
Menjadi seorang ibu bukanlah tugas yang mudah. Dari pagi sampai ke malam, ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan. Menguruskan anak, memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan memastikan keperluan keluarga sentiasa mencukupi.
Kadangkala, belum sempat ibu duduk berehat, sudah kedengaran anak memanggil meminta perhatian. Belum lagi dengan rumah yang bersepah dan kerja yang seolah-olah tidak pernah habis.
Tidak hairanlah jika ada masanya ibu mudah berasa penat, tertekan dan hilang sabar walaupun hanya berada di rumah. Keadaan ini boleh menyebabkan ibu stres apabila terlalu banyak tanggungjawab perlu diselesaikan setiap hari.
Namun, dalam kesibukan menjaga keluarga, ibu juga perlu menjaga kesihatan fizikal dan emosi sendiri. Ibu yang bahagia bukan bermaksud perlu sentiasa tersenyum atau tidak pernah marah, sebaliknya tahu bila dirinya memerlukan rehat dan sokongan.
Sebenarnya, ada beberapa cara mudah yang boleh ibu amalkan untuk membantu diri kekal tenang walaupun sibuk menguruskan anak dan rumah tangga.
1. Jangan Terlalu Memaksa Diri, Rumah Tak Perlu Sempurna Setiap Masa

Ada ibu yang berasa tidak senang apabila melihat mainan anak bersepah, pakaian belum berlipat atau pinggan masih bertimbun di sinki.
Akhirnya, ibu terus memaksa diri menyiapkan semuanya walaupun badan sudah terlalu letih.
Hakikatnya, tidak semua kerja rumah perlu diselesaikan dalam satu masa. Ibu boleh menetapkan keutamaan dan melakukan tugasan mengikut kemampuan diri.
Jika anak sedang tidur, tidak salah untuk ibu turut berehat sebentar daripada terus mengemas rumah.
Ingat, rumah yang sedikit bersepah bukan bermakna ibu gagal menguruskan keluarga. Kesihatan dan kesejahteraan ibu juga perlu diberikan perhatian.
Apabila terlalu mengejar kesempurnaan, ibu mungkin berasa semakin terbeban. Sebab itu, belajar menerima keadaan rumah yang tidak sentiasa kemas juga merupakan salah satu langkah untuk mengelakkan ibu stres dalam menjalani rutin harian.
2. Ambil Masa Lima Minit Untuk Tenangkan Emosi
Pernah tak ibu rasa hendak marah apabila anak menangis tanpa henti atau bergaduh sesama sendiri?
Situasi seperti ini boleh menyebabkan emosi ibu menjadi tegang, lebih-lebih lagi apabila badan sudah penat.
Apabila mula berasa tertekan, cuba berhenti seketika dan tarik nafas secara perlahan.
Jika anak berada dalam keadaan selamat, ambil beberapa minit untuk menenangkan diri sebelum kembali menyambung urusan.
Ibu juga boleh mencuba teknik pernafasan mudah dengan menarik nafas perlahan-lahan, kemudian menghembuskannya tanpa tergesa-gesa.
Walaupun nampak seperti perkara kecil, latihan pernafasan dan rehat seketika boleh membantu mengurangkan ketegangan serta memberikan ruang untuk ibu mengawal respons terhadap situasi yang mencabar.
Amalan ringkas ini juga boleh dijadikan rutin apabila ibu stres atau mula merasakan emosi semakin sukar dikawal.
3. Jangan Duduk Terperap, Luangkan Masa Untuk Bergerak
Kesibukan menguruskan rumah kadangkala menyebabkan ibu terlupa untuk melakukan aktiviti fizikal yang menyeronokkan.
Sedangkan pergerakan badan bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal, malah turut membantu meningkatkan kesejahteraan emosi.
Tidak semestinya ibu perlu pergi ke gimnasium atau melakukan senaman berat.
Cukup sekadar berjalan santai di kawasan rumah, melakukan regangan ringan atau bermain bersama anak di halaman.
Jika berpeluang, ajak anak keluar menikmati suasana pagi atau petang ketika keadaan cuaca dan kualiti udara mengizinkan.
Aktiviti fizikal secara konsisten dapat membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki kualiti tidur dan meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan.
Paling penting, pilih aktiviti yang ibu selesa dan mampu lakukan mengikut rutin harian.
Walaupun hanya meluangkan sedikit masa untuk bergerak, aktiviti sebegini boleh menjadi peluang untuk ibu berehat daripada rutin kerja rumah yang berulang setiap hari.
4. Belajar Minta Bantuan, Ibu Tak Perlu Buat Semuanya Seorang Diri
Ramai ibu sudah terbiasa melakukan pelbagai perkara sendiri sehingga berasa bersalah apabila meminta bantuan orang lain.
Sebenarnya, menguruskan keluarga merupakan tanggungjawab bersama, bukannya perlu dipikul oleh ibu seorang diri.
Tidak salah untuk meminta pasangan membantu menyediakan makanan, memandikan anak atau menguruskan kerja rumah.
Anak-anak yang sudah besar juga boleh dilibatkan dalam tugasan mudah mengikut usia mereka, seperti menyusun mainan selepas bermain.
Selain meringankan beban ibu, pembahagian tugas dapat mengajar anak tentang tanggungjawab dan kerjasama dalam keluarga.
Dalam masa yang sama, jangan pendam perasaan apabila terlalu penat. Berkongsi cerita dengan pasangan, ahli keluarga atau sahabat yang dipercayai juga boleh membantu ibu mendapatkan sokongan emosi.
Ibu tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi ibu yang baik.
Apabila ibu stres akibat terlalu banyak tanggungjawab, bantuan daripada orang sekeliling boleh memberikan sedikit ruang untuk berehat dan menguruskan keperluan diri sendiri.
5. Cipta Momen ‘Me Time’, Nikmati Secawan Teh Kegemaran

Dalam sehari, berapa kali agaknya ibu benar-benar mempunyai masa untuk diri sendiri?
Kadangkala, perkara semudah duduk menikmati minuman kegemaran tanpa gangguan pun sudah terasa seperti satu kemewahan.
Sebab itu, cuba wujudkan satu rutin kecil yang ibu boleh nantikan setiap hari.
Contohnya, selepas selesai menguruskan kerja rumah atau ketika anak sedang berehat, luangkan sedikit masa untuk duduk di sudut kegemaran sambil membaca buku, mendengar muzik atau menikmati secawan teh.
Bagi ibu yang gemarkan teh beraroma, boleh juga mencuba BOH ‘Permata Cameron’, adunan teh edisi terhad yang diperkenalkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dihasilkan daripada teh hitam premium dari kebun BOH Sungei Palas di Cameron Highlands, adunan ini mempunyai sentuhan aroma sitrus daripada lemon, mandarin dan bergamot yang memberikan pengalaman menikmati teh dengan cita rasa tersendiri.
Tidak perlu menunggu waktu istimewa untuk menikmati momen kecil sebegini. Secawan teh yang dinikmati dengan tenang sambil melihat suasana di luar rumah juga boleh menjadi sebahagian daripada rutin rehat ibu.
Namun, memandangkan teh hitam mengandungi kafein, ibu yang sensitif terhadap kafein digalakkan mengambilnya secara sederhana dan mengelakkannya terlalu hampir dengan waktu tidur.
Apa yang lebih penting bukanlah minuman itu sendiri, tetapi peluang untuk ibu memperlahankan rutin seketika dan memberikan perhatian kepada keperluan diri.
Walaupun hanya beberapa minit sehari, masa untuk diri sendiri boleh menjadi salah satu cara ibu menguruskan tekanan dan menikmati sedikit ketenangan di tengah-tengah kesibukan.

Ibu Stres? Ingat, Ibu Juga Berhak Berehat Dan Bahagia
Menjaga anak dan keluarga memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Ada hari semuanya berjalan lancar, tetapi ada juga hari yang terasa begitu mencabar.
Namun, jangan sampai terlalu sibuk memastikan semua orang dalam keluarga bahagia sehingga ibu terlupa menjaga diri sendiri.
Mulakan dengan perubahan kecil, sama ada mendapatkan rehat yang cukup, berkongsi tugas dengan pasangan, melakukan aktiviti fizikal ataupun menikmati sedikit masa bersendirian.
Jika tekanan, kesedihan atau keresahan berterusan sehingga mengganggu kehidupan harian, ibu juga digalakkan mendapatkan sokongan daripada profesional kesihatan.
Ingat, ibu juga manusia yang mempunyai perasaan, memerlukan rehat dan berhak menikmati ketenangan dalam kehidupan seharian.
Kerana apabila kesihatan dan emosi ibu turut dijaga, ibu mempunyai lebih banyak ruang dan tenaga untuk menikmati momen bermakna bersama keluarga tersayang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

