Mendirikan rumah tangga, mempunyai keluarga memerlukan pengorbanan yang besar. Setelah bergelar suami/isteri banyak perkara yang perlu dikorbankan lebih-lebih lagi waktu bersuka ria seperti zaman bujang.
Lebih banyak masa diperlukan dirumah untuk menjaga keluarga. Kehidupan selepas berkahwin semestinya tak sama seperti zaman bujang dan mungkin juga kita kehilangan ramai teman. Bukan bergaduh atau salah faham menyebabkan kita hilang kawan, tetapi kerana masa dan tanggungjawab kepada keluarga seperti yang dikongsi oleh encik Firdaus Shakirin ini.
“Hilang” kawan-kawan selepas berkahwin…
Perkara ni banyak terjadi kat orang perempuan a.k.a isteri…Lepas mendirikan rumahtangga je, kawan-kawan dah makin menghilang, dah tak ramai…
Bukan sebab bergaduh atau ada apa-apa yang berlaku antara dia dengan kawan-kawan, tapi sbb BERKAHWIN…
Ads
Kadang-kadang jarak yang memisahkan dia dengan kawan-kawan…kadang-kadang kesibukan sebagai isteri yang memisahkan dia dengan kawan-kawan…kadang-kadang ketiadaan masa sebagai ibu yang memisahkan dia dengan kawan-kawan…
Kehidupan dia berubah hampir sepenuhnya…
Bukan kehidupan dia saja, kehidupan kawan-kawannya yang turut mendirikan rumahtangga juga berubah…bila sorang tu ada masa untuk berjumpa, seorang lagi tiada masa atau tak dibenarkan keluar rumah…bila sorang tu ada masa untuk bercerita, seorang lagi sibuk dengan anak-anak dan kerja-kerja rumah…
Ads
Jarang dapat keluar dengan kawan-kawan, jarang juga dapat meluah pada kawan-kawan…rasa macam masa dengan kawan-kawan tu dah habis…sebelum berumahtangga ja boleh meriah, bersosial, bergelak tawa, ke sana sini dengan kawan-kawan…bila dah kawin, dah ada suami, dah ada anak-anak, masa bersama kawan-kawan tu tersangatlah dikenangkan…rindu nak macam dulu…
Perlu ke kita nak sedih sbb dah tak ramai kawan lepas dh kawin?
Fasa hidup kita ni macam tu la…ada fasa kita belajar, ada fasa kita berhibur, ada fasa kita enjoy, ada fasa kita dengan dunia kita, ada fasa kita berkeluarga…bila smpai fasa berkeluarga, baik lelaki mahupun perempuan, fasa sebelum-sebelum ni tu dah makin terbatas, makin tak berpeluang untuk diulang…
Masing-masing dah ada komitmen dan kewajipan lain…
Ads
Yang perlu diutamakan dan didahulukan…jangan sedih sebab kurang kawan atau kawan-kawan dah hilang…chill n relax, berkawan je dengan sapa-sapa yang masih ada dengan kita, contact dengan kita…walaupun bilangan kawan kita tu kurang dari 10 orang je, tapi 10 orang tu lah yang betul-betul mendatangkan manfaat dan faedah kepada diri kita daripada ada 100 orang kawan, tapi kesemuanya tiada tatkala kita memerlukan mereka…
Saya pun tak ramai kawan, tapi alhamdulillah masih jugak ada kawan…😊
Kredit: Firdaus Shakirin
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kerja mana yang tidak stres? Selagi kita berhadapan dengan orang sekeliling pasti kita tidak terlepas daripada dilanda masalah. Bebanan demi bebanan akhirnya membawa padah dalam diri kita. Sudahnya tanpa kawalan, anak pula yang terkena tempiasnya.
Bagi mama dan papa yang bekerja, pastikan sebelum mengambil anak di sekolah atau di rumah pengasuh, buang jauh-jauh stress dan tenangkan diri semula sebelum mengambil anak-anak.
Menurut Dr Rizal Abu Bakar, pakar otak mengakui kebenaran ini. Ikuti perkongsiannya melalui beberapa kajian yang dilakukan.
Kalau anda stress jangan dekati anak dulu!
Tahukah anda sekiranya anda stress, anak anda juga akan terkena stress? Mungkin anda terkejut dengan kenyataan ini. Tetapi itulah hakikatnya.
Bayangkan anda bekerja seharian. Buat presentation. Dikutuk dan ditolak. Anda tertekan. Anda dapat rasakan takat stress anda meningkat. Debaran di dada tinggi. Leher terasa sakit. Begitu juga bahu.
Waktu pulang tiba. Anda pandu kereta. Fikiran melayang. Ingatkan peristiwa pembentangan tadi. Tiba-tiba terdengar bunyi hon. Bunyi tayar dibrek mengejut. Anda tersedar dari lamunan dan terus tekan brek.
Darah berderau. Dada berdebar. Bibir jadi kering denga tiba-tiba. Astaghfirullahal Adzim. Anda lurut dada. Hampir terlanggar kereta hadapan.
Anda terus memandu. Sampai ke tempat asuhan anak anda. Anda bergegas keluar ambil anak. Dia senyum lihat anda. Tetapi sekejap sahaja.
Anak anda tiba tiba moody. Merengek. “Aku dah letih ni. Dia buat perangai pula,” mungkin ini bisikan di hati anda.
Kenapa tiba-tiba anak anda berubah? Dia juga stres. Dia dapat rasai perubahan.
Jawapannya ada pada kajian yang dilakukan di University of California San Francisco. Prof Wendy Mendes jemput 69 ibu dan anak. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan.
Kesemua mereka dipakaikan sensor semak degupan jantung. Sampel air liur diambil untuk kesan hormon stres – kortisol.
Anak-anak mereka ditinggalkan dengan penjaga di bilik permainan. Anak-anak gembira bermain. Ibu ibu juga bahagia lihat anak gembira.
Untuk ibu pula mereka punya tugasan. Keduanya perlu sediakan ucapan 15 minit. Grup A perlukan bentangkan seorang diri. Tiada penonton. Hanya dinding.
Grup B perlu bentangkan pada 4 orang panel. Sewaktu pembentangan mereka ditugaskan untuk beri response negatif seperti geleng kepala, buat buat terkejut, beliakkan mata seolah tidak percaya dan bercakap sesama sendir.
Mudahnya tugas panel ialah streskan pembentang. Bayangkan sekiranya anda adalah pembentang itu.
Usai pembentangan kedua kumpulan disatukan kembali dengan anak masing masing. Ibu dari Grup A dan anak mereka keduanya santai dan tiada tanda stres dari sensor serta sampel air liur.
Grup B sebaliknya. Anak mereka asalnya tiada stres. Tetapi selepas ditemukan, sensor debaran jantung tunjukkan seolah mereka juga stres seperti ibu mereka. Air liur mereka juga tunjukkan kehadiran kortisol. Tanda mereka juga stres seperti ibu mereka.
Point dari kajian ini mudah. Sekiranya stres, turunkan kadar stres anda. Berhenti di mana mana dahulu. Buatkan teknik mindfulness atau ketara sedar. Ia mampu redakan tahap stres anda.
Begitu kata pakar otak kita. Jadi tak kita walau dengan cara apa sekalipun pastikan anda tepis stres jauh-jauh sebelum mengambil anak di sekolah atau rumah pengasuh. Pastikan anak kita merasai aura yang baik-baik sahaja daripada kita. Ingat, masalah kerja lebih-lebih lagi stres melampau di tempat kerja, jangan bawa balik ke rumah.
Kredit: Dr Rizal Abu Bakar
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semua ibu pastinya pernah berhadapan dengan masalah anak mengawal remote control atau telefon di tangan mereka. Gagal untuk meminta secara baik, pastinya ramai di antara kita yang dengan mudahnya merampas dari tangan anak.
Sebenarnya hal ini salah kerana ia mendidik anak untuk sama meniru perbuatan yang kita lakukan kepadanya. Malah banyak kesannya kepada perkembangan otak si kecil.
Dr. Aimi Jaafar bercerita cara sihat berinteraksi dengan anak kecil secara tepat.
Alat kawalan jauh.
Atau lebih dikenali dengan ‘remote control’,
itulah ‘mainan’ kegemaran Aydin Alhaq.
Adakah mungkin disebabkan banyak butang-butang beraneka bentuk dan warna yang boleh ditekan, ataupun kebolehannya untuk mengawal dari jauh?
Sedang semua mata tertumpu di kaca televisyen, menunggu langkah seterusnya oleh sang naga kecil dalam cerita ‘How to Train Your Dragon 2’ yang baru dibeli oleh kakak-kakak sepupunya Aydin, tiba-tiba poof, kaca televisyen berubah menjadi semut-semut yang diikuti oleh bunyi bingit tidak bermakna.
Liar mata-mata mencari punca pertukaran channel itu.
‘Aydin~~~~!’
Jari-jari halus itu rancak memicit butang-butang yang tidak diketahui fungsinya, dengan senyuman penuh kepuasan terlukis di riak wajah comel itu.
Bagaimana mahu mengambil mainan kegemarannya itu dari tangannya? Kalau dirampas, pasti menangis. Kalau diminta, fahamkah si kecil yang baru berusia 9 bulan itu?
Kakak-kakak sepupu Aydin sudah mula bermasam muka, Aydin killed the excitement.
Oklah. ‘Aydin, meh kasi remote tu sekejap. Ni ada satu lagi remote, ada lampu dia, kita tukar ok?’
Mata galak itu memandang alat kawalan jauh yang dihulurkan kepadanya. Seperti ada bintang-bintang bersinar di matanya, langsung dilepaskan alat kawalan jauh di tangannya, dan dicapai yang baru.
‘Tett, tett, tettt’, dengan beberapa picitan, kaca televisyen kembali menayangkan gambar si pahlawan kecil di atas naga.
‘Yayyyy’, semua pun kembali memberi tumpuan ke kaca televisyen, fokus mengikuti plot cerita itu.
Semua, tapi tidak semua. Ada sepasang mata yang galak, memandang dengan sepenuh perhatian pada alat di tangannya, memicit setiap butang, mengkaji mainannya yang baru.
———————————————————————-
Walau tidak nampak kepentingannya sekarang, sebenarnya bagaimana kita melayan anak sewaktu masih kecil adalah sangat sangat penting. Waktu inilah mereka belajar. Belajar bagaimana menjadi manusia berperasaan, beradab, beretika.
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan yang terbaik. Kadangkala anak kita mengambil sesuatu yang bahaya, seperti gunting, pastilah kita akan terus melepaskannya dari tangan anak kita.
Tapi pastikan ada kata-kata yang menjelaskan kenapa ia diambil dari tangannya. Walau kita rasa dia belum faham, tapi secara luar sedar, dia akan lebih tenang dan jiwanya akan memahami. Apa yang dia faham? Yang kita bukan marah atau paksa, tapi kita sayang dan risau.
Anak kecil juga punya perasaan, bukan?
Kredit: Dr Aimi Jaafar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dunia hari ini semuanya dihujung jari. Tanya sahaja Mr. Google pasti ada jawapannya. Kalau untuk orang dewasa tak mengapalah juga tahu apa yang boleh dan apa yang tidak baik untuk dilayari. Tapi bagaimana pula dengan anak-anak yang masih kecil? Selamatkah mereka di alam maya?
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN mengulas lanjut mengenai permasalahan yang pastinya menjadi kegusaran ramai ibu bapa.
Semakin kepesatan pembangunan dunia di sekeliling kita hari ini, cabaran membesarkan kanak-kanak juga semakin meningkat dan menjadi lebih sukar. Hari ini, kes-kes jenayah seperti ‘child grooming’ atau antun seksual kanak-kanak sudah tersebar walaupun masih boleh dikira sebagai terkawal kerana pemantauan pihak yang berwajib. Melalui Internet misalnya, orang dewasa yang berkecenderungan seksual songsang terhadap kanak-kanak aktif menjadikan kanak-kanak sebagai ‘rakan’ dengan tujuan untuk memujuk kanak-kanak yang terjebak supaya menjalinkan hubungan seksual!
Alam sebenar juga semakin mencabar kesihatan dan keselamatan kanak-kanak. Papa, mama dan guru prasekolah perlu sentiasa berwaspada dan memantau agar anak-anak kecil di bawah jagaan mereka tidak menjadi mangsa penculik atau pemangsa seksual (sexual predator) yang ingin mencabul kehormatan kanak-kanak di bawah umur.
Atas kesedaran ini, bulan ini izinkan saya untuk berkongsi beberapa tips agar cikgu tadika, mama dan papa di luar sana semakin berwaspada dan dapat memastikan keselamatan kanak-kanak yang berusia 0-6 tahun. Ini kerana pada peringkat usia ini, kanak-kanak masih suci fikiran dan peribadi mereka malah mereka masih tidak tahu apa-apa tentang pemangsa dan penjenayah yang mungkin sedang memerhatikan mereka tanpa kita sedari.
Tips #1: Hantar anak ke penjaga, taska atau tadika yang terbukti selamat
Apabila pasangan papa dan mama terpaksa keluar bekerja untuk menambah rezeki famili, maka si kecil terpaksa pula dihantar ke rumah penjaga atau pengasuh dan/atau taska serta tadika. Soalannya mudah, adakah anda pasti akan keselamatan si kecil kesayangan anda di tempat itu? Di rumah penjaga atau pengasuh yang tidak berdaftar, anak anda mungkin terdedah kepada 1001 bahaya termasuk juga bahaya pemangsaan seksual.
Di taska, tabika atau tadika juga tidak kurang bahayanya. Adakah institusi prasekolah itu sensitif kepada isu jenayah seksual? Di sesetengah negara-negara maju, menukar lampin pun perlu dilakukan oleh dua guru atau penjaga di institusi prasekolah; seorang menukar dan seorang lagi memantau. Disebabkan di negara kita peraturan masih keterbelakang, pastikan anda meminta cikgu prasekolah anak anda cuba melakukan perkara yang serupa.
Jenayah kadangkala memang tidak boleh dihidu dan dielakkan, tetapi ini tidak bermakna kita pula yang memberi peluang kepada golongan penjenayah atau pemangsa untuk mengambil kesempatan kepada kanak-kanak di bawah jagaan kita. Oleh itu jangan ambil lewa hal yang kritikal seperti keselamatan si kecil di rumah penjaga atau semasa di tadika.
Tips #2: Pantau penggunaan aplikasi komputer atau telefon pintar oleh si kecil
Anak saya amat menyukai aplikasi ‘Minecraft’ yang boleh dimainkan di telefon pintar atau tablet. Walaupun aplikasi permainan ini baik untuk melatih kreativiti dan membantu si kecil berfikir, ada juga pemain lain yang biadap! Permainan ini boleh dimainkan secara sosial (social gaming) dan kita boleh berkomunikasi dengan orang lain. Masalahnya bukan semua pemain yang berada di atas talian ialah orang yang baik lagi budiman.
Ada bukti-bukti yang jelas menunjukkan pemangsa seksual suka menyelinap masuk ke aplikasi permainan yang disukai oleh kanak-kanak. Tidak kurang juga ada aplikasi sosial yang membawa bahaya apabila kanak-kanak cenderung berkongsi maklumat peribadi seperti nama penuhnya, alamat rumah dan tadikanya serta lain-lain lagi. Pastikan anda memeriksa kalau-kalau si kecil anda mendapat mesej daripada orang yang tidak dikenali.
Teknologi memang membawa kebaikan dalam hidup manusia, tetapi apabila teknologi disalahgunakan oleh penjenayah, pemangsa seksual dan orang jahat lain, kesannya amat negatif kelak terutama sekali untuk kanak-kanak. Maka, pantaulah penggunaan aplikasi elektronik oleh si kecil comel anda pada setiap masa dan ketika tanpa sebarang alasan!
Tips #3: Didik si kecil anda agar dia tidak suka ‘berahsia’ pada setiap masa
Ada penjenayah atau pemangsa seksual yang cekap memanipulasi pemikiran si kecil dengan bermacam-macam pujukan dan rayuan. Salah satu strategi jahat manusia seperti ini ialah dengan menyuruh si kecil berahsia dan menyimpan cerita daripada orang lain. Hal ini boleh terjadi di dunia maya atas talian atau pun di alam sebenar di sekeliling kita.
Oleh itu, mulai sekarang pastikan si kecil manja anda tidak suka berahsia! Pastikan anak anda bercerita dengan selengkap-lengkapnya tentang hal-hal yang terjadi di tadika pada hari berkenaan. Sentiasa juga ambil peluang untuk menyapa cikgu tadika anak anda agar anda tahu hal-hal yang telah atau akan berlaku walaupun agak remeh-temeh. Jangan sekadar menghantar dan mengambil anak kecil anda sahaja ke tadikanya.
Hal-hal yang sudah berlaku semasa di rumah pengasuh, ketika bermain bersama di taman permainan, setelah berjalan mencari barang rumah di pasar raya atau di mana-mana sahaja – tolong jadikan tabiat berkongsi bercerita dan tidak menyimpan rahsia sebagai suatu usaha positif untuk memastikan keselamatan si kecil kesayangan anda. Patahkan usaha penjenayah dan pemangsa seksual untuk berbuat jahat kepada semua kanak-kanak.
Tips #4: Ajar anak anda membezakan sentuhan yang ‘okay’ dengan yang tidak
Orang kita memang pantang kalau disebut ‘pendidikan seksual’. Macam-macam pendapat dan pandangan serong yang pasti kita dengar. Tetapi tahukah anda, salah satu rasional utama pendidikan seksual ialah untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tahu menjaga keselamatan diri mereka agar tidak terjebak menjadi mangsa jenayah seksual?
Memang kita akan menjadi geram melihat kanak-kanak yang comel dengan pipi yang gebu dan seakan-akan minta dicubit. Akan tetapi, jangan pula kita mencubit anak orang lain sesuka hati kita sahaja! Perkara ini bukan hanya tidak beradab tetapi salah di sisi moraliti dan undang-undang. Pada masa yang sama, si kecil perlu diajar bahawa ada sentuhan yang okay dan ada pula yang tidak okay dan perlu diberitahu kepada orang lain.
Apabila si kecil semakin meningkat usia, terangkan dengan sejelas mungkin bahagian-bahagian tubuh mana yang boleh disentuh dan yang mana tidak boleh sama sekali tanpa sebab yang munasabah dan oleh orang yang tidak dikenali. Usaha sepert ini, dengan izin Tuhan, akan menyediakan kanak-kanak di bawah jagaan anda untuk hidup dengan selamat dalam dunia yang ada penjenayah dan pemangsa seksual.
Tips #5: Pastikan anda sentiasa mahu mendengar keluh kesah hidup si kecil
Agak sedih apabila kita mendengar cerita bahawa ramai penjenayah paedofilia (orang dewasa yang bernafsu songsang terhadap kanak-kanak) dan pemangsa seksual terdiri daripada orang yang dikenali oleh kanak-kanak atau ahli keluarga kanak-kanak berkenaan. Tidak kurang pula ada ahli keluarga sendiri yang berperangai binatang dan mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang sepatutnya mereka jaga dan lindungi!
Lebih menyedihkan, apabila berlaku hal yang tragis ini, ahli keluarga sendiri menyatakan bahawa mereka “tak sangka” atau “tak tau pun” kejahatan teruk ini sedang berlaku di dalam rumah mereka. Maka, tolong pastikan anda mendengar segala cerita, keluh dan kesah si kecil tanpa menyuruh mereka diam setiap masa.
Memang ada kanak-kanak yang tidak suka diam dan suka bercerita. Tabiat seperti ini amat baik dan perlu dipupuk dalam jiwa semua kanak-kanak. Kita sebagai orang dewasa di rumah, di taska atau di tabika/tadika mesti mendengar cerita yang dikongsi oleh kanak-kanak. Siapa tahu kalau-kalau kanak-kanak berkenaan sedang didera atau menjadi mangsa perbuatan jahat tanpa kanak-kanak itu sedari? Jadikan ini tanggungjawab kita semua.
Tips #6: Perhatikan petanda-petanda gangguan keselamatan diri si kecil
Mari kita semua sama-sama berusaha dan berdoa agar kanak-kanak di bawah jagaan kita tidak menjadi mangsa perbuatan jahat oleh orang lain yang berperangai seperti binatang. Walau bagaimanapun, seperti tips kelima tadi, kita perlu mengambil tanggungjawab besar sebagai pelindung kanak-kanak yang sentiasa berwaspada dan sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan hidup kanak-kanak.
Jangan terlalu cepat menidakkan jika sesuatu hal buruk mungkin telah terjadi kepada si kecil yang amat kita sayangi. Tindakan pantas perlu diambil agar bantuan dapat diberikan kepada si kecil itu dan tindakan undang-undang boleh diambil kepada si pelaku yang berperangai seperti binatang sebelum dia memboloskan diri.
Perhatikan petanda-petanda yang menunjukkan si kecil mungkin menjadi mangsa jenayah atau penderaan seksual tidak kira anda guru prasekolah, mama atau papa. Perubahan personaliti yang mendadak, menjadi pendiam tanpa sebab, hilang selera makan dengan tiba-tiba dan banyak petanda lain lagi mungkin memberi petunjuk bahawa si kecil di bawah jagaan anda telah pun menjadi mangsa pencabulan atau jenayah fizikal lain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...