Inkues Zara Qairina: Warden Nafi Sekolah Sembunyi Kebenaran, Rayu Hentikan Fitnah

Share

Air mata kembali mengalir di Mahkamah Koroner apabila inkues kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, diteruskan. Saksi kelapan, Azhari Abd Sagap yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, tampil memberi keterangan penuh emosi.

Menurut laporan Harian Metro

, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa pihak sekolah mahu menutup kebenaran tentang apa yang berlaku kepada arwah. Malah, Azhari menceritakan usahanya menyelamatkan Zara pada hari kejadian — membawa ke hospital, menghubungi ambulans, menemani ibunya di hospital hingga ke petang, serta hadir ke pengebumian di Sipitang. Semua itu dilakukan kerana rasa tanggungjawab terhadap anak jagaan sekolah.

Namun, apa yang menyedihkan, dirinya dan pihak sekolah tetap berdepan tohmahan. Nama seorang pelajar, dikenali sebagai Kak M, turut dikaitkan sehingga wajahnya tular di media sosial. Bagi Azhari, tuduhan terhadap pelajar itu sangat kejam kerana hakikatnya dialah yang mula-mula menemui Zara dan berusaha membantunya.

“Kalau bukan kerana dia, mungkin Zara sudah kehilangan nyawa lebih awal. Tetapi ini balasan yang dia terima — dituduh dan difitnah,” katanya sebak.

Azhari juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang aduan rasmi dibuat oleh arwah atau ibunya mengenai isu yang dikaitkan dengan Kak M. Beliau turut berkongsi detik peribadi apabila Zara pernah menulis tentang subjek ajarannya dalam diari, membuatkannya terharu dengan ingatan itu.

Kes Zara Qairina membuka mata ramai ibu bapa bahawa keselamatan anak di sekolah perlu sentiasa dipantau. Walaupun anak-anak membesar di asrama, komunikasi terbuka antara ibu bapa, guru dan pelajar amat penting agar sebarang masalah tidak disimpan hingga terlambat.

Buat keluarga arwah, masyarakat terus mendoakan agar kebenaran terbongkar dan keadilan ditegakkan. Buat ibu bapa lain, kisah ini jadi peringatan betapa besar amanah menjaga keselamatan, emosi, dan kesejahteraan anak-anak.

Published by
Nana