
Prosiding inkues kematian adik Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, kini memasuki minggu kedua dan terus membuka kisah pilu yang menimbulkan banyak persoalan di hati masyarakat.
Hari ketujuh prosiding di Mahkamah Koroner, Papar, menyaksikan keterangan saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 65 tahun, seorang pengawal keselamatan sekolah. Beliau berkongsi detik-detik penting sebelum dan selepas arwah ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya.

Tuduhan Mencuri RM300
Menurut Linah, sehari sebelum kejadian, seorang pelajar Tingkatan Satu datang mengadu kepadanya tentang kehilangan RM300 dan kad bank dari dalam beg sekolah. Walaupun ketika itu tidak menuduh sesiapa, selepas kematian Zara, tersebar cerita bahawa arwah dituduh mencuri wang tersebut.
Linah menegaskan, selain tuduhan itu, beliau tidak pernah mendengar cerita buruk mengenai Zara sepanjang bertugas di sekolah berkenaan.
Arahan Cuci Kesan Darah
Lebih mengejutkan, Linah memberitahu mahkamah bahawa dua pelajar Tingkatan Empat diarahkan oleh seorang warden untuk membersihkan kesan darah di lokasi kejadian. Beliau sendiri turut diarahkan memadam gambar Zara ketika mula ditemui, bimbang ia tersebar.
Keadaan Zara Ketika Ditemui
Linah juga berkongsi detik menyayat hati ketika melihat Zara terbaring dalam keadaan terlentang di longkang, tanpa kasut dan tudung. Arwah masih bernafas perlahan, seakan-akan sedang berdengkur.
Beliau berkata, Zara kemudiannya dialihkan oleh warden bersama pelajar senior ke hadapan rumah warden sementara menunggu ambulans. Ketika dimasukkan ke dalam ambulans, darah dilihat mengalir banyak dari kaki kiri Zara hingga menampakkan tulang.
Doa & Harapan Ibu Bapa
Kisah arwah Zara ini bukan sahaja menyentuh hati keluarga, malah masyarakat seluruh negara. Sebagai ibu bapa, kita hanya mampu membayangkan betapa luluhnya hati keluarga apabila anak kecil yang sepatutnya selamat di asrama sekolah, berdepan situasi penuh tanda tanya.
Kes Zara Qairina menjadi pengajaran besar kepada semua pihak – sekolah, warden, guru, ibu bapa dan juga masyarakat. Keselamatan serta kesejahteraan anak-anak di sekolah perlu sentiasa menjadi keutamaan, bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga dari aspek emosi dan psikologi mereka.
🌸 Pa&Ma titipkan doa buat keluarga arwah Zara Qairina agar diberi kekuatan melalui ujian besar ini. Semoga kebenaran akan terungkai, dan tiada lagi anak-anak lain yang melalui pengalaman sebegini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












