
Demi seorang anak, seorang ibu tunggal OKU sanggup melakukan apa sahaja. Penat berjalan jauh, panas terik mahupun terpaksa menggalas beg penghantaran yang berat, semuanya diketepikan asalkan ada rezeki untuk dibawa pulang.
Begitulah kegigihan Nur Rahimah Alia Salehuddin, 44, seorang ibu tunggal yang juga individu autisme dan orang kurang upaya (OKU), dalam membesarkan anaknya yang kini berusia sembilan tahun.
Setiap hari, dia mencari rezeki sebagai penghantar makanan. Ada masanya Nur Rahimah menggunakan basikal, namun apabila tiada pilihan, dia sanggup berjalan kaki dari satu lokasi ke lokasi lain bagi menyelesaikan penghantaran pelanggan.
Malah, dia pernah berjalan sehingga kira-kira 20 kilometer demi mencari rezeki.
Bagi Nur Rahimah, dapat bekerja walaupun hanya beberapa jam sehari sudah cukup membuatkannya bersyukur.
Namun cabarannya bertambah apabila basikal lipat yang selama ini banyak membantunya melakukan penghantaran dicuri baru-baru ini.
“Kalau dapat kerja dua hingga tiga jam saja saya sudah bersyukur, itu yang saya boleh buat kerana sekarang jadual penghantaran tidak banyak.
“Saya selalu menggunakan basikal atau berjalan kali untuk menghantar makanan tapi baru-baru ini, basikal lipat saya dicuri jadi saya terpaksa menghantar makanan berjalan kaki semula,” katanya berkongsi.
Bukan tidak pernah mencuba mendapatkan pekerjaan lain. Nur Rahimah berkata, dia pernah menghantar permohonan kerja termasuk dalam bidang makanan dan minuman, tetapi tidak menerima jawapan daripada sesetengah majikan.
“Saya mula kerja sebagai penghantar makanan pada 2020 selepas banyak kali cuba cari kerja dalam bidang lain, tetapi tidak berhasil sehingga kini. Mungkin sebab mereka tengok saya OKU,” katanya.
Ketika mula menjadi penghantar makanan pada 2020, Nur Rahimah belum memiliki basikal dan melakukan penghantaran dengan berjalan kaki.
Pada penghujung tahun sama, dia menerima sebuah basikal menerusi satu program. Kemudahan itu sedikit sebanyak membantu memudahkan pergerakannya untuk mengambil dan menghantar pesanan pelanggan.
Malangnya, basikal berkenaan dicuri walaupun sudah dikunci berhampiran MRT Surian.
“Basikal itu dicuri walaupun saya sudah menguncinya berhampiran MRT (transit aliran massa) Surian. Kunci basikal itu dipotong dan hanya rantainya yang tinggal,” katanya.
Tanpa basikal, Nur Rahimah sekali lagi perlu bergantung kepada kudratnya sendiri. Sebagai seorang ibu tunggal OKU, keadaan itu tidak menghalangnya daripada terus berusaha mencari pendapatan untuk anak.
Ketika melakukan penghantaran dengan berjalan kaki, dia bukan sahaja membawa beg makanan pelanggan, malah turut menggalas beg peribadinya dalam perjalanan.
Di sebalik pekerjaannya sebagai penghantar makanan, Nur Rahimah sebenarnya mempunyai pengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan pengujian perisian.
Dia pernah bekerja dengan beberapa syarikat berasaskan teknologi sebelum mengambil keputusan berhenti kerja pada 2018 untuk menjaga ibunya yang sedang sakit. Ibunya kemudian meninggal dunia pada 2020.
Selepas kehilangan ibunya, Nur Rahimah cuba kembali mendapatkan pekerjaan tetap. Namun usahanya tidak semudah yang diharapkan.
“Selepas itu, saya mendapati semakin sukar mendapatkan pekerjaan tetap semula, malah ada permohonan ditolak kerana dianggap terlebih kelayakan,” katanya.
Dalam masa sama, Nur Rahimah perlu terus memastikan keperluan anaknya mencukupi selepas perkahwinannya berakhir pada 2018.
Pendapatan sebagai penghantar makanan tidaklah besar dan adiknya turut membantu menanggung sebahagian keperluan keluarga.
Buat masa ini, apa sahaja cabaran yang datang, Nur Rahimah memilih untuk terus melangkah.
Baginya, setiap langkah yang diambil ketika menghantar makanan adalah sebahagian daripada usaha seorang ibu memastikan anaknya dapat terus dibesarkan sebaik mungkin.
“Buat masa ini, selagi belum memperoleh pekerjaan tetap, saya memilih untuk terus berjalan, menghantar makanan dan mencari rezeki demi membesarkan anak,” katanya.
Kisah Nur Rahimah memperlihatkan betapa besarnya usaha seorang ibu untuk meneruskan kehidupan meskipun berdepan pelbagai kekangan.
Basikal boleh hilang, peluang pekerjaan mungkin belum kunjung tiba, tetapi selagi masih berdaya, dia memilih untuk terus mencari rezeki demi insan yang paling penting dalam hidup, iaitu anaknya.
Kegigihan ibu tunggal OKU ini memperlihatkan bagaimana tanggungjawab terhadap anak menjadi pendorong untuk Nur Rahimah terus bekerja dan mencari peluang yang lebih baik walaupun perjalanan hidupnya dipenuhi pelbagai cabaran.
Sumber & Gambar : Harian Metro