Ads

Jangan Pandang Ringan Ujian Minum Air Gula Ketika Hamil, Ini Sebabnya!

“Alah, kenapa kena minum air gula pula? Dah la tak sedap!”

Mungkin ramai ibu hamil pernah mengeluh apabila diminta menjalani ujian minum air gula atau Modified Glucose Tolerance Test (MGTT) semasa kehamilan.

Hakikatnya, ujian ini bukan dilakukan suka-suka. Ia merupakan pemeriksaan penting bagi mengesan diabetes ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus – GDM), satu keadaan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan ibu dan bayi jika tidak dikesan lebih awal.

Melalui ujian ini, doktor dapat mengenal pasti sama ada tubuh ibu mampu mengawal paras gula dalam darah dengan baik atau sebaliknya. Pengesanan awal sangat penting kerana diabetes ketika hamil sering tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas.

Mengapa ujian ini tidak boleh diabaikan?

  • Mengesan diabetes semasa hamil pada peringkat awal
  • Mengurangkan risiko komplikasi kepada bayi
  • Membantu memastikan kehamilan lebih selamat serta kesihatan ibu dan bayi sentiasa terjaga

Jadi, jika anda menerima temu janji untuk menjalani ujian minum air gula, jangan sesekali skip. Walaupun rasanya mungkin kurang menyenangkan, manfaatnya sangat besar untuk memastikan kehamilan berjalan lancar dan bayi membesar dengan sihat.

Apa Sebenarnya Ujian Minum Air Gula?

Jangan Pandang Ringan Ujian Minum Air Gula Ketika Hamil, Ini Sebabnya!

Ujian minum air gula atau MGTT merupakan ujian yang dilakukan bagi mengesan sama ada seseorang ibu mengalami diabetes ketika hamil. Diabetes semasa hamil berlaku apabila badan tidak dapat mengawal paras gula dalam darah dengan baik akibat perubahan hormon yang berlaku sepanjang kehamilan.

Dalam keadaan normal, makanan yang kita makan akan ditukarkan kepada glukosa yang menjadi sumber tenaga utama untuk badan. Apabila paras glukosa meningkat, hormon insulin yang dihasilkan oleh pankreas akan membantu membawa glukosa masuk ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga atau disimpan dalam bentuk glikogen di hati dan otot.

Namun, apabila badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin atau insulin tidak dapat berfungsi dengan baik, paras gula dalam darah akan meningkat. Keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya diabetes.

Melalui ujian MGTT, doktor sebenarnya ingin melihat sama ada insulin dalam badan ibu masih mampu berfungsi dengan baik. Jika selepas minum larutan gula paras gula darah masih berada pada tahap normal, ini menunjukkan badan dapat memproses gula dengan baik. Sebaliknya, jika paras gula meningkat melebihi bacaan normal, ibu mungkin mengalami diabetes ketika hamil.

Siapa Yang Berisiko Mengalami Diabetes Ketika Hamil?

Tidak semua ibu mempunyai risiko yang sama. Ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang wanita mengalami diabetes semasa kehamilan.

Ads

Antaranya ialah:

  • Indeks Jisim Badan (BMI) 30 atau lebih
  • Pernah melahirkan bayi dengan berat melebihi 4 kilogram
  • Pernah mengalami diabetes ketika kehamilan terdahulu
  • Mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap diabetes seperti ibu, bapa atau adik-beradik

Jika anda mempunyai salah satu faktor risiko ini, doktor biasanya akan mencadangkan ujian MGTT dilakukan lebih awal dalam kehamilan dan diulang semula ketika kandungan berusia antara 24 hingga 28 minggu.

Bagaimana Ujian Ini Dilakukan?

Ramai ibu berasa risau apabila mendengar tentang ujian minum air gula. Sebenarnya prosesnya agak mudah.

Sebelum ujian dijalankan, ibu perlu berpuasa semalaman. Anda hanya dibenarkan minum air kosong dan tidak boleh mengambil makanan atau minuman lain.

Pada awal pagi, sampel darah pertama akan diambil untuk mengukur paras gula ketika berpuasa. Selepas itu, anda akan diminta menghabiskan larutan gula yang diberikan.

Kemudian, anda perlu menunggu selama dua jam sebelum sampel darah kedua diambil untuk melihat bagaimana tubuh memproses gula tersebut.

Di kebanyakan klinik kerajaan, air gula yang diberikan biasanya tidak berperisa dan sedikit suam. Ada juga yang menyediakan larutan berperisa oren untuk memudahkan ibu meminumnya.

Ads

Mengapa Pengesanan Awal Sangat Penting?

Jangan Pandang Ringan Ujian Minum Air Gula Ketika Hamil, Ini Sebabnya!

Jika anda pernah mengalami diabetes ketika hamil sebelum ini, ujian MGTT akan dilakukan lebih awal pada kehamilan seterusnya.

Ini kerana kawalan gula yang baik pada peringkat awal kehamilan amat penting ketika organ-organ utama bayi sedang terbentuk. Pengesanan awal membolehkan doktor memantau dan mengawal paras gula dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi kepada ibu dan bayi.

Apa Risiko Jika Diabetes Ketika Hamil Tidak Dikawal?

Kebanyakan ibu yang menghidap diabetes ketika hamil mampu melahirkan bayi yang sihat. Namun, risiko komplikasi boleh meningkat sekiranya keadaan ini tidak dikesan atau tidak dikawal dengan baik.

Paras gula yang tinggi dalam darah ibu akan menyebabkan bayi menerima gula yang berlebihan melalui plasenta. Bayi akan menghasilkan lebih banyak insulin sebagai tindak balas dan seterusnya membesar dengan lebih cepat daripada biasa.

Keadaan ini boleh menyebabkan bayi menjadi terlalu besar dalam kandungan atau dikenali sebagai macrosomia. Apabila bayi terlalu besar, beberapa komplikasi boleh berlaku seperti:

  • Kelahiran secara induksi lebih awal
  • Risiko pembedahan Caesarean meningkat
  • Kegagalan proses induksi
  • Bahu bayi tersangkut ketika kelahiran normal
  • Kecederaan saraf semasa proses kelahiran

Selain itu, diabetes yang tidak terkawal juga boleh meningkatkan risiko kematian bayi dalam kandungan secara mengejut.

Ads

Bayi Juga Boleh Terjejas Selepas Dilahirkan

Bayi yang terdedah kepada paras gula tinggi sepanjang kehamilan akan menghasilkan insulin dalam jumlah yang banyak.

Selepas dilahirkan, bekalan gula daripada ibu akan terhenti secara tiba-tiba tetapi insulin bayi masih tinggi. Keadaan ini boleh menyebabkan paras gula bayi menjadi terlalu rendah dan memerlukan pemantauan rapi oleh pakar pediatrik di wad neonatal.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami diabetes ketika hamil juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami obesiti dan diabetes apabila dewasa kelak.

Mitos Yang Masih Ramai Percaya

Salah satu mitos paling popular ialah minum air gula ketika ujian MGTT boleh menyebabkan diabetes.

Sebenarnya, dakwaan ini tidak benar.

Ujian minum air gula tidak menyebabkan seseorang mendapat diabetes. Sebaliknya, ujian ini dilakukan untuk mengenal pasti ibu yang sememangnya mempunyai masalah kawalan gula dalam darah supaya rawatan dapat diberikan lebih awal.

Pesanan Buat Ibu Hamil

Walaupun rasa air gula itu mungkin kurang menyenangkan, ujian MGTT merupakan salah satu pemeriksaan paling penting sepanjang kehamilan.

Satu lagi perkara yang sering diingatkan petugas kesihatan ialah cuba sedaya upaya untuk tidak muntah selepas minum larutan gula tersebut. Jika muntah berlaku, keputusan ujian mungkin tidak sah dan ibu perlu mengulang semula keseluruhan proses pada hari lain.

Jadi ibu-ibu, jangan takut dan jangan skip ujian ini. Anggaplah ia sebagai satu langkah kecil yang mampu memberi perlindungan besar kepada diri anda dan si kecil yang sedang membesar dalam kandungan. Pengesanan awal diabetes bukan sahaja membantu memastikan kehamilan lebih selamat, malah memberi peluang terbaik untuk bayi lahir sihat dan membesar dengan baik.

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Ibu Bapa Idaman Anak-Anak, Kaunselor Ini Listkan Sikap Yang Kena Ada

Ibu Bapa Idaman Anak-Anak menghuraikan enam ciri penting yang diharapkan oleh setiap anak, termasuk kasih sayang, komunikasi berkesan, bimbingan dan teladan yang baik dalam keluarga.