
Salmon memang sering dikaitkan dengan makanan sihat untuk anak-anak. Kaya dengan protein dan lemak baik seperti omega-3, memang bagus untuk perkembangan otak dan tumbesaran si kecil.
Tapi realitinya, bukan semua keluarga mampu beli salmon selalu. Kadang tengok harga pun dah rasa macam “baik guna duit ni beli barang dapur seminggu”.
Dan itu bukan sesuatu yang perlu buat ibu ayah rasa bersalah.
Hakikatnya, anak-anak tak semestinya perlu makan salmon untuk dapat nutrisi penting daripada ikan. Banyak pilihan ikan untuk anak yang lebih murah, mudah dicari dan tetap sangat baik untuk kesihatan mereka.
Yang penting, anak makan makanan sebenar dan cukup nutrisi setiap hari.
Ikan kembung memang antara “hero dapur” ramai keluarga Malaysia. Harganya lebih berpatutan, mudah didapati dan sedap dimasak macam-macam.
Nak goreng boleh, buat singgang pun sedap. Ramai tak tahu, ikan kembung juga termasuk dalam kategori ikan berlemak yang mengandungi nutrisi baik untuk tubuh. Ia sangat sesuai dijadikan lauk harian kerana membantu membekalkan protein dan lemak sihat untuk tumbesaran anak.
Tak kira sardin segar atau sardin dalam tin, kedua-duanya boleh jadi pilihan praktikal untuk ibu ayah.
Kalau guna sardin dalam tin sekali-sekala, cuba bilas sedikit kuahnya atau pilih jenis yang kurang garam jika ada. Kemudian boleh olah jadi inti sandwich, masukkan dalam bubur atau buat cucur sardin versi anak-anak.
Mudah, cepat dan mengenyangkan. Ikan untuk anak seperti sardin juga mudah disediakan ketika ibu ayah sibuk dan perlukan menu ringkas tetapi tetap mengenyangkan.
Jangan pandang kecil pada ikan bilis. Saiznya kecil, tapi khasiatnya memang “power”.
Ikan bilis sesuai dimasukkan dalam bubur, sup, nasi goreng atau sambal versi kurang pedas untuk anak. Ia boleh bantu tambah rasa dan sumber protein dalam makanan harian.
Cuma pastikan dibasuh terlebih dahulu dan elakkan penggunaan terlalu banyak jika jenis yang masin.
Ramai ibu ayah memilih ikan untuk anak seperti ikan bilis kerana mudah dicampurkan dalam pelbagai menu harian.
Untuk anak yang susah makan ikan sebab banyak tulang halus, ikan keli boleh jadi alternatif yang lebih mudah dimakan.
Isinya lembut dan kaya dengan protein. Digoreng garing atau dimasak lemak pun memang membuka selera.
Asalkan dimasak dengan cara yang tidak terlalu berminyak, ia tetap boleh jadi pilihan baik untuk anak-anak.
Ikan untuk anak seperti ikan keli juga membantu ibu ayah menyediakan menu yang lebih mudah dimakan tanpa banyak merungut.
Ini memang kategori “ikan rakyat” yang selalu ada di pasar.
Walaupun tak glamour macam salmon, ikan selar dan selayang tetap membantu mencukupkan keperluan protein harian anak. Harganya lebih mesra poket dan sesuai dimasak pelbagai cara.
Kadang-kadang lauk paling simple itulah yang anak makan sampai bertambah nasi.
Dalam pemakanan anak-anak, yang lebih penting sebenarnya ialah konsistensi. Tak perlu terlalu mengejar makanan viral atau mahal semata-mata nak pastikan anak sihat. Apa yang lebih penting ialah anak dapat makan makanan sebenar, cukup protein dan dimasak dengan cara yang sesuai.
Kurangkan makanan ultra-proses dan cuba pelbagaikan sumber makanan harian mereka.
Itu sudah sangat membantu. Pemilihan ikan untuk anak secara konsisten jauh lebih penting berbanding membeli makanan mahal sekali-sekala.
Untuk kanak-kanak, elakkan memberi ikan besar yang tinggi kandungan merkuri.
Selain itu:
Langkah kecil macam ini sebenarnya sangat membantu menjaga kesihatan anak dalam jangka panjang.
Kadang-kadang makanan terbaik untuk anak bukan yang paling mahal tetapi makanan yang mampu kita hidangkan secara konsisten, dimasak dengan penuh kasih sayang dan membuatkan anak kenyang serta sihat membesar.
Jadi kalau hari ini lauk anak cuma ikan kembung goreng dengan sup kosong, jangan rasa rendah diri.
Sebab kasih sayang ibu ayah itu tetap cukup berharga untuk tumbesaran mereka.
Baca lagi: Jangan Tunggu Anak Jadi Hebat Baru Nak Puji, Rugi!
Mak Ayah Elakkan Perkara Ni Berlaku Dalam Rumah, Anak Ingat!