Salah satu sebab mengapa isteri amat perlukan me time dalam hidupnya kerana kurangnya masa rehat pada diri sendiri. Bebanan emosi juga antara penyebab isteri menjadi terlalu penat. Dalam hal ini suami kenalah fahami isteri, sekali-sekali bagi sokongan moral dan faham kepenatan yang dialami isteri.
Perkongsian Dr Taufiq Razif ini banyak benarnya. Suami kenalah kenal pasti bila isteri penat. Isteri selalunya tak pernah beritahu. Tapi kita kenalah ambil tahu, baru bahagia dunia akhirat.
Terkedu saya bila ramai sangat mengadu tak dapat kawal emosi bila berhadapan dengan anak.
Jadi saya merayu sangat kepada para suami semua untuk tengokkan isteri masing-masing kat rumah sana.
Isteri ni dia takkan mengadu sangat dia penat. Dia taknak bebankan suaminya tapi kita boleh tahu tanda-tanda isteri dah penat melampau.
Antaranya :
Ads
? Isteri dah mula banyak mengomel dan membebel daripada biasa
? Benda sekecil apa pun boleh trigger si dia untuk menjadi marah dan beremosi
? Menangis sendirian di dalam bilik tanpa sebab
? Mudah jatuh sakit
Ads
? Wajah jadi redup tak bermaya
? Jadi hilang selera makan atau selera makan meningkat melampau lampau
? Selalu tinggikan suara tanpa sebab pada anak-anak
Ads
? Akhirnya anak-anak jadi tempat si isteri melampiaskan tekanan emosi
Cuba peluk si isteri tu sekali sekala dan mintak si isteri ceritakan masalah sebenar. Mintak si dia cerita daripada hati ke hati.
Nanti hujung hujungnya si isteri akan buka cerita juga yang dia sebenarnya tengah penat dan perlukan bantuan si suami untuk uruskan rumahtangga.
Percayalah, emosi isteri akan jadi sangat tak stabil bila keperluan fisiologi (physiological needs ) paling asas seperti tidur, makan dan rehat yang cukup tu kita tak pedulikan.
Kredit: Taufiq Razif
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Biasanya jika seseorang wanita menghampiri tarikh datang haid, pasti akan ada tabiat makan yang pelik-pelik. Ada yang suka makan manis-manis, ada yang asyik mengunyah dan ada juga yang sukakan makanan pedas. Itu adalah gejala PMS (Premenstrual Syndrome) yang menyebabkan wanita berasa tidak selesa atau berkelakuan pelik beberapaha hari sebelum kedatangan haid.
Gejala PMS ini tidak sama antara satu wanita dengan yang lain. Menjawab soalan dari pengikut media sosialnya, Dr Zubaidi Hj Ahmad menerangkan lebih lanjut tentang hal ini.
“Salam doctor. Saya berusia 22 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami masalah senggugut dan cuba mengelakkan makan Panadol dan ponstan. Masalah saya ialah saya memakan coklat untuk mengelakkan rasa sakit dan kini sangat ketagihan terhadap coklat. Saya memakan sekurang-kurangnya 5 bar coklat sehari dan pada waktu haid saya mengambil 10-12 bar coklat sehari. Untuk pengetahuan doktor berat saya agak berlebihan. Mohon pencerahan doktor untuk mengurangkan ketagihan ini. Terima kasih”
WA ALAIKUM MUS SALAM. PMS (Premenstrual Syndrome, PMS) adalah gejala-gejala yang menyebabkan seorang wanita merasa tidak selesa atau berkelakuan agak pelik beberapa hari sebelum kedatangan haid. Malah ada yang merasa perasaan ini 7-10 hari sebelum haid. Gejala-gejala ini berbeza-beza dari seorang wanita dengan seorang wanita yang lain.
Jadi tidak hairanlah jika saudari mengalami perasaan pelik untuk memakan coklat secara berlebihan. Ia mungkin disebabkan apabila seorang wanita mengalami haid, beliau memerlukan beberapa mineral dan zat yang boleh digunakan untuk meredakan tekanan dan perubahan hormon pada masa itu.
Coklat pula adalah makanan ringan yang mengandungi beberapa bahan semulajadi yang baik untuk kesihatan. Coklat dapat merangsangkan pengeluaran bahan biokimia semulajadi seperti serotonin dan dopamin di dalam otak. Ini dapat mengurangkan rasa sakit tanpa perlu memakan apa-apa ubat.
Wanita yang sedang haid juga mengalami kekurangan mineral magnesium atau zat besi (iron), makan coklat pula dapat menambahkan kandungan mineral-mineral ini dalam badan. Selain itu coklat mempunyai rasa yang sedap, apabila ia cair dalam mulut, kerana kandungan lemak dan gula di dalamnya merangsangkan deria perasa pada lidah pada tahap maksima.
Oleh itu banyak saintis mengatakan bahawa seorang wanita yang sedang datang haid memakan coklat bukan disebabkan tubuh memberitahu otak bahawa ia kekurangan mineral, tetapi kerana ketagihan terhadap rasa coklat yang sungguh nikmat itu.
Seorang wanita apabila mula mengambil coklat sebelum haid, berkemungkinan besar beliau akan mengambil coklat pada bulan-bulan berikutnya akibat ketagihan psychology ini. Bagi yang telah menjadi pengambilan coklat sebagai amalan, berkemungkinan besar beliau akan menambah bilangan atau kuantiti coklat yang diambil.
Pengambilan coklat sebagai makanan ringan sangat baik. Namun mengambilnya dalam kuantiti yang banyak boleh memudaratkan kerana coklat mempunyai kandungan kalori dan lemak yang banyak. Seorang wanita boleh manambah berat badannya dalam masa sebulan dengan mengambil coklat secara berlebihan (lebih kurang 6 bar coklat sehari).
Jika saudari mengalami masalah berat badan dan tidak dapat meninggalkan coklat, saya mencadangkan:
1. Makan coklat dalam jumlah yang sedikit
2. Ambil coklat yang berkualiti tinggi. Coklat gelap lebih tinggi kualiti dan rendah kalorinya berbanding dengan coklat susu
3. Mengambil buah-buahan sebagai ganti mengurangkan pengambilan coklat
4. Apabila ada rasa keinginan untuk makan coklat, cuba tunggu 15-30 minit. Jika masih tidak dapat menahan keinginan, boleh makan potongan kecil coklat gelap.
5. Ambil suplemen multivitamin setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sebelum kedatangan haid. Selain itu kurangkan garam, kafein dan gula dalam pemakanan dan melakukan senaman ringan. Ia membantu saudari mengurangkan rasa sakit senggugut dan gejala PMS yang lain.
#HealthDrZubaidi
Tabiat suka makan manis memang perkara normal yang akan berlaku pada seorang wanita sebelum datang haid. Bolehlah nak makan, tapi jangan sampai berlebihan pula ya. Ikutlah saranan Dr Zubaidi tentang pengambilan coklat yang dibolehkan untuk anda ambil sebelum atau ketika kedatangan haid.
Tak mengapa jika Allah kurniakan kesemuanya anak lelaki buat kita. Jangan sesekali merasa sedih bila tidak hadiahkan seorang anak perempuan buat suami. Anak lelaki kurniaan Allah cukup banyak kelebihannya malah mampu melindungi ibunya sampai syurga.
Ingatlah bahawa memiliki kesemuanya anak lelaki merupakan kebanggaan. Bakal menjadi imam mak ayah, solatkan 5 waktu malah bakal mengusung jenazah ibu dan ayahnya kelak. Hebat!
Perkongsian Cikgu Fadli Salleh yang cukup dikenali sebagai pendidik berhati penyayang dan prihatin dengan kesusahan anak-anak muridnya mengenai kelahiran anak kelimanya cukup membuatkan hati seorang isteri tersentuh. Inilah yang mahu didengari oleh seorang isteri dikala rasa sayu dan kecewa.
“Bang. Lelaki Lagi,” ujar puan isteri sedikit kesedihan.
“Tak apa lah. Lelaki pun anak juga,” balasku.
“Tapi saya tak dapat beri anak perempuan kat abang. Tak apa ke?” balas puan isteri makin sayu.
Aku pandang matanya. Genggam erat tangannya. Tangan yang aku kahwini 11 tahun lepas itu hangat terasa. Lalu aku berkata,
“Anak ni rezeki Tuhan. Kita tak perlu merungut walau lelaki semua. Orang lain berapa ramai berdoa agar ada anak. Ramai juga yang berdoa agar dapat jodoh.
Lagi pun anak-anak lelaki ni, buatkan keluarga kita kuat. Awak keluar nanti, penuh bodyguard iring. Jenazah kita nanti tak perlu orang lain pikul. Setiap penjuru, anak-anak kita”.
“Tapi bang. Kalau abang…” kata-katanya terhenti.
Aku gelengkan kepala tanda tak nak dia teruskan berkata-kata. Aku tahu ayat seterusnya.Ayat gurauan ramai kawan-kawan selalu berkata,
“Agaknya ‘kilang’ ini produce lelaki sahaja. Kena cari ‘kilang’ lain kot baru boleh produce perempuan”.
Itu ayat gurauan. Sedikit pun aku tak terkesan. Namun adakah jika kahwin lagi satu anak yang bakal dikandung itu 100% pasti perempuan? Tidak kan? Bahkan kemungkinan nak mengandung pun belum tentu lagi. Habis kenapa nak ambil risiko cari yang lain?
Satu cukup. Cukup untuk menjaga aku dan anak-anak. Dua walau banyak belum tentu menjanjikan bahagia. Bahkan jika ada yang berkata, jika kahwini dia pasti dapat anak perempuan pun akan aku tolak. Walau pasti.
Memang kalau boleh, kita nak anak biar berpasang. Biar ada lelaki, biar ada perempuan. Namun apa salahnya kalau lelaki semua? Nanti cari la menantu perempuan pula. Lagi pun aku tak risau, aku dah ramai ‘anak-anak’ perempuan di sekolah nun.
Paling ditakuti bila kahwin dua tiga adalah keadilan. Adil ni tak nampak mata kasar. Bukan boleh timbang atas penyukat. Sikit terlebih sana, sini terasa. Malaikat pula menulis. Ah, cari bala belaka.
Andai satu pun aku tak mampu nak jaga dengan sempurna, tak pernah aku mimpikan ada dua, ada tiga. Walau kewangan itu mampu, walau nafkah zahir dan batin ada kemampuan, namun cukuplah.
Bukan takut bini tapi cukuplah satu
Cukuplah satu pada aku. Orang bergurau katanya takut bini. Salah tu.
Berkahwin satu bukan tanda takut bini. Ia tanda setia. Ia tanda menghargai. Ia tanda tahu kemampuan diri. Ia tanda sedar, yang satu itu pun kita tak menjaga hati mereka 100%, apa lagi mahu tambah dua tiga.
Orang yang berminat nak tambah ramai, silakan. Jika rasa mampu zahir, mampu batin, dan mampu adil, silakan. Tidaklah aku menolak poligami. Itu sunnah nabi saw. Mana mungkin kita menolak sunnah kekasih Allah.
Cuma aku sedar. Sunnah lain banyak lagi tak terikut. Nak ikut sunnah yang tak mampu nak pikul buat apa? Ikut sunnah ni dapat pahala sepatutnya. Namun jika ikut sunnah tapi tidak adil, tidak mampu, menyakiti dan melukai antara satu sama lain, bukan dia. Bukan begitu caranya.
Anak semua lelaki? Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Semua milik ibunya. Kembali taat pada ibu walau sudah beristeri nanti. Bakal mengusung jenazah kami. Bakal imamkan kami solat 5 waktu, solat terawih bahkan solat jenazah kami.
Ia merupakan kebanggaan kami. Ia bukan alasan untuk mencari lain agar dapat anak perempuan. Isteri dan anak ini amanah Maha Besar dari Tuhan. Nak didik mereka agar menarik tangan kita ke syurga tidak mudah. Yang sedia ada ini, perlu aku didik sebaik mungkin. Tidak ingin aku mencari lain.
Cukuplah satu bagiku. Cukuplah satu.
@The Arumi’s #MFS – Family man –
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dahulu, dirinya pernah berasa kecewa lantaran dihempap dengan dugaan yang dibebankan di bahu sejurus melahirkan anak kedua. Namun kini Nurul Ain tekad berubah menjadi ibu yang sentiasa berdiri teguh di belakang anaknya Muhammad Al Qhalef bin Mohd Hafidzul, dua tahun yang disahkan mengalami sindrom Down. Mari baca luahan hatinya.
Saat mengandungkan kamu, semuanya berjalan dengan lancar. Tiada ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Sangkaan mama, kamu bakal lahir dalam keadaan yang sihat dan selamat, sama seperti bayi normal lain yang menjadi dambaan setiap ibu.
Pemeriksaan antenatal saban bulan, mama lalui seperti kelazimannya. Menurut kata doktor, si ibu dan si anak dalam kandungan disahkan sihat. Mama langsung tidak pernah berdepan dengan masalah kesihatan. Malah mama sering diberi pujian daripada doktor kerana semua hasil ujian yang dijalankan menunjukkan keputusan yang sangat memuaskan.
Semasa usia kandungan lebih kurang tujuh ke lapan bulan, mama menjalani ujian imbasan 4D. Hasil ujian itu pun langsung tidak dapat mengesan sebarang permasalahan yang menyelubungi diri kamu sejak dari dalam kandungan. Paling mama ingati, mama teruja apabila dapat menyaksikan iras wajah kamu saling tak tumpah, sama seperti kakak sulungmu yang dilahirkan normal.
Musibah ini hanya mama ketahui setelah kamu dilahirkan, sayang. Doktor yang menyambut kelahiran mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lantaran kamu tidak menangis. Tambahan pula keadaan fizikal kamu agak lembik dan bentuk muka pula berbeza daripada kanak-kanak normal.
Siapa sangka mama yang berumur 28 tahun saat mengandung dan melahirkan kamu boleh terjebak memiliki anak sindrom Down. Sungguh mama tidak menyangka dugaan ini menimpa kita.
Bila difikirkan sejenak, mama beranggapan hal ini mungkin ada kaitan dengan faktor keturunan. Hal ini lantaran kakak mama pun turut mempunyai anak sindrom Down dan usia sepupu kamu kini sudah tujuh tahun.
Lama-kelamaan mama sedar tiada apa-apa yang patut mama malukan. Kamu darah daging mama! Manakan mungkin mama melakukan sedemikian kepada kamu. Naifnya mama saat itu.
Syukur Alhamdulillah, doktor dan keluarga kita terutamanya papa banyak menyedarkan dan memberi semangat padu kepada mama. Mama mendapat kaunseling dan ilmu yang betul tentang cara penjagaan dan pengendalian anak istimewa. Ya! kamu memang sangat istimewa pada pandangan mama, sayang.
Perkembangan kamu agak lambat dan sangat mudah terkena jangkitan semasa masih bayi. Hospital umpama rumah kedua disebabkan mama dan papa kerap keluar – masuk hospital demi menjaga kamu yang diduga dengan masalah batuk berpanjangan.
Kini, kamu dan mama sama-sama menjalani rutin fisioterapi. Di rumah pun mama selalu berikan kamu urutan khas saban pagi. Mujurlah mama ada sesikit bekal ilmu lantaran turut memiliki spa D’Layla Beauty di Seksyen 7, Shah Alam.
Mama akui, masa kita berdua lebih banyak berbanding apa yang seharusnya mama peruntukkan untuk kakak. Harap dia faham tentang dugaan yang sedang kita sekeluarga lalui. Sungguh mencabar buat mama tetapi mama perlu terus kuat untuk menempuhi semua ini.
Harapan mama terhadap kamu tidaklah menggunung tinggi. Mama selalu berdoa Allah panjangkan usia mama agar dapat terus membimbing dan melihat kamu berupaya untuk berdikari di masa hadapan.
Mama sayang kamu,
Nurul Ain Mohd Rosly
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perkembangan otak bayi dalam kandungan berlaku dengan sangat pesat. Ketahui 5 cara mudah yang ibu hamil boleh lakukan untuk merangsang pemikiran logik dan perkembangan otak bayi sejak dalam rahim.