
Tummy time atau meniarap banyak manfaatnya kepada bayi. Rangsangan mudah ini tidak perlukan alatan pun. Mama papa boleh mulakan dari umur bayi seawal sehari!
Meniarap bukan sahaja salah satu perkembangan fizikal bayi. Ia juga adalah satu bentuk aktiviti rangsangan untuk si kecil. Jangan biarkan mereka berbaring sahaja, tummy time akan membuat mereka seronok.

Mungkin ramai yang rasa seriau untuk meletakkan bayi dalam kedudukan meniarap pada awal usia. Bayi yang baru berusia sehari pun sudah boleh mula tummy time dalam jangka masa singkat iaitu seminit atau dua minit selepas selesai menyusu.
Tipsnya ialah letakkan bayi dalam kedudukan meniarap dalam tempoh masa yang pendek dan tambah masa seiring peningkatan usianya.
RANGSANG AUDITORI & PERHATIAN
Dalam keadaan bayi meniarap, mama papa pun meniaraplah sambil bercakap dengan bayi. Boleh buat aktiviti ba ba cak atau menepuk tangan.
Ini akan memberikan bayi rangsangan untuk tingkatkan ‘auditory attention’ baby.Cara lebih berkesan ialah tiarapkan baby atas perut mama atau papa.Ia adalah satu bentuk aktiviti yang boleh mengikat bonding yang kuat untuk mama/ papa dan bayi.

KUATKAN OTOT LEHER BAYI
Bayi baru lahir lazimnya mempunyai leher yang masih tidak kuat. Aktiviti tummy time akan membantu bayi menguatkan otot leher, bahu. Ini amat penting sebagai asas bayi untuk merangkak pada fasa seterusnya.
APA NAK BUAT MASA TUMMY TIME BAYI?
#1 MENIARAPKAN BAYI ATAS MAMA/PAPA
Untuk permulaan, letakkan bayi pada riba ibu atau di atas bantal dan gosok perlahan bahagian belakangnya. Ini akan membantu bayi berasa selesa dengan posisi meniarap. Dalam keadaan ini, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi dari punggung.

#2 BERALIH KE PERMUKAAN LEBIH KERAS
Selepas fasa penyesuaian dan bayi kelihatan lebih selesa semasa meniarap di riba atau bantal, meniarapkan bayi di atas lantai atau tilam yang sedikit keras (supaya tidak terlalu terbenam. Jika mahu letak bayi di atas comforter, pastikan tidak tebal kerana ia boleh menyebabkan bayi lemas jika bayi menyembamkan muka ke bawah).
#3 BERCAKAP DENGAN BAYI
Jangan biarkan bayi meniarap tanpa rangsangan. Mama papa meniaraplah bersama bayi dan berbual dengannya.

#4 HAD MASA
Mulakan tummy time selama 3 hingga 5 minit dahulu dan tambahkan masa bila bayi semakin selesa dan semakin lama mengangkat kepala dalam posisi meniarap.
#5 CERMIN MERANGSANG VISUAL BAYI
Bayi akan tertarik pada imejnya yang ada pada cermin. Letakkan cermin di hadapan bayi semasa bayi meniarap boleh merangsang visualnya.
#6 PERMAINAN BERBUNYI
Permainan berbunyi seperti loceng boleh untuk merangsang bayi anda melihat ke arah bunyi tersebut. Ia boleh merangsang deria pendengaran & visual bayi.
Atas faktor keselamatan, anda perlu memastikan yang ada orang dewasa bersama dengab bayi ketika tummy time bayi kecil. Membiarkan bayi tidur dalam posisi meniarap adalah dilarang kerana boleh menyebabkan kematian bayi mengejut atau Sudden Infant Death Syndrom.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Ya Allah Aku Reda, Uwais Hak Allah” Bayi 14 Hari Genggam Erat Jari Ibunya, Menangis Seperti Tahu Petanda Ajal

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata sebagai pelengkap dan penyeri kehidupan. Namun sebaliknya yang berlaku kepada pasangan muda ini apabila anaknya dijemput Ilahi setelah 14 hari dilahirkan. Berat ujian yang datang namun pasangan ini reda dengan ketentuan daripada pencipta. Ikuti perkongsian daripada Encik Muhamad Syafiq.

30/09/2018 ( AHAD )
Jarum jam meniti tepat pukul 5.30 petang, isteriku mula menunjukkan tanda-tanda sakit di bahagian peranakkannya. Aku terus mempersiapkan barang-barang kelengkapan bersalin isteriku dan terus memandu tenang ke hospital berdekatan. HUSM Kubang Kerian menjadi pilihan kami pada hari tersebut. Aku menolak perlahan isteriku ke bahagian pendaftaran.
Aku gelisah menunggu kelahiran ‘malaikat kecil’ di bahagian menunggu sementara isteriku sedang menanggung kesakitan di wad 2 Baiduri. Tanpa berlengah aku terus mencapai kain pelikat dan terus membuat solat sunat hajat dihadapan Wad 2 Baiduri tanpa menghiraukan sesiapa yang melihat perbuatan ‘aneh’ ku di kawasan tersebut. Bagi aku asal isteri dan anakku selamat sahaja. Hanya Allah swt tempat aku bergantung harap.
Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi isteriku belum melahirkan anak, aku yang keletihan terus tertidur di atas kerusi menunggu beralaskan kain pelikat tadi. Aku bermimpi sesuatu yang aneh, di dalam mimpi tersebut aku bersama isteriku dan satu lagi pasangan sedang mendaki gunung yang sangat tinggi pada waktu malam yang gelap. Tetapi apa yang menghairankan aku pasangan tersebut mendaki sambil mengengdong bayi lelaki mereka tetapi aku dan isteri tidak memangku anak dan akhirnya aku dan isteri sampai dahulu di kemuncak gunung berbanding pasangan tadi. Di kemuncak gunung aku melihat ada satu cahaya bulan purnama yang sangat terang menerangi kami dan memadam kepekatan malam pada hari itu. Apakah petanda mimpi tersebut?
01/10/2018 ( ISNIN )
Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan sekalian alam, pukul 9.30 pagi aku sudah usai khatam Quran dengan pengakhiran surah An-Nas dan kalimat ‘Sodaqallahulazim’ dilafazkan yang memberi maksud ‘benarlah kalam Allah yang Maha Agung’. Berdebar hati ini, berdegup kencang jantung ini menanti namaku dipanggil oleh jururawat bertugas bagi menyaksikan kelahiran anak sulungku.
Jam menunjukkan tepat pukul 10.20 pagi akhirnya isteriku selamat melahirkan anak kami secara normal setelah bertarung nyawa melahirkan anak kami. Bayi seberat 2.89kg diazankan oleh aku sebagai bapa kandungnya. Ya Allah anak aku! Kata aku yang tidak percaya anak yang selama ini dikandung 9 bulan oleh isteriku kini sudah Allah zahirkan dihadapan aku. Menitis air mata jantanku tanda bersyukur Allah memberikan aku nikmat sebesar ini.
Wajahnya seiras wajahku, putih berseri kemerah merahan, matanya yang bulat dibuka luas melihat dunia. Bayi lelaki ini diberi nama Muhammad Uwais Al-Qarni bin Muhamad Syafiq. Aku diminta oleh guruku untuk ke surau bagi menunaikan solat sunat syukur ke atas kelahiran pertama ini. Ini amanah dari Allah, ini tanggungjawab dari Allah kata guruku kepadaku melalui corong telefon. Tanpa berlengah aku terus turun ke surau bagi melengkapi permintaan guruku.
Seronok gembira hati ini hanya Allah yang tahu, kelahiran anak lelaki sulung ini memberikan seribu makna kepada aku dan isteri. Bagaikan dunia ini ana yang punya.
02/10/2018 ( SELASA )
Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran aku yang ke-25. Kelahiran anak lelaki pertamaku merupakan satu anugerah Allah paling besar sepanjang hidupku, ini adalah hadiah paling berharga yang Allah berikan kepada aku. Aku bersyukur masih diberikan nyawa oleh Allah. Terima kasih emak Norshita Shawal sebab lahirkan abang ke dunia ini. Besar jasa dan pengorbanan emak dan abah. Apabila aku melihat proses kelahiran anak aku dan susah payah isteriku melahirkan anak, baru aku tahu bagaimana emak bersusah payah melahirkan aku ke dunia. Hanya Allah sahaja yang mampu balas jasa emak. Isteriku sudah boleh pulang ke rumah tetapi anak kami tidak boleh pulang bersama atas alasan anak kami kemungkinan disyaki ada jangkitan kuman di bahagian paru-paru.
03/10/2018 ( RABU )
Sedih hati ini melihat katil anak aku ditolak ke dalam wad Nilam 2 atas faktor anak aku dijangkiti kuman di bahagian darah. Kata doktor, isteriku turun air ketuban awal dan demam sewaktu melahirkan Uwais, maka doktor terpaksa kuarintin Uwais di wad tersebut bagi mengelakkan perkara-perkara sebaliknya berlaku. Aku melihat pernafasan anak aku turun dan naik begitu pantas berbanding bayi yang lain. Allahu akhbar! Hal ini sungguh merisaukan aku dan isteriku. “Nak , cepat sembuh ye, nanti dah sihat, ikut Walid jalan-jalan” bisikku ke telinga Uwais.
04/10/2018 ( KHAMIS )
Bermulah rutin harianku, ini sudah hari keempat aku ulang alik ke hospital bersama isteriku ke hospital untuk menyusukan anak kami. Jarak hampir 8km dari rumah ke HUSM tidak aku hiraukan, isteriku yang masih di dalam pantang digagahi jua demi untuk melihat perkembangan anak kami dan menyusukan anak soleh kami Muhammad Uwais Al-Qarni. Seperti kebiasaan, sebelum jari jemari ini menyentuh lembut ubun-ubun dan fizikal Uwais, aku akan memberikan salam kepadanya “Assalamualaikum Muhammad Uwais Al-Qarni, anak soleh Walid”. Usai meberikan salam pasti anak comel ini akan mengerutkan dahi dan keningnya tanda memberi respons kepadaku. Cerdik sungguh.
05/10/2018 ( JUMAAT )
Hari kelima, tali pusat Uwais dah mula tercabut, Uwais kelihatan sihat dan sedikit bertenaga berbanding sebelum ini. Uwais dah pandai membuat pelbagai reaksi di wajah, mengeliat seperti Umminya, menendang perlahan dan mengigit kuat jari kami seperti bayi yang berusia 5 bulan. Cerdik sungguh kamu wahai anak. Setiap hari kami menunggu dan menemani Uwais di wad tersebut sehingga lewat pukul 1.30 pagi. Aku dan isteriku tidak mengiraukan keletihan dan sakit sakit di badan yang kami alami sepanjang ulang alik ke hospital asalkan sahaja dapat bersama Uwais si cinta hati kami. Ya Tuhan, tak sabar rasanya menunggu anak cerdik ini pulang ke rumah kami.
06/10 – 09/10/2018
Ulang alik ke hospital seperti biasa menjenguk, menjaga, menukar pampers, memandikan dan menidurkan Uwais. Berat Uwais sedikit turun. Proses ultrasounds dilakukan keatas Uwais untuk menentukan tahap kesihatan Uwais. Hari ke 7, ada satu hal yang terjadi, seperti kebiasaan selepas Uwais bangun dari tidurnya, dia akan mengeliat kepuasan, apa yang mengejutkan kami ialah selepas dia mengangkat tangan ke atas untuk mengeliat, pasti dia meletakkan kedua tangannya di atas dada seperti perbuatan orang sedang qiam dalam solat. Hal ini berterusan sehingga ke hari hari seterusnya. Allahu akhbar!
10/10/2018 ( RABU )
Kami dikejutkan dengan berita Uwais dimasukkan ke wad Nilam 1 N.I.C.U (kes lebih berat), Uwais mula dimasukkan ubat antibiotik tahap kedua kerana ubat antibiotik tahap pertama tidak memberikan tindak balas positif pada darahnya. Uwais mula dipakaikan wayar oksigen di hidungnya bagi menyokong pernafasannya. Sesekali Uwais menangis tanda sakit dan mahukan perhatian dari kami. Uwais bersin berkali-kali. Lucu melihat reaksi anak comel ini bersin. Ya Allah, Engkau sembuhkanlah anak aku ya Allah.
11/10/2018. ( KHAMIS )
Darah Uwais semakin pekat kata doktor, doktor pakar mula mengambil kes Uwais dan anakku akan dikawal sepenuhnya oleh doktor pakar bagi memantau perkembangan Uwais. Kata doktor kuman semakin tinggi di dalam darah anak aku dan kemungkinan akan berlaku pendarahan dalaman keatasnya. Hati ini mula semakin risau, tidur tidak nyenyak, selera makan sudah tiada memikirkan tentang anak sulung kami. Begitu juga dengan isteriku jangankan air, apatah lagi nasi untuk dijamah jauh sekali. Sesiapa yang mempunyai anak pasti tahu bagaimana perasaan ini.
Emak dan abahku sudah pulang ke Pulau Pinang atas sebab bapa saudara aku di sana dikhabarkan keadaannya semakin tenat. Ini kali kedua Emak dan Abah datang ke Kelantan selepas datang kali pertama pada 1 Oktober lepas. Emak dan abahku belum pernah menyentuh cucu sulung mereka lagi .
12/10/2018 ( JUMAAT )
Aku dikejutkan dengan berita kematian bapa saudaraku di Pulau Pinang. Bapa saudara aku yang paling rapat dengan ahli keluarga kami. Aku begitu sedih dengan berita tersebut tambahan pula aku tidak boleh pulang ke Pulau Pinang atas faktor isteri dan anakku dalam keadaan begini. Sedihku bukan kepalang ibarat jatuh ditimpa tangga. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mazlan bin Shawal.
13/10/2018 ( SABTU)
Seharian bersama Uwais bermain , pada hari yang sama isteriku bermimpi telah didatangi seorang lelaki berjubah membawanya ke sebuah bangunan hospital yang sangat besar dan apabila isteriku masuk ke dalam hospital isteri tercinta aku melihat sebujur jasad kaku anak kami Uwais tidak bernyawa . Bangun dari tidur , isteriku menangis tersesak-esak sambil memelukku tanpa menceritakan perihal sebenar mimpi tersebut . Malam hari aku dan isteri bersama Uwais , seperti biasa Uwais minum susu dengan banyaknya tetapi pada hari tersebut susu isteriku sudah kering .
Aku mengusap perlahan kepala anak kesayanganku sambil bercakap dengannya . Dahinya yang lembut ku cium dan kucup berulang-ulang kali . “Sayang….Uwais anak Walid , cepat sihat nak , cepat sembuh , cepat-cepat keluar hospital , semua tunggu Uwais kat rumah . Nanti dah sihat Uwais teman Walid , kita pergi masjid sama-sama ye nak “ kataku sambil matanya merenung tepat kearah mataku , bulat dan hitam penuh anak matanya . Redup dan sayu matanya melihat aku lama lalu tanpa aku sedari mengalir air mata Uwais dan mulut kecilnya terkumat kamit seolah-olah ingin memberitahu sesuatu kepadaku . Jarinya menggengam kemas jariku tanpa ada isyarat mahu dilepaskan .
Jam menunjakkan pukul 1 pagi , isteriku mahu meletakkan Uwais ke atas katil , hari sudah lewat , kami diminta oleh jururawat untuk pulang tetapi anak kami Uwais tidak mahu melepaskan Umminya , erat dan kemas memeluk tangan isteriku , menangis merengek Uwais apabila mahu diangkat keatas katil seolah olah tidak mahu berpisah dengan Umminya yang telah berada didalam kandungan selama 9 bulan . Dia seperti mahu bersama Umminya sampai ke bila-bila . Aku dan isteri tidak sedap hati dan merasakan bagai ada sesuatu bakal terjadi . Kami meninggalkan Uwais di atas katil dengan beribu kesedihan .
14/10/2018 ( AHAD )
Di subuh yang hening , tiba-tiba telefon aku berdering kuat dan kelihatan nombor hospital tertera di skrin telefon aku , berdebar jantung ini seperti nyawa aku bakal dicabut . “Encik , boleh datang ke hospital dengan segera tak ?” tanya doktor kepadaku . Ya Allah ya Tuhanku , berat sungguh kaki ini nak melangkah .
Sesampainya di wad aku sudah melihat katil Uwais dikelilingi oleh ramai doktor pakar , Uwais sudah tidak sedarkan diri , dia di kelilingi mesin dan alat bantuan pernafasan . Luluh hancur hati ini melihat darah daging aku dalam keadaan begini . Kata yang merawat , Uwais muntah susu dan keluar banyak darah pada pukul 5 pagi tadi . Ya Allah ! Dugaan apa yang Engkau berikan kepadaku ini , baru semalam sahaja Uwais nampak sihat dan bermain dengan Walid dan Umminya , pagi ini Uwais sudah tidak sedarkan diri .
Seharian kami menunggu di wad , kami mengambil peluang untuk pulang ke rumah sebentar untuk mandi dan bersihkan badan . Emak , abah , kakak , adikku dan abang iparku baru sahaja sampai setelah menempuh perjalanan hampir 6 jam dari Pulau Pinang .
Jam pukul 9.00 malam sekali lagi hospital menelefon aku , sambil menyuruh aku membawa ahli keluarga terdekat . Petanda apakah ini ?
Sampai di katil Uwais , ketua bahagian perubatan di wad tersebut bersama doktor pakar yang lain sedang membuat sesuatu keatas Uwais , ketika itu hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang aku rasa . Isteriku tidak henti-henti menangis keesakkan sehinggakan ditenangkan oleh jururawat bertugas .
Doktor menjemput aku dan isteri ke bilik perjumpaan dan doktor menerangkan tentang situasi Uwais . “ Encik Syafiq dan Puan Nurul Fatihah, kita dah cuba sehabis baik tetapi Allah yang memegang kita , anak Encik sekarang sudah berada di tahap 50/50 dan kita hanya menunggu keajaiban dari Allah sahaja , bila kita buat ultrasounds kita lihat penuh tumpah darah dalam badan anak Encik , hati dia telah rosak dan pecah “ . Bayangkan kalian berada disituasi aku dan isteri ketika itu .
Akhirnya Uwais di pangkuan isteriku dan semasa diribaan isteri tercintaku , satu persatu wayar di badan Uwais dicabut perlahan , tekanan nadi dan jantung Uwais semakin lemah , tepat jam 12.15 pagi anak kesayangan kami MUHAMMAD UWAIS AL-QARNI BIN MUHAMMAD SYAFIQ telah dijemput kembali oleh Allah swt setelah genap 14 hari dia bertarung melawan kuman dalam badan . Dilahirkan pada hari Isnin dan diambil kembali oleh Allah juga pada hari Isnin .
Di penghujung detik nafas Uwais yang terakhir aku sempat menyaksikan kaki dan tangan anak syurga ini terangkat sedikit ke atas dan kelopak matanya terbuka melihat tepat kearah kami dan kelihatan anak mata nya yang pekat jernih kehitaman tersebut, tiba-tiba tanpa disedari sekali lagi terbit air matanya mengalir perlahan-lahan mula jatuh ke pipi . Dengan wajahnya yang sayu tanda seolah olah ingin memberitahu Walid dan Umminya bahawa dia akan pergi selama-lamanya meninggalkan kami di dunia yang fana ini . Kini tiada lagi rengekan manja Uwais terhadap kami . Luluh jiwa ini .
Kata jururawat yang menjaga dan merawat Uwais sepanjang dua minggu , dia anak yang sangat senang dijaga , tidak banyak ragam dan susah untuk dengar Uwais menangis . Isteriku terus memangku jasad anaknya yang kini sudah tidak bernyawa lagi sambil mengesat air matanya yang tidak henti-henti mengalir . “Uwais , uwais bangun nak , bangun anak Ummi , Ummi rindu Uwais , siapa nak hisap susu ummi lagi” isteriku diam sejenak diselangi dengan tangisannya tanpa penghujung . “Sayang anak ummi…ummi dah halalkan susu ummi untuk Uwais…tak apalah sayang pergilah dengan tenang..” kata isteriku perlahan. Allah , aku yang melihat bagaikan hendak pengsan . Lahaulawala khuwataillahbillah hila’liyula’zim . Kuatkan kami Ya Allah !
Aku redha Ya Allah , aku terima ujian darimu walaupun pedih dan pahit untuk aku tempuh semua ini . Uwais dicipta untuk hidup didunia ini hanya 14 hari sahaja . Perjanjian dia dengan Sang Pencipta telah ditunaikan . Semua ini terasa bagaikan mimpi . Terlalu pantas berlalu namun inilah realiti yang perlu ditanggung oleh aku dan isteri .
Ketahuilah sesungguhnya Ummi & Walid amat merinduimu wahai anak . Kita jumpa di syurga nanti ye nak. Maafkan Walid tak sempat bawak Uwais ke masjid bersama-sama, Walid hanya sempat mengengdong jasad Uwais yang sudah tidak lagi bernyawa ke masjid untuk menunaikan solat jenazah Uwais. Jasad Uwais wangi sangat sangat, selama Walid hidup atas dunia ini tidak pernah sekali Walid bau sewangi wangian Uwais itu.
Bercucuran air mata ini mengalir laju ketika nukilan ini disiapkan. Aku dan isteri masih mencari semangat . Walaupun kami sudah terpisah jasad dengan Uwais, kami berada di atas tanah dan anak tersayang kami di bawah tanah namun roh Uwais Al-Qarni dalam keadaan sangat tenang di sana sambil berlari-lari di dalam syurga Allah swt. Aku terima, aku redha, aku pasrah dan hanya kepada-MU jualah aku bertawakal.
Wahai kesayangan Walid & Ummi , damailah engkau di sana . Walaubagaimana sayangnya kami kepada Uwais , walau setinggi dan sebesar manapun kasih dan cinta kepada Uwais tetapi Allah swt lebih menyayangimu . Kerana sifat Ar-Rahman & Ar-Rahim itu sangat tinggi melebihi segala-galanya.
Ada satu hal yang dapat meredakan kepedihan hati aku dan isteriku , Uwais adalah HAK Allah swt dan aku perlu kembalikan semula HAK Allah swt tersebut , maka aku tidak boleh ‘kedekut’ tentang pemberian tersebut dan aku serahkan kepada yang MAHA BERHAK .
INNALILLAHI WAINNAILAIHI ROJIUN . Dari Allah kita datang , kepada Allah jualah kita kembali
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…
(Al-Baqarah: 286)
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2)
Manakala berkaitan hadith yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani di dalam mu’jamnya yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata:
“Aku berada bersama Aisyah RA maka telah datang Nabi SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum berusia dewasa (baligh) kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam Syurga. Mereka menjawab: Sehingga dimasukkan ibubapa kami. Maka dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu dan juga ibubapa kamu ke dalam Syurga”
Muhammad Uwais Al-Qarni
01/10/2018 – 14/10/2018
#kenanganbersamauwais
#coretanwalid
#alwildani
Sumber: Muhamad Syafiq bin Yushasni
25/10/2018
7.00 petang
Kota Bharu, Kelantan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Copy Paste Muka Ibu.” Lepas 40 Hari Pantang, Wanita Kerdil Kongsi Wajah Bayi

Selepas 40 hari berpantang, wanita kerdil yang tular sebelum ini, Syakila Norazma Amira Zuharsema atau mesra dipanggil Yaya, 28, mula berkongsi wajah bayi lelakinya.
Anak sulung yang diberi nama Muhammad Ayden Adrian yang dilahirkan seberat 2.35 kilogram itu, dilihat membesar dengan sihat.
ARTIKEL BERKENAAN [“Pertama Kali Tengok Adik, Nangis Ibu..” Wanita Tinggi 119c, Lahirkan Bayi Lelaki]

Walaupun proses kelahirannya terpaksa dibuat sebulan lebih awal atas nasihat doktor demi keselamatan ibu dan anak, Yaya mengakui Ayden seorang anak yang mudah dijaga dan tak banyak ragam.
Melalui perkongsian di akaun TikTok buyahhh, menunjukkan si comel Ayden seiras ibunya dengan mata yang bulat. Sekali tengok macam kakak dan adik. Comel kedua-duanya!
@buyahhh sayang ibu dah besar🥰 abaikan rumah yg belum kemas lagi tu😌 #banjirlumpurterengganu #fyp #pengantinviral ♬ DJ Pecah Seribu Hanya Dia – 🆂🅰🅼 🅳🅾🆁🅴🅼🅸
Sebelum ini, Yaya pernah berkongsi sepatutnya tarikh jangkaan bersalin adalah pada 25 Februari, tetapi disebabkan keadaan fizikalnya yang cuma berketinggian 118 sentimeter, maka boleh memberi risiko kepada bayi dalam kandungan.
“Walaupun bersalin pada Januari lalu, tetapi bersyukur kerana Ayden tiada apa-apa masalah kecuali penyakit kuning,” ujarnya.
Sebelum ini, sewaktu awal perkahwinan ramai tak yakin Yaya boleh hamil. Namun rezeki Allah dapat juga merasai nikmat menjadi seorang ibu. Bagaimanapun, ramai pula mempertikaikan macam mana nak bersalin pula. Tapi itulah kuasa Allah, DIA mengetahui segalanya sehinggalah Ayden dalam pelukannya.
@buyahhhhello🥰♬ original sound – ꧁🅔🅡🅘🅠🅐꧂
Baru-baru ini, ketika banjir di Pantai Timur, Yaya antara salah seorang mangsa banjir setelah rumahnya dinaiki air dan semua barang tak dapat diselamatkan.

Paling getir waktu itu, bot yang dinaiki Yaya bersama bayi dan ibunya hampir terlingkup. Ketika itu, Yaya masih dalam pantang hari ke-36 dan mujurlah tindakan pantas suaminya dapat menyelamatkan nyawa dan segera memindahkan bayi mereka ke bot lain dan terus menuju ke pusat pemindahan.
ARTIKEL BERKAITAN [Wanita Kerdil Berpantang 36 Hari Trauma, Bot Hampir Terbalik Redah Banjir]
Kredit: TikTok buyahhh

Sebagai ibu, sudah tentu kita mahukan yang terbaik buat si manja. Pemakanan yang sihat dan seimbang sangat kita titikberatkan supaya anak dapat membesar dengan baik.
Nak tahu rahsia sediakan hidangan enak yang buat anak berselera makan? Jom, sertai E-Workshop Kelas Penyediaan Makanan Anak: Sedap, Sihat & Selamat di https://toko.ideaktiv.com/product/e-workshop-kelas-penyediaan-makanan-anak-sedap-sihat-selamat/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dukung Jangan Sembarangan, Elak Timang Sambil Goncang Bayi Terlalu Kuat!

Dukung bayi memang menyeronokkan, tapi jangan sembarangan. Awas, elakkan daripada menggoncang kepala bayi terlalu kuat semasa mendukung!
Sebagai ibu bapa baru, mama papa mungkin berasa kekok dan gementar untuk mendukungnya. Teknik dan posisi dukung yang betul mengikut usia bayi boleh mengelakkan kecederaan.
Mengetahui cara mendukung bayi mengikut usia yang betul menjadi perkara penting yang perlu diketahui bagi semua ibu bapa baru. Dukung adalah salah satu cara yang paling efektif yang perlu dilakukan untuk bonding, mengeratkan ikatan kasih sayang antara mama, papa dan anak.
Mendukung dengan betul mampu mengurangi risiko-risiko yang tidak diingini iaitu antaranya risiko kecederaan sendi memandangkan sendi-sendi bayi masih lembut.
CARA DUKUNG BAYI
Usia 0 Hingga Tiga Bulan
1.Pada fasa ini, tulang bayi masih sangat lemah. Maka posisi dukung yang terbaik adalah dengan membaringkannya di lengan anda. Satu lipatan siku anda untuk menyokong leher dan kepalanya sementara tangan yang lain untuk menyokong punggung, belakang dan kakinya. Posisi bayi dekat dengan dada anda sehingga bayi berasa selesa.

Anda juga dapat dukung bayi dengan posisi tegak dengan kepala si kecil atas bahu anda dan menghadap ke belakang. Sandarkan bahagian dada bayi pada dada anda. Sokong bahagian lehernya dengan menggunakan satu tangan dan tangan yang satu lagi sokong bahagian punggung dan belakang. Bayi di atas satu bulan dapat posisi dukung ialah setengah duduk. Sebelah tangan anda menyokong belakang sementara tangan lain memegang bahagian dada. Pastikan kepala bayi bersandar pada dada.

Usia Tiga Hingga Enam Bulan
Biasanya usia ini bayi lebih senang jika didukung pada posisi duduk dengan menghadap ke arah depan. Kerana bayi sudah biasa duduk di pangkuan dan tidak selesa jika dibaringkan.

Usia Enam Bulan Ke Atas
Bayi sudah tidak terlalu ringan, bahagian tulang dan ototnya juga semakin kuat sehingga dapat mendukungnya dengan pelbagai posisi. Misalnya dengan didudukkan di bahagian depan dada dengan menggunakan sebelah tangan yang menyokong belakangnya dan tangan lain untuk menyokong punggungnya.

Usia Lapan Bulan
Teknik dukung bayi pad usia ini tidak jauh berbeza dengan usia 6 bulan k atas. Cuma anda boleh dukungnya di pinggang anda dengan kaki bayi melingkar di bahagian itu. Anda boleh menggunakan satu tangan sahaja untuk menyokong badan bayi.
Ketika si kecil semakin membesar, meniarap dan merangkak, elakkan terlalu kerap mendukung kerana ia menghalang proses eksplorasi bayi kepada sekeliling. Tummy time amat mustahak untuk menggalakkan proses sensori yang elok untuk pertumbuhan fizikal dan emosi.
RISIKO SINDROM GONCANG BAYI
Kadang-kala bila anak sedang menangis, mama dan papa akan terus mendukungnya serta mendodoikan untuk menghentikan tangisannya. Ada juga yang dukung bayi dengan membawa jalan-jalan sekitar rumah.
Namun, ada segelintir ibu bapa yang mendukung bayi cara yang salah. Malah ada yang tidak tahu kesan dari cara dukung bayi yang disusuli gerakan mengayun atau menggoncang. Ia yang dinamakan Shaken Baby Syndrome atau SBS. SBS ini lebih sering menimpa anak-anak yang usianya bawah satu tahun. Hal ini sangat serius dan boleh menyebabkan kecederaan yang serius seperti kerosakan otak atau pendarahan otak, mata, penyakit lainnya seperti kelumpuhan, epilepsi, bahkan yang paling berbahaya boleh menyebabkan kematian.

Ini berlaku kerana ukuran kepala bayi yang lebih besar dibandingkan dengan tubuh dan mempunyai leher yang sangat lemah yang akhirnya boleh menyebabkan tekanan akibat goncangan yang kuat dan terlalu lama.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


