
Terdapat pelbagai cara untuk rangsang potensi diri anak yang semakin aktif. Sikap ingin tahu mengenai persekitarannya juga semakin berkembang dalam diri sehingga sering bertanya tentang perkara yang dilihatnya. Jadi inilah masanya untuk anda menghantar si kecil ke pusat asuhan kanak-kanak untuk anak mengembangkan potensi diri.
Kajian mendapati bahawa kanak-kanak dilahirkan ke dunia dengan perangai semula jadi masing-masing. Sesetengah kanak-kanak secara semula jadi mudah berkawan dan senang membawa diri. Manakala yang lain pemalu dan lambat untuk mesra.
Ada sesetengah kanak-kanak terlalu aktif, tidak mengendahkan teguran dan berlari sekeliling semasa makan atau waktu rehat atau tidur. Terdapat juga kanak-kanak yang lebih suka memerhati dan terlalu lambat melibatkan diri. Jika ingin melibatkan diri dengan aktiviti bersama rakan sebaya mengambil masa yang lama mengikut rentak sendiri.
Ini jelas menunjukkan anda sebagai ibu bapa perlu merangsang potensi diri si manja anda. Berikut 5 perkara yang boleh anda lakukan untuk merangsang potensi diri anak anda.
5 cara rangsang potensi diri anak
1.Lakukan sendiri
Si kecil menunjukkan sikap untuk melakukan sendiri. Jika dia menunjukkan kesukaran untuk membaca, mewarnakan lukisan, beritahu kepadanya, ‘Adik boleh lakukan. Ingat ALLAH suka kepada mereka yang rajin berusaha.” Duduk di sebelahnya. Tunggu sehingga dia berjaya melakukannya.
2.Bercakap
Percakapan si kecil tidak difahami oleh anda. Berikan dia peluang untuk bercakap sehingga habis. Tunjukkan minat terhadap apa yang ingin dicakapkannya. Jika dia salah menyebut perkataan itu, betulkan dengan sebutan itu.
3.Galakkan
Beri galakkan jika dia bergaya melakukan sesuatu dengan baik. Galakkan membuatkan dia merasa dirinya diberi perhatian oleh ibu bapanya.
4.Ingin mencuba
Biarkan dia cuba. Dia ingin menuang susu ke dalam gelas. Beri peluang kepadanya. Walaupun ia mengambil masa beberapa minit, mungkin cara ini boleh membuatkan dia merasa bangga kepada dirinya.
5.Usaha
Dia ingin mencuba memakai kasut dengan usahanya sendiri. Jadi letakkan kasut itu di hadapannya dengan kedudukan posisi kaki yang betul. Jika dia berjaya melakukan berikan pujian kepadanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Susah Faham, Ingat & Ikut Arahan Antara Tanda Anak Ada Masalah Pembelajaran

Masalah pembelajaran merupakan antara gangguan belajar yang boleh dialami oleh kanak-kanak. Namun terdapat 3 masalah yang paling utama penting untuk dikenal pasti oleh ibu bapa. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Memahami tentang masalah pembelajaran si kecil
Menurut Pekerja Sosial dan Pendukung Pendidikan dari MLM Advocacy, Monica Mandell, ketidakupayaan atau gangguan belajar adalah 1 masalah berkaitan proses psikologi yang terlibat dalam pembelajaran.
“Ketidakupayaan ini boleh menjejaskan cara seseorang individu untuk belajar membaca, menulis, melakukan tugasan matematik atau sebarang proses pembelajaran lain,” ujar Monica.
Bagi Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Pengarah The Help and Healing Center, Dr Jessica Myszak, terdapat 3 masalah ketidakupayaan pembelajaran yang biasa didiagnosis, iaitu:
- Disleksia.
- Dysgraphia.
- Dyscalculia.
3 masalah pembelajaran atau gangguan belajar yang boleh dialami kanak-kanak
Disleksia
Merupakan sejenis masalah belajar khusus yang kerap berlaku. Kanak-kanak dengan masalah ini akan berdepan gangguan belajar seperti kesukaran menguasai tugasan sekolah walaupun telah berusaha.
Mereka dengan masalah ini lazimnya sukar membaca, tulisan tidak berapa kemas dan tidak dapat menyelesaikan masalah matematik. Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Raja Juanita Raja Lope, disleksia boleh dikesan awal semasa kanak-kanak mula memasuki tadika.
Antara isu yang boleh dikenal pasti adalah apabila kanak-kanak berdepan kesukaran mengenal abjad seperti A, B, C. Sesetengah kanak-kanak dengan disleksia mungkin akan lambat dari aspek penuturan dan pemahaman.
Ciri-ciri disleksia yang boleh dikesan:
Pada peringkat prapersekolahan
- Lambat bertutur
- Kesukaran menyebut rima perkataan
- Sukar menulis nama sendiri
- Tidak dapat mengenal bentuk atau warna
- Mengalami kesukaran berkongsi cerita yang didengar
Pada peringkat persekolahan
- Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira
- Tidak suka membaca atau mengelak diri membaca di dalam kelas
- Kesilapan membaca huruf, perkataan atau nombor – membaca terbalik
- Kurang koordinasi
- Keliru dengan konsep seperti ‘semalam’, ‘hari ini’ atau ‘esok’
- Sukar memahami, mengingati dan mengikuti arahan
- Selalu tersalah letak, atau kehilangan barang
Langkah-langkah mengatasi:
Sebagai ibu bapa pastinya anda akan cuba untuk membantu mereka, bukan? Jadi berikut adalah cara-cara yang boleh anda lakukan:
- Membantu dan menyokong anak dalam membina keyakinan diri
- Memberikan rawatan untuk penyakit yang mungkin berkait seperti simptom hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD)
Mempertingkatkan potensi pembelajaran melalui:
- Terapi pertuturan.
- Latihan pendengaran dengan bantuan komputer.
- Pendekatan penggunaan deria – sentuhan, pendengaran, gerakan bibir dan menulis huruf atau perkataan.
Disgraphia
Ia berkaitan masalah sistem saraf mempengaruhi kemahiran motor halus diperlukan untuk menulis. Keadaan itu menimbulkan kesukaran untuk kanak-kanak menulis dan melengkapkan sebarang tugasan.
Kebanyakan penyelidik tidak dapat mengenal pasti mengapa keadaan ini berlaku kepada kanak-kanak. Manakala bagi individu dewasa ia mungkin melibatkan kecederaan atau trauma pada otak.
Bagi kanak-kanak, ketidakupayaan ini biasanya berlaku bersama masalah pembelajaran lain seperti ADHD dan disleksia.
Ciri-ciri disgraphia yang boleh dikesan:
Kanak-kanak dengan disgraphia mempunyai tulisan tangan yang tidak jelas, tidak teratur, atau tidak konsisten. Mereka juga sering mempunyai slant yang berbeza, bentuk, huruf besar dan huruf kecil. Mereka juga cenderung menulis atau menyalin dengan perlahan.
Tanda-tanda lain, termasuklah:
- Genggaman sempit, yang boleh menyebabkan tangan sakit
- Sukar untuk mengganggar jarak atau margin ketika menulis
- Sering memadam tulisan
- Tidak konsisten dalam jarak penulisan dan perkataan
- Lemah dalam mengeja
- Posisi badan atau pergelangan tangan yang luar biasa ketika menulis
Langkah-langkah mengatasi:
Berikut antara beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak dengan masalah disgraphia, iaitu:
- Berikan anak menggunakan kertas lebar, kertas graf atau kertas bergaris untuk membantunya dalam masalah penjajaran abjad dan perkataan
- Berikan anak pensil yang mempunyai genggaman (pencil grips) atau sebarang alat menulis untuk keselesaan
- Berikan anak menggunakan komputer untuk menaip dan bukan menulis, ajarkan mereka menaip pada peringkat awal
- Jangan mengkritik sebarang kekotoran atau penulisan yang tidak kemas. Sebaliknya puji usahanya dan berikan penghargaan
- Sedar mengenai keadaan yang berlaku dan maklumkan kepada anak mengenainya
- Ajarkan mereka untuk menenangkan diri sebelum belajar menulis
- Berikannya menggenggam bola stres untuk meningkatkan kekuatan otot tangan dan koordinasinya
- Anda juga dinasihatkan untuk berbincang keadaan anak dengan guru mereka. Ini pastinya akan dapat membantu anak untuk mengatasi gangguan ini dengan sokongan dan bantuan daripada guru di sekolah.
Dyscalculia
Keadaan berkaitan otak yang menyebabkan pembelajaran aritmetik asas menjadi sukar. Ia mungkin 1 keadaan yang diwarisi tetapi penyelidik masih belum menemui sebarang gen yang boleh dikaitkan dengannya.
Saintis mencadangkan keadaan ini sama seperti disleksia – gangguan membaca – tetapi masih belum dalam difahami sepenuhnya. Keadaan ini juga dikenali sebagai ‘disleksia matematik,’ tetapi ini boleh mengelirukan kerana dyscalculia adalah keadaan yang sama sekali berbeza.
Ciri-ciri dyscalculia yang boleh dikesan:
Kanak-kanak dengan keadaan ini akan berdepan kesukaran ketika mengira. Mereka mungkin masih mengira menggunakan jari sedangkan kanak-kanak seusia mereka sudah tidak melakukannya lagi.
- Sukar membuat anggaran seperti berkaitan ketinggian
- Mengalami masalah dengan perkataan matematik
- Susah untuk belajar matematik asas seperti tambah, tolak dan darab
- Sukar memahami pecahan
- Tidak dapat memahami graf dan carta
- Kesukaran mengira duit
- Tidak mampu mengingati nombor telefon atau poskod
- Tidak tahu memberitahu tentang waktu atau membaca masa
Langkah mengatasi:
Menurut pakar, ahli psikologi pendidikan atau pakar neuropsikologi berkaitan dyscalculia, mereka mencadangkan 3 perkara berikut untuk membantu kanak-kanak yang berdepan keadaan ini, iaitu:
- Pelan pembelajaran yang direka khas.
- Permainan pembelajaran berasaskan matematik.
- Mempraktikkan kemahiran matematik lebih kerap berbanding kanak-kanak lain.
Bagi ibu bapa pula, berikut antara perkara yang boleh dicuba:
- Biarkan dia menggunakan jari dan kertas apabila mengira
- Pastikan dia mempunyai alat yang betul seperti kalkulator dan pemadam
- Gunakan kertas graf. Ia membantu untuk menjadikan penulisan mereka lebih kemas dan teratur
- Gunakan muzik dan irama untuk mengajar fakta matematik
- Puji segala usaha kerasnya untuk belajar
- Ajarkan kepadanya cara untuk mengatasi kegelisahan
- Anda juga dinasihatkan untuk berbincang keadaan anak dengan guru mereka. Ini pastinya akan dapat membantu anak untuk mengatasi gangguan ini dengan sokongan dan bantuan daripada guru di sekolah.
Sekiranya anak anda mengalami gangguan pembelajaran, anda tidak harus membeza-bezakan mereka dengan adik-beradik yang lain. Ini kerana mereka tetap mempunyai kelebihan tersendiri dan boleh mencapai kejayaan sama seperti kanak-kanak lain.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
3 Syarat Ini Kena Buat Kalau Nak Anak Hebat. Setakat Kasih Sayang Tak Memadai

Kepenatan dan keperitan menjaga anak setiap hari tidak boleh dijadikan sandaran atau bukti yang anda sudah berjaya membesarkannya. Tanpa sikap positif, ilmu dan kemahiran yang efektif, sukar untuk mendidik seorang anak yang menyerlah potensinya.
Lazimnya menimang cahayamata merupakan satu impian mana-mana pasangan suami-isteri. Membesarkan anak, terutama darah daging sendiri, adalah keinginan dan idaman semulajadi makhluk bergelar insan. Apa tidaknya ~ anak adalah penyambung zuriat kita!
Ada anak yang baik budi, cantik pekertinya, pandai mengambil hati orang tua dan bermotivasi tinggi. Anak seperti ini menyejukkan hati bukan sahaja ibu dan bapa, malah sesiapa sahaja yang mengenalinya. Ada pula sesetengah anak yang cukup menguji kesabaran ibu bapa, amat nakal, panas baran dan tidak bermotivasi. Anak yang seperti ini membuatkan ibu bapanya sering sesak dada dan boleh menjadi punca ketegangan rumah tangga. Anak anda bagaimana ya?

SIBUK TIDAK BERMAKNA EFEKTIF
Benar, tiada ibu atau bapa yang sempurna di dunia ini. Yang ada ialah, ibu bapa yang efektif. Lebih efektif seorang ibu atau bapa mendidik anaknya, lebih besar potensi anak tersebut untuk cemerlang dan berjaya dunia dan akhirat. Menariknya, sesetengah ibu bapa membanting tulang setiap hari demi menambah rezeki untuk anak-anak, tetapi tidak terfikir untuk menimba ilmu mendidik anak sendiri! Kumpullah seberapa banyak harta yang anda mahu. Hantarlah anak ke sekolah swasta semahal mana sekalipun. Dapatkanlah khidmat guru yang paling berkalibar. Namun, harta atau sekolah atau guru sebaik mana pun tidak boleh menggantikan diri dan tempat istimewa anda sebagai ibu atau bapa jika anda impikan anak yang hebat.
MENGAPAKAH KASIH SAYANG TIDAK MEMADAI?
”Tapi saya sangat sayangkan anak saya. Bukankah kasih sayang syarat utama mendidik anak?” mungkin inilah yang terdetik di hati anda sekarang.
Ya, kasih sayang sangat perlu tetapi berapa ramai ibu bapa yang amat menyayangi anak mereka namun gagal membentuk anak menjadi seorang insan yang berwibawa? Berapa ramai anak yang tidak menghormati ibu bapa, yang mensia-siakan segala usaha yang dibuat oleh ibu bapa mereka, yang suka melepak ke sana sini sedangkan ibu bapanya saban hari membanting tulang untuk mencari rezeki?
Tanpa memahami minda anak-anak, anda mungkin tidak tahu cara menunjukkan kasih saying anda sebaik mungkin. Sedangkan, tugas anda yang paling utama sebagai ibu bapa ialah menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak anda. Supaya mereka bukan setakat menjadi ”anak-anak yang baik”, malahan membesar menjadi “anak yang cemerlang dan sehabis baik”.
MENGAPA DOA TIDAK MENCUKUPI?
Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Allah tiada merobah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka merobah keadaan diri mereka sendiri.” ~ Surah Ar-Ra’d (ayat 11)
Benar, doa adalah senjata seorang Islam. Tetapi anda tidak boleh impikan hasil yang berbeza selagi usaha yang anda buat tidak berubah. Laksana seorang petani; apa saja benih yang anda tanam, itulah dia yang akan anda tuai. Allah akan membantu anda bila anda benar-benar berusaha untuk berubah. Hanya doa seiring dengan usaha yang bersungguh-sungguh akan membuka jalan untuk keadaan yang lebih baik. Mendidik anak akan terus menjadi satu perkara yang mengelirukan selagi anda tidak mengambil inisiatif untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik.
Hakikatnya, ada tiga syarat yang anda perlu ada untuk membentuk peribadi anak yang hebat:
- Sikap Positif. Dengan sikap positif, minda anda terbuka untuk belajar dan berubah, jika perlu. Ibu bapa yang bersikap negatif enggan menilai dan memuhasabah kelemahan diri sendiri. Akibatnya, situasi tidak boleh diperbaiki.
- Ilmu Keibubapaan. Banyak ilmu yang perlu diahami yang boleh membantu anda untuk menjadi ibu bapa yang lebih berwibawa. Ini termasuk : pembawakan anak, kepintaran emosi, perbezaan dan persamaan anak lelaki dan anak perempuan dan banyak lagi.
- Kemahiran Keibubapaan. Jika anak-anak anda suka bermusuh, iri hati dan dengki sesama mereka, apakah caranya untuk meredakan ketegangan ini? Jika anak anda sensitif, bagaimana cara terbaik untuk anda membesarkannya? Jika anak anda kurang yakin pada dirinya, apa yang boleh anda lakukan untuk menjadi seorang yang lebih yakin pada dirinya sendiri?
ILMU KEIBU-BAPAAN TIDAK DATANG DENGAN SENDIRI
– Mendidik anak perlukan ilmu yang ditimba dengan bersungguh-sungguh. Bacalah buku, berjinaklah dengan seminar keibu-bapaan, fahami anak anda, fahami diri anda sendiri. Mendidik anak bukannya mudah. Tetapi ia bukan suatu misteri. Banyak kajian yang telah dilakukan dalam bidang psikologi kanak-kanak yang boleh menolong anda memahami selok-belok membesarkan anak anda.
– Setiap kanak-kanak berpotensi untuk jadi hebat. Dengan memahami psikologi kanak-kanak, anda mampu untuk mendidik anak yang bermotivasi, taat dan berbudi tinggi.
– Setiap anak boleh mencapai yang lebih baik. ”Lebih baik”mungkin bermakna, ”lebih bertanggungjawab”, atau “kurang bertengkar dengan adik-beradik”, atau “kurang baran”. Atau lebih cemerlang pelajarannya.
Sumber: Jamilah Samian (coolmumsuperdad)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahaya Picit Hidung Anak Waktu Bagi Makan Ubat. Ibu Ini Kongsi Pengalamannya

Bab nak bagi anak makan ubat boleh bising satu rumah. Dengan suara anak yang meraung menangis tak mahu ubat, ditambah pula dengan nada tinggi ibu bapa supaya anak ikut arahan. Disebabkan masalah ini, ibu bapa terpaksa memaksa anak dengan pelbagai cara.
Ingat ya anak-anak lagi kita paksa dan marah-marah, lagilah mereka buat drama air mata dan membuatkan ibu bapa rasa tercabar. Kena sabar dan buatlah teknik psikologi. Insya-Allah akan berhasil.

Perkongsian dari Puan Sakinah Hamid ini juga boleh jadi peringatan agar tak sewenang-wenangnya memicit hidung anak semata-mata nak bagi anak makan ubat.
Bila terbaca berita viral mengenai seorang bapa yang menggunakan spray hidung untuk atasi masalah hidung tersumbat. Tak sanggup nak tengok keseluruhan video.
Tapi dari pemerhatian sepintas lalu, caranya jelas boleh mendatangkan bahaya kepada anak kecil. Ramai yang mengecam cara penggunaannya yang salah. Semoga beliau beroleh petunjuk bagaimana untuk menguruskan masalah kesihatan anak dengan lebih selamat.
Isu ini mengingatkan kejadian yang berlaku pada saya sendiri. Saya tak sedar pun la. Tapi abah selalu sangat ulang-ulang kisah ni. Nampak jelas penyesalan di wajahnya.
Asal ada topik pasal anak tak sihat ja mesti dia pun bukak cerita ni.
Jadi saya kongsikan di sini untuk manfaat bersama.
Saya ni masa kecik susah nak makan ubat. Sekarang pun sama ja. Jadinya bila saya demam ke apa yang kena makan ubat, perang dunia akan meletus. Dah la pitching tinggi, bergegar satu kuarters.
Alkisah ada la orang bagi cadangan “Hang picit ja hidung dia, pastu tekan ubat masuk. Settle! Jadi seorang bapa muda yang takda idea nak uruskan anaknya ni pun ikutlah. Masa saya tengah meraung dengan volume paling kuat tu, abah pun buat la teknik ‘evergreen’ ni. Tiba-tiba lepas picit ubat masuk kerongkong, saya terus senyap! Tak bunyi apa-apa.

Ha..menggelabah la. Terus abah tonggang kepala saya ke bawah, kaki ke atas. Baru tersedak keluar ubat tu. Dan saya pun sambung meraung. Dan itulah kali terakhir abah ikut petua evergreen tu.
Ok, mungkin ada yang cakap aku anak 10 semua buat macam tu ok ja. Yer la, dah kena waktu ok, selamat la. Tapi kalau waktu ubat masuk tu, laring terbuka. Alamat masuk saluran pernafasan lah ubat tu. Alhamdulillah abah ada idea jugak nak buat apa bila dah tersenyap tu kan.
Kesimpulannya, kita ibu bapa muda yang kurang pengalaman ni boleh dengar cadangan orang. Tapi perlu lah nilai semula. Ilmu boleh cari merata tempat sekarang. Banyak cara nak bagi anak makan ubat yang lebih selamat. Gunakan kaedah psikologi supaya anak faham kepentingan makan ubat. Selain ubat, berusaha juga dengan rawatan alami yang lebih mudah untuk anak terima.
Sumber: sakinahamid.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


