Para suami bukan sekadar perlu memberikan nafkah, skil mendengar dan memahami kehendak isteri elok juga diketahui. Mendengar dengan baik dan memahami juga sebahagian daripada keperluan isteri yang yang perlu dipenuhi.
Bertuahlah jika suami yang mudah memahami apa yang isteri katakan. Adakalanya untuk menjaga hati dan perasaan, kata-kata juga berlapik supaya tiada orang yang terasa. Jadi kena pandai-pandailah suami mentafsirkan apa yang cuba disampaikan. Para suami janganlah merasakan diri sangat teruk, ia sekadar luahan hati isteri dengan harapan boleh memperbaiki keadaan.
Perkongsian ini boleh dijadikan panduan. Memahami isteri yang mengadu dalam perihal menguruskan rumah, hubungannya dengan ipar duai dan mertua, pertolongan dan teguran perlu diketahui. Jangan mudah bersangka buruk, cuba pertimbangkan apa yang disampaikan suri hati.
BILA ISTERI KATA PENAT, DIA BUKAN MERUNGUT…
Isteri cuma nak kita tahu yang…
Bila dia kata penat, dia bukan tak larat, bukan tak de tenaga. Bukan merungut tapi ‘penat’ yang dikatakan itu adalah sebagai isyarat untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada suaminya. Nak suaminya ringankan bebanan dia atau tolong dia apa yang patut…
BILA ISTERI MENGADU PERIHAL ADIK BERADIK, IBU MERTUA
Isteri cuma nak kita tahu yang…
Bila dia mengadu perihal adik beradik kita, mak kita, apa yang diorang kata kat dia atau buat kat dia, dia bukan nak kita marah adik beradik kita, marah mak kita sendiri…tapi dia nak kita faham, klu dia tak nak dduk lama dirumah mertuanya itu kenapa..
Kalau dia kurang berbicara dalam grup keluarga itu kenapa. Kalau dia kurang mesra dengan keluarga kita itu kenapa. Dia nak kita faham yang dia dah cuba buat macam yang kita nak, tapi diorang masih menganggap dia sebagai orang luar…orang asing…
BILA ISTERI UNGKIT DUITNYA YANG DIKELUARKAN
Ads
Isteri cuma nak kita tahu yang…
Bila dia mengungkit setiap duit yang dia keluarkan, setiap pertolongan yang dia hulurkan, itu bukan bermakna dia tak ikhlas buat semua tu.
Dia sekadar nak mengingatkan bahawa pertolongannya itu bukanlah satu tanggungjawab…jangan menyalahgunakan pertolongan itu untuk kepentingan diri dan jgn terlalu selesa bila ditolong…
Bila dia tegur kita, bila dia marah kita, bila dia nasihat kita dan bila dia berleter kpd kita, itu bukanlah tandanya yang kita ni jahat sangat, teruk sangat, buruk sangat…tapi dia nak kita perbaiki diri kita, perangai kita sebab dia tahu, kita mampu jadi lebih baik dairpada apa yg kita jadi sekarang ni…dia masih berharap kepada kita dan harapannya agar kita berubah ke arah yang lebih baik sebagai seorang suami dan juga ayah…
Itu ja yang isteri nak kita tahu sebab disebalik setiap apa yang dia lakukan, tindakan yang dia ambil dan keputusan yang dia buat…
Sudah nasib, ibu mengandungkan sembilan bulan. Kemudian bersusah payah melahirkan, sekali bila keluar anaknya mirip si ayah! Tidak mengapa, asalkan sihat sudah cukup. Lagipun memang itu ayahnya, logiklah kalau wajah mereka seiras. Kalau ditegur kenalan pun, si ibu biasanya akan tersenyum dan bersetuju yang si kecil tu memang anak ayah.
Mengikut kajian, apabila wajah anak seakan-akan sama seperti ayah atau ibunya, ia akan mempengaruhi gaya mendidik seseorang itu. Sebagai contoh, jika anak seiras dengan ayahnya maka mereka akan menjadi lebih rapat kerana ada ‘tenaga’ dan keserasian antara mereka. Si ayah juga akan bermotivasi untuk meluangkan masa bersama anaknya itu.
Menurut Profesor Solomon Polachek dari Binghamton University New York, ayah yang melihat anaknya yang mempunyai wajah seiras dengannya akan lebih terikat secara emosi dan cenderung untuk selalu dekat dengan si kecil. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Binghamtom University dan Southern Illinois University ke atas 715 buah keluarga yang bermasalah, hampir berpisah atau sudah bercerai dan mungkin tidak pernah berkahwin (serta semua anak-anak dari keluarga ini tinggal bersama si ibu).
Kajian ini mendapati anak yang menyerupai wajah ayah mereka lebih sihat apabila mencapai usia setahun. Tahap kesihatan ini diambil kira dari pelbagai sudut, termasuklah penyakit yang mereka hidapi atau berapa kali pernah masuk ke hospital dan sebagainya.
Apabila ayah mempunyai anak-anak yang seiras dengannya, ia bukan saja memberi kesan positif terhadap si ayah tetapi anak mereka. Anak akan berasa gembira apabila dapat meluangkan masa dengan siayah. Inilah yang mempengaruhi tahap kesihatan si anak. Biasanya ayah yang mempunyai wajah seakan sama dnegan anak, mereka jarang nak marahkan anak tersebut.
Hasil penyelidikan dari dua buah universiti ini memang menarik, tetapi tidak bermakna jika wajah anak mereka tidak sama seperti ayah, mereka tidak sayangkan anak itu. Setiap ayah pasti sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi keluarganya. Penemuan paling penting dalam kajian ini mendapati si ayah perlu meluangkan lebih masa dnegan anak-anak. Ia akan menggembirakan si kecil dan memberi kesan positif pada anak.
Rumah tangga ‘sejuk’ kerana wajah anak seiras dengan ayah mereka mungkin satu kebetulan kerana apabila ayah selalu meluangkan masa dengan si manja, ibu akan ada sedikit masa untuk dirinya sendiri. Kebanyakan ibu pun tidak kisah kalau anak lebih rapat dengan ayah kerana sekurang-kurangnya mereka dapat fokus kepada hal-hal rumah tangga yang lain. Apabila suami isteri saling bekerjasama sudah pasti rumah tangga lebih bahagia dan harmoni.
Bagaimana nak didik anak suka buku? Ini antara persoalan yang sering ibu bapa tertanya-tanya untuk biasakan si kecil dengan bahan ilmiah. Kajian menyatakan, anak-anak yang dibiasakan dengan buku dari awal tiada masalah untuk terus berdamping dengan buku hingga mereka besar.
Cumanya, anak-anak kita bila diberikan buku, mereka akan belek sekejap saja dan selebihnya conteng, koyak dan akhirnya rosak dengan begitu saja. Sampaikan kita pun dah rasa membazir nak beli dan akhirnya hasrat itu tak dapat direalisasikan.
Ok untuk ibu bapa yang nak betul-betul anak suka buku, kita sepatutnya kena main peranan dan tunjuk contoh. Bukan paksa anak membaca tapi usaha kita tak selari dengan itu. Nak anak mudah baca, kitalah mesti jadi guru pertamanya. Ambil masa, duduk sama-sama bacakan dan ceritakan semula pada anak. Barulah anak faham.
Jadi untuk anda yang masih tertanya-tanya buku apa yang sesuai untuk anak, perkongsian dari Puan Lyeen Roslee mungkin boleh membantu.
Nak bagi anak suka buku tapi tak tahu nak pilih buku. Lyeen pun sebenarnya tak juga tahu sangat tapi banyakkan baca tip dan try and error dengan minat anak kita.
Apa yang saya buat untuk Hareez suka buku.
1) Dia umur 4-5 bulan macam tu dah bagi dia flashcard. Gambar real bukan kartun.
2) Dia menginjak ke satu tahun dah belikan dia buku 100 words yang ada gambar pelbagai (tapi yang dekat dengan dia) – pastikan juga gambar real untuk umur bawah 1 tahun.
3) Mula umur ni juga saya dah mula bacakan dia buku cerita sebelum tidur. Buku yang saya beli mula-mula ialah “Cerita Dongeng Waktu Tidur” terbitan Edukids.
3) Lepastu anak akan mula minat buku berdasarkan kartun/animasi kegemaran dia. Masa ni kita belikan buku gambar kartun pun dah okay sebab dia dah kenal gambar sebenar. Hareez dulu dia minat Didi & Friends lepas tu beralih ke Baby Shark, Omar Hana, Dinasour, Frozen, Spiderman dan sekarang solar system.
4) Bila dia minat kartun tu secara tak langsung dia nak buka buku tu dan nak tahu. Bila dia tak tahu dia akan tanya.
5) Dari segi penjagaan buku, saya memang suka beli buku hardcover supaya tahan lama walaupun anak lasak nak guna. Tapi kalau ada pun buku yang biasa, kita beritahu anak cara nak jaga, lepas baca letak kat mana. Mula-mula susah, lama-lama anak terbiasa.
6) Banyakkan buku bergambar, warna-warni dan pelbagai. (Ni untuk buku aktiviti). Kalau buku cerita, pilih yang satu muka surat 2 ke 3 ayat sahaja supaya mudah tak perlu ayat berjela-jela.
7) Buku tanpa cerita pun menarik sebab kita boleh olah ikut kreativiti sendiri. Anak pun akan berkreativiti ikut gambar. Kalau buku berasaskan fakta seperti Dinasour atau Sistem Suria, beli je. Gambar untuk anak, fakta tu untuk kita. Kita boleh cerita pada anak. Sekurangnya taklah salah fakta yang kita bagi.
9) Enjoy masa dengan anak. Bila dia baca buku “Mama jom kita baca cerita ni.” Okay, tinggalkan sebentar semua kerja. Bacalah. Spend time together. Supaya dia tahu kita selalu ada layan hobi dia.
10) Cintakan buku kerana isinya akan membawa banyak manfaat pada anak dan juga kita sebagai Mama Ayah.
Ps: Lyeen selalu beli buku dekat Popular, MPH Bookstore. Online pun selalu beli dekat @bookxcess atau @bigbadwolfbookstore
– Untuk buku cerita yang best dan gambar menarik boleh buka penerbit Autumn, First Readers.
– Untuk buku aktiviti saya sarankan buku Usborne dan Little Hippo.
– Untuk anak yang suka maklumat boleh cari buku Miles Kelly atau Jill McDonald sebab dia banyak keluarkan buku soal jawab tentang fakta dan gambar pun menarik.
– Untuk buku cerita Bahasa Melayu saya suka beli buku dekat EduKid atau Advantage Quest yang selalu keluarkan buku baru.
– Buku-buku warna lain tu saya beli dekat Eco, MR DIY je RM2.00 bagi anak main warna.
Baik tu je perkongsian saya. Jika Mommy ada penerbit atau buku yang menarik, marilah share. Sama-sama kita tanamkan minat cintakan buku buat anak-anak kita.
Kredit: Lyeen Roslee
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak meraung, menjerit dan bergolek sakan di mall gara-gara permintaannya untuk membeli mainan baru tidak dipenuhi, pernahkah anda melihat situasi tersebut atau melaluinya sendiri? Adakah itu dinamakan anak manja?
Sayangkan anak
Tiada ibu mahupun bapa yang tidak sayangkan anak, apatah lagi jika si manja merupakan satu-satunya zuriat dalam keluarga setelah bertahun-tahun menunggu. Disebabkan itu, segala permintaan dan keinginan si manja pastinya akan cuba dipenuhi, walaupun adakalanya apa yang diingini itu lebih kepada satu pembaziran.
Adakalanya apabila ibu bapa tidak mahu menunaikan permintaan si kecil, maka akan berlangsunglah babak tangisan dan jeritan. Kebiasaannya babak seperti ini akan berakhir dengan ibu bapa menurut sahaja permintaan si kecil semata-mata tidak mahu babak tangisan dan jeritan berpanjangan terutama di tempat awam.
Menjadi kebiasaan
Namun, tanpa disedari tindakan tersebut sebenarnya telah menanam satu stigma dalam fikiran si kecil: apa yang diminta akan diperolehi. Tiada kompromi. Jika itu yang diingini, pasti harus ditunaikan. Sekiranya tidak, tangisan dan jeritan adalah kunci utamanya.
Sememangnya keadaan seperti ini adalah satu perkara yang biasa untuk berlaku, pada mana-mana ibu bapa sekalipun. Sama ada ibu bapa baru ataupun mereka yang sudah memiliki lebih daripada seorang anak.
Isu anak manja ini sebenarnya sudah semakin berlambak. Malahan dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh Parenting and Today Moms mendapati lebih daripada 59 peratus ibu bapa merasakan bahawa anak-anak mereka lebih dimanjakan berbanding ketika mereka berada pada usia yang sama.
Apa yang menyebabkan anak menjadi manja?
Anak yang terlalu dimanjakan adalah anak yang sering mendapat atau memperolehi apa yang mereka mahukan. Seringkali mereka ini tidak boleh menerima sebarang penolakan. Bermakna ‘TIDAK’ adalah jawapan yang tidak ingin mereka dengari.
Menurut pakar psikologi pendidikan dan juga pengarang “UnSelfie: Why Empathetic Kids Succeed in Our All-About-Me World”, Michele Borba, “Setiap kanak-kanak dan juga individu dewasa mempunyai off-day (iaitu hari di mana emosi dan mood dalam keadaan tidak begitu baik), namun bagi kanak-kanak yang terlalu dimanjakan, mereka terperangkap dalam mod ‘me’ sepanjang masa.”
Ini bermakna segalanya hanyalah berkisar mengenai keperluan, keinginan, perasaan, permintaan mereka semata-mata dan apa yang melibatkan individu lain adalah merupakan perkara yang kedua.
Bagi ahli psikologi klinikal, Laura Markham, isu wujudnya anak manja ini sebenarnya merupakan satu perkara yang harus dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa dan bukannya kanak-kanak itu sendiri atas kelakuan yang ‘rosak ‘ ini.
“Kanak-kanak akan melakukan apa yang kita ajarkan kepada mereka, mengenai apa yang mereka jangkakan. Sekiranya kita memberikan sepenuh kasih sayang dan tidak pernah menetapkan sebarang had, maka anak itu tidak akan dapat menerima batasan yang akan diwujudkan kemudian hari,” jelas Laura.
Tidak sampai hati menolak keinginan
Apabila ibu bapa memanjakan dan memenuhi permintaan anak-anak mereka, niat mereka adalah baik walaupun mungkin terpesong. Ibu bapa sering kali memanjakan anak kerana mahu memberikan mereka kehidupan yang terbaik, yang mungkin tidak diperolehi oleh diri sendiri sewaktu membesar.
Terdapat sesetengah ibu bapa yang bimbang jika mereka menyatakan “tidak” dengan tegas, ia akan menyakiti hati dan perasaan si kecil, dan mungkin akan menyebabkan keyakinan diri mereka terjejas.
Selain itu, ada juga ibu bapa yang berada dalam situasi terlalu letih untuk menguatkuasakan sebarang peraturan di dalam rumah atau tidak tahu bagaimana untuk mewujudkan sesuatu peraturan.
“Ia sebenarnya lebih mudah untuk mengikut apa sahaja kemahuan si kecil apabila ibu bapa dalam keadaan yang letih. Kebanyakan mereka tidak suka mengatakan “tidak” apabila pulang ke rumah setelah seharian bekerja,” ular Michele.
Tanda-tanda anak manja
Anda rasa anak anda bukanlah anak manja, tetapi mengapa pula individu di sekeliling anda mengatakan sebaliknya? Hmmm…keliru jadinya. Jangan risau, berikut adalah beberapa tanda yang menunjukkan anak anda adalah anak manja:
Menangis
Jika sebarang keinginan tidak dipenuhi, mereka akan menggunakan tangisan, jeritan dan raungan sebagai senjata untuk memprotes keputusan anda.
Tidak puas
Si kecil sentiasa inginkan pakaian dan mainan baru. Walaupun pada hakikatnya mereka sudah mempunyai terlalu banyak permainan dan pakaian, sehinggakan ada yang tidak pernah mereka sentuh atau pakai sekali pun.
Tidak suka menolong
Segalanya hanya berkisarkan mengenai diri mereka semata-mata. Walaupun perasaan mementingkan diri ini dikatakan sebagai sesuatu yang normal dalam diri anak kecil, tetapi ia juga sebenarnya tanda mereka terlalu dimanjakan.
Segera
Segala keinginan mereka harus dipenuhi pada kadar yang segera. Apabila mereka inginkan sesuatu, itu bermakna mereka mahukan pada masa itu juga.
Menang sentiasa
Anak yang manja ini selalunya tidak suka dengan kekalahan. Sama ada ia sekadar untuk bersuka ria dalam sesebuah pertandingan. Mereka akan berdepan masa yang sukar untuk menerima kekecewaan.
Berbohong
Sering kali si kecil yang dimanjakan akan mempunyai sikap menyalahkan individu lain atau berbohong untuk menutup kesilapan serta untuk menyelamatkan diri. Jika ia adalah satu tabiat, anda perlu melakukan sesuatu untuk memperbetulkan kebiasaan ini.
Bagaimana mengatasi isu anak yang manja?
Haaa…ada tak tanda-tanda anak manja pada si comel anda? Ada? Jangan risau, setiap masalah sudah tentu ada penyelesaiannya. Berikut dikongsikan beberapa tip untuk mengatasi masalah anak yang manja ini.
Persediaan
Untuk mengubah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan pada diri anak-anak, anda perlu bersedia untuk berdepan dengan penolakan daripada si kecil. Jika mereka menangis dan bersedih, biarkan mereka untuk berada dalam keadaan itu sehingga mereka bertenang sendiri.
Belajar katakan “tidak”
Ada masanya penolakan itu adalah perkara yang tidak salah untuk dilakukan. Anda perlu membiasakan diri untuk mengatakan “tidak” tanpa rasa bersalah dan bertegas mengenainya. Wujudkan had atau batasan kepada anak-anak dan pastikan anda mematuhi apa yang anda sendiri tetapkan.
Fikirkan tentang individu lain
Cuba didik dan terapkan pada si manja untuk mula memikirkan mengenai individu lain. Terapkan dalam fikiran mereka pada kehidupan ini bukan hanya berkisarkan mengenai diri mereka semata-mata.
Galakan
Ada masanya, si manja mungkin tidak dapat mencapai seperti apa yang anda harapkan, jangan melenting. Sebaliknya berikan galakan dan sokongan untuk mereka memberikan yang lebih baik pada masa hadapan.
Akhir kata
Sebagai ibu bapa, kita semua mahukan yang terbaik untuk si comel. Walau bagaimanapun, ia bukan bermakna kita perlu membesarkan mereka untuk menjadi anak manja. Belajar untuk menetapkan batasan dalam setiap perkara. Menyayangi tidak bermaksud anak anda perlu menjadi anak yang terlalu dimanjakan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...