Nak menggembirakan hati isteri sebenarnya bukanlah terlalu payah. Cukup hanya membantunya mengurangkan beban dan tanggungjawab menguruskan rumah dan bantu kerja rumah, isteri sudah terlalu bahagia.
Perkongsian seorang suami, Abdul Muiez Mohammad Ruslee yang merupakan seorang guru, penulis, penyampai Didik TV KPM, Youtuber dan motivator ini boleh dijadikan panduan buat suami lain.
Bantulah menguruskan kerja rumah mana yang patut, itu sudah menggembirakan hati seorang isteri.
Jam 11 malam saya akan segera menutup laptop. Cepat-cepat masuk ke dapur untuk membereskan sinki. Benda wajib yang saya perlu basuh setiap hari ialah, bekas makanan. Ada 7 semuanya termasuk bekal isteri.
Selesai di dapur, saya bersihkan ruang tamu. Kalau bersepah, saya kemas dan kalau perlu vakum saya akan buat.
Kemudian, saya akan keringkan baju yang dibasuh menggunakan dryer. Bila pakai baju sukan, ya memang tak perlu digosok tapi perlu dibasuh.
Baju sukan ada dua tiga helai sahaja. Itulah yang perlu digilirkan. Sekitar jam 12 lebih, saya masuk bilik. Buat apa yang patut dan tidur sekitar jam 1 atau 2 pagi. Itulah suprise yang saya boleh untuk isteri.
Kasihan saya melihat dia. Jam 9 lebih, dia sudah masuk tidur. Bangun sebelum jam 5. Masak apa yang patut untuk dibuat bekal anak-anak dan sediakan sarapan. Setakat ini, tak pernah lagi anak-anak tidak bersarapan sebelum ke sekolah.
Kemudian, sediakan baju untuk semua. Baju sekolah pagi, sekolah petang semua dah disusun dan dimasukkan dalam beg masing-masing. Anak-anak hanya perlu angkat dan masukkan dalam kereta.
Pakaian dalam dryer dikeluarkan, dan dilipat jika perlu. Kalau ada yang perlu digosok seperti tudung anak, dia akan buat.
Sekitar jam 5.45 pagi, kami dikerah untuk bangun. Setiap orang sudah tahu giliran mandi. Habis mandi, pakaian sudah siap tersedia. Termasuklah pakaian saya. Dan begitulah rutinnya setiap hari. Bukan ketika ada anak buah yang bersama kami sahaja. Tetapi sebelum itu lagi. Ya, setiap hari.
Kadang-kadang, seluar dalam dan stoking saya pun dah tersedia di atas katil. Hanya pakai saja. Saya bukanlah suami yang mahu dilihat baik bila membantu isteri. Tidak. Tapi, kalau begitu rutinnya, tegarkah saya pura-pura tidur untuk tidak membuat apa-apa kerja? Tak tergamak weh.
Tak bolehkah bagi duit belanja dekat anak? Perlu ke masakkan bekal? Kami dah buat kira-kira. Kalau tak bawa bekal belanja sekolah mereka bertiga boleh mencecah 400 sebulan.
Jadi, duit itu, kami tukar kepada barang basah, agar bukan sahaja anak-anak kami, kawan-kawan mereka juga akan mendapat manfaatnya. Bekal yang dibawa pun boleh dikongsi. Begitulah isteri saya.
Kadang-kadang dia merungut juga. Selalu saya tulis pasal diri dia di Facebook. Malu. Macamlah orang lain tak buat. Saya jawab mudah saja. “Kalau tak suami sendiri yang tulis mengenai isteri, siapa lagi?”
Menarik: “Ikut Muka Mommy, Sebiji Sama”, CP Juliana Evans Kongsi Wajah Anak Kedua, Comelnya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI