JAIS Hargai Jasa Guru-Guru KAFA, Sambutan Hari Guru Akan Dinilai Semula!

Share

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempertimbangkan semula pelaksanaan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah sekiranya keadaan ekonomi kembali seperti sedia kala.

Keputusan itu dimaklumkan selepas JAIS baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung larangan sambutan Hari Guru bagi institusi di bawah seliaannya. Larangan tersebut dibuat bagi mengelakkan ibu bapa atau penjaga terbeban dengan kos penyediaan hadiah kepada guru.

Melalui satu surat rasmi yang dikeluarkan oleh JAIS, jabatan itu memaklumkan Sambutan Hari Guru boleh dipertimbangkan semula di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan ekonomi kembali stabil.

JAIS Nilai Semula Sambutan Hari Guru

Beberapa perkara dalam pelaksanaan Sambutan Hari Guru juga akan dinilai semula termasuk kemungkinan pengubahsuaian melibatkan masa sambutan supaya tidak mengganggu jadual dan proses pembelajaran dalam kelas.

Selain itu, tentatif program juga dicadangkan lebih ringkas serta selaras untuk digunakan oleh semua sekolah di bawah seliaan JAIS.

Terdahulu, merujuk kepada Surat Edaran Jabatan Agama Islam Selangor kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Negeri Selangor bertarikh 7 Mei 2026, semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah.

Guru KAFA Tetap Dihargai Oleh JAIS

Sehubungan itu, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa mereka sentiasa menghargai jasa serta pengorbanan para guru dalam mendidik pelajar di bawah kelolaan institusi agama negeri.

Penghargaan terhadap guru tetap diteruskan menerusi Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mei 2026.

Majlis berkenaan akan memberi pengiktirafan kepada guru dan sekolah cemerlang dalam pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000 hasil peruntukan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor.

Anugerah tersebut akan diberikan dalam bentuk tunai atau geran kepada tokoh guru serta sekolah yang terpilih berdasarkan kecemerlangan masing-masing.

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Tetap Diteruskan

Walaupun sambutan di peringkat sekolah dihentikan buat sementara waktu, JAIS menegaskan penghargaan kepada guru tetap menjadi keutamaan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat di negeri itu berbelanja mengikut keperluan dan keutamaan secara berhemah serta bijaksana dalam keadaan ekonomi semasa.

Bantu Kurangkan Beban Kewangan Ibu Bapa

Menurut JAIS, keputusan menghentikan sambutan di peringkat sekolah dibuat selepas mengambil kira beban kewangan yang mungkin ditanggung ibu bapa atau penjaga.

Ini kerana sudah menjadi tradisi bagi sesetengah pelajar menyediakan hadiah tertentu kepada guru sempena Sambutan Hari Guru atas permintaan atau inisiatif sendiri.

Dalam situasi ekonomi semasa, perkara itu dilihat boleh memberi tekanan kewangan terutama kepada ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah.

JAIS melihat langkah tersebut sebagai pendekatan sementara bagi memastikan kebajikan ibu bapa turut diberi perhatian tanpa mengurangkan penghormatan terhadap jasa guru.

Bagaimanapun, JAIS menegaskan bahawa Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah boleh dipertimbangkan semula apabila keadaan kembali pulih dan sesuai untuk dilaksanakan semula.

Baca lagi: i-Legasi KWSP Dilancarkan, Ahli Kini Boleh Pindahkan Simpanan Pada Pasangan & Anak 

Mykad Baharu 2026 Bermula Jun, Ini Ciri Keselamatan & Siapa Layak Tukar?   

Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi

 

Published by
SRM