
Dalam sesebuah keluarga, kasih seorang bapa kadang-kadang tidak selalu datang melalui kata manis. Seorang bapa yang tidak pandai meluah rasa, tetapi setiap pagi tetap bangun mencari rezeki. Ada yang jarang berkata “ayah sayang”, tetapi diam-diam memastikan anak-anak cukup makan, cukup sekolah dan cukup rasa selamat untuk membesar.

Pengorbanan seorang bapa selalunya sunyi. Ia hadir dalam peluh yang tidak diceritakan, penat yang disimpan sendiri, dan risau yang disembunyikan di sebalik wajah tenang. Di mata anak-anak, bapa mereka mungkin kelihatan kuat. Namun di sebalik kekuatan itu, ada hati yang sentiasa berjuang demi kesenangan keluarga.
Jadi Hari Bapa bukan sekadar hari untuk memberi ucapan atau hadiah tetapi ruang untuk kita berhenti sejenak dan menghargai lelaki yang selama ini menjadi pelindung, pendidik, pembimbing dan sumber kekuatan dalam sesebuah keluarga.
Sehebat ‘KASIH’ Bapa Angkat Peranan Ayah Dalam Keluarga
Bersempena Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026, tema Sehebat ‘KASIH’ Bapa diangkat bagi memperkukuh penghargaan terhadap peranan dan pengorbanan bapa sebagai tonggak keluarga.

Tema ini membawa mesej yang cukup dekat dengan kehidupan harian. Bapa bukan hanya hadir sebagai penyedia keperluan keluarga, tetapi juga sebagai insan yang membimbing nilai, membentuk sahsiah, melindungi anak-anak dan menjadi contoh pertama tentang erti tanggungjawab.
Dalam dunia hari ini, cabaran membesarkan anak semakin kompleks. Tekanan kos sara hidup, perubahan sosial yang pantas dan pengaruh media sosial menjadikan kehadiran bapa yang aktif dalam kehidupan anak-anak semakin penting. Kadang-kadang, apa yang anak perlukan bukanlah perkara besar. Cukup bila ada bapa yang sudi mendengar, bertanya khabar, menemani bermain atau memeluk ketika anak sedang kalah dengan perasaannya sendiri.

Sambutan Hari Bapa Jadi Ruang Eratkan Hubungan Bapa Dan Anak
Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi platform bermakna untuk meraikan kasih, tanggungjawab dan pengorbanan seorang bapa.

Sambutan Santai Yang Dekat Dengan Keluarga
Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berlangsung pada 28 Jun 2026 di Taman Tasik Cyberjaya, Selangor dalam suasana santai, outdoor dan mesra keluarga. Konsep sambutan ini memberi ruang kepada bapa dan anak untuk berinteraksi secara lebih dekat melalui aktiviti riadah, edutainment dan permainan berpasukan.
Antara pengisian yang diadakan termasuk Papa Zumba, Papa & Kids Challenge, Treasure Hunt Misi Papa Hebat, aktiviti sukaneka santai serta meet and greet bersama maskot Papa Zola. Lebih daripada sekadar hiburan, aktiviti ini dirangka untuk membina kenangan bermakna antara bapa dan anak, menggalakkan penglibatan aktif bapa dalam kehidupan anak-anak serta menyemai nilai kasih, kerjasama dan komunikasi dalam keluarga.
Dalam suasana begini, hubungan bapa dan anak tidak hanya terbina melalui nasihat atau disiplin semata-mata. Ia juga tumbuh melalui gelak tawa, masa yang diluangkan bersama, langkah kecil yang ditemani, dan rasa bahawa ayah benar-benar hadir dalam dunia anaknya.
Mengiktiraf Bapa Yang Memberi Inspirasi
Pada sambutan yang sama, Anugerah Khas Inspirasi Bapa turut disampaikan kepada beberapa figura bapa yang memperlihatkan nilai kasih, pengorbanan dan tanggungjawab dalam bentuk yang sangat menyentuh hati.

Antaranya ialah Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Abang Minyak Hitam, seorang bapa kepada tiga cahaya mata yang aktif membantu golongan kurang berkemampuan melalui pelbagai inisiatif kebajikan. Keprihatinan dan sifat pemurah beliau menjadikan kisahnya dekat di hati masyarakat.
Turut menerima pengiktirafan ialah Mohd Azhan Mohd Adnan atau Abbe Hae, yang memilih untuk menjadi ‘bapa’ dan pelindung kepada anak-anak lorong serta golongan gelandangan di kawasan Kuala Lumpur. Bermula dengan niat kecil untuk berkongsi rezeki, langkah beliau berkembang menjadi perjuangan kemanusiaan yang memberi makna besar kepada mereka yang sering terpinggir.
Seorang lagi penerima ialah Mohd Adli Yahya, pengasas Autism Cafe Project. Inisiatif ini lahir daripada rasa tanggungjawab seorang bapa terhadap masa depan anak autisme beliau, sebelum berkembang menjadi ruang latihan dan pekerjaan untuk individu autisme agar mereka lebih berdikari dan yakin berinteraksi dengan masyarakat.
Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa kasih seorang bapa tidak hanya diukur pada apa yang diberi kepada keluarga sendiri, tetapi juga pada bagaimana kasih itu melimpah menjadi manfaat kepada orang lain.
Memperkasa Kebapaan Moden
Seiring dengan keperluan keluarga masa kini, LPPKN juga telah membangunkan Modul Kebapaan pada tahun 2025 yang memberi penekanan kepada kemahiran kebapaan moden. Modul ini merangkumi aspek kepimpinan, kesejahteraan psikologi, komunikasi berkesan dan penggunaan jaringan sokongan sosial.
Langkah ini penting kerana bapa hari ini bukan sekadar perlu kuat secara fizikal atau kewangan, tetapi juga perlu bersedia dari segi emosi dan komunikasi. Anak-anak zaman sekarang membesar dalam dunia yang sangat berbeza. Mereka perlukan bapa yang bukan sahaja menasihati, tetapi juga mendengar. Bukan hanya menegur, tetapi memahami.
Dalam masa yang sama, usaha memperkukuh pemerkasaan lelaki turut digerakkan melalui MEN Empowerment Network atau Jaringan Pemerkasaan Lelaki, yang menghimpunkan kepakaran pertubuhan bukan kerajaan bagi memperluaskan program kebapaan secara lebih menyeluruh. Antara fokusnya termasuk pengurusan konflik, kemahiran keibubapaan dan kesihatan mental.
Ini satu mesej penting buat semua bapa bahawa apabila dia mendapatkan bantuan bukanlah ukuran bahawa dirinya lemah. Sebaliknya, ia tanda seorang lelaki sedang berusaha menjadi lebih baik untuk dirinya, pasangan dan anak-anak.
Menghargai Bapa Selagi Masih Ada
Pada akhirnya, kasih seorang bapa mungkin tidak selalu berbunyi lantang, tetapi kesannya sangat dalam. Ia ada pada anak yang berani mencuba kerana pernah disokong. Ia ada pada anak yang belajar bertanggungjawab kerana pernah melihat ayahnya berjuang tanpa banyak mengeluh.

Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 membawa satu peringatan indah bahawa bapa adalah tonggak penting dalam kesejahteraan keluarga. Mereka bukan sempurna, tetapi ramai yang sedang berusaha. Dan dalam usaha itulah terletaknya nilai kasih yang sangat besar.
Mungkin hari ini masa terbaik untuk anak-anak menoleh kepada bapa dan berkata, “Terima kasih, ayah.” Kerana kadang-kadang, ucapan sesederhana itu pun sudah cukup untuk menyentuh hati lelaki yang selama ini banyak berkorban dalam diam.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





