“Itu Kali Terakhir Saya Tengok Dia” – Kisah Ibu Kehilangan Anak Selepas Jatuh Dari Baby Bouncer

Share

“Itu kali terakhir saya tengok dia…” luah seorang ibu yang berkongsi kisah pilu kehilangan anak kecilnya, Baeim El Hamka Bin Hafizie, selepas satu insiden tidak disangka melibatkan baby bouncer di rumah.

Kisah ini dikongsikan di laman TikTok miliknya, lima bulan selepas pemergian arwah. Katanya, perkongsian ini bukan untuk menagih simpati, tetapi sebagai peringatan tulus buat semua ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam aspek keselamatan bayi, walaupun dalam keadaan yang kita rasa sudah cukup selamat.

Insiden Bermula Dengan Detik Kecil

Pada hari kejadian, Baeim yang baru belajar meniarap sedang tidur di dalam baby bouncer. Ibunya pula ke dapur sebentar untuk mengambil ubat kerana tidak sihat.

Dalam sekejap masa, si kecil itu terjaga dan cuba meniarap, lalu terjatuh mengiring dari bouncer. Walaupun bouncer tidak terbalik, kepalanya terkena kotak tisu basah plastik.

Gambar Hiasan AI

“Saya angkat dia, dia menangis kuat, tapi lepas dipujuk dia okay. Tak ada benjol, tak muntah, tak nampak apa-apa luar biasa. Letak dalam walker, dia main macam biasa,” jelas si ibu.

Namun, insiden kecil itu rupa-rupanya membawa kesan besar.

Tiba-Tiba Kejang, Disahkan Kritikal

Sekitar jam 6.30 petang, ketika berada di rumah rakan penjaga, si ibu menerima panggilan cemas – anaknya menangis kuat sebelum tiba-tiba kejang. Bayi itu segera dibawa ke klinik dan kemudian dirujuk ke hospital.

“Saya dah nak sampai tempat kerja masa tu, terus pusing balik ke hospital. Jalan jem. Menggigil saya drive. Sampai-sampai, doktor tengah CPR. Nadi dia tak ada masa sampai hospital…” ceritanya sebak.

Selepas 20 minit CPR, nadi Baeim kembali, namun keadaannya sangat kritikal. Imbasan menunjukkan pendarahan di bahagian kanan kepala – tempat sama yang terhantuk ketika jatuh.

Dipindahkan ke hospital yang lebih besar, si kecil bertarung nyawa selama lima hari sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pagi Jumaat, 28 Mac 2025, hanya dua hari sebelum Aidilfitri.

Post-mortem mengesahkan terdapat darah beku di otak, dipercayai kesan daripada insiden jatuh tersebut.

Peringatan Buat Semua Ibu Bapa

Kisah ini menjadi peringatan besar buat ibu bapa. Walaupun baby bouncer, walker atau kerusi makan bayi kelihatan selamat, hakikatnya ia tetap mempunyai risiko. Bayi yang semakin aktif boleh terjatuh atau terhantuk walaupun dengan objek yang kelihatan tidak berbahaya.

Antara langkah keselamatan penting yang perlu diberi perhatian:

  • Gunakan tali keselamatan setiap kali meletakkan bayi dalam bouncer.

  • Pastikan bouncer diletakkan di atas lantai rata

    , bukan atas tilam atau sofa.
  • Pantau bayi setiap masa, jangan biarkan tanpa pengawasan.

  • Elakkan meletakkan objek keras berhampiran bayi.

Anak Adalah Anugerah Tak Ternilai

Kehilangan ini terlalu berat untuk ditanggung, namun kisah arwah Baeim menjadi pengajaran buat kita semua. Anak-anak kecil adalah amanah Allah yang sangat berharga, dan perhatian kita walau sesaat boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Semoga perkongsian ikhlas ibu ini membuka mata semua. Al-Fatihah buat arwah adik Baeim El Hamka Bin Hafizie, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan anak syurga.

Sumber: TikTok

Published by
Nana