Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika mahu anak-anak membesar menjadi individu yang rajin dan boleh diharap untuk membantu kerja-kerja rumah, latihlah mereka sejak kecil untuk melakukannya. Tidak perlu sempurna, tapi jika selalu dibuat lama-kelamaan akan mahir juga.
Ada sesetengah ibu ayah yang tidak mahu anak membantu kerana kita merasa anak-anak akan ‘menambah kerja’ dari mengurangkannya. Sudah tentu anak-anak akan melakukan kesilapan ketika membantu kita, tapi jangan dihalang. Terus galakkan mereka dan percaya pada kemampuan mereka.
Tolong JANGAN HALANG Kalau Anak Nak Tolong! Baru ni geram juga tengok anak saya yang umur 2 tahun tu basahkan lantai dengan susu. Lebih geram lagi bila dia ambil baju saya dan letak dekat tumpahan susu tu dengan muka yang tak bersalah langsung! Geram je rasa tapi tahan je.
Saya tak boleh halang! Sebab saya kena baca niat di sebalik perbuatan pelik anak saya ni. Bila saya perhatikan balik dari jauh rupanya dia gunakan baju saya tu untuk serap air susu tu sebenarnya. Ye, dia sedang cuba keringkan lantai dengan keringkan tumpahan susu tu!
Mungkin dia pernah nampak saya ataupun umminya buat benda ni kot. Mujur saya tak larang dia buat ‘ benda pelik ‘ tu tadi. Kalau saya jerit atau jerkah, boleh jadi ‘intention’ ataupun niat suci dia untuk tolong saya tu akan terbantut dan hilang buat selama lamanya!
Ads
Sumber foto: www.freepik.com
Padahal mengikut kajian daripada Harvard anak yang buat ‘chores’ ataupun bantu kerja di rumah ni akan jadi orang dewasa yang berjaya! Daripada situ seorang anak belajar ‘work ethic’ untuk menempuhi alam dewasa mereka nanti.
Ni cadangan untuk ajar anak kita buat kerja yang ringan di rumah;
Umur 2-3 tahun : + Lap air yang tumpah + Sapu habuk + Letak baju dalam bakul sebelum mandi + Simpan mainan selepas digunakan
Ads
Umur 4-5 tahun : + Kemas tempat tidur + Sidai tuala di tempatnya + Cuci cawan dan pinggan plastik sendiri + Siram pokok bunga + Semua kerja yang umur 2-3 tahun tu buat
Kepada yang ada anak lelaki jangan risau. Setakat ni saya tak jumpa lagi kajian yang cakap anak akan tiba-tiba bertukar jadi pondan lepas dah buat kerja rumah 😉
Taufiq Razif.
Bagus perkongsian dari Dr. Taufiq ni, bila anak-anak dah biasa buat kerja rumah dia jadi lebih berdikari. Tak adalah nak bergantung semua benda pada ibu atau ayah. Bila dah besar pun tak kekok kalau terpaksa hidup sendiri di asrama dan sebaginya. Jadi, latihlah anak buat kerja rumah sejak mereka kecil lagi.
Tip beli mainan untuk anak, barulah anak tak tantrum di tempat awam. Tantrum anak kecil sering menjadi cabaran bagi ibu bapa, terutama apabila anak sudah terbiasa mendapat apa yang mereka mahukan tanpa batasan.
Bila tiba-tiba ibu bapa cuba menghalang, anak mungkin bertindak balas dengan mengamuk, lebih-lebih lagi di tempat awam. Namun, setiap masalah ada penyelesaiannya, seperti pendekatan yang diamalkan oleh Puan Ninnie Kiddielove Bundle.
Berdasarkan pengalaman Puan Ninnie, beliau berkongsi cara mendidik anak-anak supaya tidak mudah tantrum apabila keinginan mereka tidak dipenuhi secara terus.
Berikut adalah pendekatan dan petua yang telah beliau praktikkan untuk anaknya, Firash, sejak kecil:
1. Menanam Kesedaran Bahawa Barang Di Kedai Milik Orang Lain
Sejak kecil, Firash diajar bahawa semua barang yang dilihat di kedai adalah “milik orang lain”. Bila Firash minta mainan, ibu bapanya akan terus berkata: “Itu orang punya, tak boleh ambil.” Dengan pengulangan yang konsisten, Firash memahami konsep ini sehingga kini.
Sebagai contoh, ketika Firash melihat kereta kawalan jauh di kaki lima, seorang makcik bertanya jika dia mahu mainan itu. Namun, Firash dengan yakin menjawab: “Umi, yang tu orang punya kan.”
2. Membeli Tanpa Melibatkan Anak Secara Langsung
Jika ibu bapanya mendapati Firash sangat menginginkan sesuatu, mereka akan membelinya tanpa pengetahuan anak. Contohnya:
Umi akan mengalihkan perhatian anak ke arah lain.
Daddy akan membeli mainan tersebut dan memasukkannya ke dalam plastik tanpa menunjukkan ia adalah mainan yang diinginkan Firash.
Setelah sampai di rumah, mainan itu diletakkan di tempat strategik seperti meja atau depan TV. Biasanya, Firash akan gembira melihat hadiah mengejut tersebut tanpa menyedari proses pembelian.
Pendekatan ini mengelakkan Firash dari menganggap bahawa semua mainan yang diminta perlu dibeli serta-merta.
3. Memberikan Pilihan Yang Lebih Bermanfaat
Firash dididik untuk lebih menghargai buku berbanding mainan. Jika dia ingin membeli buku, ibu bapanya memberi kelonggaran untuk dia membawa buku itu ke kaunter pembayaran sendiri, sebagai penghargaan atas sikap baiknya.
4. Konsistensi Dan Penerapan Sejak Awal
Amalan ini diterapkan secara konsisten kepada Firash sejak kecil, dan kini ia juga diterapkan kepada adik perempuannya, Raisya. Walaupun Raisya masih kecil dan cenderung membuat keputusan sendiri, Firash sering membantu menasihati adiknya dengan berkata: “Adik, tak boleh ambik, itu orang punya!”
5. Memahami Sikap Anak Dan Menyesuaikan Pendekatan
Anak-anak mempunyai perangai yang berbeza. Contohnya, Raisya suka berguling-guling bukan kerana dia mahukan sesuatu, tetapi kerana dia ingin bebas berjalan sendiri. Dalam situasi ini, ibu bapanya memberikan kebebasan dengan terus memerhati pergerakannya.
Petua dan pendekatan ini bukan sahaja mengelakkan anak-anak dari tantrum di tempat awam tetapi juga mendidik mereka untuk memahami nilai barang dan menghormati milik orang lain. Firash dan Raisya masing-masing membesar dengan cara mereka, tetapi pendekatan yang sesuai sejak awal terbukti berkesan dalam membentuk sikap mereka.
Setiap ibu bapa mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi perkongsian ini diharap dapat menjadi inspirasi bagi mereka yang mencari solusi mendidik anak dengan bijak.
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengembangkan kecerdasan anak bukan bermaksud kita hanya memberi peluang kepada anak mengikut minatnya semata-mata tetapi dengan interaksi sehari-hari ibu juga boleh merangsang anak agar mereka lebih bijak.
Seawal usia dua tahun kita sebagai ibu bapa sudah boleh mengembangkan kecerdasan anak. Namun ia tidak boleh dipaksa. Buat berdasarkan kemampuan anak kerana kita mahu anak rasa tidak seronok dan tertekan.
Berikut adalah beberapa cara mengembangkan kecerdasan anak iaitu:
Mengetahui minat kanak-kanak
Mengenali minat kanak-kanak yang semakin membesar pada satu-satu bidang sangat membantu untuk mengenali potensinya. Misalnya kanak-kanak suka membaca buku, bersenam, bermain muzik atau memasak. Dengan mengetahui minat anak akan lebih mudah untuk mengajar mereka melalui perkara yang menjadi minat atau kesukaannya itu, sehingga proses belajar menjadi lebih menyenangkan.
Mendorong anak agar bertanya
Dalam setiap kesempatan, dorong anak untuk bertanya. Rasa ingin tahunya merupakan modal untuk mengajar pelbagai pengetahuan baru.
Mengajar anak mencari jawapan
Setelah anak bertanya, secara automatik akan lahir rasa ingin tahu pada anak. Sebaiknya jangan terus memberikan jawapan, tetapi ajaklah anak untuk mencari jawapannya bersama-sama, misalnya dengan membuka buku atau cara lain sehingga imaginasi kanak-kanak menjadi lebih terbuka.
Membina rasa ingin tahu atas jawapan yang diberikan
Jangan bosan menjawab soalan dari anak ketika anak bertanya terus-menerus. Satu maklumat baru yang diterimanya saling berkaitan antara satu sama lain sehingga anak akan membina kesimpulan sendiri.
Melakukan permainan yang menyelesaikan masalah
Banyak permainan yang boleh membantu kanak-kanak mengembangkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah, contohnya bermain membuat bentuk daripada lego, membina ayat, dan sebagainya.
Mendorong anak untuk meminati perkara yang lain
Walaupun kanak-kanak mempunyai minat pada bidang muzik, namun ibu bapa juga perlu memperkenalkan kepada aktiviti sukan supaya anak tahu. Sekurang-kurangnya dia tidak fokus pada satu perkara sahaja dan serba boleh.
Oleh itu, ibu bapa kena pastikan apa yang dilakukan untuk anak bukan semata-mata paksaan tapi biar anak itu sendiri rasa seronok.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!