Jangan Sapu Minyak Urut Sembarangan Pada Anak, Mak Ayah Tak Sedar Bahaya!

Share

Bila anak meragam, kembung perut atau nampak tak selesa, ramai mak ayah terus capai minyak urut sebagai solusi cepat. Tapi tahukah anda, tidak semua minyak sapuan selamat untuk bayi dan kanak-kanak?

Silap pilih, ia bukan sekadar tak membantu malah boleh membahayakan si kecil. Lebih membimbangkan, ada produk di pasaran yang mengandungi bahan seperti Methyl Salicylate yang berisiko tinggi jika digunakan pada anak.

Jadi, bagaimana nak kenal pasti minyak urut yang betul-betul selamat?

Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) menunjukkan bahaya penggunaan minyak panas atau minyak urut yang mengandungi bahan Methyl Salicylate kepada anak kecil atau bayi.

Ini disebabkan bahan tersebut yang biasanya terdapat dalam produk minyak panas untuk merawat lenguh dan sakit badan tidak sesuai kepada kanak-kanak, khususnya bayi kerana mempunyai risiko mengakibatkan keracunan.

Apa itu topikal methyl salicylate?

Umumnya, ubat salap atau topikal dengan methyl salicylate untuk kulit ini digunakan bagi memberikan kelegaan sementara pada otot atau sakit sendi yang disebabkan oleh ketegangan, terseliuh, arthritis, lebam atau sakit belakang.

Sesetengah produk dengan bahan ini tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tanpa nasihat doktor.

Semak label dengan teliti sebelum menyapu minyak ini pada anak dalam lingkungan usia 2 hingga 12 tahun. Paling penting, minyak urut bayi yang mengandungi methyl salicylate tidak boleh digunakan kepada bayi di bawah usia 2 tahun!

Penggunaan minyak urut bayi dengan methyl salicylate

Gunakan minyak urut ini seperti arahan pada label atau yang ditetapkan oleh doktor. Jangan menggunakan dalam jumlah lebih besar atau lebih kecil mahupun untuk tempoh lebih lama daripada yang disyorkan.

Pastikan kulit bersih dan kering sebelum menggunakan minyak urut baby ini.

Hindari penggunaan topikal ini pada luka terbuka atau pada kulit yang terkena selaran matahari, terbakar angin (windburned), kering, pecah atau ia akan mengakibatkan kerengsaan.

Apabila menggunakan minyak, krim topikal, gel, salap atau semburan dengan bahan methyl salicylate ini, anda haruslah memastikan ia hanya sapuan nipis pada kawasan terjejas dan perlu digosok sehingga diserap sepenuhnya.

Jika bahan yang mengandungi methyl salicylate ini adalah daripada jenis tampalan, tanggalkan pelapik dan lekatkan tampalan pada kulit di atas bahagian yang sakit. Tampalan boleh diganti 1-2 kali sehari, jika perlu.

Sumber: Hello Doktor

Published by
SRM