betis tiba-tiba kejang sampai susah nak gerak. Lagi-lagi bila perut dah makin besar, memang terasa sukar sangat nak luruskan kaki untuk hilangkan rasa sengal itu.
Ibu Mengandung Selalu Kaki Kejang, Ini Cara Nak Redakan Kesakitan
Dalam kalangan ibu hamil, masalah kekejangan otot betis ni biasa terjadi dan orang Melayu panggil sebagai tarik mengkarung atau simpul biawak. Bila kejang datang, mesti rasa nak tahu kenapa ia berlaku dan macam mana nak elak supaya tak kerap sangat kena.
Menurut Dr Nurhazinat Yunus, pakar sakit puan dari Tropicana Medical Centre, otot kaki ibu hamil perlu menampung berat badan yang makin bertambah. Tambahan pula, rahim yang membesar akan menekan saluran darah vena utama di kaki, menyebabkan peredaran darah dari kaki ke atas kurang lancar. Kesannya, bersama hormon progesteron yang tinggi semasa hamil, kekuatan dan ketahanan otot kaki jadi kurang optimum.
Apa punca kekejangan kaki masa hamil?
Kejang otot betis ni boleh berlaku sebab beberapa faktor, terutama berkaitan gaya hidup dan pemakanan ibu hamil. Jadi, penting untuk mama ambil tahu punca-punca ini supaya boleh buat langkah pencegahan.
Otot betis terlalu penat atau letih.
Tekanan pada urat saraf di bahagian kaki.
Peredaran darah yang kurang lancar.
Ketidakseimbangan mineral dalam badan seperti kekurangan kalsium, magnesium atau kelebihan fosforus. Tapi data tentang kekurangan mineral ni masih belum cukup kukuh.
Kenapa kejang selalunya datang waktu malam?
Ramai ibu hamil perasan kejang betis ni sering menyerang waktu malam. Dr Nurhazinat jelaskan ia berlaku sebab suhu sekitar lebih sejuk, badan kurang aktif semasa tidur dan tiba-tiba buat pergerakan mengejut macam mengeliat lepas berehat lama. Sebab tu lah kejang selalunya datang masa kita tengah rehat atau tidur.
Kalau kejang berlaku, cara terbaik ialah regangkan otot betis. Luruskan kaki, kemudian bengkokkan buku lali dan jari kaki ke arah badan dengan lutut masih lurus. Kalau bersendirian, cuba bongkok sikit, capai ibu jari atau jari kaki, tarik perlahan ke arah diri. Kalau ada pasangan, boleh minta dia tolak perlahan jari kaki ke arah kita. Memang akan rasa sakit dulu, tapi lama-lama rasa sengal tu akan reda.
Selain tu, urut lembut bahagian betis dan bangun berjalan perlahan-lahan beberapa minit juga boleh bantu hilangkan kejang.
Tip elak kekejangan betis masa hamil
Walaupun punca sebenar kejang kaki belum tentu jelas, ada beberapa langkah mudah yang boleh mama buat untuk kurangkan risiko berulang.
Regangan otot betis sebelum tidur
Berdiri dengan jarak tangan dari dinding, letak tapak tangan pada dinding. Kaki kanan langkah ke belakang, kaki kiri ke depan. Bengkokkan kaki kiri, pastikan kaki kanan lurus dan tapak tak terangkat. Tahan posisi tu selama 30 saat, pastikan belakang lurus dan paha ke depan. Tukar kaki dan ulang 5-10 minit setiap malam.Sentiasa aktif
Buat senaman ringan atau aktiviti harian yang boleh membantu lancarkan peredaran darah. Elakkan berdiri lama atau duduk bersilang kaki.Ambil vitamin dan mineral yang cukup
Supplement vitamin C, magnesium, potassium dan kalsium boleh membantu. Makanan kaya magnesium seperti bijirin, kekacang dan buah kering sangat digalakkan. Pisang pula sumber potassium terbaik untuk kurangkan kekejangan. Minum susu atau ambil pil kalsium jika perlu.Minum air secukupnya
Pastikan badan sentiasa terhidrat. Warna air kencing boleh jadi indikator — kalau pekat kuning, itu tanda kurang minum air.
Pemilihan kasut juga penting!
Pakai kasut atau sandal yang selesa dan sesuai dengan perubahan berat badan serta postur badan. Elakkan kasut bertumit tinggi sebab ia boleh menyumbang kepada kekejangan otot betis.
Dengan amalkan cara-cara ni, insyaAllah kejang kaki masa hamil boleh dikurangkan atau dielakkan daripada berlaku selalu. Jaga diri, dan jangan lupa buat regangan setiap hari!
Baca artikel lain juga: Suplemen Kalsium Tidak Banyak Membantu Rawat Kejang Kaki Ketika Hamil! Ini 5 Cara Yang Mama Boleh Guna Sebagai Rawatan
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI